Friday, February 10, 2023

Tulus, 7


SEJAK
tadi, dia hanya diam. Duduk di depan rumah Mak Cik Safiah selepas membantu wanita itu mengangkat barang mendaki tangga hingga ke tingkat tiga.

“Kau sabarlah, Ayla. Kalau dah mak kau sendiri yakin ayah kau akan berubah, biarlah dia. Kau jangan marah dia. Ayah kau tu suami dia. Dia lebih kenal. Tentang Ayna tu, mungkin dia dah benar-benar kesal. Bagilah peluang dekat dia. Dia tengah sarat. Kesianlah dekat anak dia walaupun kau benci sangat dekat dia. Anak tu tak salah pun,” nasihat Mak Cik Safiah sambil menghulurkan segelas air sejuk buat Ayla. Diajak masuk, tak nak.

“Tak tahulah saya, mak cik. Mak tu... saya nak repot polis, dia tak bagi. Ajak buat aduan dekat mahkamah, pun tak nak.  Nak aje saya biarkan tapi itulah... hati saya tak benarkan.  Saya nak usahakan sesuatu untuk hentikan semua tu.” Ayla lepaskan keluhan berat.

Dadanya benar-benar sudah begitu sendat. Seperti dah tak mampu lagi nak menampung apa yang terjadi. Selama ini, dia hanya telan, telan dan terus telan tanpa dapat dihadam jauh sekali diluah.

“Tiba-tiba muncul Ayna. Mak kerja macam apa dah. Saya rasa saya kena berhenti sekolah. Sekarang, tanggungjawab mak dah bertambah. Baik saya kerja bantu mak.”

“Kenapa mesti kau nak kena berhenti sekolah pula?” Mak Cik Safiah jelas tak setuju.

“Nak ikut pada pendapatan mak aje, mak cik… memang tak cukup. Sewa rumah tu dah dua bulan tak bayar. Tuan rumah dah bising. Buat masa ni, mak tak bagi Ayna buat kerja apa. Lagipun, apalah kerja yang Ayna boleh buat dalam keadaan dia sarat macam tu. Saya ajelah yang ada untuk bantu mak,” jawab Ayla.

Mak Cik Safiah lepaskan keluhan ringan. Dia faham apa yang Ayla katakan. Tapi, dia juga tahu Ayla adalah anak yang pandai.

“Bila kita tak ada apa, Ayla… hanya ilmu ajelah yang boleh dijadikan harta,” pujuk Mak Cik Safiah, penuh berlapik kerana dia tahu Ayla akan faham.

“Ilmu ni boleh kutip kat mana-mana aje, mak cik. Dalam rumah saya, daripada mak saya dan Ayna… saya dah dapat banyak ilmu,” balas Ayla perlahan bersama senyuman kelat.

Terlalu banyak ‘ilmu’ yang mak, ayah serta kakaknya curahkan untuk dia sejak sekian lama. Hinggakan dia dah tak sanggup untuk terima semua itu. Tiada lagi ruang untuk dia simpan.

Mak Cik Safiah merenung sisi wajah Ayla. Anak ini indah kejadiannya. Dia tak dapat nafi, memang anak-anak Masyitah dan Anuar cantik-cantik. Kerana itu gamaknya, Ayna digilai ramai lelaki. Tapi, berbeza dengan Ayla yang sukar didekati. Ikut hati, berkenan juga nak dijadikan menantu. Tapi, itulah. Anak-anaknya semua dah berumahtangga.

“Aku faham maksud kau. Tapi, paling tidak kau ada ilmu kira-kira dah cukup. Boleh jadi cikgu tadika ke…”

“Zaman sekarang ni, nak jadi cikgu tadika pun kena ada ijazah, mak cik. Dan saya tak rasa saya akan teruskan. Buat masa ni, saya hanya bertahan. Tak tahulah sampai bila. Sekarang panasnya rumah saya tu, macam saya masuk dalam api. Mak pula, kalau dulu lebihkan ayah. Sekarang, lebihkan Ayna. Dengan alasan, Ayna mengandung,” cerita Ayla.  Tak mampu lagi disorok rasa kecewa dalam setiap patah bicaranya.

“Betullah tu. Dah memang dia tengah sarat. Tak kan nak bagi dia buat kerja berat.”

Ayla mengeluh berat mendengarkan kata-kata Mak Cik Safiah. Entahlah. Segalanya benar, tapi hatinya yang sejak sekian lama luka begitu sukar untuk dipujuk. Sekarang ini, dia hanya mampu untuk telan segala amukan dan mendiamkan diri.

Jika tak mampu hadapi, dia pilih untuk elak. 


 ...tbc


Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise.  Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.



No comments:

Post a Comment