Friday, February 10, 2023

Tulus, 2

HARI ini juga kota raya ini dibasahi hujan. Lebat. Hinggakan dia terpaksa hentikan tugasnya lebih awal. Ayla hanya duduk di sebuah perhentian bas bersama ramai lagi penunggang motosikal lain. Hujan terlalu lebat dan dia tahu, bahaya jika dia terus bergerak dalam keadaan begini.

Dia mendongak ke langit yang masih gelap tapi nampaknya hujan sudah mulai reda. Ramai yang sudah mula berlalu. Seorang demi seorang. Kini, dia sendiri di sini. Dia tidak kisah. Dia sudah biasa sendirian sejak dua tahun lalu. Dia tiada kawan. Tiada apa-apa. Yang ada, hanyalah kepercayaan pada diri sendiri untuk dia terus berjuang. Juga untuk dirinya.

Telefonnya berdenting. Arahan untuk menerima penghantaran pesanan makanan itu dibaca perlahan. Dahinya berkerut seketika bila dia tahu kawasan yang dimaksudkan. Cukup arif dengan kawasan itu. Tapi, kini setelah dua tahun, boleh jadi semuanya sudah berubah. Atau juga, masih begitu.

Jarinya menekan skrin. Menerima tugasan itu dan rasanya, ini adalah yang terakhir. Sejak musim perayaan lepas, dia telah bekerja melebihi tubuhnya terdaya. Kerana itu, dia akhirnya dapat membeli sebuah motosikal lama yang kini memudahkan kerjanya.

Hari ini, dia perlukan rehat untuk bermula semula esok hari.

Enjin motosikal dihidupkan. Ayla bergerak perlahan di birai jalan menuju ke tempat untuk dia mengambil pesanan. Tak sampai sepuluh minit, dia sudah sampai di restoran. Hanya seketika, pesanan sudah siap dan dia teruskan perjalanan ke alamat yang tertera.

Dia lega bila pelanggannya hanya tinggal di tingkat satu. Tak dapat dia bayangkan jika pelanggan ini juga tinggal di tingkat tujuh atau lebih tinggi dan dia terpaksa memanjat tangga. Ayla tidak menanti. Dia hanya sangkutkan pesanan itu pada pagar seperti yang diminta oleh pelanggan.

Kemudian, dia mencari jalan untuk pulang ke rumah. Namun, belum sempat dia membelok, dia nampak seorang wanita yang sedang mengemas barang di bawah sebuah payung besar. Dengan penuh debar, Ayla menukar haluan. Sebaik sahaja dia tiba dan turun daripada motosikalnya, dia merapati meja yang masih berbaki menu yang sangat dia rindu.

Setelah dua tahun, pesanan pelanggan membawa dia kembali ke sini. Seperti yang dia harap, gerai ini masih lagi di sini. Tidak berganjak biarpun sedikit dan haruman masakan ini juga masih sama.

Dia tak pernah lupa.

Kala ini, matanya terasa basah. Betapa dia rindukan masakan ini. Ayla telan liur, memujuk sebak. Rengkungnya terasa perit. Tapi, dia telah berjanji dia tak akan menitiskan air mata lagi biar apa pun terjadi.

“Nak apa, nak?” soal wanita itu cukup lembut.

Mendengarkan perkataan ‘anak’ daripada mulut wanita itu, dia hampir tak mampu bersuara. Dia sepertinya mahu meraung namun digigit bibir sekuat hati bagi mengekang pelbagai rasa yang mahu terzahir.

“Mak cik dah nak kemas-kemas ni. Tengok cuaca tak berapa elok. Kejap lagi takut hujan habis terbang. Itu yang nak kemas-kemas ni.”

“Nasi lemak dengan ayam goreng satu.” Suaranya serak menahan amukan perasaan. Dia sengaja tidak menaikkan visor topi keledarnya.

“Boleh. Sekejap, ya.”

Hanya seketika, bungkusan nasi lemak itu bertukar tangan. Ayla tidak berkata apa. Dia hanya letakkan sekeping not lima puluh di depan wanita itu dan terus berlalu biarpun dia dapat lihat wanita itu sedang menjerit memanggilnya melalui cermin sisi.

Setibanya di rumah sewa jenis kampung di pinggir bandar itu, Ayla terus membuka bungkusan itu. Seharian, dia tidak menjamah satu apa makanan pun melainkan meneguk air putih sahaja. Dia sendiri tak sedar yang perutnya sedang kelaparan kerana terlalu sibuk dan penat.

Sekarang, menghidu masakan ini, dia sepertinya sudah tidak makan berminggu-minggu. Tangannya menggigil menyuap makanan itu ke mulut. Matanya mula berair. Ya, sebagaimana haruman itu tetap sama, rasa juga masih serupa.

Ayla menyuap makanan itu hingga nasinya tinggal separuh dengan mata yang sejak tadi menelaah buku di depan mata. Dengan susah payah, dia mendapat tempat untuk menyambung pengajian. Dengan begitu sukar, dia berusaha mencari wang demi membiayai kehidupan dan yuran pengajian.

Jarang sekali dia hidangkan dirinya makan yang enak. Cukup untuk membayar sewa rumah, petrol dan juga yuran pengajian. Ada masa, seharian itu perutnya hanya diisi oleh sebuku roti dan sebotol air masak.

Dia tahu, dia perlu korbankan sesuatu demi mendapatkan sesuatu. Dia telah berjanji untuk buktikan pada semua. Dia akan berjaya biarpun sendiri. dia tak perlukan sesiapa menyokongnya di belakang.

Buat seketika, Ayla lupa… dia masih dambakan doa seseorang yang bergelar ibu.

Pembacaannya terhenti. Perasaan Ayla berubah serta-merta. Dia telan makanan yang ada dalam mulut dengan susah payah bila rengkungnya disekat sebak. Air mata yang meniti pada tubir mata, diseka pantas. Dia tak akan benarkan air mata itu menitis.

Betapa dia cuba menafikan, dia tak berdaya bohongi sesuatu. Dia terlalu rindukan mak.

Tapi, apa nak dikata. Mak telah menghalaunya pergi. Kerana itu dia membawa diri. Dia… menjadi sebatang kara sebelum waktunya. 


...tbc


Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise.  Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.





No comments:

Post a Comment