Tuesday, February 06, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 11

PENAT pujuk mak su untuk ke kedai hari ini.  Dah lepas makan tengah hari, barulah mak su izinkan.  Cuma, mak su tak larang.  Tapi, tak bagi izin secara lisan pun.  Diam aje.  Berat hati dia menunggang Yahama Ego itu ke kedai bila mak su melancarkan perang dingin.  Tapi, apa nak kata.  Dia ada beberapa tempahan untuk majlis di sebuah syarikat.  Ini pun dia dapat sub daripada kedai bunga Auntie Jane yang lagi hebat tu.  Kata Auntie Jane, tak menang tangan dan mahu berkongsi rezeki. 
“Sekali lagi, mak su tertangkap Sera dengan dia, kita pindah masa tu jugak.  Tinggal semua ni.  Mak su hanya perlukan Sera.  Atau, mak su report polis cakap dia buat tak senonoh pada Sera dan masa tu, Sera jangan pandai-pandai nak nafi!”  Pesanan mak su pagi tadi.  Pada Sera, itu bukan pesanan tapi ugutan. 

Sera hanya diam.  Nak nafi, dia bimbang rasa kecewa mak su pada dia lebih dalam.  Nak iyakan, dia tahu yang mak su pun tahu itu adalah perbuatan yang salah.  Tapi, kalau nak kira… Buya bukan sesiapa pun.  Haih… apapun, aku memang kena patuh pada mak su.  Kali ni, Sera nekad.  No more Buya.  Semuanya dah berlalu.
Baru saja dia nak buka pintu masuk, ada susuk tubuh yang sudah berdiri di sisi dia. 
“Dekat dua jam saya tunggu awak muncul.  Baru bukak kedai?  Ke awak keluar hantar order?”  Kening lebat Buya terjongket bersama soalan. 
Dekat nak mengalah dah tadi tapi Zul minta dia bersabar dan akhirnya subjek yang dinanti, muncul.  Cuma, wajah Sera hari ini mendung sungguh.  Padahal, langit terang-benderang.  Mesti ribut melanda ni.  Gamaknya, Sera dimarahi teruk oleh ibu saudaranya beberapa hari lepas. 
“Awak ada amnesia?”  tanya Sera bersahaja.  Malas nak jawab soalan Buya. 
“Apa awak tanya?”  Eh, dia silap pendengaran pulak ke?  Amnesia tu, bukan penyakit hilang ingatan ke?   Kalau dia hilang ingatan, dia tak muncul dah dekat kedai Sera.  Ini dekat dua jam dia tunggu.  Dua jam!  Lama tu.  Buang masa!  Lenguh kaki, tahu tak?!
Sera lepaskan nafas.  Lelah sungguh hadap lelaki ni.  “Sebab saya dah pesan.  Jangan datang lagi.  Selamanya.  Kenapa awak muncul lagi?”  Dahlah mak su sampai tahap mengugut.  Akan muncul bila-bila masa saja.  Inspection! 
“Awak kena amnesia gamaknya.  Sebab tu awak lupa, Encik Bunyamin…”  Sera tolak pintu dan masuk ke dalam.  Bila dia nak tutup, tangan Buya menahan. 
Mana mungkin kudratnya mahu melawan arus daya tangan kekar Buya.  Sudahnya, dia biarkan saja Buya masuk.  Tanda CLOSED dibiarkan.  Lagipun, dia ada kerja.  Tak payah berniaga hari ni.  Tak sempat siap nanti pesanan Auntie Jane. 
“Tak nak OPEN?” 
“Tak payah.”  Suara Sera dingin. 
Aik… bezanya dengan hari tu.  Masa tu, biarpun Sera menjauhkan diri tapi kemesraan itu dapat dirasa.  Tapi hari ini, aura panas Sera meruap-ruap. 
Sera hempas bakul yang berisi peralatan atas meja kacanya.  Memandang Buya yang buat tak reti.  Lepas kena marah dek mak su semalam, macam mana Buya berani lagi datang? 
“Saya tak pernah tengok mak su saya marah macam tu sekali.  Saya yakin dia memang marah awak.  Saya tak nak berdalih.  Eloknya awak pergi dan jangan datang lagi.  Kali ni, mak su saya akan ambik tindakan dekat awak kalau dia nampak awak dekat sini lagi…”  pesan Sera. 
Pesanan itu berbaur risau sebenarnya.  Macam mana kalau mak su benar-benar menuduh Buya cuba menodai dia dan menghantar lelaki ini ke penjara?  Kala itu, dia pasti serba-salah.  Atau lebih teruk, dia iyakan saja kata-kata mak su. 
“Awak risau dekat saya?”  Buya cuba menerka di sebalik pandangan Sera. 
Lantas, gadis itu melarikan anak mata.  Memegang gunting dan mula memotong reben dan pembalut. 
“Pergi, Encik Bunyamin…”
“Saya datang nak jumpa awak, Sera.  Kalau kata awak halau saya sekarang, esok saya akan datang lagi.  Datang lagi.  Datang lagi sampaikan awak jemu dah nak suruh saya pergi.  Sampaikan bila saya tak datang, awak pulak ternanti-nanti…” 
Tawa Sera lepas.  Keyakinan Buya ni lain macam.  “Mimpi dan kenyataan adalah dua perkara berbeza, Encik Bunyamin…”  Sengaja dia ingatkan.  Yang dia sedang hadapi realiti.
Kemarahan mak su adalah realiti.  Kata-kata Buya ini, tak ubah macam mimpi.  Tolonglah bangun.  Kalau nak bermimpi pun, tunggu malam nanti.  Orang tak mimpi siang-siang. 
“Kenapa, Sera?”
“Saya tak tahu kenapa.  Awak jangan tanya saya sebabnya.  Sepuluh tahun lagi pun saya tetap tak tahu.  Yang saya tahu, mak su saya tak suka awak.  Jadinya, boleh awak pergi sekarang.  Paling penting untuk awak ingat!  Jangan datang lagi.  Selamanya!”  tekan Sera serius. 
“Okey.  Saya faham sikit kat situ.”  Setapak, Buya mendekati meja. 
“Awak suruh saya pergi sebab mak su awak tak suka saya.  Bukan sebab awak yang tak suka saya?  Gitu?”  Dua tapak lagi dia mendekati. 
Wajah Sera nampak terkulat-kulat.  Buya ni pandai betul putar-belit kata-kata dia. 
“Saya tak kisah mak su awak tak suka saya.  Yang saya kisah, awak suka ke tak dekat saya?”  Setapak lagi dia merapati dan kini berdiri dekat dengan Sera.  Yang membezakan hanya saiz kecil meja ini dan andai dia mahu tarik kepala Sera dan mengucup pipi itu pun dia dah boleh. 
“Ikutlah awak nak kisah tentang apa.  Tapi, tolonglah…”  Soalan Buya ni, ada masanya buat dia kena darah tinggi. 
“Okey,  saya tolong.  Nampak awak banyak kerja.  Mungkin saya tak reti, tapi awak boleh ajar saya, Sera.  Lagipun, saya ni jenis cepat belajar dan tak mudah putus asa…”  Ayat itu berlapis makna yang lain.
Ya, dia memang jenis cepat belajar gerak-geri orang yang dia perhatikan.  Berkali diherdik atau dihalau pergi, dia tak akan berganjak.  Dia akan kukuh di situ tanpa kenal erti putus asa.
“Saya tak bergurau…”
“Habis tu, awak ingat saya gurau?”  tempelak Buya pula.   Wajah lelaki itu keruh dan serius. 
Sera ketap bibir.  Matanya memandang ke pintu kaca.  Dia dekati pintu tersebut dan menutup vertical-blind sedikit.  Andai mak su datang, dia sempat suruh Buya menyorok di belakang bunga itu. 
“Encik Bunyamin…”
“Buya.  Panggil saya Buya.  Mesti awak tahu nama tu, kan?”
“Okey.  Apa-apa ajelah…”  Tangan Sera terangkat ke udara.  Mengalah dengan kedegilan Buya.  Tapi, dia tetap mahu Buya berlalu.
“Ada apa lagi awak nak cakap?” 
Buya menyepi. 
Sera mula meluat. 
“Kenapa awak tak suka saya?”  Akhirnya, Buya menyoal lagi.
“Mak su tak suka awak.  Faham tak?”  Soalan sama.  Jawapan jugak sama.  Bosan! 
“Bingo!”  Buya ketik jari.  “Kan saya dah cakap, mak su awak yang tak suka saya.  Bukan awak, kan?”  Senyuman terlorek pada hujung bibirnya. 
“Ya Tuhan…”  Sera ramas kepala sendiri.  Habis senget selendang dia. 
“Encik Bunyamin, kalau awak datang sebab wasiat daddy awak untuk tengok-tengokkan saya, bantu saya…”
“Haa… tahu pun awak.  Tapi, nak jugak halang saya…”  cebek Buya.  Dia bertenggek pada birai meja kaca tersebut. 
“Kan saya dah cakap.  Saya dah lepaskan semuanya.  Wasiat tu akan terbatal dengan sendiri kalau saya tak terima?  Betul tak?” 
“Itu kata awak, Sera.  Tapi, ini kata saya.”  Buya berdiri tegak.  Berjalan merapati Sera. 
Tangannya naik memegang kedua-dua bahu Sera.  Wajah itu nampak kecut.  Bila Sera mahu berundur, dia menahan. 
“Itu wasiat daddy saya.  Memanglah saya kena ikut.  Kena penuhi.  Tapi, saya datang ini sebab diri saya yang nak kenal awak lagi, Sera.  Lagi rapat… lagi dekat.  Sampaikan awak tak mampu kenal diri sendiri sebab awak lebih kenal saya dan saya tak mampu nak cam diri saya dah, sebab tiap kali saya tengok cermin, saya hanya nampak awak…” 
Helaan nafas Sera tak teratur.  Liur yang ditelan jangan kata berpasir, tapi sudah berbatu.  Ayat Buya ni… mata bundar Sera kian redup merenung wajah Buya.  Seluruh wajah itu tak lepas biarpun seinci.  Dahi Buya.  Kening lebat dan hitam pekat milik lelaki ini.  Jatuh pula ke mata kuyu yang dihiasi dengan bulu mata yang lurus dan lebat.  Hidung mancung terletak.  Sempurna.  Pipi yang nampak jelas tulang rahang yang kasar.  Bibir yang sedikit merah… hampir tangannya naik menyentuh wajah tampan itu namun…
Astaghfirullah… Sera pejam mata dan memalingkan seluruh tubuhnya ke lain.  Dia usap dada berkali-kali.  Apa aku buat ni, Tuhan?  Syaitan apa yang menghasut.  Benarlah… bila lelaki dan wanita berdua-duaan, akan hadir yang ketiga dan dia hampir tewas dengan pujukan yang ketiga itu. 
Ampuni aku, Ya Allah… ampuni aku!  Nafas masih sedikit lelah.  Kalut! 
“Sera?”  Melihatkan Sera yang berpaling daripada dia dan kaku di situ, Buya menyeru. 
Bibirnya tersungging dengan senyuman.  Terkejut sebenarnya tadi melihat pada cara Sera menilik wajah dia dan juga bila tangan halus itu cuba menyentuh wajahnya.  Fuh… gemuruh dalam dada tak usah cerita.  Mata bundar itu begitu menggoda. 
Mujurlah, Sera… mujur sangat kita ada di tempat terbuka biarpun kedai ini terkatup pintunya.  Tapi, pintu kaca itu masih boleh dilihat daripada luar biarpun sudah ditutup sedikit dengan vertical-blind. 
Andai tidak… dia boleh hilang akal.  Dia mungkin boleh jadi gila.  Segila-gilanya.  Dia boleh heret Sera ke dalam pelukan dia.  Paksa atau rela, dia tak akan kisah lagi. 
“Sera Nur?”  seru Buya sekali lagi.
“Ya, saya…”  Kalut, Sera menoleh.  Tangan mendarat atas meja yang dipenuhi kuntuman ros merah dan putih. 
Dahi Sera berkerut tiba-tiba.  Berdesir seperti menahan pedih dan bila dia angkat tangan, dua kuntum ros putih itu terangkat sama.  Durinya tercucuk dalam tepat di tengah telapak tangan.
“Sera!”  Wajah Buya kejang. 
Selangkah, dia terus rapati Sera.  Tangan gadis itu dipegang tanpa banyak soal.  Genggaman pada pergelangan tangan Sera diperketatkan.  Matanya jatuh pada wajah Sera yang masih berkerut sana-sini.  Menahan sakit!
“Sakit?”  Ya, soalan bodoh.  Tapi, memang begitulah kebiasaannya soalan yang ditanya. 
“Saya cabut.  Awak tahan sikit…”  Tangan kanan Buya menarik sekuntum ros.  Darah merah mengalir. 
Kemudian, ditarik sekuntum lagi.  Darah merah memercik.  Bahu Sera ditolak ke belakang mendekati bangku.  Sera didudukkan.  Buya melutut.  Mengelap darah tersebut dengan tisu.
“Awak tahan, ya?”  Wajah diangkat. 
Pandangan mata Sera jatuh pada wajahnya.  Sukar untuk dia tafsirkan apa yang bermain dalam minda Sera saat ini.  Terkejut dengan tindakan dia barangkali.  Ini tindakan luar sedar.  Melihat keadaan Sera, buatkan dia bertindak begini.  Andai Sera nak marah pun, dia sudi.  Tapi, bukan sekarang.
“Ada first-aid?” 
Sera geleng. 
“Kenapa tak simpan satu dekat kedai?  Kerja awak ni, memang boleh buat awak luka bila-bila masa aje.  Tahu ke tidak?”  marah Buya.  Tak sengaja sebenarnya.  Terlepas. 
Sera gigit bibir bawah.   “Saya tak tahu, saya nak luka…”  bantahnya membela diri.
Buya kerling wajah Sera.  “Sebab tak tahulah  kena simpan.  Tak pernah dengar ke sediakan payung sebelum hujan?  Dah hujan, nak carik payung buat apa lagi?  Dah basah.  Redah ajelah…” 
“Habis tu, dah nak luka… biar ajelah luka!”  Sera rentap tangannya daripada genggaman Buya. 
Mungkin cengkaman itu tidak kuat mana, mudah aje terlepas. 
Entah kenapa, dia terima pertanyaan Buya itu sebagai satu amukan.  Dahlah mak su asyik marah pada dia aje sejak dia kenal lelaki ini.  Dan, Buya juga.  Padahal, dia bukan sengaja cederakan telapak tangan dia.  
Fuh… melihatkan hujung mata Sera dah basah, Buya tahu Sera terasa hati bila dia meninggikan suara tadi.  Entahlah… tak patut dia tinggikan suara.  Dia tak sengaja. 
“Sera…”  Lengan gadis itu cuba ditarik semula tapi Sera lebih pantas mengelak. 
“Bagi saya…”  Buya tadah tangan.  Berharap moga Sera letak pergelangan tangan itu di atas telapak tangannya. 
Tapi, Sera tetap begitu.  Mengelap kesan darah itu sendiri. 
“Sera Nur!”
“Jangan panggil saya.  Saya bukan kawan awak.  Dan saya tak mintak pun awak tolong saya cuci atau letak ubat dekat luka saya.  Ini tangan saya.  Nak luka ke nak putus ke, ikut suka sayalah!  Lagi satu, awak siapa nak sentuh saya suka hati…” 
Tu dia… sekali si lembut mengamuk.  Biarpun nada itu begitu perlahan malah seperti berbisik, tetap kedengaran tegas.  Buya simpan senyum.  Koyak senyum lebih karang, ada yang kena toreh dengan duri mawar. 
“Saya pegang tu berlapik, kan?  Lagipun, awak luka.  Kira daruratlah ni.  Saya cuma nak cuci luka tu untuk awak.  Awak jugak kata awak banyak kerja.  Nanti, tak letak ubat terus… macam mana awak nak teruskan kerja…”  Sengaja dia ingatkan Sera pasal tempahan bunga tu.  Tak payah Sera cakap, dia dah  tahu.  Berlambak atas meja. 
“Saya boleh buat sendiri.  Tepi ni ada 7E.  Saya pergi beli Dettol aje…”  Sera dah bangkit tapi lengannya dilelar oleh Buya.
Lelaki itu turut bangkit.  Menghantar pandangan tajam pada Sera. 
“Saya dah malas nak ulang, Sera.  Daddy saya dah pesan…”
“Saya boleh jaga diri saya sendiri, Encik Bunyamin!  I can take care of my self!  Faham?!”  Suara Sera nyaring.  Mata dijegilkan pada Buya.
Namun, langsung tak buat lelaki itu gentar.  Malah, lengan Sera ditarik agar gadis itu dekat dengannya.  Saat ini, andai dia paut wajah Sera dan memagut bibir merah itu, Sera tak mampu mengelak atau berbuat apa.  Tapi, belum sampai masanya. 
“Saya tahu.  Tapi, hati saya tak benarkan saya biarkan awak sorang-sorang…”
“Kenapa?  Apa masalah awak?  Kalau kata sebab wasiat tu, saya tak nak.   Tak payah jaga saya.  Saya dah dewasa.  Saya boleh jaga diri.  Tambah pulak, awak ada dalam kedai saya dan dalam keadaan…”  Wajah Sera berkerenyuk apatah lagi bila Buya bagai sengaja menghimpit.
“Kalau mak su saya datang nanti dan dia tengok kita macam ni, awak akan dok dalam lokap, tahu tak?  Dia dah cakap dekat saya.  Dia akan buat awak dok dalam lokap…”
“Itu ke yang awak risaukan?” soal Buya tenang.  Apalah sangat ugutan mak su tu.  Tak berbekas langsung biarpun pada hujung kuku. 
“Habis tu, awak risaukan apa tak risau benda tu?”
Liur ditelan.  Buya tarik lagi tangan Sera.  Dia sendiri menyeret tapak kasutnya ke depan.  Hingga hampir pada Sera.  Tangan kanan yang bebas naik menyentuh selendang Sera. 
“Saya risaukan awak, Sera Nur…”  jawab Buya, berbisik tepat di atas wajah Sera hingga gadis itu memejamkan mata. 
“Encik Bunyamin…”
“Buya.  Panggil saya Buya…” 
Mata Sera masih terpejam.  Melarikan wajah bila hembusan nafas hangat Buya menampar wajahnya. 
“Tolonglah…”
“Saya nak tolong.  Awak yang tak nak…”  Gulp… Buya telan liur bila matanya jatuh pada pipi dan bibir merah milik Sera.
Dalam ramai-ramai perempuan yang dia temui, kenapa perempuan ini seperti magnet menarik dia untuk menjamah bibir itu.  Atau paling tidak, pipi yang kemerahannya. 
“Saya…”  Mata dibuka.  Mata Sera bulat bila melihat Buya sengaja sengetkan kepala.  Tambah pulak, tangan kanan Buya sedang menyapa lehernya hingga tertarik belitan selendang. 
Apa dia nak buat ni? 
“Sera,” seru Buya dan terus cuba hampiri kawasan larangan itu.  Ya, yang merah basah itu sedang memanggilnya.  Mata kuyunya diredupkan. 
“Encik Bunyamin…”  jerkah Sera cuba meleraikan pegangan Buya.  Namun, lelaki ini seperti telah larut hingga ke dasar kehendak sendiri.
“Encik Buya…”
Serentak itu, loceng pada pintu masuk berdenting sekali.  Sera menoleh.  Buya yang masih dalam keadaan seperti tadi juga memandang.  Wajah yang muncul mengejutkan namun tangannya pada leher Sera dan sebelah lagi menggenggam lengan Sera, langsung tak beralih.  Masih setia dan gagah di situ biarpun mata mak su mencerlang tajam. 
Tiada maki hamun seperti tempoh hari tapi dia tahu, kali ini tindakan akan mengambil alih segalanya. 

10 comments:

  1. Itulah pekdahnya..
    Jauhi zina

    >>k<<

    ReplyDelete
  2. akak rasa Buya sengaja... mau dia ditangkap oleh mak usu Sera... mungkin mahu tahu apa masalah keluarganya ngan mak su...yg nampaknya api kemarahan tidak pernah reda

    ReplyDelete
  3. Buya..buya..cari pasal betul le

    ReplyDelete
  4. Alahaiiiiii.sj eh buat cmtu,nk bg plan B brjy..tpkn..Tau la nm manja buya,,xkn kelaku nk JD buaya😂

    ReplyDelete
  5. Sian sera 😢😢😢😢...tq sis rehan

    ReplyDelete
  6. Haihhhh buya ni... 😟 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete