“Apa khabar, Ayla?”
Mata Ayla yang sejak tadi merenung kosong, akhirnya
berkelip bila mendengar sapaan itu. Ini bukan mimpi. Rasanya bukan juga
bahagia. Boleh jadi juga sebagai tanda derita dia dan mak tidak akan
berkesudahan.
Ayna… seorang kakak yang dia mahu bergantung harap sementara dia boleh bertatih sendiri, telah kembali mengusung perut besar setelah lari meninggalkan mereka. Lari demi cinta lelaki yang dipuja dan diagungkan hingga sanggup membuang keluarga.
“Buat apa kau datang sini, Ayna?” soal Ayla,
datar dan tajam.
“Ayla, apa tanya kakak macam tu?” tegur Masyitah.
“Kenapa?” Ayla alihkan pandangan pada Masyitah
buat seketika sebelum dia kembali merenung Ayna. Tajam dan menusuk.
“Jantan yang kau ikut tu, tak nak
bertanggungjawab ke? Dia buat kau macam kain buruk? Lepas dah lunyai, dia
campak?” Ayla sungging kan senyuman sinis.
Mengingatkan herdikan Anuar padanya yang
dirinya membawa sial dalam keluarga mereka, sebahagian diri mahu menyalahkan
Ayna.
“Aku minta maaf sebab tinggalkan rumah. Tinggalkan
kau dan mak. Aku janji aku akan tinggal dekat sini. Jaga kau dan mak. Aku
janji.” Suara Ayna kedengaran sayu.
Dia tahu dia akan terima kata-kata keras ini
daripada Ayla dan dia telah pujuk dirinya untuk bertahan. Dia tiada tempat nak
dituju sementelah dia akan bersalin bila-bila masa sahaja.
“Kau janji?” Ayla ketawa.
“Kau tahu tak kau pernah janji nak bantu mak? Tapi,
kau pergi kerja dan jumpa lelaki, kau lari bila mak tak bagi kau kahwin lagi
masa tu. Kau ikut lelaki tu. Kau tak toleh langsung pada kami. Kau tak hiraukan
bila mak pujuk. Kau buat pekak bila aku menangis dan merayu!”
Dia dan Ayna bezanya hanya dua tahun. Sebaik
sahaja Ayna tamat sekolah dan mula bekerja, Ayna akhirnya melarikan diri
padahal Ayna juga berjanji untuk membantu dia dan mak. Tapi, janji Ayna sama
dengan ayah.
Janji pendusta.
“Sekarang kau balik lepas bertahun tanpa khabar
sebab kau dah tak ada apa-apa dan paling penting, kau bawa balik bala dalam
perut kau tu!” Marah Ayla.
“Ayla!” sergah Ayna.
Sejak bila adik yang dahulunya begitu manja
menjadi begini bengis. Sejak bila Ayla yang begitu lembut dalam bicaranya,
berubah menjadi keras.
“Kau boleh kata apa aje pada aku. Tapi, bukan
pada anak aku!” Ayna melekapkan telapak tangan pada perut. Melindungi.
“Okey.” Ayla angkat tangan ke udara. Seperti
mengalah.
“Kalau dah itu kata kau, apa kata kau bawa anak
kau tu, berhambus dari rumah ni! Aku dengan mak, hidup dengan baik selama ni
tanpa kau dan ayah,” selar Ayla.
Nafas Ayna mula mengah. Dia dah jangka,
kemunculannya setelah bertahun akan disambut dingin oleh adik sendiri. Cuma,
dia tak sangka sebegini teruk layanan dan kata-kata Ayla padanya.
“Ayna, duduk.”
Dia angkat tubuh mahu berlalu bila Masyitah
yang tadinya menyepi, bersuara.
“Ayna minta maaf sebab tinggalkan mak selama
ni. Ayna tahu Ayna tak layak untuk balik tinggal dengan mak,” ujar Ayna dengan
esakan. Dia mahu berlalu ke pintu.
“Ayna tak akan pergi mana-mana. Duduk… mak
cakap!” tegas Masyitah.
Ayna kaku. Tidak lagi berganjak.
Masyitah bangkit dan menarik Ayna agar duduk
semula di tempat tadi.
Dahi Ayla kembali berkerut. Dia pandang mak. Kenapa
mak nak tambah beban lagi. Tidakkah mereka sudah sedia terbeban. Ayah baru
sahaja menghilangkan diri lebih sebulan dan dia tahu, lelaki itu akan kembali
bila-bila masa sahaja. Sekarang… Ayna muncul bersama kandungannya yang entah
sah taraf atau tidak.
Cukuplah mereka menjadi bualan orang kerana
sikap ayah. Kenapa perlu ditambah dengan cercaan tentang keadaan Ayna? Paling
penting, kenapa mesti ditambah beban yang telah begitu sarat dalam dada? Dia
sendiri sudah tak mampu menanggungnya. Setiap helaan nafasnya sangat tipis dan
sesak. Tidakkah mak nampak semua tu?
“Dia tak boleh duduk dekat sini, mak. Ayla tak
boleh tengok muka dia,” ujar Ayla, lebih pada merayu.
“Mak yang kerja untuk bayar sewa rumah ni. Jadi,
mak boleh putuskan Ayna boleh tinggal dekat sini atau tak.” Masyitah menoleh
pada Ayla.
Dia nampak amukan perasaan Ayla. Jelas
terpancar raut kecewa anak itu. Tapi, dia juga tak boleh nak biarkan Ayna pergi
dalam keadaan yang begitu sarat.
Biarpun dia tak tahu apakah yang telah terjadi
tapi Ayna adalah anaknya dan bakal menjadi ibu. Dia tidak kisah akan cercaan
masyarakat. Dia sudah lali. Malah, dia perlu akui, dia begitu merindui Ayna.
“Ayna dah balik. Ayna tinggal aje dengan kami. Barang-barang
untuk baby dah ada?” soal
Masyitah seperti tiada apa berlaku. Dia abaikan perasaan Ayla sekali lagi. Dia
butakan mata melihat riak Ayla saat ini.
Ayna menggeleng bersama mata yang berair. Dia
tak nak percaya akan apa yang sedang terjadi dalam hidupnya.
“Tak apa. Nanti mak ajak Ayla pergi beli.” Masyitah
senyum.
“Ayna duduk aje rehat-rehat. Lain-lain mak
dengan Ayla uruskan. Terima kasih sebab balik semula pada mak.” Mata Masyitah
basah.
Air mata Ayla terus menjunam ke pipi. Namun, di
sebalik titisan jernih itu, ada api yang membakar dalam renungannya.
“Kenapa mesti mak yang nak sediakan semua
keperluan anak dia?” Suaranya masih perlahan.
“Sebab ini cucu mak.”
“Kenapa, mak?” Ayla rasa nak ketawa. Tapi, dia
sendiri tak pasti apakah perasaannya saat ini. Fikirannya benar-benar
bercelaru. Apakah soalan yang perlu diajukan.
“Kenapa mak mesti cari bala? Ayah. Sekarang ni…
Ayna. Padahal mak sendiri tahu, Ayla berusaha untuk mak bahagia. Untuk tak
menyusahkan mak. Untuk jadi anak yang baik untuk mak. Tak menyakiti hati mak. Kita
sendiri nak makan pun berjimat mak… kenapa…”
“Mak bahagia. Apa yang buat Ayla cakap mak tak
bahagia?” bantah Masyitah.
“Lagipun mak percaya, Ayna dan bayi ni akan
bawa rezeki pada kita. Kenapa susah sangat Ayla nak terima?”
Wajah Ayla berkerut seribu. Bahagia? Dengan
diugut dan dipukul oleh suami? Itukah yang dikatakan bahagia? Ayna pula, dengan
ditinggalkan lelaki dan kini bersendiri bersama bayi yang masih dalam kandungan?
Inikah makna bahagia?
“Ayna minta maaf, mak. Ayna patut dah agak yang
Ayna tak diterima dalam rumah ni. Ayna balik ni nak jumpa mak. Tak apa. Ayna
boleh pergi.” Sekali lagi, Ayna bangkit. Tapi, Masyitah menahan.
“Mana Ayna nak pergi dalam keadaan macam ni?” Masyitah
meluahkan rasa risau yang jelas lagi nyata.
“Mana-mana aje mak.” Wajah Ayna sugul dan air matanya
jatuh bertali arus.
“Kalau Ayna berkeras nak keluar juga kali ni,
mak tak akan ampunkan Ayna sampai bila-bila,” ugut Masyitah.
Ayna gamam. Dia terus bangkit dan memeluk mak. Namun,
riak wajah Ayla pula sebaliknya.
Dia hanya tahu sesuatu. Lelaki adalah punca
duka. Cinta itu membinasakan!
...tbc
Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise. Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.
No comments:
Post a Comment