WAJAH kecewa
Uncle Malik dipandang. Buya kemudian
larikan wajah dan meraup muka berkali-kali.
Pening kepala. Setelah berlalu
daripada kedai bunga Sera lepas tengah hari tadi, dia terus pulang ke
rumah. Niat untuk ke rumah Uncle Malik,
tertangguh bila hati melarang. Namun,
bila dia tiba di rumah, Uncle Malik dah setia menanti.
“Arwah dah pesan
pada uncle, Buya. Wasiat tu kena terus
dimaklum pada Sera sebaik saja dibuka.
Apatah lagi lepas arwah dah tak ada ni.
Buya buat macam tu, Sera boleh saman kalau dia tahu…”
“Tapi, dia tak
tahu, uncle. Jadi, biarkan dia tak tahu
buat sementara ni. Bagi saya masa. Saya akan bagitahu dia dengan mulut saya
sendiri. Tolonglah uncle. Percaya dekat saya,” pintanya separuh merayu.
“Ya… uncle
percaya dekat kamu. Tapi, itulah. Sebagai peguam ni…”
“Saya tak mintak
sebagai peguam, uncle. Tapi, sebagai
seorang ayah. Tolong…” Kali ini, rayuan Buya kedengaran sedikit
dalam.
Tidak dapat
tidak, Uncle Malik hanya angguk. Bangkit
dan menepuk bahu Buya sebelum berlalu keluar.
“Satu
lagi…” Hanya beberapa tapak, langkah
kaki mati. “Balqish pun kena tahu.”
Lagilah Buya
kerut kening. Uncle tak tahu apa yang
dah dia lalu di kedai Sera tadi. Bibir
yang makin lebar dengan senyum dengan cerita Sera yang begitu mudah mesra itu,
kering pecah tiba dengan kehadiran tetamu yang Sera bimbangkan.
LAMA wajah Sera
kaku tapi akhirnya, tersenyum. Manis
bagai madu. Rasanya, tak payahlah dia
makan madu kalau setiap hari dia dihidang dengan wajah dan senyuman Sera.
“Kalau sebab
wasiat tu, awak terus datang nak sambung hubungan yang dah arwah uncle
jalinkan, rasanya tak perlu. Saya
lepaskan awak daripada wasiat tu…” Bukan
apa. Jalinan itu dah kusut masai bila
mak su dapat tahu. Dah terbelit. Susah nak leraikan lagi dah.
Ini pun mujurlah
dia yakinkan mak su dia dah bayar semua modal yang arwah Uncle Bakri bagi. Kalau tidak, mahu mak su jual rumah
peninggalan ni nak bayar semua hutang tu.
Buya senyum
senget. Kalaulah Sera tahu wasiat yang
sebenarnya… nak ke gadis ini berbicara demikian? Aset yang bernilai jutaan ringgit. Orang gila pun akan fikir berpuluh kali untuk
lepaskan itu semua. Ini pulak yang
waras.
“Awak pasti nak
lepaskan semua wasiat yang ada nama awak?”
duga Buya.
“Ya. Saya tak teragak-agak. Lagipun, arwah dah banyak tolong saya. Modal untuk bukak kedai ni…” Mata Sera melingas ke seluruh kedai.
Tak adalah besar
mana. Tapi, cukuplah. Ini minat dia. Impian untuk ada rumah sendiri. Rumah dalam taman yang dipenuhi bunga. Lebih tepat lagi, rumah ladang. Di mana dia boleh menaman apa saja tanaman
yang dia inginkan. Membela apa saja
haiwan ternakan yang dia suka. Ada tasik
untuk itik angsa berenang. Ada kandang
lembu kambing untuk dia ternak. Ada alur
sungai untuk jadi tempat dia rendam kaki dan memikirkan keindahan alam ciptaan
Tuhan.
Dan, ada lelaki
yang dia sayang… tak sedar, Sera senyum
sendiri. Siapalah lelaki malang tu,
ya? Nak melayan cerita tentang siang dan
malam.
“Kenapa?”
“Hah? Kenapa apa?” Senyum Sera mati.
“Awak senyum
sorang-sorang…”
“Tak ada
apalah,” nafi Sera. Dia terus menyembur
bunga-bunganya yang masih segar dan mewangi.
Buat masa
sekarang, inilah taman buatnya. Rumah
ladangnya. Dia seronok di sini. Melihat pelanggan yang menghirup haruman jambangan
bunga yang dia gubah lantas menzahirkan pujian akan seninya, itu adalah sesuatu
yang indah.
“Mesti ada
sesuatu, kan?”
Sera pandang
Buya seketika sebelum jatuh pada sekuntum lily yang masih ada dalam tangan
Buya.
“Awak tahu bunga
apa tu?”
“Lily, kan?”
Mata Sera
mengerdip sekali. Tepat. “Tahu apa nama saintifik dia?”
Bahu Buya
terjongket kali ini. Manalah dia
tahu. Dia bukan mat bunga. Dia belajar kejuruteraan. Tak sempat nak berdansa dengan bunga
segala.
“Lily putih. Zephyranthes candida.
Berasal daripada Afrika Selatan.
Daripada jenis Amaryllidaceae. Ada setengah orang panggil bunga ni, bunga
bawang. Ada jugak yang panggil white lily rain. Ada yang panggil fairy lily. Tapi saya,
panggil bunga ni lily putih. Tahu tak
kenapa, saya suka bunga ni?” Kening Sera
terjongket pada Buya.
“Encik Bunyamin?”
“Oh, ya? Kalau saya
boleh tahu…” Cepat-cepat Buya redakan
nafas tegangnya.
Mendengarkan Sera berbicara tentang bunga, memang patutlah
Sera buka kedai bunga. Dia tak tahu apa
pun yang Sera katakan tadi. Tapi, gadis
ini memang pakar bunga. Kagum… kagum…
“Sebab bunga daripada jenis tumbuhan ni orang panggil rain lily sebab sifat bunga tu sendiri
yang akan mengeluarkan bunga banyak sangat selepas hujan. Dekat Malaysia ni kalau Encik Bunyamin nak
tahu, ada dua jenis warna bunga yang biasa ditanam. Warna pink dan putih. Bunga ni adalah sejenis
tumbuhan bebawang dan membiak melalui bawang. Selalunya lily ni akan dijadikan
tumbuhan tutup bumi. Tambah pulak, nak jaga dia tak susah mana pun. Kalau kurang air, daunnya layu, lepas tu mati. Tapi, bawangnya masih boleh bertahan dan akan
bercambah semula lepas dah dapat air yang cukup,” cerita Sera lembut dan
perlahan. Bersinar matanya.
Ditilik bunga yang Buya pegang. Disentuh kelopaknya perlahan. Kemudian, melangut pandang semula pada Buya
yang terpinga-pinga. Sera sengih. Dia tak salahkan Buya. Malah, bila dia bercerita pada mak su pun
tentang ni, mak su akan terlentok. Lepas
tu, dia mulalah gelak sendiri.
“Awak mesti tak faham, kan?
Tak seronok, ya? Cerita saya
ni?”
Buya tak nafi. Namun,
ada sesuatu yang dia dapat rasa. “Cerita
awak ni, ada makna tersirat pada saya, Sera.
Kalau awak boleh terangkan sikit lagi.
Saya akan faham. Sebab saya dah
mula seronok…”
Sekali lagi, Sera telan liur.
Melarikan mata. Menjarakkan
sedikit jarak antara mereka. Dia
kemudian menoleh pada Buya. Memeluk
tubuh sendiri. Berkira-kira, perlu ke
dia ceritakan makna di sebalik kisah lily putih pada lelaki ini?
Akhirnya, Sera hanya senyum apatah lagi bila pintu kedainya
ditolak orang. Pantas Sera menoleh. Tersenyum lebar menyambut dua orang
pelanggan.
“Boleh saya bantu?”
soalnya ramah. Dia tahu Buya
sedang memerhati, tapi sengaja buat tak tahu.
“Kak, bagi bunga untuk pujuk pakwe saya, kak…” Yang putih gebu itu bersuara lepas.
“Eh kau ni… lurus bendul sangat mintak. Soroklah sikit.” Yang hitam manis itu meningkah.
“Eh, aku mana reti bunga.
Kau yang suggest bunga. Kalau dia
buang dalam tong sampah, kau siap. Ada
ke cadang bagi bunga dekat lelaki.
Fuh…” Yang putih gebu itu nampak
tak puas hati.
“Ini cadangan rare,
tau tak? Eh, lelaki pun suka
bungalah…” Si hitam manis itu makin
yakin dengan cadangan sendiri.
Sera? Senyum dan
angguk mengerti.
“Betul. Abang pun suka
bunga…” Buya bersuara sebelum sempat
Sera berbicara.
Tiga pasang mata memandang pada Buya tapi sepasang mata kuyu
itu, tepat pada Sera sambil menggoyangkan batang bunya lily tadi.
“Abang suka bunga apa, bang?”
“Bunga yang susah nak petik,” jawab Buya penuh makna. Sempat mata dia kerling pada Sera yang buat
tak tahu. Memang tak tahu sungguh ke
atau buat-buat tak tahu, entahlah. Muka
suci itu… hai… berderau darah dia.
“Bunga yang abang pegang tu ke?”
Kali ini, Buya menoleh pada dua orang pelanggan Sera yang
tiba-tiba teruja melihat dia.
“Bunga yang abang pegang ni, sesuai untuk abang aje. Awak berdua, apa kata ambik bunga matahari…”
Sera ketap bibir. Nak
gelak. Hey… siapa tauke kedai ni? Pandai-pandai pulak bagi cadangan.
“Betul ke kak?”
“Kalau dah lelaki cakap itu, betullah gamaknya tu…” Sera buat isyarat agar Buya tak ganggu bisnes
dia. Ini kedai saya. Awak tu tetamu, buat cara tetamu.
“Okey… bunga matahari…”
“Sejambangan, tau…” tambah
Buya buat tak tahu aje dengan amaran Sera.
Eleh, macamlah orang takut.
“Awakkkkk…” Mata Sera
terjegil.
Buya gelak. Angkat
tangan mengalah dan berlalu ke belakang kaunter.
“Sorry. Abang saja usik. Tanya kakak.
Dia arif pasal bunga.”
Dua orang anak gadis tadi turut buat muka pada Buya. Cara bercakap tu macam memang tahu sangat
pasal bunga. Buang masa aje
melayan. Tapi, nasib baik terlajak
kacak. Kira tak rugi jugaklah.
“Ros putih. Tanda
mintak maaf… well, kita tak percaya dengan tahyul, okey. Tapi, ini saintifik kajian manusia. Itu saja.
Untuk tunjukkan budi pekerti. Itu
aje. Tapi, kalau awak betul ikhlas nak
pujuk dia, keikhlasan awak tu akan sampai ke hati dia. Insyaallah…”
Saat ini, senyuman lebar Buya patah-riuk. Setiap kata-kata Sera, ada impak yang
tersendiri pada dirinya. Bila Sera
menoleh mendekati kaunter dan berdiri di sebelahnya, dia hanya mampu memandang.
“Sekuntum dah cukup.
Apa guna sejambangan, andai yang sekuntum inilah yang akan membawa
bahagia. Betul tak?” soal Sera pada Buya tanpa memandang lelaki
itu.
Tangannya ligat membungkus.
Setelah diserahkan pada pelanggan dan menerima bayaran, Sera lepaskan
lelah. Lega. Setiap senyuman pelanggan yang berlalu dengan
ucapan terima kasih, benar-benar membuatkan dia lega.
“Sebenarnya, cerita panjang saya tu… untuk saya cakap yang
saya lepaskan apa saja yang berkaitan saya dalam wasiat tu. Lepas ni, Encik Bunyamin jangan datang lagi,
ya?” Permintaan Sera kali ini lebih pada
rayuan. Kalau Buya tak faham lagi, tak
tahulah.
“Awak memang tak suka saya, kan?”
“Tak, saya bukan tak suka…”
Heh. Kan dah cakap, Buya ni tak
faham! Orang dah cuba berlapik dah.
“Awak memang tak suka saya.
Betul tak, Sera?” tanya Buya
sekali lagi. Mata Sera ditentang. Tajam.
“Aku yang tak suka!”
Belum sempat Sera menyangkal telahan Buya, mak su muncul dengan suara
yang nyaring. Wajah mak su merah padam.
Sera pandang Buya.
Pantas dia berdiri di depan lelaki sasa itu.
“Mak su dah salah faham…”
“Ini salah faham?
Padahal Sera dah janji…” marah mak su.
“Mak su…” Sera gigit
bibir bawah. Menoleh pada Buya.
Dahinya bekerut lebat.
Orang dah cakap, pergi. Tapi,
silap dia jugak terlalu leka bercerita bila dia rasa dia semakin selesa
melayani Buya. Tak ubah saat arwah Uncle
Bakri datang jenguk dia. Macam inilah
mereka habiskan masa. Bercerita tentang
impian dan kehidupan.
“Awak pergi.
Sekarang!” Nada Sera, biarpun
perlahan tapi tegas.
“Saya uruskan mak su saya.
Pergi…” Lengan kekar Buya yang
berbalut jaket hitam ditarik dan ditolak hingga melepasi ambang pintu.
“Pergi,” suruh Sera
separuh berbisik pada Buya yang masih kaku.
Macam berat kaki nak melangkah.
“…dan, jangan datang lagi.
Selamanya…” Lantas, pintu kaca
itu tertutup. Tanda CLOSED terpampang.
Damn! Buya
ramas rambut.
Alaaa...siann dorg.
ReplyDeleteAda kesah sedih rupanya sera ni,..tq sis rehan
ReplyDeleteKesiannya depa 😢
ReplyDeleteAla.. Cinta baru je nak berputik
ReplyDeleteKenapa Mak Su marah sgt ni... :-?
ReplyDeletekesiannyaaa
ReplyDeletebaru nak kawan
Hai la maksu... apa la yg dh jd hingga maksu marah sgt tu.. 🤔 thx RM for the update 🌹🌷
ReplyDelete