Friday, February 10, 2023

Tulus, 8

SUARA tawa mak bersama Ayna sedikit sebanyak mengundang perasaan cemburu dalam hatinya. Sejak dulu, mak ketawa juga bila bersamanya.  Tapi, alunan tawa itu jelas tidak serupa di saat mak bersama Ayna.  Dia hanya memujuk mak dan semua itu pasti berakhir dengan linangan air mata biarpun mak tersenyum.

Tak sedar Ayla koyak senyum tipis. Bahagia mendengar suara itu gembira. Dia juga kena akui yang hatinya sedikit lega bila kepulangan Ayna dapat membuat mak bahagia. Jika inilah bahagia yang dimaknakan, dia akan terima.

Ayla melangkah keluar dari bilik kecil di dapur bila biliknya sebelum ini perlu diserahkan kepada Ayna.

“Ayla nak pergi sekolah ke?”

“Ya, mak.”

“Mari makan dulu,” ajak Masyitah.

“Ayla makan dekat sekolah aje. Cikgu sediakan makanan.” Itulah yang sebenarnya. Biarpun hanya roti dan air.

Dia masih sibuk dengan sukan hoki demi mengisi masa lapang dan mengurangkan amukan perasaan. Petang membawa ke malam pula, dia akan bantu mak berniaga di tepi jalan. Itulah rutinnya sejak kepergian Ayna.

“Kau dah nak periksa, kenapa tak berhenti aje main hoki?” tegur Ayna.

Dia tak sangka, Ayla masih lagi dengan sukan hoki dari sejak sekolah rendah dan mendengar cerita mak bila Ayla ayun kayu hoki itu pada ayah, hatinya menjadi gerun.

Ayla bukan lagi Ayla yang dulu. Masa dan keadaan benar-benar telah mengubah sikap Ayla.

“Aku tahu bahagi masa.” Ayla yang baru sahaja nak menyarung kasut, tegakkan tubuh. Dia sunggingkan senyuman senget.

“Aku cuma risaukan masa depan kau, Ayla. Itu aje.” Ayna mula berjauh hati.

Ayla masih tegak di situ. Langsung tidak menoleh. Hatinya ketawa.

“Tak ada apa nak dirisaukan. Sejak dulu, aku tahu risaukan diri sendiri. Tak perlu orang risaukan aku,” balas Ayla.

“Tak boleh ke aku tanya sebagai kakak?” Hati Ayna sebak bila Ayla menempelak. Tak sudah-sudah menolak dirinya biarpun setelah beberapa ketika dia kembali ke rumah ini.

“Kakak?” Kali ini, Ayla tidak dapat sembunyikan tawa lagi. Dia toleh memandang mak dan Ayna.

“Aku tak pernah anggap kau kakak aku lagi lepas kau lari ikut jantan dulu. Lepas kau tak hiraukan rayuan aku. Cukuplah aku terima kau balik semula ke rumah ni sebab mak. Cukuplah kau bahagiakan mak. Aku tak akan marah kau lagi,” balas Ayla.

“Kenapa Ayla cakap dengan Ayna macam tu?” tegur Masyitah.

“Ayla hanya beritahu benda betul, mak. Sejak dulu, Ayla hanya cakap kebenaran. Tapi, apa nak kata… semua dah buta hati nak nilai yang mana benar yang mana salah. Jadi, dia tak perlu nak jadi kakak pada Ayla sekarang. Ayla dah dewasa, mak,” balas Ayla.

Biarpun nadanya kedengaran tenang dan lembut, tapi pandangan yang Ayla berikan cukup membuatkan mereka menggigil.

Menerima kata-kata Ayla, air mata Ayna mula mengalir. Pedihnya menusuk. Ya, dia tahu silapnya. Dia tahu di mana salahnya. Dia telah berjanji untuk membantu mak dan Ayla. Namun, bukan salahnya bila dia jatuh cinta. Bukan salahnya bila dia percaya lelaki itu akan menjaganya. Kerana itu dia lari tinggalkan keluarga yang menghalang hubungan itu. Apa salahnya jika dia mencintai seorang lelaki?

“Apa salahnya kalau Ayla berbaik dengan Ayna. Dia dah menyesal. Dah minta maaf…”

“Sebab tu Ayla cakap, dia bertuah sebab mak dah maafkan dia. Untuk Ayla... cukuplah Ayla tak benci dia, mak...”   

“Salah aku cuma satu aje, Ayla. Sebab aku mungkir janji dengan mak dan kau.”  Ayna mencelah tiba-tiba.

Ayla kerut dahi. Tak faham. Dia renung mata Ayna yang merah kerana air mata.

“Itu aje salah aku. Tapi, salah ke bila aku cintakan seorang lelaki yang janji untuk jaga aku dan sayang aku selamanya? Salah ke aku sayangkan dia? Salah ke aku ikut dia sebab nak ada kehidupan lebih baik? Salah ke?” Suara Ayna meninggi. Seiring dengan esak tangisnya.

“Salah!” jawab Ayla dengan suara yang kuat.

Rahangnya turun naik menahan amukan perasaan. Tergamaknya Ayna ajukan soalan bodoh ini padanya? Jika ditanya pada sesiapa sahaja, Ayna memang salah. Semua itu adalah punca kesilapan.

Benar mak melarang kerana usia Ayna masa itu hanyalah sembilan belas tahun dan perjalanan Ayna masih panjang. Paling perit, Ayna tinggalkan mereka tanpa rasa bersalah.

“Mak dengar.  Macam mana dia pentingkan diri sendiri?  Dia ingat dia aje nak kehidupan lebih baik?” soal Ayla pada Masyitah.  Dia nak mak nampak dengan mata kepala sendiri betapa kejamnya seorang anak dan kakak. 

Namun, sama seperti bila dia ungkit tentang ayah, mak pasti menyepi.  Ini telah buatkan luka di hatinya dirobek berkali-kali biarpun telah dijahit dengan susah-payah.

“Macam mana kau boleh tanya soalan bodoh tu, Ayna?  Dan jawapannya, memang kau salah!  Satu sebab kau bodoh. Dua kau bodoh. Tiga kau bodoh!” jerit Ayla.

“Bodoh sebab percayakan janji lelaki. Bodoh sebab percayakan cinta hina kau tu. Bodoh sebab ketepikan keluarga dan akhirnya, kau kembali pada kami bila lelaki tu dah buang kau!”

Dada Ayla turun naik, tewas pada amarah yang meluap. Dia mahu hamburkan segalanya tapi ditahan diri bila melihat Ayna yang sudah teresak-esak. Jujur dikatakan, dia sedang berdepan dengan dua orang wanita yang telah membodohkan diri demi lelaki. Mak dan kakaknya.

“Ya… betul kata kau, Ayla. Aku salah. Patutnya aku tak balik sini supaya kau tak sakit mata, tak sakit hati tengok aku!” jerit Ayna.

“Kalau macam tu, silakan,” pelawa Ayla penuh ketenangan.

“Seperti mana kau pernah keluar dari rumah ni satu masa dulu, aku yakin kau masih ingat cara untuk keluar, kan?” selar Ayla tanpa belas.

“Kalau dulu, aku meraung dan menangis kejar kau, merayu kau jangan tinggalkan aku dan mak… kali ini, tak akan.” Ayla sunggingkan senyuman cukup tajam biarpun waktu ini matanya juga mula berkaca.

“Apa Ayla cakap ni? Mak tak nak Ayna keluar.” Masyitah akhirnya bersuara. Memeluk bahu Ayna namun anak itu pantas menepis.

Ayna menuju ke bilik dan keluar bersama beg pakaiannya. Masyitah mengucap panjang. Ayla masih kaku di situ.

“Ayna tak boleh keluar!” Larang Masyitah.

“Ayna silap, mak. Ayna tak patut balik menyusahkan mak dan Ayla.” Ayna cuba menepis tangan Masyitah.

“Tak… mak sayang Ayna. Kalau sesiapa perlu keluar dari rumah ni, bukan Ayna,” tambah Masyitah.

“Bukan Ayna.” Suara Masyitah berubah sayu.

“Kalau dah Ayla tak boleh dah nak tinggal dalam rumah ni dengan kita, biar dia aje yang keluar.”

Suara Masyitah antara dengar dan tidak tapi masih sempat menerjah ke pendengaran Ayla. Dia terkesima. Dahinya berkerut seribu. Mencerna. Boleh jadi dia tersalah dengar.

Tak… akalnya menafikan. Tak mungkin mak menghalaunya hanya kerana Ayna? Tak mungkin, kan?

“Ayla salah dengar, kan mak?” soal Ayla serba salah.

“Mak tak maksudkan apa-apa bila mak cakap macam tu, kan?” Senyuman Ayla pincang. Air matanya mula bergenang.

“Tak, Ayla,” nafi Masyitah. Tidak teragak-agak.

“Kalau ada sesiapa yang perlu keluar, orang tu adalah kau. Bukan Ayna. Kalau kau dah rasa adanya kami ni menyusahkan kau, kau boleh keluar. Mak tak akan sekat kau dan kau tak payah balik lagi. Kami akan lebih tenang dan bahagia tanpa kau,” balas mak.

Nada mak lembut dan beralun esakan. Tapi, pedihnya mengoyak hati Ayla menjadi cebisan yang cukup halus. Dia tak nak percaya dengan kata-kata mak. Dia tak boleh terima. Mak tak akan buat dia macam ni setelah segalanya.

“Ayla tak percaya,” ujarnya separa berbisik.

Dia menggeleng berkali-kali. Macam mana dia boleh buat mak tak bahagia padahal dialah yang sentiasa berusaha dan berdoa moga mak lepas daripada segala sengsara.

“Mak tak akan halau Ayla. Ayla tak pernah buat masalah. Ayla sentiasa ada dengan mak. Yang silap adalah Ayna. Yang salah adalah ayah. Kenapa mesti Ayla? Kenapa mak?” Air matanya sudah bercucuran ke pipi.

“Kau keluarlah, Ayla. Pergilah ke mana aje kau nak. Kau tak perlu nak bebankan hati dan diri kau dengan masalah ni semua. Kau benci Ayna dan anak dia. Kau benci ayah kau. Sama aje kau benci mak. Pergilah. Mak tak akan sekat kau. Carilah bahagia yang kau nak. Biarlah mak jaga Ayna dan cucu mak. Tak perlu kau ada,” tambah Masyitah.

Ayla gamam. Bibirnya bergetar. Terlalu banyak yang dia mahu pertikaikan. Tapi, kenapa lidahnya kelu? Apa salahnya? Apakah dia terlalu tamak mahukan bahagia biarpun seketika? Inginkan ketenangan biarpun boleh jadi sesaat cuma?

Kenapa mak mesti menghukumnya begini? Atas dosa yang mana? Kerana membenci kakak yang melarikan diri mengikut seorang lelaki atas dasar cinta? Kerana membenci lelaki bergelar ayah yang hanya tahu membuat mereka sengsara?

Jika itulah dosa yang dikatakan, dia terima dan akur.

“Ayla akan keluar cari bahagia sendiri, mak. Sekali Ayla pergi, Ayla tak akan toleh lagi. Apa pun jadi, Ayla tak akan patah balik, mak,” ujarnya perlahan.

“Pergilah, Ayla. Jangan balik lagi,” balas Masyitah. Tidak tegas, tapi pandangannya pada Ayla kosong.

Ayla angguk. Mengerti. Dia kesat air matanya. Masuk ke dalam bilik dekat dengan dapur. Menyumbat pakaian yang tidak seberapa dan juga buku-buku sekolah. Dia keluar dan berhenti seketika di hadapan Ayna.

“Aku serahkan tanggungjawab jaga mak pada kau, Ayna. Urusan antara kita tak ada lagi. Aku dan kau bukan sesiapa,” bisik Ayla perlahan dan dia terus berlalu keluar.

Jika mak mahu dia pergi, dia akan pergi. Kali ini, dia berjanji pada diri. Tiada apa yang lebih penting melainkan bahagia sendiri. Dia akan utamakan dirinya dalam apa sahaja keadaan. Andai pada mata yang memandang menyifatkan dia pentingkan diri, dia juga tidak peduli. Tiada siapa yang boleh membahagiakan dia melainkan dirinya sahaja.

Sakitnya tak dapat dia gambarkan dengan kata-kata. Dia pandang mak buat kali terakhir. Tiada siapa yang tahu apakah yang bakal terjadi hari esok.

Air matanya jatuh. Kali ini, mengalir kerana hati yang benar-benar berdarah. Jika sebelum ini penampar mak sudah terasa begitu pedih, rupa-rupanya kata-kata mak telah membunuh kehangatan hatinya. Jiwanya mula membeku. Apa sahaja yang dia lakukan, tiada siapa hargai. 


...tbc


Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise.  Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.



No comments:

Post a Comment