Friday, February 10, 2023

Tulus, 1

SEGALANYA tidak pernah mudah sejak dulu. Ada ketika, mahu sahaja dia mengalah. Namun, memikirkan dia pernah begitu tekad dengan keputusan untuk hidup bersendiri tanpa menoleh pada sejarah yang begitu perit, dia kentalkan hati.

Dalam segala kesulitan, paling tidak hatinya tidak sakit. Kepalanya tidak seberat dahulu. Memikirkan masalah yang entah di mana penyudahnya. Menanti pengakhiran yang tidak pernah kunjung tiba. Mengejar penamat yang tidak pernah dia jumpa.

Kerana itu, dia sentiasa bisikkan pada hati.

Penamat dan pengakhiran itu akan ditemui setelah dia mati.

Sementara bernyawa, teruskanlah.

Kini, biarpun kesusahan itu sesekali menyesakkan dada, asalkan dia merasa cukup, tiada apa yang dapat menyekat perjalanan hidupnya. Yang berat itu telah lama dihempas. Dia berlari ke hadapan tanpa menoleh lagi. Tanpa sedikit pun rasa sesal.

Kerana itu adalah pilihan mereka.

Bersendirian… adalah pilihannya.

Dia dikatakan mementingkan diri. Sering digelar manusia yang tidak punya hati atau simpati. Tiada juga belas kasihan dan dikenali sebagai wanita berhati dingin.

Adakah dia menafikan? Tidak. Walaupun untuk sekali.

Untuk apa dinafikan kebenaran? Jika itu semua adalah satu tuduhan pun, dia tidak akan menidakkan. Kerana dia tahu, manusia itu cukup mudah menghakimi manusia yang lain. Membuat tanggapan hanya kerana memandang pada permukaan sedangkan gelora pada dasarnya tiada siapa yang tahu melainkan diri sendiri.

Dia mementingkan diri hanya kerana mahu menjaga hati sendiri agar tidak lagi disakiti. Jika bukan dia bersimpati pada dirinya, siapa lagi yang mahu bersimpati? Siapa yang akan berbelas kasihan?

Orang lain tidak akan mampu menjaga hatinya. Dia juga tak akan menerima belas ihsan orang jauh sekali simpati. Dia akan jaga hatinya sendiri biarpun hati yang lain akan terluka. Dia tidak peduli.

Telah dia berjanji dengan dirinya sejak keluar dari rumah itu dua tahun lalu yang dia akan menjaga hati sendiri, dia akan menyayangi dirinya seperti mana layaknya dia. Di mana orang lain tak akan melakukannya.

Dia tidak akan sesekali mengorbankan hati dan dirinya demi bahagia orang lain. Dia tidak akan sesekali melalui rasa sengsara demi orang lain.

Benarlah bagai dikata. Pengalaman itu adalah satu-satunya guru yang begitu jujur dalam mengajar tentang hidup dan kerana itu, pengalaman itu cukup mendidik. Dia tidak akan hidup seperti mana dua orang wanita itu. Memilih untuk menderita atas dasar setia dan sayang yang diletakkan pada lelaki yang tidak pernah layak untuk semua itu.

Menjadi saksi pada penderitaan demi penderitaan, telah cukup membuktikan, tiada lelaki yang mampu melindungi melainkan hanya tahu menyakiti. Menghambakan diri pada seorang lelaki atas tiket suami, cinta dan setia. Hingga akhirnya, kesetiaan dan cinta itu dibalas dengan pengkhianatan dan penderitaan; hati itu perlahan-lahan mati dibunuh duka angkara memendam rasa.

Dua tahun setelah dia tinggalkan segalanya di belakang, rasanya sudah cukup. Semua sudah hampir pulih. Boleh jadi, dia juga sudah hampir lupa pada segalanya. Biarpun masih tidak mampu tersenyum mesra seperti satu ketika dahulu, dia tidak lagi mengeluh kecewa.

Ayla galas beg berwarna merah jambu dan memanjat tangga hingga ke tingkat tujuh memandangkan lif tidak berfungsi. Nafasnya mengah dan dadanya terasa sempit bila dia akhirnya tiba di depan pintu rumah pelanggan.

“Maaf… saya hantar makanan,” sapanya bersama ketukan.

Dua kali ketukan, pintu akhirnya dibuka. Dia cuba senyum biarpun bahagian hidung dan mulutnya ditutup dengan topeng muka hitam.

“Oh, dah sampai. Laju.” Pelanggan itu membuka pagar.

“Lif rosak, kan?” Soalnya dengan riak simpati.

“Ya,” jawab Ayla ringkas. Nafasnya yang masih berombak itu, cuba didamaikan alunannya.

Ayla mencangkung dan membuka beg yang baru dia letakkan di atas lutut.

“Maaf, ya. Saya lupa nak beritahu lif rosak. Sebab tu kami pun tak turun. Tak larat nak panjat naik semula,” jelas pelanggan itu perlahan.

“Tak apa. Dah kerja saya. Ini ya… pesanan, puan.” Bungkusan makanan itu dihulur pada pelanggan.

Ayla senyum tipis. Lega bila disambut dengan kata-kata begini. Kerja sepertinya, sudah biasa sangat menerima maki-hamun pelanggan. Tapi, tak kurang juga yang melayannya sebagai manusia biasa yang gigih mencari rezeki.

“Terima kasih.”

“Sama-sama,” balasnya lantas berlalu.

Ayla menuruni anak tangga dan saat dia tiba di sisi motosikalnya, dia hampir terjelepok. Kakinya bagai tidak mampu lagi menahan tubuh halusnya bahana rasa penat. Sejak pagi, dia kerah tenaga. Bekerja bagai tiada siang dan malam bagi membaiki kehidupan untuk yang lebih baik.

Pernah dia mempunyai cita-cita. Sayang, cita-cita itu tinggal menjadi cita-cita yang tertangguh buat seketika dan kini, dia sedang curahkan segala daya demi cita-citanya. Tanpa dipeduli rehat, makan dan minum, dia bekerja lebih daripada kudratnya terdaya.

Motosikal dihidupkan.

Teruskan, Ayla. Setelah sekian lama kau bertahan, kau akan terus bertahan. Semuanya tak mudah tapi kau dah biasa susah-payah. Kau pernah tekad dan kau akan terus tekad. Satu hari, dia akan kembali. Dengan senyuman. Berharap dia diterima dengan rasa bangga yang penuh kerinduan.

Setiap kali. Ayat itu yang dibisikkan pada diri demi mengukuhkan semula semangat yang mula goyah. Kaki yang tadi terasa longlai, kini digagahkan kembali. Yamaha Lagenda itu dihidupkan lantas dia berlalu bila mendapat tugas baru. Selama mana dia tidak rebah, selama itu juga dia akan terus gagah.


...tbc


Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise.  Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.









No comments:

Post a Comment