Friday, February 10, 2023

Tulus, 12

JAM sudah menginjak ke angka sebelas malam. Ayla memandang tulisan yang tertera pada bangunan di hadapannya. Sun Suria Tower. Kemudian, dia atur langkah ke pintu kaca yang nampaknya telah berkunci rapat. Diketuk beberapa kali bagi menarik perhatian pengawal yang menjaga di kaunter di bahagian dalam.

Sesekali, tubuhnya menggigil disapa angin malam. Apatah lagi, kasut dan bahagian bawah seluarnya sudah lencun kerana meredah hujan lebat.

“Ada apa, ya?” soal lelaki yang dia kira bertugas sebagai pengawal keselamatan.

“Ini betul kan… alamat sini?” Ayla lekapkan skrin telefon pada cermin tersebut.

Pada mulanya risau juga nak terima kerja penghantaran kali ni. Nak kira, ini bangunan pejabat. Siapa yang masih ada di ofis dah tengah-tengah malam buta ni. Hatinya rasa tak lapang tapi dia terima juga ini sebagai tugas terakhirnya untuk hari ini.

Lelaki itu kerutkan dahi. Menilik alamat yang tertera dan dia angguk. Kemudian, pintu kaca itu terbuka.

“Ini… saya dapat pesanan alamat ni. Boleh ke tolong panggil encik ni turun? Saya call banyak kali, tapi tak jawab pula.” Ikutkan nak tinggalkan aje. Tapi lelaki itu membuat pesanan cash on delivery pula.

“Boleh terus naik atas…”

“Tapi, saya basah ni…” Dia masih memegang baju hujannya.

“Oh, tinggal baju hujan dekat sini. Boleh naik.”

“Tak payah tinggal lesen ke, encik?” tanya Ayla, mencari kepastian.

Biasanya nak masuk bangunan persendirian macam ni, kena tinggal pengenalan diri. Tambah pula hari sudah lewat malam. Ada ketika, dia risau dengan keselamatan diri kerana itu dia cuba elak. Biasanya, pengawal keselamatan akan terima tapi kali ini, ditolak pula. Dia pun malas nak mendesak. Nanti makin berjela pula kisah tengah malam ni.

“Tak perlu. Naik aje.”

“Kalau macam tu, baiklah.” Malas lagi nak bersoal jawab, Ayla akur. Baju hujan ditanggalkan dan ditinggalkan seperti yang diberitahu.

“Ambil yang sebelah kiri,” laung pengawal itu lagi.

“Ya, terima kasih.” Hanya beberapa saat menanti, lif itu terbuka.

Air daripada kasut yang basah sedikit sebanyak mengalir di atas lantai lif yang nampak mewah. Ayla dapat rasa jari-jemarinya yang begitu dingin. Dia akhirnya tiba di tingkat paling atas. Lif terbuka. Suasana begitu kelam dan sunyi. Kesunyian membuatkan langkah kaki yang begitu perlahan kedengaran begitu bingit.

Di hujung ruang, dia nampak cahaya lampu daripada celahan bidai yang sedikit terselak. Ayla telan liur. Memberanikan diri. Pintu diketuk sekali. Namun, bila tiada jawapan dia tolak sedikit daun pintu yang tidak rapat. Menjengulkan kepala ke dalam.

Nampak seorang lelaki sedang tunduk memandang dokumen di atas meja sambil memicit kepala. Ayla ketuk pintu yang sedia terbuka itu beberapa kali. Tapi, lelaki itu langsung tidak angkat wajah.

“Saya nak hantar makanan.”

Nampaknya, suaranya tidak mampu menarik perhatian lelaki itu. Dia ketuk pintu berwarna oak gelap itu sekuat hati. Akhirnya… barulah lelaki itu angkat wajah dan dia boleh nampak riak terkejut lelaki itu dengan kemunculannya.

“Maaf… saya nak hantar pesanan,” ujar Ayla.

Dia melangkah masuk. Barulah dapat lihat dengan jelas wajah pelanggan terakhirnya untuk hari ini. Tatkala melihat wajah pelanggan dalam cahaya lampu bacaan itu, Ayla perlu akui… kaki yang tadinya longlai, hampir tidak mampu menampung tubuh sendiri. Sekujur tubuhnya kaku di situ. Apatah lagi bila melihat senyuman mesra menyambut kehadirannya.

Pertama kali sejak dia bekerja menjadi penghantar makanan, baru kali ini dia bertemu dengan pelanggan yang sebegini tampan. Dia hanya tahu wajah dan susuk begini hanya ada dalam cerita dan yang muncul pada skrin TV. Tapi ini… benar-benar ada di depannya. Spesimen ini begitu sempurna. Ditambah lagi bila lelaki itu berdiri dan mendekati. Dia dapat hidu haruman yang terbit daripada tubuh sasanya.

Hanya satu perkataan yang mampu dijana otaknya saat ini. Sempurna! Dadanya berdebar kencang atas sebab yang tak dapat dipastikan. Pertama kali.

“Maaf… tak perasan. Dah lama ke sampai?”

“Baru aje. Ini…” Ayla suakan beg kertas yang tertulis Food-Craver pada pelanggan terakhirnya untuk hari ini.

“Maaf… basah sikit.” Kesan basah tu kerana tangan dia yang basah.

“Tak apa. Tapi, saya pasti saya dah bayar ke belum?” Lelaki itu mengeluarkan dompet daripada poket seluar.  Bukan dia yang pesan, tapi Muiz. 

“Belum lagi. Tuan pesan COD. Kejap, ya…. Saya tengok dalam sistem.” Ayla larikan jari telunjuknya di atas skrin telefon setelah dipastikan jarinya kering.

“Tujuh belas, tuan…”

Buat seketika, Taqrees kerut dahi. Mengamati suara itu buat ke sekian kali. Dia renung susuk yang berbungkus di depannya sekali lagi. Masa membuat pesanan tadi, dia tak tengok langsung pada penghantarnya. Rupanya, seorang wanita.

Dia senyum sendiri. Gamaknya, kehidupan itu mendesak memaksa wanita ini bekerja sehingga ke tengah malam. Dia dapat lihat seluar dan kasut yang basah. Malah, telah menyebabkan permaidani yang mengalas lantai biliknya juga sedikit basah.

“Ini, ya…” Wang kertas RM50 dihulurkan.

“Ada duit kecik tak, tuan?” soal Ayla. Tak berani nak angkat wajah. Tak sanggup memandang wajah yang membuatkan dia resah tiba-tiba.

“Tak apa. Kalau tak ada baki. Boleh guna isi minyak motor.” Taqrees senyum pada rider yang langsung tidak angkat wajah.

“Lagipun, kesian awak datang hantar tengah-tengah malam. Hujan pula tu.”

Mendengarkan perkataan kasihan itu, cukup membuatkan perasaan jengkel itu mula wujud dalam diri Ayla. Dia tak perlu dikasihani. Jauh sekali simpati. Lagipun, ini tugasnya.

Dia terus melutut. Meletakkan beg makanan itu dan mengambil beg kecilnya yang ada di dalam. Dikeluarkan duit kecil yang ada. Dia hela nafas lega. Mujurlah cukup-cukup untuk dipulangkan baki.

“Ini… baki.” Dia hulurkan pada lelaki itu tapi lelaki itu tidak menyambutnya.

Malas untuk berlama di situ, dia letak sahaja baki di atas meja kopi.

“Saya faham niat baik tuan tapi saya tak perlukan simpati. Ini kerja saya. Saya dapat bayaran saya.  Jemput makan. Saya pergi dulu.” Tanpa menanti, Ayla meninggalkan lelaki itu yang masih terpinga-pinga sendiri.

Hari ini, dia selesaikan tugas lebih lewat daripada sebelumnya. Padanlah jika badan menuntut hak pun. Kerana itu, dia malas hendak bersandiwara lagi. Dia masih perlu bekerja esok dan dia tak akan dapat buat semua itu dengan tubuh yang lemah.

Taqrees benar-benar gamam. Ada rasa kagum dalam hatinya dengan cara penghantar makanan itu mempertahankan harga diri untuk tidak menerima simpati. Tidak teragak-agak menolak niat baiknya.

Kesukaran manusia itu berbeza. Masalah juga tidak serupa. Lantas, apalah nak dikira dengan masalah hatinya yang sunyi bila melihat kesusahan orang lain mencari rezeki.


 ...tbc


Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise.  Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.



No comments:

Post a Comment