|
MATA dibuka. Lehernya terasa lenguh. Ayla tak sedar dia terlena di atas meja kecil di ruang tamu rumah sewanya. Sepanjang malam ditemani memori lalu yang menyakitkan. Masih hidup subur, menjalar dan tak mampu dicantas.
Sejak keluar daripada rumah itu dua tahun lalu,
dia terus berhenti sekolah dan hidup atas hasil usaha sendiri menjadi
penghantar makanan. Sejak itu juga, dia tak pernah lepas menghantar bantuan
kewangan ke akaun mak biarpun tidak seberapa.
Ayla hanya kembali semula ke sekolah bila hari peperiksaan tiba dan mujurlah juga keputusan peperiksaannya memberangsangkan. Setelah habis fikir dan kira, barulah dia buat keputusan untuk menyambung pengajian biarpun secara separuh masa, memikirkan keadaan kewangan sendiri.
Dua tahun berlalu. Dia kotakan janji. Untuk
bahagia dengan cara sendiri. Untuk abaikan apa sahaja yang akan ganggu-gugat
ketenangan hati. Walaupun sendirian, dia tak pernah kesunyian.
Tapi, kenapa?
Setelah dia yakin segalanya telah pulih dan dia
telah terima segala apa yang berlaku dan dibiarkan berlalu bersama rasa kecewa,
sayu itu kembali menyapa. Boleh jadi kerana dia dengar suara mak petang
semalam. Boleh jadi dia pandang mak tepat pada bola mata yang penuh rahsia. Pandangan
yang selama ini hanya dilempar daripada kejauhan.
Sementelah, bila dia rasa masakan mak. Jiwa dan
semangat yang dididik menjadi begitu kuat, terasa sedikit lemah. Buat seketika,
Ayla termangu. Fikirannya terasa kosong. Mata dipejam celik berkali-kali.
Tak mudah dia bina semangat diri setelah mak
halaunya keluar. Tak mudah dia bina hidup sendiri biarpun dalam keadaan serba
kurang. Dia tak akan benarkan sesiapa sahaja musnahkan. Termasuk diri sendiri.
Ayla bangkit. Menuju ke bilik air. Tak lama,
setelah siap… Ayla bergegas keluar, memanjat motosikalnya. Rutin harian, dia
akan mulakan kerja seawal enam setengah pagi. Rehat seketika tepat jam dua
belas tengah hari dan akan menyambung semula selepas itu. Rehat lagi pada jam
tujuh petang dan kembali mengerah tenaga sehingga ke tengah malam. Ada kalanya,
membawa ke awal pagi.
Ada masa, Ayla senyum sendiri. Gamaknya, benar
seperti apa yang ayah katakan. Dia yang membawa bala. Dia yang membunuh
senyuman. Tengoklah pada wajah ceria mak sekarang. Tanpanya. Terbukti mak lebih
bahagia. Maka, benarlah keputusan mak untuk menghalaunya keluar dan tepat juga
keputusannya untuk pergi.
Luka di hati masih belum pulih rupanya. Malah, kembali berdarah. Darah yang sudah tidak mampu dia seka. Biarpun tiada lagi kehangatan kasih dan pelukan seorang ibu, dia tetap akan memeluk dirinya biarpun yang tersisa hanyalah rasa sejuk yang mencucuk.
...tbc
Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise. Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.
No comments:
Post a Comment