MUJURLAH motosikal lama ini mati enjin bila dia hampir dengan rumah sewa. Jika tidak, jenuh juga hendak menunda dalam hujan yang lebat. Bila dia masuk ke rumah dan rebahkan tubuh, jarum jam sudah menginjak ke angka satu setengah pagi.
Dia mahu mengulang kaji namun tubuhnya
benar-benar kepenatan. Memikirkan esok duit akan keluar pula untuk membaiki motosikal,
dia lepaskan helaan nafas yang cukup berat.
Apakah ini bahagia yang dia cari selama ini? Dia
tak pasti.
Apakah dia sedang menderita? Dia juga tak tahu.
Ada masa, dia sepertinya mahu mengalah tapi dia telah berjanji untuk bahagiakan diri sendiri. Bahagia yang tidak pernah dia dapat dalam rumah itu dulu.
Mata dipejam. Biar bagaimana penat pun tubuh,
matanya sering kali sukar untuk dilelapkan. Rasanya, telah begitu jauh dia
berlari meninggalkan segalanya di belakang. Siapa duga, kisah lalu itu sentiasa
lebih pantas mendahului.
Sepertinya baru sahaja dia pejamkan mata,
telefonnya mula mengejutkan lena yang begitu sukar untuk dia dapat. Dia
lekapkan telefon ke telinga. Tidak bersuara. Hanya menanti pemanggil bersuara.
“Ayla?” Seru suara di hujung talian.
Dahi Ayla berkerut. Cuba mencerap suara yang
menyapa pendengaran dalam bunyi rintik hujan yang kasar.
“Siapa, ya?” Dia akhirnya bersuara juga.
Talian sepi. Hanya desah nafas kasar yang
kedengaran. Ayla mula rasa tidak sedap hati.
“Ini, Ayna.”
Sebaris ayat itu disulam dengan dentuman guruh
yang kuat. Sekuat dentuman dalam dada Ayla. Nama itu adalah nama yang tak mahu
dia dengar lagi.
“Maaf… salah nombor.”
“Ayla!” Seru Ayna bila dia tahu Ayla mahu
putuskan panggilan dan dia juga faham, tiada lagi panggilan akan bersambung
selepas ini.
Mendengarkan suara Ayna menahan dia daripada
memutuskan talian berserta dengan esakan halus, Ayla tak jadi tamatkan
panggilan. Tapi, untuk berbicara juga dia tiada kekuatan.
“Minta maaf, Ayla…” ucap Ayna, sayu. Setelah setahun,
inilah baru dia temui kekuatan untuk menelefon Ayla. Ini pun bersebab.
“Mana kau dapat nombor telefon aku?” Perlahan
dan begitu jelas perasaan tidak selesa Ayla hanya melalui suara.
Malas dia nak dengar kata-kata maaf daripada
Ayna. Rahangnya turun naik menahan marah. Seperti dapat meneka daripada mana
Ayna mendapatkan nombor telefonnya.
“Aku tahu kau nak marah. Tapi, aku yang paksa Mak
Cik Safiah bagi dekat aku. Dia tak nak bagi. Aku yang merayu dia, Ayla. Kau nak
marah, kau marah aku dan aku tak akan putus asa untuk minta maaf daripada kau.”
Nafas berat Ayla lepas. Dia picit pelipis yang
dirasakan menyengat tiba-tiba. Suara esakan halus Ayna benar-benar membingitkan
telinga.
“Jadinya, kau telefon aku tengah-tengah malam
ni kenapa? Sebab nak minta maaf atau nak
aku dengar kau menangis?”
“Aku…” Ayna tak dapat teruskan kata.
“Aku rasa kau masih ingat kan kata-kata akhir
aku sebelum aku dihalau keluar dari rumah tu disebabkan kau?” Tajam dan menikam
terus ke hati Ayna.
Ayna tidak memberi jawapan. Esakan yang tadinya
halus, mula berubah kasar.
“Walaupun selama ni aku yang ada dengan mak. Tapi,
dia pilih kau. Dia halau aku. Aku dah cakap sekali, Ayna. Aku keluar dari
rumah, aku tak akan toleh lagi. Aku mengaku yang aku tak senang pun lepas
keluar dari rumah tu. Aku kais pagi makan pagi. Tapi, kau kena tahu sesuatu. Hati
aku lapang. Aku gembira sebab tak perlu nak tengok semua perangai bodoh
manusia!”
Bohong!
Ayla pejam mata. Menerima satu bisikan yang
sayup-sayup terdengar jauh di dasar hati. Dia menafikan tuduhan itu. Dia tak
berbohong. Dia bahagia. Dadanya lapang. Jiwanya tenang.
Munafik!
Tuduhan suara halus itu, sekali lagi buatkan
dia pejamkan mata. Kali ini juga dia menafikan.
“Aku tak nak ambil tahu lagi tentang sesiapa
aje. Jangan telefon aku lagi.”
“Mak…” Ayna menyebut sepatah kata keramat itu.
Ayla kaku seketika. Kala ini, matanya terasa
basah. Tapi, dia julingkan mata ke atas bagi menolak semula takungan air yang
ada di birai kelopak. Dia tak akan menangis. Tak akan!
“Mak dah halau aku. Sebab kau. Mak pukul aku
sebab kau. Mak tampar aku sebab lelaki yang aku panggil ayah. Yang sakitkan
mak. Aku bersedia untuk ke penjara asalkan mak lepas daripada kekejaman lelaki
tu. Tapi, apa aku dapat? Kau tak pernah tahu, Ayna. Bila ayah pukul aku, aku
tak rasa apa. Tapi, sekali mak tampar aku bila aku cuba nak lindungi dia
daripada…”
“Ayah dah tak ada, Ayla.”
Sebaris bicara ringkas Ayna, buatkan Ayla bungkam.
Guruh berdentum lagi. Bibirnya mula bergetar. Kerana kesejukan atau rasa
terkejut, dia tak pasti.
Air mata Ayla menitis akhirnya. Entah kenapa
air matanya mengalir mendengar berita kepergian lelaki yang dia benci itu? Anehnya
perasaan manusia. Bukan ke dia patut bergembira bila orang yang banyak
menyakiti itu akhirnya pergi?
Tapi, sebaliknya berlaku. Rengkung terasa
hendak pecah. Ayla tahan suara agar tidak ketara sebunya. Dia tarik nafas
dalam. Diseka air mata yang laju mengalir.
Ayla tarik nafas sedalam mungkin. Dihembus
perlahan. Dia telah berjanji dengan diri sendiri yang dia tak akan pernah
peduli lagi. Mereka juga tak pernah mempedulikannya.
“Kalau berita ni kau nak sampaikan, maaf… aku
tak uruskan jenazah. Kau dah salah orang,” balas Ayla setelah dia berjaya
luruskan semula garis suaranya.
“Kau sedar tak apa kau cakap ni, Ayla?” soal
Ayna, tidak percaya.
“Aku sedar dan waras. Selama ni aku hidup dalam
mimpi. Berangan untuk ada keluarga bahagia biarpun serba kurang. Itu dulu. Bila
aku dihalau keluar, masa itu aku dah sedar,” balas Ayla, tenang. Ada tawa yang
sengaja dia zahirkan untuk pendengaran Ayna.
“Kenapa kau boleh jadi macam ni, Ayla? Macam
mana kau boleh jadi manusia tak ada hati perut? Macam mana mak dan ayah boleh
ada anak yang begitu pentingkan diri macam kau?” soal Ayna dengan suara yang
terjerit. Nadanya jelas yang dia kecewa.
Ayla ketawa. Dia tahu Ayna sedang menahan rasa
dengan tawanya kali ini. Tapi, soalan Ayna benar-benar mencuit hatinya.
“Macam inilah. Kau nak kata aku yang pentingkan
diri sendiri? Kau pandang cermin dan tanya soalan yang sama. Aku tahu kau lebih
tahu jawapan tu daripada aku,” selar Ayla.
“Ya, aku pentingkan diri. Tapi, aku tak kejam
macam kau. Kau tahu tak kenapa ayah mati? Ayah selalu sakit kepala. Beberapa
hari sebelum dia tak ada, kami bawa dia ke hospital dan doktor cakap ada darah
beku dalam kepala ayah. Ada kesan kena pukul. Tak perlu aku beritahu kan… siapa
yang pukul ayah. Doktor tanya tapi ayah dan mak tak cakap apa. Ayah cuma cakap
dia jatuh. Dia tak sebut pun yang kau pernah hentak kepala dia dengan kayu
hoki. Kau nak cerita aku kejam?”
Ayna ketawa seketika di dalam sendunya.
“Kau tu manusia yang tak ada hati perasaan. Kalau
di mata orang ayah mati sebab darah beku dalam kepala, tapi pada aku kau yang
dah bunuh ayah!” Jerit Ayna lantas dia matikan talian.
Ayla gamam dengan cerita yang sedang dicerna
oleh akalnya. Terkedu tanpa berbuat apa. Benarkah demikian seperti yang Ayna
katakan? Jika ya, tiada apa yang dapat dinafikan. Dia yang membunuh ayah. Bibir
bawah digigit sekuat hati. Menahan perasaan. Hinggakan darah merah mula
mengalir daripada kesan gigitan yang padu. Dia cuba menahan esakan dan menidakkan
tuduhan Ayna. Sayang… dia gagal bila air mata itu menjunam laju ke pipi. Dia…
terima pertuduhan Ayna padanya.
Dia telah membunuh ayah sendiri.
Menghancurkan bahagia mak.
Kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Dia adalah manusia yang tiada hati. Tiada juga
simpati.
MATA dibuka perlahan. Jarinya menyentuh juring mata yang basah. Ayla tidak
tidur. Langsung tidak terlelap. Malamnya hanya ditemani memori lama yang
semakin berat menindih dadanya.
Itulah panggilan terakhir daripada Ayna yang
dah berlalu hampir setahun. Bermakna dah hampir setahun juga ayah pergi. Kerana
dia. Dia yang membunuh ayah. Pada waktu itu, dia tekad. Biarpun dia akan
berakhir di balik jeriji besi. Dia tekad.
Kesal? Dia tertanya, pernahkah rasa itu wujud
dalam dirinya selepas kejadian itu? Tidak. Langsung tidak. Dia kotakan kata. Langsung
tidak pulang. Hanya melihat dari kejauhan bila jenazah ayah disemadikan. Dia
duduk lama di sisi pusara yang masih merah setelah semua orang berlalu.
Ketika itu, tiada kata-kata yang dia keluarkan. Tidak juga secebis doa. Perasaan dan hatinya kosong. Begitu lompong. Hingga langit yang cerah bertukar warna. Akhirnya rintik halus hujan berubah kasar. Dia masih termangu di situ. Yang dia tahu, air matanya mengalir bersama hujan yang lebat.
...tbc
Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise. Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.
No comments:
Post a Comment