PENAT pujuk mak su untuk ke kedai hari ini. Dah lepas makan tengah hari, barulah mak su
izinkan. Cuma, mak su tak larang. Tapi, tak bagi izin secara lisan pun. Diam aje.
Berat hati dia menunggang Yahama Ego itu ke kedai bila mak su
melancarkan perang dingin. Tapi, apa nak
kata. Dia ada beberapa tempahan untuk
majlis di sebuah syarikat. Ini pun dia
dapat sub daripada kedai bunga Auntie Jane yang lagi hebat tu. Kata Auntie Jane, tak menang tangan dan mahu
berkongsi rezeki.
“Sekali lagi, mak su tertangkap Sera dengan dia, kita pindah masa
tu jugak. Tinggal semua ni. Mak su hanya perlukan Sera. Atau, mak su report polis cakap dia buat tak senonoh pada Sera dan masa tu, Sera
jangan pandai-pandai nak nafi!” Pesanan
mak su pagi tadi. Pada Sera, itu bukan
pesanan tapi ugutan.
Sera hanya diam. Nak
nafi, dia bimbang rasa kecewa mak su pada dia lebih dalam. Nak iyakan, dia tahu yang mak su pun tahu itu
adalah perbuatan yang salah. Tapi, kalau
nak kira… Buya bukan sesiapa pun. Haih…
apapun, aku memang kena patuh pada mak su.
Kali ni, Sera nekad. No more
Buya. Semuanya dah berlalu.
Baru saja dia nak buka pintu masuk, ada susuk tubuh yang
sudah berdiri di sisi dia.
“Dekat dua jam saya tunggu awak muncul. Baru bukak kedai? Ke awak keluar hantar order?” Kening lebat Buya terjongket bersama
soalan.
Dekat nak mengalah dah tadi tapi Zul minta dia bersabar dan
akhirnya subjek yang dinanti, muncul. Cuma, wajah Sera hari ini mendung
sungguh. Padahal, langit
terang-benderang. Mesti ribut melanda
ni. Gamaknya, Sera dimarahi teruk oleh
ibu saudaranya beberapa hari lepas.
“Awak ada amnesia?”
tanya Sera bersahaja. Malas nak
jawab soalan Buya.
“Apa awak tanya?” Eh,
dia silap pendengaran pulak ke? Amnesia
tu, bukan penyakit hilang ingatan ke? Kalau dia hilang ingatan, dia tak muncul dah
dekat kedai Sera. Ini dekat dua jam dia
tunggu. Dua jam! Lama tu.
Buang masa! Lenguh kaki, tahu
tak?!
Sera lepaskan nafas.
Lelah sungguh hadap lelaki ni.
“Sebab saya dah pesan. Jangan
datang lagi. Selamanya. Kenapa awak muncul lagi?” Dahlah mak su sampai tahap mengugut. Akan muncul bila-bila masa saja. Inspection!
“Awak kena amnesia gamaknya.
Sebab tu awak lupa, Encik Bunyamin…”
Sera tolak pintu dan masuk ke dalam.
Bila dia nak tutup, tangan Buya menahan.
Mana mungkin kudratnya mahu melawan arus daya tangan kekar
Buya. Sudahnya, dia biarkan saja Buya
masuk. Tanda CLOSED dibiarkan. Lagipun, dia ada kerja. Tak payah berniaga hari ni. Tak sempat siap nanti pesanan Auntie
Jane.
“Tak nak OPEN?”
“Tak payah.” Suara
Sera dingin.
Aik… bezanya dengan hari tu.
Masa tu, biarpun Sera menjauhkan diri tapi kemesraan itu dapat
dirasa. Tapi hari ini, aura panas Sera
meruap-ruap.
Sera hempas bakul yang berisi peralatan atas meja
kacanya. Memandang Buya yang buat tak
reti. Lepas kena marah dek mak su
semalam, macam mana Buya berani lagi datang?
“Saya tak pernah tengok mak su saya marah macam tu sekali. Saya yakin dia memang marah awak. Saya tak nak berdalih. Eloknya awak pergi dan jangan datang
lagi. Kali ni, mak su saya akan ambik
tindakan dekat awak kalau dia nampak awak dekat sini lagi…” pesan Sera.
Pesanan itu berbaur risau sebenarnya. Macam mana kalau mak su benar-benar menuduh
Buya cuba menodai dia dan menghantar lelaki ini ke penjara? Kala itu, dia pasti serba-salah. Atau lebih teruk, dia iyakan saja kata-kata
mak su.
“Awak risau dekat saya?”
Buya cuba menerka di sebalik pandangan Sera.
Lantas, gadis itu melarikan anak mata. Memegang gunting dan mula memotong reben dan
pembalut.
“Pergi, Encik Bunyamin…”
“Saya datang nak jumpa awak, Sera. Kalau kata awak halau saya sekarang, esok
saya akan datang lagi. Datang lagi. Datang lagi sampaikan awak jemu dah nak suruh
saya pergi. Sampaikan bila saya tak
datang, awak pulak ternanti-nanti…”
Tawa Sera lepas.
Keyakinan Buya ni lain macam.
“Mimpi dan kenyataan adalah dua perkara berbeza, Encik Bunyamin…” Sengaja dia ingatkan. Yang dia sedang hadapi realiti.
Kemarahan mak su adalah realiti. Kata-kata Buya ini, tak ubah macam
mimpi. Tolonglah bangun. Kalau nak bermimpi pun, tunggu malam
nanti. Orang tak mimpi siang-siang.
“Kenapa, Sera?”
“Saya tak tahu kenapa.
Awak jangan tanya saya sebabnya.
Sepuluh tahun lagi pun saya tetap tak tahu. Yang saya tahu, mak su saya tak suka
awak. Jadinya, boleh awak pergi
sekarang. Paling penting untuk awak
ingat! Jangan datang lagi. Selamanya!”
tekan Sera serius.
“Okey. Saya faham sikit
kat situ.” Setapak, Buya mendekati
meja.
“Awak suruh saya pergi sebab mak su awak tak suka saya. Bukan sebab awak yang tak suka saya? Gitu?”
Dua tapak lagi dia mendekati.
Wajah Sera nampak terkulat-kulat. Buya ni pandai betul putar-belit kata-kata
dia.
“Saya tak kisah mak su awak tak suka saya. Yang saya kisah, awak suka ke tak dekat
saya?” Setapak lagi dia merapati dan
kini berdiri dekat dengan Sera. Yang
membezakan hanya saiz kecil meja ini dan andai dia mahu tarik kepala Sera dan
mengucup pipi itu pun dia dah boleh.
“Ikutlah awak nak kisah tentang apa. Tapi, tolonglah…” Soalan Buya ni, ada masanya buat dia kena
darah tinggi.
“Okey, saya
tolong. Nampak awak banyak kerja. Mungkin saya tak reti, tapi awak boleh ajar
saya, Sera. Lagipun, saya ni jenis cepat
belajar dan tak mudah putus asa…” Ayat
itu berlapis makna yang lain.
Ya, dia memang jenis cepat belajar gerak-geri orang yang dia
perhatikan. Berkali diherdik atau
dihalau pergi, dia tak akan berganjak.
Dia akan kukuh di situ tanpa kenal erti putus asa.
“Saya tak bergurau…”
“Habis tu, awak ingat saya gurau?” tempelak Buya pula. Wajah lelaki itu keruh dan serius.
Sera ketap bibir.
Matanya memandang ke pintu kaca.
Dia dekati pintu tersebut dan menutup vertical-blind sedikit. Andai mak su datang, dia sempat suruh Buya
menyorok di belakang bunga itu.
“Encik Bunyamin…”
“Buya. Panggil saya
Buya. Mesti awak tahu nama tu, kan?”
“Okey. Apa-apa ajelah…” Tangan Sera terangkat ke udara. Mengalah dengan kedegilan Buya. Tapi, dia tetap mahu Buya berlalu.
“Ada apa lagi awak nak cakap?”
Buya menyepi.
Sera mula meluat.
“Kenapa awak tak suka saya?”
Akhirnya, Buya menyoal lagi.
“Mak su tak suka awak.
Faham tak?” Soalan sama. Jawapan jugak sama. Bosan!
“Bingo!” Buya ketik
jari. “Kan saya dah cakap, mak su awak
yang tak suka saya. Bukan awak,
kan?” Senyuman terlorek pada hujung
bibirnya.
“Ya Tuhan…” Sera ramas
kepala sendiri. Habis senget selendang
dia.
“Encik Bunyamin, kalau awak datang sebab wasiat daddy awak
untuk tengok-tengokkan saya, bantu saya…”
“Haa… tahu pun awak.
Tapi, nak jugak halang saya…”
cebek Buya. Dia bertenggek pada
birai meja kaca tersebut.
“Kan saya dah cakap.
Saya dah lepaskan semuanya.
Wasiat tu akan terbatal dengan sendiri kalau saya tak terima? Betul tak?”
“Itu kata awak, Sera.
Tapi, ini kata saya.” Buya
berdiri tegak. Berjalan merapati
Sera.
Tangannya naik memegang kedua-dua bahu Sera. Wajah itu nampak kecut. Bila Sera mahu berundur, dia menahan.
“Itu wasiat daddy saya.
Memanglah saya kena ikut. Kena
penuhi. Tapi, saya datang ini sebab diri
saya yang nak kenal awak lagi, Sera.
Lagi rapat… lagi dekat. Sampaikan
awak tak mampu kenal diri sendiri sebab awak lebih kenal saya dan saya tak
mampu nak cam diri saya dah, sebab tiap kali saya tengok cermin, saya hanya
nampak awak…”
Helaan nafas Sera tak teratur. Liur yang ditelan jangan kata berpasir, tapi
sudah berbatu. Ayat Buya ni… mata bundar
Sera kian redup merenung wajah Buya.
Seluruh wajah itu tak lepas biarpun seinci. Dahi Buya.
Kening lebat dan hitam pekat milik lelaki ini. Jatuh pula ke mata kuyu yang dihiasi dengan
bulu mata yang lurus dan lebat. Hidung
mancung terletak. Sempurna. Pipi yang nampak jelas tulang rahang yang
kasar. Bibir yang sedikit merah… hampir
tangannya naik menyentuh wajah tampan itu namun…
Astaghfirullah… Sera pejam mata dan memalingkan seluruh
tubuhnya ke lain. Dia usap dada
berkali-kali. Apa aku buat ni,
Tuhan? Syaitan apa yang menghasut. Benarlah… bila lelaki dan wanita berdua-duaan,
akan hadir yang ketiga dan dia hampir tewas dengan pujukan yang ketiga
itu.
Ampuni aku, Ya Allah… ampuni aku! Nafas masih sedikit lelah. Kalut!
“Sera?” Melihatkan
Sera yang berpaling daripada dia dan kaku di situ, Buya menyeru.
Bibirnya tersungging dengan senyuman. Terkejut sebenarnya tadi melihat pada cara
Sera menilik wajah dia dan juga bila tangan halus itu cuba menyentuh
wajahnya. Fuh… gemuruh dalam dada tak
usah cerita. Mata bundar itu begitu
menggoda.
Mujurlah, Sera… mujur sangat kita ada di tempat terbuka
biarpun kedai ini terkatup pintunya.
Tapi, pintu kaca itu masih boleh dilihat daripada luar biarpun sudah
ditutup sedikit dengan vertical-blind.
Andai tidak… dia boleh hilang akal. Dia mungkin boleh jadi gila. Segila-gilanya. Dia boleh heret Sera ke dalam pelukan
dia. Paksa atau rela, dia tak akan kisah
lagi.
“Sera Nur?” seru Buya
sekali lagi.
“Ya, saya…” Kalut,
Sera menoleh. Tangan mendarat atas meja
yang dipenuhi kuntuman ros merah dan putih.
Dahi Sera berkerut tiba-tiba.
Berdesir seperti menahan pedih dan bila dia angkat tangan, dua kuntum
ros putih itu terangkat sama. Durinya
tercucuk dalam tepat di tengah telapak tangan.
“Sera!” Wajah Buya
kejang.
Selangkah, dia terus rapati Sera. Tangan gadis itu dipegang tanpa banyak
soal. Genggaman pada pergelangan tangan
Sera diperketatkan. Matanya jatuh pada
wajah Sera yang masih berkerut sana-sini.
Menahan sakit!
“Sakit?” Ya, soalan
bodoh. Tapi, memang begitulah
kebiasaannya soalan yang ditanya.
“Saya cabut. Awak
tahan sikit…” Tangan kanan Buya menarik
sekuntum ros. Darah merah mengalir.
Kemudian, ditarik sekuntum lagi. Darah merah memercik. Bahu Sera ditolak ke belakang mendekati
bangku. Sera didudukkan. Buya melutut.
Mengelap darah tersebut dengan tisu.
“Awak tahan, ya?”
Wajah diangkat.
Pandangan mata Sera jatuh pada wajahnya. Sukar untuk dia tafsirkan apa yang bermain
dalam minda Sera saat ini. Terkejut
dengan tindakan dia barangkali. Ini
tindakan luar sedar. Melihat keadaan
Sera, buatkan dia bertindak begini.
Andai Sera nak marah pun, dia sudi.
Tapi, bukan sekarang.
“Ada first-aid?”
Sera geleng.
“Kenapa tak simpan satu dekat kedai? Kerja awak ni, memang boleh buat awak luka
bila-bila masa aje. Tahu ke tidak?” marah Buya.
Tak sengaja sebenarnya.
Terlepas.
Sera gigit bibir bawah.
“Saya tak tahu, saya nak
luka…” bantahnya membela diri.
Buya kerling wajah Sera.
“Sebab tak tahulah kena
simpan. Tak pernah dengar ke sediakan
payung sebelum hujan? Dah hujan, nak
carik payung buat apa lagi? Dah
basah. Redah ajelah…”
“Habis tu, dah nak luka… biar ajelah luka!” Sera rentap tangannya daripada genggaman
Buya.
Mungkin cengkaman itu tidak kuat mana, mudah aje
terlepas.
Entah kenapa, dia terima pertanyaan Buya itu sebagai satu
amukan. Dahlah mak su asyik marah pada
dia aje sejak dia kenal lelaki ini. Dan,
Buya juga. Padahal, dia bukan sengaja
cederakan telapak tangan dia.
Fuh… melihatkan hujung mata Sera dah basah, Buya tahu Sera
terasa hati bila dia meninggikan suara tadi.
Entahlah… tak patut dia tinggikan suara.
Dia tak sengaja.
“Sera…” Lengan gadis
itu cuba ditarik semula tapi Sera lebih pantas mengelak.
“Bagi saya…” Buya
tadah tangan. Berharap moga Sera letak
pergelangan tangan itu di atas telapak tangannya.
Tapi, Sera tetap begitu.
Mengelap kesan darah itu sendiri.
“Sera Nur!”
“Jangan panggil saya.
Saya bukan kawan awak. Dan saya
tak mintak pun awak tolong saya cuci atau letak ubat dekat luka saya. Ini tangan saya. Nak luka ke nak putus ke, ikut suka sayalah! Lagi satu, awak siapa nak sentuh saya suka
hati…”
Tu dia… sekali si lembut mengamuk. Biarpun nada itu begitu perlahan malah
seperti berbisik, tetap kedengaran tegas.
Buya simpan senyum. Koyak senyum
lebih karang, ada yang kena toreh dengan duri mawar.
“Saya pegang tu berlapik, kan? Lagipun, awak luka. Kira daruratlah ni. Saya cuma nak cuci luka tu untuk awak. Awak jugak kata awak banyak kerja. Nanti, tak letak ubat terus… macam mana awak
nak teruskan kerja…” Sengaja dia
ingatkan Sera pasal tempahan bunga tu.
Tak payah Sera cakap, dia dah
tahu. Berlambak atas meja.
“Saya boleh buat sendiri.
Tepi ni ada 7E. Saya pergi beli
Dettol aje…” Sera dah bangkit tapi
lengannya dilelar oleh Buya.
Lelaki itu turut bangkit.
Menghantar pandangan tajam pada Sera.
“Saya dah malas nak ulang, Sera. Daddy saya dah pesan…”
“Saya boleh jaga diri saya sendiri, Encik Bunyamin! I can
take care of my self! Faham?!” Suara Sera nyaring. Mata dijegilkan pada Buya.
Namun, langsung tak buat lelaki itu gentar. Malah, lengan Sera ditarik agar gadis itu
dekat dengannya. Saat ini, andai dia
paut wajah Sera dan memagut bibir merah itu, Sera tak mampu mengelak atau
berbuat apa. Tapi, belum sampai
masanya.
“Saya tahu. Tapi, hati
saya tak benarkan saya biarkan awak sorang-sorang…”
“Kenapa? Apa masalah
awak? Kalau kata sebab wasiat tu, saya
tak nak. Tak payah jaga saya. Saya dah dewasa. Saya boleh jaga diri. Tambah pulak, awak ada dalam kedai saya dan
dalam keadaan…” Wajah Sera berkerenyuk
apatah lagi bila Buya bagai sengaja menghimpit.
“Kalau mak su saya datang nanti dan dia tengok kita macam ni,
awak akan dok dalam lokap, tahu tak? Dia
dah cakap dekat saya. Dia akan buat awak
dok dalam lokap…”
“Itu ke yang awak risaukan?” soal Buya tenang. Apalah sangat ugutan mak su tu. Tak berbekas langsung biarpun pada hujung
kuku.
“Habis tu, awak risaukan apa tak risau benda tu?”
Liur ditelan. Buya
tarik lagi tangan Sera. Dia sendiri
menyeret tapak kasutnya ke depan. Hingga
hampir pada Sera. Tangan kanan yang
bebas naik menyentuh selendang Sera.
“Saya risaukan awak, Sera Nur…” jawab Buya, berbisik tepat di atas wajah Sera
hingga gadis itu memejamkan mata.
“Encik Bunyamin…”
“Buya. Panggil saya
Buya…”
Mata Sera masih terpejam.
Melarikan wajah bila hembusan nafas hangat Buya menampar wajahnya.
“Tolonglah…”
“Saya nak tolong. Awak
yang tak nak…” Gulp… Buya telan liur
bila matanya jatuh pada pipi dan bibir merah milik Sera.
Dalam ramai-ramai perempuan yang dia temui, kenapa perempuan
ini seperti magnet menarik dia untuk menjamah bibir itu. Atau paling tidak, pipi yang
kemerahannya.
“Saya…” Mata
dibuka. Mata Sera bulat bila melihat
Buya sengaja sengetkan kepala. Tambah
pulak, tangan kanan Buya sedang menyapa lehernya hingga tertarik belitan selendang.
Apa dia nak buat ni?
“Sera,” seru Buya dan terus cuba hampiri kawasan larangan
itu. Ya, yang merah basah itu sedang
memanggilnya. Mata kuyunya
diredupkan.
“Encik Bunyamin…”
jerkah Sera cuba meleraikan pegangan Buya. Namun, lelaki ini seperti telah larut hingga
ke dasar kehendak sendiri.
“Encik Buya…”
Serentak itu, loceng pada pintu masuk berdenting sekali. Sera menoleh.
Buya yang masih dalam keadaan seperti tadi juga memandang. Wajah yang muncul mengejutkan namun tangannya
pada leher Sera dan sebelah lagi menggenggam lengan Sera, langsung tak
beralih. Masih setia dan gagah di situ
biarpun mata mak su mencerlang tajam.
Tiada maki hamun seperti tempoh hari tapi dia tahu, kali ini
tindakan akan mengambil alih segalanya.
Itulah pekdahnya..
ReplyDeleteJauhi zina
>>k<<
Buyaaaaaaa
ReplyDeleteBuya... Buya... Apa dah jadi
ReplyDeleteakak rasa Buya sengaja... mau dia ditangkap oleh mak usu Sera... mungkin mahu tahu apa masalah keluarganya ngan mak su...yg nampaknya api kemarahan tidak pernah reda
ReplyDeleteBuya..buya..cari pasal betul le
ReplyDeleteJangan cari pasal buya..
ReplyDeleteAlahaiiiiii.sj eh buat cmtu,nk bg plan B brjy..tpkn..Tau la nm manja buya,,xkn kelaku nk JD buaya😂
ReplyDeleteSian sera 😢😢😢😢...tq sis rehan
ReplyDeletecari pasal buya nie...
ReplyDeleteHaihhhh buya ni... 😟 thx RM for the update 🌹🌷
ReplyDelete