BERITA yang dia terima daripada Zalikha sedikit sebanyak membuatkan jiwa lelakinya goyah. Ada rasa kasihan namun, perasaan itu cepat padam bila teringatkan pesanan terakhir yang dia baca hanya selepas dia hari dia sedar daripada koma. Pesanan itu dihantar sewaktu dia tidak sedarkan diri.
Betapa tergoresnya hati seorang lelaki. Tidaklah
kerana wanita yang dia rasakan cinta hati itu, telah membunuh cinta.
“Kau ada balas e-mel dia tak?” tanya Thaqeef
sebaik sahaja dia habiskan bacaan yang panjang berjela.
Rajin pula dia baca. Yang menjadi tanda tanya,
Taqrees baca sampai habis ke?
“Kau baca sampai habis?”
Taqrees geleng. Thaqeef sengih. Dah agak dah.
“Eloklah tak baca. Lagipun, kan elok dia lukis
aje. Ini kemain panjang dia buat
karangan. Dia ada cita-cita nak jadi novelis ke? Dia tahu tak orang sekarang
tak suka membaca dan suka tengok gambar aje?” Thaqeef membebel sendiri.
Dia kerling Taqrees dan dia dapat lihat wajah
keras Taqrees. Dia sengih sumbing. Okey… tak kelakar. Dia akan cuba lawak lain
pula lepas ni.
“Aku berhenti bila aku baca dia cakap dia dah
berpisah dengan suami dia…”
“Itu perenggan pertama. Mukadimah. Kau baca itu
aje ke?”
Taqrees angguk pula.
Thaqeef picit kepala yang tiba-tiba sakit.
Bertuah punya abang. Apa jawapan dia nak bagi pada mommy dan abah ni bila dia
sepertinya tak berjaya nak pujuk Taqrees balik tinggal bersama. Tak mampu juga
memaksa kerana dia mengerti, menderitanya hati kerana satu perasaan yang
dipanggil cinta ini, hanya diri sendiri yang boleh ubati.
Jika perlu bersendiri, ambillah masa yang
dirasakan perlu.
Jika mahu menangis, biarkanlah air mata itu
mengalir.
Menjadi saksi hati yang berduka dan terseksa.
Sampai ketika, bibir akan mengoyak senyum
dengan lapang dada.
“Kiranya, kau tak balas langsung?”
“Ya. Aku terus block e-mel dia. Tapi, beberapa minggu lepas receptionist cakap ada perempuan nak jumpa aku. Katanya kenalan lama. Tapi, bila
tanya nama tak diberitahu. Masa tu aku sibuk.
Aku suruh Muiz turun. Muiz suruh
buat appointment, dia berkeras buat drama dekat bawah.”
Thaqeef menyepi seketika. Apa yang ada di hati
Taqrees itu muncul kembali kerana wanita itu juga membuat kemunculan.
“Kau tahu sesuatu tak, Rees…” Tangan Thaqeef
melingkari bahu sasa abangnya.
“Aku yakin kau dah lama move-on. Hati kau dah reda dan kau terima
dengan lapang dada. Kau jadi macam ni, sebab dia tiba-tiba muncul depan kau
dengan status bujang. Boleh jadi, ada rasa kesian. Boleh jadi juga, ada rasa
tak selesai sebab dia bagi mesej aje.
Tak jumpa depan-depan. Percayalah
cakap aku,” pujuk Thaqeef lembut.
“Tapi, aku nak tahu juga… kau nak bagi peluang
kedua untuk dia?” soal Thaqeef lagi.
“Kenapa kau tanya macam tu?”
“Sebab kalau kau baca ayat-ayat dia sampai
habis, aku yakin kau akan tersentuh hati juga. Tapi, eloklah kau tak baca. Aku
baca pun rasa cringe betul.” Thaqeef
buat wajah geli-geleman.
“Dah tu, kau baca buat apa?” Taqrees ketawa.
“Kalau aku tak baca, macam mana aku nak bagi
jawapan pada kau, ba wau dal wau ha!”
Thaqeef tumbuk bahu abangnya.
Taqrees ketawa biarpun dia tahu, Thaqeef
panggil dia bodoh. Well, tak
sentap pun.
“Kalau tentang tu, kau sendiri tahu aku ni
jenis yang tak toleh pada yang buruk itu dua kali,” ujarnya memujuk pandangan
risau Thaqeef.
“Aku tahu. Aku kenal kau, Rees. Tapi, sesuatu
tentang hati ni… benda yang kita tak boleh duga. Kau sendiri tahu macam mana
aku jadi tak betul sebab Deen. Aku menangis macam budak kecil bila dia nak
tinggalkan aku. Aku risau bila kau masih simpan rasa tu pada dia… tak
mustahil…”
Thaqeef tidak meneruskan kata. Kerana Taqrees
sudah lebih daripada mengerti akan apa yang dimaksudkan.
“Aku tak akan terpukau oleh jelmaan yang sama,
Qeef. Percayalah,” janji Taqrees. Kerana memang itulah yang telah dia pahat
dalam hati sejak ditinggalkan begitu sahaja. Tanpa penjelasan.
“Ya dan aku nak kau yakin, dah ada seseorang
yang telah Tuhan cipta khusus untuk kau. Eksklusif. Cuma, cara kau bertemu
dengan dia tu, itu yang jadi rahsia. Siapa tahu, cara kau dan dia berjumpa tu
lebih menyakitkan daripada cara aku jumpa Deen. Boleh jadi juga yang paling
indah di dunia…”
“Terima kasih atas doa kau tapi aku pilih yang
kedua. Yang paling indah di dunia.” Taqrees senyum.
Dia tak lihat dengan mata sendiri petaka apa
yang meliputi Deen dan Thaqeef tapi mendengarkan ceritanya sahaja buatkan
sekujur tubuhnya menggigil. Namun, jika benar Tuhan hadirkan cinta di hati buat
ke sekian kali dengan cara yang begitu menyakitkan untuk mereka akhirnya temui
bahagia, dia hanya berharap hatinya kuat untuk menopang segala ujian.
Mereka sama-sama berdiri. Memandang keluar
cermin. Memandang Merdeka Tower yang sudah siap. Nampak begitu gah dan mewah.
Mercu kejayaan negara tercinta.
“Jadinya, tak nak balik rumah lagilah, ya?” soal
Thaqeef tiba-tiba.
“Lepas aku siapkan kerja ni, aku balik,”
jawabnya.
“Okeylah. Aku cakap dekat mommy. Lagi pun,
mommy bukan ingat sangat dekat kau. Dia sibuk dengan cucu,” usik Thaqeef.
“Kalau macam tu, aku kena cepat-cepat bagi cucu
pada mommy,” balas Taqrees pula.
“Nak bagi cucu, kena bagi menantu dulu.” Thaqeef
mencebek.
“Aku bagilah nanti.”
Mommy… mulut sahaja kata tak mahu cucu dengan
usia rapat tapi mommy memang gembira. Dia juga percaya pada kata-kata Thaqeef. Hari
itu akan tiba. Yang menjadi persoalan, bila dan cara bagaimanakah si dia akan
hadir?
Dia… akan sabar menanti. Bagaimana sahaja
takdir bawa jodoh itu hadir, dia akan terima. Tanpa sebarang persoalan.
“Nak keluar makan?” pelawa Thaqeef.
“Aku banyak kerja lagi. Jadi, aku dah oder
makan. Tapi, untuk aku sorang ajelah sebab kau datang tanpa diundang.”
“Heh… aku pun dah makanlah. Mommy masak.” Thaqeef
mencebek.
Taqrees memeluk erat bahu adiknya. Mereka
memandang ke langit yang tiba-tiba sahaja bertukar warna. Nampak gelap
tiba-tiba. Rintik kasar hujan mula menyentuh cermin.
“Hujan tiba-tiba. Tadi, elok aje cantik nampak
suasana malam,” komen Taqrees.
“Tapi, hujan akan berhenti. Keindahan tu akan
kembali,” sambung Thaqeef sambil mengerling Taqrees.
“Ya… siapa tahu, hujan ribut kali ini bawa seseorang
pada aku, kan?” balas Taqrees pula.
Mereka berbalas senyuman kerana telah
dikatakan, mereka tidak perlukan lebih kata-kata untuk saling memahami.
...tbc
Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise. Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.
No comments:
Post a Comment