BILA difikirkan semula, rasanya elok Thaqeef terus duduk di sini. Biarpun tiada siapa yang membantah kedudukannya. Dia yakin adiknya itu lebih sesuai berada di sini setelah apa yang Thaqeef lakukan bagi pihaknya. Segala usul dibaca penuh cermat. Ada yang boleh diterima, ada juga yang merepek.
Mengembangkan empayar ke negara luar adalah
sesuatu yang tidak mudah tapi dia sedang cuba sedaya-upaya. Memandangkan produk
mentah mereka telah berjaya tembus ke Indonesia dan Brunei, dia sedang
menyediakan proposal untuk
membolehkan produk mereka tembus pula ke Thailand, Korea Selatan dan Singapore. Kerana dia tahu itu negara-negara
tumpuan orang Muslim memerlukan makanan halal.
“Bos nak rehat dulu? Makan ke?” soal Muiz.
Sejak tadi, Taqrees tak angkat kepala. Sebaik
sahaja habis mesyuarat, mereka berdua terus bekerja. Dia ada juga keluar
mendapatkan minuman untuk Taqrees, tapi Taqrees langsung tidak berganjak.
“Pukul berapa dah?” Taqrees meraup wajah. Bersandar
lelah. Dia toleh ke belakang. Dah gelap. Cepat betul masa berlalu bila banyak
urusan yang belum selesai.
“Dah pukul 9.00 malam ni, bos.”
“Tuhan… tak sedar langsung dah malam.” Dia raup
wajahnya sekali lagi sebelum memandang Muiz.
“Kau oderkan apa-apa untuk aku. Nanti aku
makan. Kau balik dulu.”
“Eh, tak naklah, bos. Semalam saya dah tinggal
bos kerja sorang-sorang. Malam ni saya temankan lah. Saya pun ada kerja ni,”
bantah Muiz sambil tangannya terus mencari menu yang hendak dipesan.
“Tak apalah. Lagipun, semalam Thaqeef datang
temankan aku. Dah lewat ni. Dua tiga minggu lepas kau dah temankan aku sampai
lewat malam. Balik awallah. Lagipun, aku nak e-mel proposal tu dekat kau kejap lagi. Nanti kau cek. Bagi aku pagi esok.”
“Alaa… saya cek dekat ofis pun boleh. Senang
kalau ada pembetulan.” Muiz masih lagi menolak pelawaan Taqrees.
Kening lebat Taqrees terjongket sebelah. Muiz
ni sengaja mencabar dia. Nampaknya, terpaksalah dia gunakan ugutan.
“Kau boleh teman aku bekerja malam ni. Minggu
depan kau cuti sebulan.”
“Hah?” Muiz pantas berdiri. Terkejut. Dipaksa
cuti seminggu pun buat dia tak senang duduk, inikan pula sebulan. Bos ni dah
gila ke apa?
“Kau nak cakap aku gila, kan?” duga Taqrees.
Wajah Muiz pucat. Dia telan liur berkali-kali.
Taqrees rasa nak ketawa. Mudah betul dia nak
telah apa yang bermain dalam fikiran pembantu peribadinya. Tak thrill langsung!
“Pilihlah. Your choice will
determine what will happen next week.” Wajah Taqrees masih tidak beriak biarpun dalam hati dia dah ketawa
mengekek.
“Bossss…”
“Pilihlah,” giat Taqrees.
“Kalau macam tu, saya balik. Bos e-mel dekat
saya. Saya kerja dekat rumah ajelah.” Muiz tidak dapat sembunyikan rasa geramnya.
Dia tekan skrin telefon sekuat hati. Selesai membuat pesanan untuk Thaqeef.
“Bagus-bagus. Pilihan yang bijak.” Taqrees
senyum.
“Bos sengaja, kan?” soal Muiz seraya mengemas
barangnya.
“Ya, aku sengaja. Tapi, kalau betul kau stay temankan aku, aku memang paksa kau cuti
minggu depan. Sudahlah aku gila kerja. Janganlah personal assistant aku pun gila macam aku. Salah sorang gila, cukuplah,” balas Taqrees
bersahaja.
Muiz sengih. Garu kepala.
“Yalah. Saya dah oder makan. Nanti makan. Jangan
balik lewat sangat. Semalam pun, Datin telefon saya tak henti,” pesan Muiz. Dia
menguap tanpa sedar. Fuh… penat rupanya.
“Tapi, bos boleh ke memandu sendiri?” Semalam
dahlah hujan lebat. Punyalah dia risau memikirkan Taqrees yang memandu sendiri.
Ada rasa kesal kerana tak tunggu. Dia nak
carikan seorang pemandu untuk Taqrees tapi Taqrees menolak.
“Jangan risau. Aku dah okey. Lagipun, aku bawa
tak laju.
“Kalau gitu, saya balik dulu. Apa-apa, bos
telefon saya,” pesan Muiz, masih risau.
Taqrees jongketkan senyum pada hujung bibir. Faham
dengan kerisauan semua orang tapi dia benar-benar boleh memandu sendiri.
“Rider dah on the way. Bos makan, tau.” Muiz hilang di
balik pintu.
Pintu kembali tertutup rapat. Kerusi dipusing. Taqrees
bangkit dan menuju ke tepi dinding kaca. Dia renung dada langit yang hitam
pekat. Nampaknya bumi akan disimbah hujan lagi malam ni.
Kilat mula memancar tanda hujan akan turun
bila-bila masa sahaja dari sekarang. Seperti juga malam tadi, mindanya
dilintasi oleh soalan yang sama.
Apakah hujan malam ni juga akan membawa satu
peristiwa asing dalam hidupnya? Boleh jadi juga membawa seseorang yang asing
bersama?
...tbc
Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise. Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.
No comments:
Post a Comment