Friday, February 10, 2023

Tulus, 17

MATANYA tunak memerhati pesanan yang baru sahaja masuk ke telefon. Tak perasan saat dia menerima tugasan itu. Nama dan alamat yang sama. Menu yang serupa. Boleh jadi ini adalah tugas terakhir yang dia terima memandangkan dia perlu menyiapkan tugasan universiti yang tertangguh.

Ayla dongak ke langit. Biarpun malam masih muda, tapi suasana terasa cukup suram dan gelap. Bila-bila masa sahaja hujan akan turun dan dia perlu cepat agar tidak berlaku peristiwa seperti malam tadi. Ini pun, badannya dah rasa tak selesa sejak pagi. Seram sejuk.

Ayla berhenti di lampu isyarat simpang Jalan Tunku Abdul Rahman bila hujan mula menitis ke bumi. Sebaik sahaja lampu bertukar hijau, dia memecut laju. Menongkat motosikalnya di tempat semalam dan melangkah masuk ke dalam bangunan bila pintu kaca itu terbuka. Belum dikunci lagi. Tak seperti semalam.

Kali ini, dia akan benar-benar tinggalkan di kaunter sahaja memandangkan bayaran telah dibuat dalam sistem semasa pesanan. Bukan cash on delivery.

“Saya hantar pesanan atas nama Muiz.” Ayla letak makanan yang elok berbungkus itu di atas kaunter.

“Oh, Encik Muiz. Boleh aje letak situ. Saya telefon dia,” ujar pengawal keselamatan itu.

Ayla lega. Tidaklah dipaksa untuk naik seperti semalam. Lagipun, dia nak cepat ni. Kilat dah mula memancar. Rintik hujan pula nampak makin kasar.

Motor itu sudahlah tak kuat harung air lagi. Kuala Lumpur ni pantang hujan lebat. Pasti berlaku banjir kilat. Dia masih tak boleh nak beli motosikal baharu ni. Jadi, dia perlu berhati-hati. Kos baiki yang rosak semalam pun, buat dia rasa nak menangis.

“Kejap lagi bos turun,” beritahu pengawal itu pada Ayla.

“Kalau macam tu, saya pergi dulu. Terima kasih.” Ayla melangkah keluar.

Baru sahaja melepasi pintu kaca itu, guruh berdentum kuat. Hampir sahaja dia terduduk. Hujan dengan tiba-tiba lebat. Seperti menyekat perjalanannya. Dia hampir mengeluh tapi di tahan. Siapalah dirinya nak melawan kehendak alam. Ayla toleh ke belakang. Dua orang pengawal itu sedang mengunci pintu.

Jam sudah bergerak ke angka sepuluh. Dia menunda motosikalnya naik ke kaki lima. Dia menunggu di kaki lima, dekat dengan tiang besar.  Berlindung daripada tempias. 

Suasana malam tiba-tiba menjadi begitu sunyi biarpun baru sahaja jam sepuluh. Tak banyak kereta di atas jalan raya. Sepertinya, hujan telah menghilangkan semua itu.  Yang ada hanyalah bunyi rintik hujan yang kasar. Dia dapat lihat beberapa orang penunggang motosikal juga berhenti di perhentian bas di jalan bertentangan. Tidak sanggup menunggang dalam hujan yang lebat. Boleh mengundang bahaya.

Waktu ini, fikirannya menerawang mengingati mak. Ada masa, teringin juga dia nak tatap wajah anak Ayna. Dia tak tahu apakah anak lelaki atau perempuan. Dia harap mak benar-benar bahagia bersama Ayna dan cucu mak. Melihat cara mak senyum tempoh hari, dia tahu keputusan mak untuk menghalau dia pergi dan membiarkan Ayna tinggal di rumah itu, adalah sesuatu yang tepat.

Benar gamaknya bagai yang ayah kata. Punca mereka berantakan adalah dia. Bukan orang lain. Sedangkan sejak sekian lama, dia rasa dia yang cuba membuat mak bahagia. Siapa sangka, mak tak bahagia kerananya. Dia yakin, ayah dan Ayna punca mereka sengsara. Siapa menduga, perkara itu adalah sebaliknya.

Kasih sayang mak pada ayah dan Ayna, tidak sama seperti kasih sayang mak padanya. Sayang mak padanya, hingga sanggup menghalau dia pergi. Sayangnya mak pada ayah dan Ayna, hingga mak mampu memaafkan biarpun betapa hati mak disakiti.

Birai mata Ayla terasa basah. Cepat-cepat dia kesat. Tak akan dia biarkan air mata itu menitis sekarang. Tak akan. Seperti pernah dia katakan. Itu pilihan mereka dan mereka bahagia. Ini juga pilihannya. Bahagia atau tidak, dia akan tentukan sendiri.

Ayla rasakan hanya seketika dia berada di situ. Melayani memori lalu yang lebih banyak kepedihan bukanlah kemahuannya. Tapi, memori itu sering kali menerjah mindanya secara paksa. Dia melihat jam di pergelangan tangan. Sudah hampir dua jam berlalu dan hujan masih lagi lebat. Rasanya, jika setengah jam lagi hujan masih tak berhenti, dia perlu bergerak juga.

Badan yang sudah sedia tidak sihat, makin terasa lemah. Dia batuk dan bersin berkali-kali. Tubuhnya juga mula terasa bahang. Dia susah untuk jatuh sakit. Tapi, bila sakit tu… susah pula nak baik. Suaranya sudah semakin parau.

Ayla menoleh bila terbias di matanya bayangan seseorang melangkah keluar dari bangunan. Dari jauh, dia nampak seorang lelaki sedang berdiri di kaki lima yang masih berbumbung.

Dia pandang sebuah kereta yang hanya diparkir sepuluh meter di hadapan. Dahinya berkerut. Dia lupa kereta lelaki yang menumpangkan dia semalam. Tapi, melihat susuk tubuh sasa itu, dia yakin itu adalah lelaki yang sama. Lelaki yang telah dia lupa namanya. Boleh jadi juga nama lelaki itu Muiz.

Ayla koyak senyum tanpa sedar. Lelaki itu memasang langkah panjang menuju ke kereta.

Tapi, senyuman Ayla mati bila tiba-tiba saja lelaki itu diserang oleh dua orang lelaki bermotosikal. Dia bangkit pantas. Lelaki itu cuba melawan namun, hentakan topi keledar pada kepalanya, membuatkan tubuh sasanya terhuyung-hayang dan jatuh melutut.

Ayla kerutkan wajah. Dia tahan dirinya daripada masuk campur urusan orang. Dia keluarkan telefon dan cuba menghubungi pihak berkuasa tapi tingkahnya kaku bila dia nampak kilauan belati yang hampir menikam lelaki itu.

Entah apa yang mendorongnya, dia tak tahu. Selama ini, dia tak pernah kisah dengan apa sahaja kejadian yang berlaku di depan mata. Dia tahu setiap tindakannya boleh dikatakan seperti mementingkan diri sendiri tapi inilah cara dia menjaga dirinya selama ini. Dia tak akan biarkan dirinya terlibat dalam masalah.

Ayla benar-benar tak tahu. Dia hanya sedar, bila dia sudah ada di depan lelaki itu dan belati itu sudah menembusi perutnya.

Tiada rasa.

Hanya darah merah yang mengalir bersama air hujan yang masih lebat.


...tbc


Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise.  Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.



2 comments:

  1. Nak lagi bole tak RM? 🤭 lame nye nk tgu dpt fizikal novel.. 😩

    ReplyDelete
  2. Nak lagi ..x sabar la nk tau seterusnya

    ReplyDelete