“Dasar anak sial!” jerit Anuar dengan wajah menyeringai menahan
sakit.
“Aku bunuh kau!” Anuar mahu menyerang Ayla tapi Ayla sudah
tidak gentar.
Matanya tepat merenung setiap tingkah
ayahnya. Dia sedang bersedia dan kali
ini dia akan pastikan pukulan cukup padu untuk memberi pengajaran kepada lelaki
yang hanya tahu menyakiti sedangkan tanggungjawabnya adalah untuk melindungi.
Di saat Anuar semakin hampir, Ayla juga melangkah
ke hadapan. Dia angkat tinggi kayu
hokinya mencari sasaran.
“Ayla, jangan. Itu ayah!” Masyitah menjerit dan cuba menahan tapi tindakan Ayla lebih cepat.
Mujurlah Anuar sempat mengelak. Yang terkena
adalah kakinya sahaja. Lelaki itu mengaduh kuat dan tersungkur ke tepi. Ayla
bagai kerasukan. Dia sudah tidak mampu pertimbangkan lagi mana yang salah dan mana
yang benar.
Marahnya membara. Air mata terus mengalir tapi
air wajahnya saat ini tak ubah seperti bara api. Dia telah bersedia untuk apa
sahaja sejak dia menolak daun pintu bilik ini tadi.
Jika dia perlu mati, dia akan heret lelaki itu
untuk mati bersamanya. Agar mak tidak lagi menderita dan menanggung kesakitan.
“Kau bukan lelaki. Jauh sekali manusia! Syaitan
itu memang ada dan kau adalah syaitan pertama yang aku nampak dengan mata
kasar!” Tempik Ayla.
“Kalau kau mati sekalipun, tak ada siapa yang
sedih! Tak ada siapa yang kesal!” ujar Ayla dengan penuh dingin.
Ayla angkat tinggi kayu tersebut. Mencari
sasaran. Sayang, Anuar masih mampu mengelak tapi kali ini, hujung kayu hoki
tersebut mampu membelah dahinya.
Darah merah mula mengalir. Wajah Anuar pucat
melihat kegilaan Ayla. Dia merangkak dan terus mengelak. Mahu mencari jalan
keluar.
Ayla tidak hiraukan kaki yang luka. Begitu juga
lengan dan telapak tangannya. Yang dia tahu, dia perlu cabut nyawa lelaki itu.
“Kau gila ke, Ayla? Kau nak bunuh ayah kau
sendiri? Kalau aku mati, kau pun ke tali gantung!” Suara Anuar bergetar.
“Tolong abang, Syitah.” Anuar pandang Masyitah.
“Kau mungkin tak tahu… sejak aku masuk ke bilik
ni tadi, aku dah bersedia untuk terima lebih daripada tu. Asalkan kau lenyap
daripada muka bumi ni.” Ayla ketawa. Jelas yang dia memang sudah tidak kisah
akan apa yang bakal dihadapinya di depan hari.
Masa depan? Entahlah. Wujudkah masa depan yang
indah untuknya? Jika tiada masa depan yang cerah di depan, dia rela terikat
dengan kegelapan masa lalu asal mak tidak lagi menderita.
Ayla mahu merapati Anuar yang mengesot ke muka
pintu bila dia dapat rasa bahunya dipegang seseorang.
“Jangan buat ayah, Ayla,” pujuk Masyitah.
“Dia bukan ayah Ayla!” Pertama kali dia
meninggikan suara pada mak.
“Dia ayah Ayla. Jangan, Ayla.” Masyitah terus
melarang.
Ayla tidak peduli. Dia tidak akan terpujuk lagi
dengan kata-kata mak seperti sebelum ini.
“Dia bukan ayah Ayla,” gumamnya. Keras dan
cukup dalam.
“Dia ayah Ayla. Dia yang bawa Ayla ke dunia…”
“Untuk buat hidup kita menderita? Untuk
salahkan Ayla bila dia sendiri perangai tak serupa manusia?” bentak Ayla,
lantang.
Dia dah penat dengar ayat itu daripada mulut
mak. Setiap kali, itulah ayat yang mak tuturkan. Dia tahu kenyataan itu. Dia
tahu punca daripada mana dia ada dalam dunia ini. Tapi, dia banyak berasa kesal
kerana wujud di muka bumi ini. Kesal kerana terlalu banyak derita.
“Macam mana mak boleh cakap dia ayah Ayla bila
dia tak pernah jalankan tanggungjawab sebagai ayah? Macam mana mak boleh cakap
dia ayah Ayla bila dia tak sudah hina dan cakap Ayla bawa malang dalam hidup
dia? Ayah apa yang sakitkan anak sendiri macam Ayla ni bukan manusia?” Soalan
Ayla kali ini, rendah dan cukup syahdu. Berharap mak mengerti yang dia
benar-benar menderita. Dia harap segalanya akan berakhir.
Masyitah berdeham. Dia kesat birai matanya
dengan kasar.
“Apa pun Ayla cakap, dia tetap ayah Ayla. Itu
kenyataan yang Ayla tak dapat ubah sampai mati!” Suaranya perlahan tapi
ketegasannya terasa.
Ayla senyum senget. Tidak terkejut dengan
penafian mak. Dia tidak akan pernah menang di mata mak.
“Mak harap Ayla tak akan lupa yang dia tu ayah
Ayla dan Ayla wajib hormat pada dia,” tambah Masyitah lagi.
“Buat
apa Ayla nak hormat lelaki tu? Kalau mak belum tahu, ini Ayla cakap. Lelaki tu
bukan ayah Ayla. Bukan suami mak. Tapi, syaitan yang nyata depan kita!”
“Dia suami mak!” jerit Masyitah. Telapak tangan
itu singgah ke wajah Ayla. Kuat dan cukup padu.
Untuk kali kedua, Ayla jatuh tersungkur. Dia
kaku di situ. Pipinya menerima tamparan yang cukup padu di tempat yang sama
oleh dua telapak tangan berbeza yang sepatutnya mengusap kepalanya.
“Jangan cakap macam tu. Lelaki ni suami mak. Apa
pun jadi, dia suami mak. Mak susah payah bersama dia sebelum kau!”
Kata-kata mak… Ayla pandang mak dengan rasa tak
percaya. Dahinya berkerut. Menghantar persoalan pada mak. Apa istimewanya
lelaki bergelar suami di hati seorang wanita jika lelaki itu adalah seperti
ayahnya?
Pandangan Ayla kian kabur. Kali ini, air matanya
mengalir bukan lagi kerana marahkan ayah. Tapi, sedih dengan tindakan mak yang
masih mempertahankan ayah. Dia kini hanya mampu melihat ayah melarikan diri.
Tidak berdaya melakukan apa-apa. Silapnya hanya kerana mahu melindungi mak. Tamparan mak, kesannya bukan sekadar pada pipi. Tapi, terus melekap di hati.
...tbc
Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise. Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.
No comments:
Post a Comment