AYLA menarik lutut rapat ke dada dan didakap erat. Setelah dua tahun, dia yakin dia telah pulih. Telah dia terima segalanya kerana dia tahu, melupakan tidak sama sekali. Kerana yakin dia mampu terima semua itu, dia kuatkan hati untuk berdiri di depan mak biarpun dia tak ubah seperti bersembunyi dalam terang. Tapi, kisah pilu itu kembali bugar dan menjalar; melilit kembali tubuhnya.
Dia raba lengannya. Kesan parut kaca itu masih
ada dan tak akan pernah hilang. Kemudian, dipegang pipi. Terasa pedih. Bagaikan
baru sesaat tadi mak menamparnya. Kejadian itu, benar-benar membuatkan dia
sedih dengan sikap mak. Nafas dalam ditarik dan dihembus perlahan.
Jika waktu dulu dia teresak-esak menangis di ribaan mak, kini tidak lagi. Tiada air mata yang tumpah. Air mata itu benar-benar telah membeku dan tidak mampu dititiskan lagi. Sebeku perasaan dan hatinya.
“Kenapa, mak?” soal Ayla satu ketika dahulu. Air
matanya masih mengalir lesu.
“Kenapa ayah macam tu? Tidak ke bila kita makin susah, kita perlu
makin dekat dengan Tuhan? Kenapa ayah
makin jauh?”
“Mak minta maaf, Ayla.” Masyitah mengusap
lembut rambut panjang Ayla.
Rasa bersalah ini tak akan pernah hilang dari
dalam hati seorang ibu kerana dia tahu, Ayla mahu melindunginya. Tapi, dia
memilih untuk menyakiti Ayla.
“Mak tak perlu minta maaf daripada Ayla. Mak
tak salah. Ayla cuma nak tahu kenapa mak terus bertahan? Ayla dah biasa hanya
ada mak. Sejak dulu. Bukan baru hari ini. Dah bertahun dia pergi dan balik ikut
suka. Balik pukul mak. Maki-hamun kita.”
Saat ini, dia tenung mata mak.
Jelas nampak emosi yang lelah.
“Mak tahu kan... mak boleh buat aduan kat
mahkamah. Dekat jabatan yang uruskan hal
macam ni. Mak boleh bebas dan hidup
tenang. Ayla akan teman mak. Kenapa mak nak terus bertahan?”
“Sebab mak percaya ayah akan berubah satu hari
nanti, Ayla.”
Jawapan yang diterima masih sama. Ayla gigit
bibir bawah dan terus mengalirkan air mata biarpun tiada lagi tangis. Jawapan itu
tetap membuatkan dia kecewa.
Terlalu banyak perkara yang mahu dipertikaikan
tapi dia pilih untuk diamkan diri kerana dia mula sedar, tiada apa yang mampu
dibandingkan dengan kasih sayang mak pada ayah. Termasuklah dirinya.
“Mak minta maaf, Ayla,” pinta Masyitah sekali
lagi.
Hari ini, dah lebih sebulan Anuar tak kembali
sejak peristiwa itu. Jauh di sudut hati, dia harap Anuar tidak lagi kembali. Dia
kesal kerana menampar Ayla yang jelas mahu melindunginya.
“Mak tak salah. Ayla yang salah.” Ayla
memusingkan badan dan memeluk pinggang Masyitah dengan erat.
“Ayla salah,” akuinya. Jika dengan mengalah
kali ini, membuatkan mak bahagia, dia akan mengalah buat ke sekian kali ini. Akan sentiasa mengalah.
Entah bila dirinya terlena, dia tak tahu. Tapi,
rasanya tidur kali ini benar-benar lena. Dalam pelukan hangat seorang ibu yang
amat dia sayang.
Saat dia terjaga dan keluar ke ruang tamu,
tubuhnya kaku melihat seorang wanita yang tidak pernah pulang beberapa tahun
ini tapi muncul semula dengan wajah suram dan perut yang besar.
Dia sedar akan nasibnya kini. Sudahlah jatuh,
dia nampaknya tertimpa tangga.
...tbc
Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise. Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.
No comments:
Post a Comment