|
DENGAN rasa malas, Taqrees buka mata bila dia dengar suara mommy dan ketukan pada daun pintu. Dia terlena begitu sahaja malam tadi. Dengan hanya balutan tuala. Taqrees angkat tubuh. Mencapai baju-T dan menyarungnya sebelum membuka pintu.
“Kenapa, mommy?”
“Dah banyak kali mommy datang panggil. Rees tak
respons. Risau dah mommy. Rees tak sihat ke?” Tangan Datin Zafeera naik menyentuh
pipi anak lelakinya. Sejuk.
Dia pandang ke bawah. Bertuala. Baru lepas
mandi atau semalam tidur bertuala aje?
“Dah lama tak tidur dekat sini. Itu lena lain macam,” jawab Taqrees dengan senyuman lebar. Dia usap belakang tengkuknya. Terasa lenguh pula. Salah postur ke apa ni?
"Pukul berapa dah, ya?” Dia usap
pergelangan tangan. Tiada jam di situ.
“Dah 8.30 pagi.”
“Aduhai…. Rees dah lewat ni. Pagi ni ada miting
pukul 9.30. Rees siap dulu.” Dia terus melebarkan langkah menuju ke bilik air.
Tak lama setelah siap, dia terus melangkah
turun. Terus maju ke meja makan. Abah dan dua orang anak saudaranya ada di
situ.
“Ayah Long!” Anak saudara pertamanya, Arfan…
menjerit kuat.
“Ayah Long…” Yang perempuan, Afiya… juga
mengikut si abang tapi dengan nada yang sedikit pelat.
Taqrees mendekat dan terus mendukung
kedua-duanya yang sudah berdiri tegak di atas kerusi di meja makan. Biarpun mommy
dan abah melarang, tapi dua orang anak buahnya itu sudah tidak peduli.
“Hey… bahaya tau berdiri atas kerusi. Arfan
buat, tengok… adik buat juga,” tegurnya.
“Fan rindu Ayah Long…” Pipi Taqrees dikucup
berkali-kali. Tak dipeduli dengan teguran ayah saudaranya itu.
“Iya yindu
Ayah Long…” Afiya seperti biasa, mengikut sahaja apa yang Arfan katakan.
“Ayah Long rindu korang berdua juga.” Pelukan dieratkan seketika sebelum Taqrees
kembali letakkan dua orang budak bertuah itu di tempat duduk masing-masing.
Dia capai cawan yang dah diisi teh dan diteguk
sekali gus. Mujurlah dah suam. Kalau tak, mahu bocor tekak ni.
“Hai… tegur anak saudara, awak sendiri minum
berdiri, Taqrees,” tegur Datuk Thaha.
“Rees nak cepat ni, abah. Maaflah. Tidur dalam
syurga ni, lena lain macam sampai tak sedar.” Taqrees sengih sambil garu
kepala. Apatah lagi bila Arfan dan Afiya ketawa.
“Deen dengan Qeef dah keluar ke?” Sejak tadi
tak nampak ni?
“Budak berdua tu pagi-pagi dah keluar. Diorang minta Rees hantarkan Arfan ke
sekolah.”
“Alamak, mommy… tak sempat hari ni.” Dahi
Taqrees berkerut. Mula dihurung rasa bersalah.
“Ya, mommy tahu.” Datin Zafeera kerling cucunya
yang nampak sugul.
“Hari ni, tok abah dan tok mi hantar Fan ke
sekolah, ya? Ayah Long tak sempat. Dia bangun lambat,” pujuknya.
Arfan mengangguk.
“Ayah Long janji esok?” Mata Arfan bersinar. Berharap.
“Ya… hari ni, Ayah Long tak boleh. Esok Ayah Long
janji hantar Fan, okey.”
Taqrees hulurkan telapak tangan dan Arfan
menepuknya dengan gembira.
Fuh… lega. Mudah terpujuk.
“Rees pergi dululah. Lewat ni.” Dia pandang
jam. Dah menuju ke angka Sembilan. Dia tunduk mencium kedua-dua anak buahnya
dan menyalami orang tuanya sebelum berlalu pergi.
MUJURLAH dia ada pembantu peribadi yang cekap. Awal-awal lagi Muiz dah tangguhkan
mesyuarat ke jam 10.00 pagi hanya kerana dia terlewat bangun. Tapi, seperti
biasalah. Alasan klise. Mesyuarat ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat
dielakkan. Padahal bos terlajak tidur.
Taqrees mengerling Muiz yang masih ralit
membelek iPad di tangan. Senyuman tipis tergaris pada bibir. Dia tak pernah
membuat kesilapan dalam memilih Muiz menjadi pembantu peribadinya. Muiz telah
buktikan semasa dia koma dengan membantu dan begitu setia pada adiknya. Tanpa
Muiz, rasanya dia juga tak akan berada di sini hari ini.
“Cik Zahira datang hari ni, bos.”
“Eh, bila dia balik?” Rasanya, dah banyak tahun
juga Zahira sambung pengajian di luar negara setelah apa yang terjadi pada
Uncle Zahir. Cuma, bukan bidang perniagaan. Tapi fesyen.
Selama ini, Aunty Rozana hanya hantar wakil
memandangkan mereka masih mempunyai hak dalam syarikat ini. Mommy dan abah tak
pernah menafikan hak mereka biarpun setelah apa yang terjadi. Dan, semua itu
telah menjadi milik Zahira.
“Dah dua minggu,” jawab Muiz.
“Tak cakap pun,” sela Taqrees.
“Maaf, bos. Saya terlupa. Lagipun, saya tak
terfikir dia akan datang sendiri miting kali ini.”
“Hurm… tak apalah. Bagus juga dia datang. Boleh
dia tahu dan belajar sendiri tentang perjalanan urusan syarikat. Dia pun ada
hak dalam syarikat ni,” balas Taqrees.
Tapi… dia kerling Muiz. Jarang sangat Muiz buat
kesilapan ‘lupa’ ni. Memang tak pernah rasanya ada perkataan lupa dalam khidmat
Muiz selama ini. Dia redupkan pandangan. Hatinya mula syak sesuatu ni.
“Kau ada nak cakap apa-apa pada aku, Iz?” soal
Taqrees tak semena-mena.
“Cakap apa tu, bos?” Muiz menoleh dengan wajah
serius. Langsung tidak mengerti apa yang Taqrees maksudkan.
“Kalau hal kerja, saya dah brief semua semalam. Setakat pagi ni, agendanya
masih sama. Jika ada hal-hal lain yang akan dibangkitkan oleh ahli mesyuarat,
itu saya tak boleh nak pastikan. Tapi, saya akan cuba dapatkan maklumat tu
sebelum perkara selain agenda dibincangkan,” jawab Muiz, serius dan
profesional.
Taqrees jatuh bahu. Lemah betul dengan Muiz ni.
Riak suci dengan jawapan yang diberikan tu buat dia mengeluh sendiri. Padanlah
kalau Muiz sampai hari ini membujang pun. Mesti tak pandai nak mengayat awek ni. Asyik kerja aje. Haih…
rasa bersalah pula sebagai majikan membiarkan Muiz menjadi pekerja yang
sebegini cekap dan rajin.
“Minggu depan ambil cuti, Iz… seminggu. Aku
belikan kau tiket pergi bercuti mana-mana. Off handphone kau,” beritahu Taqrees dan dia terus melangkah keluar sebaik sahaja
pintu lif ternganga di tingkat sepuluh.
“Eh, kenapa pula, bos? Saya tak perlukan cuti. Saya
banyak kerja ni. Ke tu cara halus bos nak pecat saya?” Dahi Muiz dah berkerut
seribu. Memandang Taqrees penuh syak.
Tidak dapat tidak, Taqrees sembunyi senyum. Hanya
satu perkara ini sahaja yang buat Muiz cepat melatah. Selain itu, Muiz memang
tenang mengendalikan seluruh situasi.
“Saya tak nak cuti, bos,” ulang Muiz sebelum
pintu bilik mesyuarat dikuak.
“Cuti… cari awek sorang. Dengar cerita Kak Mun bising tu, kau
membujang sampai hari ni,” balas Taqrees.
“Saya tak nak awek…” Eh… bicara Muiz terhenti. Lain
macam arahan bos dan bila masa pulak kakak dia bercakap dengan bos?
Dia berdeham kecil bila semua ahli mesyuarat
memandang mereka. Bila Taqrees duduk, dia juga sama. Mengambil tempat di
belakang Taqrees dan sedaya-upaya mematikan senyum.
Bos cakap dia… bos sendiri pun, masih
membujang. Akhirnya, bunga senyum Muiz bebas berterbangan. Taqrees picingkan
pandangan.
“Encik Muiz senyum lebar sangat… ada apa nak
kongsi dengan ahli mesyuarat ke?” soal Taqrees serius tapi dia yakin, Muiz tahu
dia sekadar mengusik.
Sekilas senyum Muiz, dia dah dapat agak. Muiz mesti mengata dia yang juga masih bersendirian hingga ke hari ini.
...tbc
Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise. Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.
No comments:
Post a Comment