Friday, February 10, 2023

Tulus, 10

SETELAH berkali-kali dia tolak nampaknya tiada lagi alasan untuk dia berikan bila wajah itu hadir depan mata. Rindu sentiasa ada pada lelaki ini. Cumanya, dia rasa dia perlu bersendiri buat seketika. Seketika yang katanya sudah agak lama.

“Mengeluh?” soal tetamu tak diundang yang sudah labuhkan duduk di sofa berwarna kelabu cerah itu.

“Perlu ke aku balik dulu dan telefon setiausaha kau untuk buat temu janji? Baru dapat jumpa kau?” Soalan yang diajukan penuh sinis.

Taqrees langsung tak ambil hati dengan kata-kata tersebut. Dia lepaskan pen dan angkat tubuh merapati tempat tetamu itu duduk.

“Tiba-tiba muncul?” soalnya ringkas.

“Kenalah muncul tiba-tiba macam ni. Kalau telefon beritahu nak datang, mulalah Tuan Pengerusi ada urusan lain. Miting sana, miting sini. Jumpa orang sana, jumpa orang sini. Kena keluar negeri, ke luar negara. Susah nak dapat masa bersama dengan Tuan Pengerusi kalau kata saya tak muncul tiba-tiba macam ni.”

Jawapan yang diberi buatkan Taqrees kerutkan dahi seketika sebelum dia koyak senyum yang lebih lebar. Nampak gaya, ada orang merajuk teruk ni. Apa nak kata. Bukan salah mereka. Tapi dirinya yang tiba-tiba sahaja menjauhkan diri.

“Ada apa datang ni? Jujurnya…”

“Ya… ya… aku tahu kau banyak kerja. Tahu sangat.”

Tak sempat Taqrees habiskan ayatnya, lelaki itu pantas menyambung. Dia lepaskan keluhan berat. Akhirnya.

“Ya… aku salah. Aku minta maaf, okey.”

“Eh, kau salah ke?” Lelaki itu membuat olengan mata.

Taqrees jongket sebelah keningnya. Mencabar kesabaran betul. Sejak kejadian dulu, rasanya amarahnya cepat benar tercetus.

“Aku tahu aku salah. Dah lama tak balik jenguk mommy dan abah. Elak untuk jumpa kau,” akuinya, antara dengar dan tidak.

“Akhirnya…”

Taqrees dapat dengar suara lega kembarnya. Dia renung mata Thaqeef yang nampaknya menyimpan banyak persoalan.

“Kau sedar kau salah. Kau tahu kau dah lama tak balik rumah. Aku tak kisah masa kau cakap kau nak tinggal sendiri. Kau nak bagi keselesaan pada aku dan Deen dalam rumah tu. Padahal masa tu, aku dah atur nak tinggal aje di rumah arwah ayah Deen. Cukup besar dah rumah tu untuk kami empat beranak. Tapi, kau cakap lagi, kau tak nak mommy dan abah jauh dengan cucu-cucu. Aku terima alasan kau. Aku pujuk mommy dan abah. Aku sokong kau. Bila jadi macam ni, aku tak puas hati.”

Thaqeef tak tunggu lama. Terus sahaja dia luahkan apa yang membuku sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Sikap Taqrees jelas berubah. Jika balik rumah keluarga mereka pun, Taqrees banyak habiskan masa di dalam bilik.

“Mommy hari-hari mengadu pasal kau. Abah tak apalah kadang-kadang jumpa kau di pejabat. Itu pun abah cakap, susah nak jumpa. Kau sendiri tahu, aku dengan kau tak ada rahsia, kan? Jadi, aku nak kau cakap apa yang kau sembunyikan daripada kami. Paling penting daripada aku ni?” Thaqeef tepuk dada sendiri.

Sungguhlah. Taqrees dah hampir buat dia hilang sabar. Boleh terbakar jantungnya dengan karenah Taqrees sekarang. Apatah lagi mendengar keluhan mommy. Itu belum lagi bila anak-anaknya bertanya tentang ayah long yang dah susah nak nampak batang hidung.

Taqrees tidak menjawab. Dia hanya tunduk. Menyulam jari-jemarinya. Tunduk dan semakin tunduk hinggakan dahinya menyentuh genggaman tangan.

“Hey… aku ada, kan? Sentiasa ada.”

Taqrees angkat wajah. Menoleh ke kiri bila dapat rasa tangan itu memegang bahu kanannya. Entah bila Thaqeef bangkit dan ada di sisi. Dia tiba-tiba merasa kuat. Senyuman dikoyak tipis. Biarpun masih tidak berperisa, tapi paling tidak, dia masih senyum.

Memandang wajah ini, tak ubah seperti memandang cermin. Mereka adalah satu. Dilahirkan daripada rahim yang sama pada tarikh yang sama dan hanya berbeza lima minit sahaja. Mereka adalah kembar seiras yang mempunyai karakter berbeza.

“Sungguh ke kau banyak kerja sangat sampaikan tak ada masa untuk diri sendiri… untuk keluarga?” Thaqeef cuba memancing jawapan.

Taqrees angguk perlahan. Jawapan itu, Thaqeef sendiri ada. Sejak dia ganti abah duduk di kerusi Pengerusi Sun Suria, jujurnya dia hampir tak bernafas. Hanya selepas enam bulan dia bangkit daripada koma dan menjalani rehabilitasi. Thaqeef pula sibuk melebarkan sayap perniagaan sendiri.

Akhirnya, cita-cita Thaqeef untuk menjadi chef dan punyai rangkaian restoran sendiri tercapai biarpun sedikit tertangguh kerana dia. Walaupun penjenamaan itu adalah milik Deen, Thaqeef tak kisah.

“Mommy pesan dekat aku… kalau macam inilah perangai kau, dia nak kau balik tinggal dengan kami semula. Kalau kau tak setuju, mommy akan guna kuasa seorang ibu untuk buat kau patuh,” ujar Thaqeef separa mengugut tapi memang itulah yang mommy cakap semalam.

“Eh, janganlah…” Taqrees kerut dahi. Mommy ni bukan boleh buat main sekarang.

“Dah tu… kau cakap dekat aku. Apa aje. Kau sendiri tahu, kita simpan rahsia masing-masing sejak kecik. Ada aje rahsia aku yang kau tahu, tapi Deen tak tahu,” tambah Thaqeef.

Dia nak Taqrees tahu, biarpun dia dah beristeri, tapi hubungan antara mereka dua beradik tak pernah berubah.

“Dengar dekat Deen nanti…”

“Alaa… dia pun tahu pasal ni dan dia tak ambil hati sebab dia cakap, kita bersama sejak di alam rahim. Jadi, dia tak boleh nak nafi apa-apa pasal tu.”

“Hebat Deen, kan?” puji Taqrees.

“Itulah. Aku pun rasa dia hebat. Tapi, biasalah. Kau kena tengok siapa suami dia. Di sebalik seorang isteri yang hebat, ada suami yang hebat juga.” Thaqeef pula senyum bangga. 

“Itu dia… geli-geleman aku dengan ayat kau.” Taqrees buat muka loya.

Thaqeef gelak sendiri bila melihat Taqrees buat muka.

“Tapi… ehem-ehem…” Dia berdeham membetulkan kotak suara bahana ketawa yang kuat.

“Ini bukan pasal aku dan Deen. Tapi, pasal kau. Kau ingat kau ubah topik, aku boleh lupa ke tujuan utama aku datang sini?” Kembarnya dikerling. Tajam.

“Aku tahu kalau kau sibuk pasal kerja. Dan, aku juga yakin kau boleh uruskan semua tu. Aku kenal kau dan cara kau bekerja. Yang aku nak tahu sekarang, adalah siapa dan kenapa?”

Mendengarkan kata-kata adiknya, Taqrees kerut dahi.

“Sejak awal kau mesti dah dapat agak, kan?” soalnya.

“Aku kenal kau sejak dalam perut mommy. Jadi, aku memang boleh nampak. Cuma, aku tunggu masa untuk kau mengaku sendiri pada aku. Tapi, aku tak boleh nak bagi masa dah sebab mommy dah tak henti-henti merungut. Arfan dan Afiya tak sudah cari Ayah Long. Jadi, cerita dekat aku sekarang,” desak Thaqeef.

“Sejak bila?” soal Thaqeef lagi.

“Empat tahun lepas kau pergi belajar.”

Thaqeef berkerut kening.

Taqrees tahu apakah soalan yang bakal diajukan. Dia senyum sendiri.

“Aku tahu kau nak tanya, kenapa tak beritahu, kan?” Senyumannya masih terbentuk tapi ada rasa kecewa bersamanya.

“Aku tak cakap sebab kau pun dah nak balik. Aku nak bagi kejutan untuk kau. Hari kau balik tu, aku ada ajak dia untuk jemput kau sama-sama. Tapi, dia tolak. Tak tahu sebab apa, dia kata nak kahwin. Aku ingat nak kahwin dengan aku. Tapi, aku baca pesanan dia berkali-kali. Dia tinggalkan aku hari tu dan lepas aku jaga daripada koma, aku dapat tahu dia betul-betul dah kahwin,” cerita Taqrees.

Dia tak pernah sekalipun bererita tentang hububgan lama yang telah terkubur. Tiada siapa tahu. Thaqeef juga baru tahu. Dia tiada kekuatan untuk bercerita.

“Dia tinggalkan kau sebab kau koma dan tiada harapan nak sedar balik ke?” 

Thaqeef angguk.  Siapalah dia nak menyekat bahagia orang sedangkan masa depan sendiri saat itu tiada siapa dapat duga.  Dia juga tak kesal untuk semua ini.  Untuk apa menanti seseorang yang belum tentu bangkit daripada koma dan wanita itu berhak tentukan bahagia sendiri dan mengambil keputusan meninggalkannya.   

“Aku faham dan aku terima dia tinggalkan aku.  Masa tu, doktor sendiri tak boleh nak janji bila aku akan sedar.  Kalau betul dia tunggu aku dan aku tak sedar atau mungkin makan tahun baru jaga, aku akan rasa bersalah.  Eloklah dia pergi cari bahagia sendiri,” jelas Taqrees lagi.

Menerima kata-kata abangnya, Thaqeef akur dan mengerti.  Kerana itulah dia pernah katakan, perwatakan Taqrees nampak keras.  Kenyataannya, hati Taqrees selembut kapas. 

“Aku faham sangat apa yang kau rasa tu, Rees.  Cuma, aku tertanya.  Benda ni dah lama.  Kenapa tiba-tiba kau cakap tak move-on? Sebelum ni, okey aje.”

“Ini…”

Thaqeef tak sempat habiskan ayatnya bila Taqrees menyuakan iPad yang ada di atas meja. Tak berkata apa, Thaqeef membaca e-mel yang terpampang. Sebaik sahaja selesai membaca e-mel tersebut, Thaqeef pandang wajah abangnya.

Taqrees jongket kening. Menyoal dalam diam.

“Boleh ke aku nak carut?” soal Thaqeef.

Buat seketika, Taqrees kerut dahi dan ketawa. Hatinya sedikit lega. Seketika, dia lupa… dia masih ada belahan jiwanya. 


...tbc


Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise.  Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.



No comments:

Post a Comment