HATI yang marah,
terus dibakar api cemburu apabila pencarian dia berakhir. Dia ikut Taqim dan Fiqri. Malah, hingga ke petang bila Taqim dekati
sebuah gerai, duduk di situ bergelak ketawa… marahnya meningkat dua kali ganda. Tahulah dia, itulah perempuan kolot yang
Taqim katakan ada sesuatu tentangnya.
Sesuatu yang
hanya mata Taqim nampak?
Hari ini, dia
berani dekati gerai itu. Sirat tersenyum
menyambutkan. Sendiri. Baru bukak kedai nampaknya.
“Maaf, ya. Boleh tunggu kejap. Saya sorang hari ni. Baru bukak gerai…” Tangan Sirat ligat menyusun lauk-pauk dan
kuih-muih di atas meja saat Melisa mendekati.
Langsung dia tak kenal akan wajah itu.
Melisa peluk
tubuh. Merenung wajah Sirat. Tajam.
Sesekali, terasa kabur pandangannya Bahana airmata marah yang
bergenang. Cepat-cepat dia seka sebelum
menitis ke pipi.
“Cik,
okey?” soal Siratul menyedari apa yang
sedang terjadi.
Melisa
geleng.
“Err… boleh saya
bantu?” Serba-salah pulak dia orang
datang buat airmata dekat gerai dia tanpa dia tahu hujung pangkal cerita. Takut sebenarnya. Tapi, kalau benar memerlukan bantuan, dia tak
kisah membantu.
Tapi, bantuan
macam mana? Nak kata, tak ada duit…
nampak mewah.
“Kau kenal
Mustaqim?”
“Mustaqim? Oh, Taqim?”
tanya Siratul kembali.
“Kenal…” Saat ini, dia tiada syak
apa-apa. Dia lupa ibu tiri Taqim yang
muda belia.
“Kau kenal aku?”
Eh, soalan dia…
Siratul menggeleng. “Maaf. Saya tak kenal…”
“Aku ibu tiri
dia…”
Saat ini,
Siratul kaku. Segala sistem tubuhnya
bagai tak berfungsi. Dia benar-benar
terkejut. Macam mana Melisa tahu gerai
dia?
“Kaulah bakal
menantu aku, ya?” tanya Melisa
sinis.
Siratul
diam. Sekadar merenung wajah
Melisa. Sukar dia nak percaya yang Taqim
tak tergoda dengan wajah yang sebegini cantik.
Nampaknya lelaki itu benar-benar menjaga diri sampai langsung tak
pandang wajah seperti Melisa.
“Boleh saya
tolong?” Sekali lagi Siratul cuba
berbahasa. Jujurnya, dia begitu
resah. Menghadapi seseorang yang muncul
tiba-tiba malah membawa renungan yang penuh benci, siapalah tak resah
menghadapi wanita tinggi lampai ini.
“Betul kau boleh
tolong?” Melisa setapak lagi mendekati
meja.
“Kalau saya
mampu…”
Sengih Melisa
tajam. “Kau tinggalkan Mustaqim…”
“Maaf,
Datin. Saya tak dengar…” Bukan nak usik Melisa, tapi memang kurang
jelas.
“Jangan
buat-buat pekak!” marah Melisa.
“Aku nak kau
tinggalkan dia!”
“Saya tinggalkan
dia?” Okey. Siratul dah rasa nak ketawa. Tapi, dia cepat-cepat beristighfar. Permintaan tak masuk akal apalah yang mak
tiri Taqim nak dia buat ni?
Antara dia dan
Taqim, mereka saling menerima diri masing-masing seadaanya. Malah dia dah janji untuk bersama-sama lelaki
itu. Sampai syurga. Semudah itu Melisa minta dia pergi tinggalkan
Taqim.
“Maaf, Datin…
kalau hal itu, saya tak boleh nak tolong.
Melainkan Taqim tinggalkan saya, saya tak akan tinggalkan dia…” Apapun jadi, Sirat bertegas. Taqim dah pernah terluka dengan begitu teruk
oleh ayah yang dia sayang. Tak kan dia
mahu ulang kembali luka itu oleh perempuan yang Taqim cinta?
“Apa kau
cakap?” Melisa dah ketawa. Susahnya dia nak percaya dengan kata-kata
Sirat. Sebegini berani?
Langkah Melisa
kian mendekat. Siratul tabahkan
hati. Sabar dan terus sabar. Bersedia untuk apa saja kemungkinan andai telapak
tangan Melisa naik menyentuh pipinya.
Dia tetap tak akan melawan.
“Kau ingat, kau
boleh dapat dia? Kau tahu, berapa lama
aku kejar dia?” Mata Melisa
membulat. Marahnya pada perempuan ini
semakin tak terbendung.
Tuhan… tak
mungkin tidak Kau tiupkan sedikit kesedaran dalam dada wanita ini tentang
haramnya hubungan itu. Tak sedar, Sirat
menggeleng kecil.
“Kenapa? Kau nak ketawakan aku?” jerkah Melisa.
“Maaf kalau
kata-kata saya ni akan buat Datin Melisa terasa. Tapi, hubungan Datin dengan Mustaqim adalah
sesuatu yang haram. Tak mungkin
terjadi. Rasanya, dah cukup Datin kejar
dia. Mustaqim sendiri dah penat
berlari…”
“Biar dia lari
ke hujung dunia sekalipun, aku akan kejar!”
bentak Melisa seraya menghempuk tangan ke meja. Bergoyang habis segala bekas.
“Dia dah
berhenti berlari, Datin. Lagipun, saya
tak pernah bermimpi nak dapat lelaki sehebat Mustaqim. Apa nak kata, bila Tuhan hentikan larian dia
di depan saya dan saya sendiri tak mampu menolak bila hati Taqim dah pegang
hati saya dengan begitu erat…” ujar
Siratul lembut dan saat itu dia nampak tangan Melisa terangkat tinggi.
MELIHAT Siratul
yang menangis teresak-esak buat pertama kalinya, hati Taqim terbelah dua. Tangannya terangkat nak menyentuh bahu itu
tapi ditahan hati yang mahu mengamuk.
Dia tak sabar sebenarnya nak bungkus lauk masakan Sirat. Nak balik berbuka dengan daddy. Nak daddy rasa air tangan perempuan pilihan
dia, tapi apa yang dia lihat… berbeza.
Tiada angin, jauh sekali ribut.
Malah langit terang benderang, tapi kenapa meja ini terbalik? Hingga semua lauk dan nasik bertaburan di
atas rumput.
Paling
menyedihnya, airmata Sirat gugur tak henti-henti biarpun dia dah menyapa. Wajah itu mendongak, menadah wajahnya dengan
linangan airmata, bibir yang bergetar malah dengan kesan comot.
Taqim jatuh
melutut. Melihat gadis ini mengutip
makanan yang ada di Bahagian atas dan nampak masih boleh dimakan, sekujur
tubuhnya menggigil. Entah kenapa,
peristiwa saat pertama kali dia melihat Siratul dan kata-kata Wan. Barang-barang dapur yang bertaburan. Jangan kata dia simpati, malah dia marah
sangat waktu itu. Tapi, Siratul hanya
senyum malah mampu lagi bergurau dengan Wan.
Tapi saat ini… dia nampak sisi lemah seorang Siratul.
“Siratul?” Sekali lagi Taqim menyeru dengan suara yang
tenggelam timbul.
“Hrm…” Hanya itu
yang menjadi jawapan. Hati Sirat hampir
lebur. Dia rela lagi ditampar atau
dipukul. Tak mungkinlah sampai
patah-riuk. Tapi, bila Melisa lepaskan
marah pada semua makanan yang dia nak jual, ini adalah rezeki dia.
Tuhan… macam
mana manusia begitu tergamak hidup menongkat langit tanpa rasa syukur dengan
rezeki yang Allah bagi? Pada Melisa,
mungkin ianya tiada apa. Tapi, pada dia…
ini adalah segalanya.
“Sirat…” Sekali lagi Taqim menyeru.
“Apa dah jadi?” Jujurnya, dia seperti dah dapat agak. Tapi, tak akanlah. Susah dia nak percaya kalau apa yang sedang
bermain dalam kepala dia ni.
“Saya tanya ni,
awak. Kenapa?” Suara Taqim sudah sedikit keras bila soalan
demi soalan, langsung tak dijawab melainkan Sirat masih setia mengemas sisa
makanan.
“Siratul!” gumam Taqim keras. Pergelangan tangan halus itu dipegang. Erat. Barulah
Sirat membalas pandangan dia dengan mata yang masih basah.
“Berhenti,” larang Taqim.
“Jangan buat
lagi!” Dia pandang tangan Sirat yang
kotor. Tuhan… mata dipejam
seketika. Jangan kata sebab dia, semua
ini terjadi.
“Semua dah
kotor. Nak kutip buat apa?”
“Ini…” Mata Sirat jatuh semula pada tangannya yang
masih ada dalam genggaman Taqim.
“…ini saya masak
dengan usaha, keikhlasan dan…”
“Ya, saya tahu…” sampuk Taqim laju. Ya Allah… sayang, kenapa saat ini awak yang
tak tabah?
“Benda dah
jadi. Bukan rezeki. Awak jugak cakap. Tapi, pada saya semua ni mesti ada
penyebabnya. Saya nak tahu sebab tu…”
“Dia… datang…” Lambat-lambat Sirat bersuara. Tak tahulah dia patut ceritakan segalanya
pada Taqim atau tidak. Adakah dia akan
memburukkan orang lain?
“Dia tu… siapa?” Kening Taqim berkerut tak henti-henti.
“Jangan cakap…” Dia mula menduga sendiri dan bila airmata
Siratul kembali laju mengalir, dia tahu… telahan dia tepat. Apa yang dia risaukan menjadi nyata.
“Tuhan… saya
mintak maaf, Siratul. Salah saya, awak
yang kena tanggung…”
“Tak, bukan
salah awak. Saya terima dia datang carik
saya. Saya akan terima kalau dia
caci-maki saya. Sakiti saya. Tapi ini…”
Tangannya yang kotor dibuka di depan Taqim.
“…kenapa dia
rosakkan punca rezeki saya?” Siratul
hampir teresak-esak.
Taqim pejam
mata. Kali ini lebih lama dan tanpa
sedar, dia tarik kepala itu jatuh ke dadanya.
Rasanya, hanya ada satu penyelesaian sekarang. Katalah dia gila. Dia memang dah buntu bila nak kesat airmata
gadis ini pun, dia tak mampu.
MATA Taqim merah
menahan marah. Tak sudah-sudah dia
mengucap dalam hati berharap sangat, kasih –sayang Allah akan dakap amarahnya
agar terus tenang. Dia tak nak sakiti
sesiapa lebih-lebih lagi daddy.
“Kenapa kau
datang?” tanya Melisa jelek.
“Eh, rumah aku!” Taqim dah penat cuba bercakap baik dengan
Melisa. Tapi, perempuan ini semakin
melampau.
“Aku yang patut
tanya kau. Kenapa kau pergi serang
Siratul? Tak cukup kau maki dia, kau
rosakkan gerai dia? Kenapa? Apa dia dah buat dekat kau? Dia ada maki kau? Ada kata bukan-bukan dekat kau?”
“Hey, Taqim… dia
tu…”
“Syh….” Taqim jegilkan mata menahan Melisa daripada
terus memuntahkan dusta.
“Jangan ingat aku
akan percaya yang Sirat akan keluarkan kata-kata kesat. Sepatah pun tak akan. Siratul aku tak akan berkata kesat walaupun
satu suku kata. Apa saja orang buat, dia
akan sabar. Tapi, kau memang
melampau. Sedangkan kau tahu itu
satu-satunya punca rezeki dia, kau sanggup rosakkan semua. Pertama kali aku tengok dia menangis tak
henti-henti. Kau ni memang tak pernah
nak berubah rupanya…” Suaranya cuba
ditahan sebaik mungkin.
Tak nak daddy
dengar. Ini pun hanya ada dua pasang
mata memandang. Mak cik Azie dan Pak cik
Husin yang hanya diam tak berkutik. Eloklah. Biar dua pasang mata itu menjadi saksi. Dia akan hitung segalanya hari ini.
“Hey, Mustaqim…
tak kanlah sebab aku rosakkan semua tu, dia menangis tak dapat makan? Kau bukan tak mampu nak mandikan dia dengan
kemewahan? Atau Siratul tu jual mahal
sangat dengan kau? Saja… play hard to
get…” sindir Melisa sambil mendekati Taqim.
Sempat jari runcingnya menyentuh bahu sasay Taqim sebelum lelaki itu
membentak kuat.
Melisa ketawa. Taqim… Taqim… memang mabuk cinta
sungguh! Dan dia, akan pastikan Taqim
tak akan dimiliki sesiapa.
“Kau ingat, dia
macam kau? Setidak-tidaknya, dia jual
mahal sebab dia memang tak ternilai. Lainlah
kau, sanggup buat apa saja demi cinta dan harta. Tengok sekarang, kau dapat segalanya, tapi
kau tetap tak reti nak bersyukur.
Siratul tu menangis, bukan sebab kebulur. Aku boleh bagi dia apa saja yang dia
nak. Tapi, masalahnya dia jenis berusaha
sendiri. Tak bergantung pada mana-mana
lelaki macam kau. Itu punca rezeki
dia. Itu rezeki yang dia usahakan. Bila puasa ni untuk ajar kau lapar dan dahaga
tapi kau buat rezeki yang Allah bagi pada tu, mana kesedaran kau? Mana sensitiviti kau pada orang yang tak
dapat makan langsung? Ya, memang kau tak
pernah kebulur. Tapi, setidak-tidaknya,
Lisa… cubalah faham hasil keringat orang,” tempelak Taqim keras.
Biar Melisa reti
sikit, apa yang dia dah buat tu… satu pembaziran yang melampau.
Mendengarkan kata-kata
Taqim, buat Melisa diam. Bukan kerana insaf
namun kerana api cemburunya kian menyala.
Begitu sekali Taqim sayangkan Siratul?
“Kiranya, kau
nak cakap perempuan tak guna tu adalah segala-galanya bagi kau? Gitu?”
Taqim
ketawa. Melisa ni, macam kata diri
sendiri pulak. “Hey, Lisa… sebelum kau
cakap dekat orang… elok kau pergi duduk depan cermin. Siapa yang tak guna. Kalau dia tak guna, dia akan jadi lintah,
hisap darah aku. Tak payah kerja. Aku sayang dia. Aku boleh bagi apa saja. Tapi sayang, dia tetap berusaha. Kau cakap, macam mana kau rasa dia perempuan
tak guna, sedangkan yang tak guna itu
adalah diri kau sendiri!” Akhirnya,
suara Taqim berdentum.
“Kau jangan
ingat aku akan perempuan lain dapat kau, Taqim!
Tak mungkin!” Melisa juga tak
kalah. Dia
“Apa kau nak
buat? Tubuh aku, hak aku. Hati aku pun hak aku. Tapi, akhirnya aku sedar. Aku hanya pinjam tubuh dan hati aku ni
daripada Allah Taala. Terserahlah pada
Dia nak pandu hati aku pada sesiapa dan sesiapa itu adalah Siratul. Bukan Melisa…” Kali ini, Taqim beralah. Dia renung mata Melisa. Dalam.
“Kasihanlah
dekat daddy aku, Lisa. Sepuluh tahun dia
hargai kau. Biarpun dia tahu perangai kau
macam mana, tapi apa nak kata. Dah jadi
isteri. Aku yakin daddy aku sayangkan
kau dan kalau kata niat kau dulu kahwin dengan daddy aku sebab nak dapatkan
aku, rasanya belum terlambat untuk kau ubah niat kau, Lisa. Masih ada masa. Dan, aku harap kau tak akan kacau Sirat
lagi. Aku juga tak pernah ganggu hidup
kau…” Taqim menoleh mahu berlalu tapi
langkah kaki terhenti bila daddy berdiri di tepi anak tangga. Sejak bila, dia tak pasti.
Airmata daddy
jatuh ke pipi. Taqim kerut kening. Dia pandang semula Melisa tapi wajah
perempuan itu langsung tiada rasa belas atau kesal. Entah hatinya diperbuat daripada apa. Taqim tak mengerti. Tapi, bila dia pandang daddy lagi sekali,
daddy angguk.
Mengertilah Taqim,
memang daddy dah lama tahu. Tapi,
ada sesuatu yang daddy sembunyikan.
Bila la Melisa ni nak sedar diri ?
ReplyDeleteOrg yg dikejar tu haram utk dia
Kesiannya kesian kat sirat kesian kat daddy n kesian kat taqim..busuk betui hati lisa..moga dia mendapat balasan sepatutnya..
ReplyDeletesedih..kesian siratul.
ReplyDeleteBusuknya hati kau Melisa, kesian jgk kat daddy Taqim
Kesiannya sirat... Sampai hati melisa buat dia mcm tu... Apa eh Agaknya sbb daddy taqim x ceraikan si melisa tu... Hmmmm
ReplyDeleteHow coukd Melisa😡😡😡
ReplyDeleteCould*
DeleteKesian sirat
ReplyDeleteAgaknya pe rncngn ayh taqim ek
ReplyDeleteKurang asam punya melisa..
ReplyDeleteNgape x lempang je melisa tu taqim..
ReplyDeleteYa Allah, kesiannya sirat...hei lisa....xtahu perempuan jenis apa
ReplyDeleteDaddy xceraikan melisa sbb xnk bg melisa dekat dgn taqim kan.
ReplyDeleteSbb hubungan melisa & taqim yg skrg ni haram.
Sbb tu daddy nk taqim kahwin cpt. Xpun daddy sakit.
Cara daddy tunjuk syg tu lain sikit
Haihla melisa ni...nnt memyesal sendiri...sedey part sirat tu...
ReplyDeleteTertanya2 juga,antara melisa dan daddy taqim seperti ada rahsia yang taqim tak tahu...apakah itu...
ReplyDeleteYa Allah..kesinnya sirat..si melisa ni mmg dasar jahat...
ReplyDelete'Siratul aku'....suke ayat ni��
ReplyDeleteHmmm....bila hati dikuasai nafsu....bila lah Melissa nak sedar diri...
ReplyDeleteAllahu.... Dlm dunia ni macam 2 pe'el manusia. Bila lupa bahawa Allah Maha Kuasa....Dan kita sebagai makhluk ni tak ada kuasa...tu yg jadi lupa diri....
ReplyDeleteKejam nya melisa nie
ReplyDeleteGeramnya dgn melissa ni..xsdr diri btl
ReplyDeleteSedihnya...sian sgt pd sirat!!! Susah payah masak, hanya utk dimusnahkan sekelip mata oleh betina yg Xberperikemanusiaan tu!!! Apalah yg daddy rahsiakan drpd taqim tu..🤔 penyakit daddy pon Xtau lg tu.. Tqvm RM for the update 🌹🌷
ReplyDeleteNampaknya nikah awal taqim dgn sirat..tak dan tunggu 1 hari raya gamaknya....
ReplyDeletemesti daddy taqim rancang sesuatu utk melisa kn....
ReplyDeleteSaya suka tulisan kak RM
ReplyDeleteDalam bercerita ada ibrah yang terselit...
Thanks akak...
....tak habis fikir kenapa Daddy Taqim ni,tak pandai didik isteri dia, sayang sangatkah? tapi macam tak patut pulak bila dia biarkan melisa buat sesuka hati...sepatutnya dia tegas sebagai ketua keluarga kn kn..
ReplyDeleteapa2 pn tq RM dh update.
Apa la perancangan daddy...x lama lagi dah
ReplyDelete🤔
ReplyDelete