Friday, February 10, 2023

Tulus, 3

SEKUJUR tubuhnya menggigil. Bibirnya bergetar tapi dia langsung tak mampu untuk berkata-kata. Melihat segala hasil penat lelah mak berniaga di awal pagi dan berjaga pada malamnya hilang begitu sahaja tidak sepedih apa yang sedang terjadi di depan mata.

Pertama kali dia melihatnya sendiri, hanya maki hamun yang mahu dia hamburkan.

“Syitah tak bayar lagi sewa rumah bulan ni, abang,” ujar Masyitah.

“Hutang Kak Safiah pun dah lama tertangguh,” tambah Masyitah dengan perasaan sebu.

“Tak apalah. Syitah bagi abang guna dulu. Nanti dah ada duit, abang ganti. Abang pergi tak lama. Kawan abang cakap ada kerja dekat situ. Nanti abang kirim duit.”

Ayla dapat dengar suara ayah memujuk mak. Maka benarlah bila pepatah mengatakan lembut gigi daripada lidah. Itulah yang dapat dia gambarkan cara ayah sekarang.

“Tapi ini, untuk bayar yuran periksa dan buku Ayla. Lagipun, kat dapur tu tak ada apa nak makan. Dah lima tahun saya janji nak hadiahkan dia kasut baru. Yang ada sekarang pun sepasang itu ajelah. Itulah yang dia buat bersukan, itu juga yang dia bawa pergi sekolah. Pakai hari-hari pun itulah. Jangan kata lusuh, dah koyak dah. Semalam saya nampak dia jahit lagi yang koyak tu. Dah hampir hilang tapak. Saya dah janji nak belikan kasut untuk Ayla. Syitah betul-betul tak boleh beri pada abang.”

Ayla dengar suara mak memujuk. Ya, mak dah janji nak belikan kasut baru untuknya. Sejak dia di tingkatan empat, mak berjanji tapi kini, dia sudah menginjak ke usia sembilan belas tahun. Rasanya, dia dah tak perlukan semua itu. Bukan sekali dia menolak, tapi mak berkeras mahu menunaikan janji. Jujurnya, dia sedang bekerja sambilan di sebuah pasar raya demi mencari belanja untuk diri sendiri kerana tak mahu menyusahkan mak.

Betapa dia berniat untuk tidak menyusahkan mak, nampaknya masih ada yang lain akan terus menyusahkan. Mendengar suara ayah, dia tahu ada harapan yang berbisik di hati. Moga segalanya kembali pulih biarpun ayah begitu jarang pulang. Bila kembali, hanya tahu menyusahkan. Ayah sering berjanji tapi janji itu adalah sekadar ucapan daripada lidah yang tidak bertulang.

Anehnya, bila mak terus pilih untuk percaya. Bukan sekali dia katakan kebenaran pada mak tapi setiap kali mak pilih untuk percaya yang ayah akan berubah. Setelah berbelas-belas tahun. Bagaimana mak boleh letakkan rasa percaya itu bukan pada tempat yang sepatutnya?

“Ala, Ayla tu biarlah dulu. Nanti abang dapat gaji, abang bagi dia beli apa aje dia nak.”

Senyuman sinis tersungging pada bibir Ayla. Bukan sahaja mak, tapi dia juga sering menerima janji palsu itu. Cumanya, dia pilih untuk berhenti percaya setelah bertahun-tahun terasa diri diperbodohkan oleh ayah sendiri.

“Syitah benar-benar minta maaf kali ini, abang. Kali ini aje Syitah tak dapat nak bagi. Ayla nak periksa. Dia perlukan semua ni. Paling tidak, kami kena makan. Ayla selalu elak makan di rumah sebab dia kata dia dah makan dekat sekolah sebab tak nak susahkan kita…”

“Tak nak susahkan kita apanya, Syitah? Sejak tadi kau tu asyik Ayla… Ayla… Ayla… kalau dah macam tu, memang sejak dia lahir dia dah menyusahkan kita.” Ayah mula melengking. Nada dan suara ayah berubah keras dan kasar.

Ayla dengar esakan mak.

“Eh, Masyitah. Kau dengar sini. Kau sedar tak lepas Ayla lahir, hidup kita jadi susah macam ni. Kakak dia pula, dah kahwin lari ikut jantan kaya mana entah, sampaikan tak jumpa jalan balik. Tinggal Ayla yang sial tu. Kan aku dah janji, nak ganti lepas aku dapat gaji nanti. Apa yang kau susah sangat nak faham?” Suara ayah kian berdentum.

Herdikan ayah jujurnya, pernah membuatkan dia menitiskan air mata. Tapi kini, tidak lagi. Setelah dia berhenti percaya pada lelaki itu, air matanya juga turut sama berhenti mengalir.

Namun, tangis mak telah membuatkan darahnya menggelegak. Andai sebelum ini, dia berlalu membiarkan mak dan ayah bertelingkah, kali ini tidak lagi. Dia bukan lagi kanak-kanak yang hanya tahu menyorok bila semua ini terjadi. Dia sudah hampir masuk ke alam dewasa.

“Kalau kau tak nak bagi, kau ingat aku tak boleh ambil sendiri ke?” marah ayah.

“Jangan, abang.”

Ayla dengar suara mak merayu dan meraung.

Kali ini, dia tak akan berdiam diri. Dia tolak daun pintu bilik mak sekuat hati. Kedua orang tuanya menoleh dan matanya hampir terjegil melihat ayah mencekak rambut mak.

“Ayah, lepas rambut mak sekarang!” Jerit Ayla.

“Kenapa? Kalau aku tak lepas, kau nak aku buat apa?” Anuar mengangkat wajah. Mencabar Ayla.

Ayla hempas beg galas dan kayu hokinya.

“Jangan paksa Ayla buat apa yang Ayla tak suka!” Dia capai pasu kaca di tepi almari mak dan diacukan pada ayah sendiri.

“Oh, kau nak bunuh ayah kau sendiri?” Anuar ketawa.

“Kau ingat aku takut?” Cengkaman pada rambut Masyitah dikejapkan.

Dahi Ayla berkerut. Mak tidak lagi meraung tapi air mata itu mengalir laju. Jika perbuatan dirinya menyelamatkan mak dikira satu dosa besar, biarlah dia tanggung dosa ini selamanya. Andai keputusan gilanya akan buat dia berdiri di balik jeriji besi, dia juga rela.

“Ayla bagi amaran sekali lagi. Kali ini aje dan Ayla akan betul-betul pukul ayah.” Ayla tarik nafas dalam. Matanya mula berair menahan amarah yang memuncak.

“Lepaskan mak Ayla!” tempiknya.

“Anak biadab!” Suara Anuar bergema. Dia menolak isterinya hingga tersungkur di birai katil lantas meluru ke arah Ayla.

Melihat ayahnya yang maju, Ayla mengotakan janji. Dia campak pasu kaca itu ke wajah Anuar tapi lelaki itu lebih pantas menepis. Kuat. Hinggakan pasu itu pecah dan melukakan tangan namun serpihannya berhamburan pada mak.

“Mak!” Ayla meluru pada Masyitah namun penampar Anuar hinggap tepat ke wajahnya.

Dia jatuh tersungkur di atas serpihan kaca. Darah hangat mula mengalir daripada luka yang menghiris kulitnya.

“Kau bagi, Syitah. Aku janji aku tak akan cederakan sesiapa! Kau jangan sabar cabar aku, Syitah!” Marah Anuar lagi. Rambut Masyitah dicengkam lagi.

“Tolonglah, abang. Jangan…” Masyitah menyeringai menahan pedih. Malah, lebih pedih melihat Ayla yang tersungkur. Dia tahu Ayla sedang sakit tapi riak wajahnya pula sebaliknya.

Rayuan Masyitah tidak dihiraukan. Anuar angkat tangan mahu menampar wajah isterinya bila Ayla bangkit tanpa menghiraukan luka. Dia capai kayu hoki tersebut dan diayun tepat di atas belakang Anuar.

Kali kedua, dia angkat kayu itu lebih tinggi.

Matanya merah dan basah.

Yang ada di depannya saat ini, bukanlah seorang manusia. Tapi, syaitan yang muncul dalam jasad manusia yang dikatanya suami dan ayah.


...tbc


Pra-tempah sekarang bersama beberapa tajuk cetak semula terbitan Blogijau Enterprise.  Untuk sebarang pertanyaan, emel ke blogijau@gmail.com atau inbox di Meta Bussiness Rehan.Makhtar.




No comments:

Post a Comment