Friday, February 10, 2023

Tulus, 14

BIARPUN sudah hampir ke dua pagi, mommy dan abah masih berjaga. Dah tentu menantinya. Dia masuk ke rumah dengan senyuman lebar. Biarpun penat, tapi melihat wajah kedua orang tuanya, ada rasa lapang yang menyelinap ke dalam jiwa.

“Kenapa lambat? Dua pagi baru sampai rumah? Mommy telefon tak dapat. Mommy telefon gad, dia kata Rees dah balik jam dua belas lebih tadi.” Datin Zafeera tak putus menzahirkan kerisauan.

“Rees minta maaf…” Tubuh Datin Zafeera dipeluk erat.

“Ada hal sikit tadi. Itu yang lambat. Lagipun, hujan. Risau nak memandu laju. Rees bawa perlahan aje.” Andai nak dikira, dia masih trauma dengan kejadian yang menimpanya satu ketika dulu.

Tapi, semua itu sudah pulih. Cuma, dia masih berhati-hati jika memandu dan kebanyakan waktu, Muiz yang memandu.

“Tak apalah. Asal selamat sampai. Ini dah makan ke?” Datin Zafeera menolak bahu sasa anaknya. Pakaian Taqrees lembap.

“Dah. Muiz tolong oder. Makan dekat ofis. Mommy kenapa tak tidur lagi?” soalnya.

“Mana nak tidurnya? Qeef balik tadi cakap Rees nak balik malam ni. Itu yang mommy macam kucing hilang anak,” jawab Datuk Thaha menahan kuap.

“Laa… tak payah tunggu. Rees janji nak balik, Rees balik. Lambat macam mana pun, Rees akan balik. Sekarang ni, mommy ajak abah naik tidur. Rees pun penat juga ni.”

“Haa… Feera dah dengar tu. Mari kita naik. Abang dah tak boleh buka mata dah ni. Esok Arfan nak ke tadika. Nanti Feera tak sedar pula.”

“Eh, yalah. Mommy naik dulu, ya. Rees mandi dulu sebelum tidur. Esok ni mesti budak berdua tu suka tengok Ayah Long ada kat rumah.” Senyuman Datin Zafeera lebar. Mengusap pipi anak bujang yang dirasakan dingin.

Mendengar cerita Thaqeef tentang apa yang menimpa Taqrees, hati seorang ibu bersimpati tapi dia tak akan tunjuk rasa itu di depan Taqrees. Cukuplah anak ini kembali tinggal bersama mereka. Ada di depan matanya.

“Sayang mommy.” Sekali lagi, pelukan bertaut sebelum Taqrees membiarkan orang tuanya naik ke tingkat atas.

Dia juga memanjat tangga menuju ke bilik sendiri. Tubuh direbahkan dengan kaki masih rapat di lantai. Kepalanya berdenyut. Takkanlah kena hujan sikit dah sakit kepala? Sejak bila antibodi dia lemah ni? Matanya mahu terkatup bila dia tiba-tiba teringat akan kata-kata Thaqeef.

Benarkah hatinya akan terpujuk? Padahal dia tak pernah merajuk.

Benarkah juga dia akan terus tekad untuk tidak jatuh cinta sekali lagi pada perempuan yang sama? Sedangkan dia yakin dia telah lama reda.

Dia cucuk pengecas pada telefon yang sejak tadi mati. Kemudian, masuk ke bilik air. Selepas membersihkan badan seketika, dia keluar dan melihat pada skrin telefonnya.

Ayat demi ayat, baris demi baris dibaca penuh khusyuk. Langsung tidak tertinggal biarpun sepatah kata. Seperti kata Thaqeef, hatinya tercuit setelah menamatkan bacaan namun rasa itu hanyalah rasa simpati sebagai seorang manusia yang mempunyai hati. Sekadar itu.

Telefon diletak di meja sisi katil. Taqrees pejamkan mata. Dilepaskan nafas berat mengenangkan apa yang pernah mereka lalui bersama. Setiap janji Zalikha lekat di minda hingga kini. Sepertinya terpahat padu.

“Macam mana I nak tunggu you, Rees? Masa tu you macam mayat hidup. Doktor sendiri tak pasti bila you akan bangun. You nak I tunggu you berapa lama? Kalau kata you tak sedar setahun? Sepuluh tahun? I macam mana?”

Soalan Zalikha masih berlegar dalam kepala bila dia dapat berita yang wanita yang dia sayangi itu telah menikahi lelaki lain. Waktu itu, dia tidak dapat nak salahkan Zalikha. Dia juga tidak akan menyalahkan takdir.

Jika ini ketetapan, tiada daya dirinya hendak menafikan segala ketentuan. Namun, begitu pantas Zalikha temui pengganti telah membuatkan dia menyimpan syak yang wanita itu sememangnya telah curang di belakangnya sebelum kejadian malang itu lagi.


...tbc


Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise.  Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.



No comments:

Post a Comment