Tuesday, February 27, 2018

Kau Bicara Tentang Cinta 23

WAJAH Rizqi suram.  Dia pandang makanan yang dibungkus untuk Sera.  Tapi sayang, niat baiknya terpaksa dia simpan sendiri bila melihat senyuman Sera begitu lebar di depan Buya.  Apa yang tak kena?  Andai benar Sera tak suka akan lelaki itu, mana mungkin senyuman Sera begitu manis? 

Hati lelakinya terluka.  Sera menafi dengan lidah.  Tapi, Sera tak dapat bohongi dengan tingkah.  Rizqi geleng kepala berkali-kali.  Rasa nak menangis.  Semudah itu Sera serahkan hati pada Buya yang baru dikenali?  Atau kerana rasa terhutang budi pada arwah ayah Buya? 
Sampai hati Sera.  Sedangkan dia yang sudah begitu lama mencintai, Sera hanya buat tak tahu biarpun dia yakin, Sera sedar tentang perasaan dia. 
“Hey, Riz…  kenapa ni?”  Naz yang sejak tadi melihat Rizqi muram, menyoal sebaik saja dia duduk di sisi Rizqi.  Lain macam sungguh.
Dia pun tak sangka Rizqi call nak jumpa kejap.  Kata semalam sibuk.  Dia pun sibuk jugak sebenarnya.  Tapi, sekarang waktu makan tengah hari, bolehlah keluar kejap.  Ini pun tak boleh lama.  Dokumen untuk mesyuarat petang ni, masih tak selesai. 
“Riz?”  seru Naz sekali lagi bila Rizqi hanya tunduk seperti dia tak muncul.  Dahinya berkerut melihat plastik yang ada di sisi Rizqi. 
Makanan?  Untuk siapa?  Dia?  Tak mungkin.  Sera? 
“Kau pergi kedai Sera ke?” 
Rizqi angguk. 
Pelik.  Itu yang Naz fikir sekarang.  Biasanya kalau jumpa Sera, Rizqi akan koyak sengih paling lebar. 
“Habis tu, apa masalahnya sampaikan kau murung semacam ni?  Tak pernah pulak aku tengok kau muka kelat gini-gaya lepas jumpa Sera?” 
Kali ini barulah Rizqi angkat wajah.  Berpaling pada Naz dalam senyuman paksa.  Matanya nampak berkaca-kaca.  Tak terluah rasanya. 
“Aku bawak makan tengah hari untuk Sera…”
“Okey.  Lepas tu…”
“Aku lambat, Naz.  Terlambat sangat gamaknya.  Mungkin sebab banyak buang masa tak?”  duga Rizqi sendiri.  Dia tergelak kecil. 
Kelakar sungguh.  Bertahun kenali Sera, sepatah pun dia tak pernah luahkan perasaan dia pada Sera.  Kerana bimbang, rasa itu akan menghancurkan persabahatan antara mereka.  Sudahnya, dia ternganga sendiri.
“Okey, Riz… serius aku memang tak faham.  Tak dapat tangkap apa yang kau nak sampaikan ni…”  Wajah Naz jelas kebingungan. 
Dia pandang dalam plastik.  Ada dua.  Dia tahu, satu dah tentu untuk dia.  Rizqi memang menjaga persabahatan mereka.  Jika satu dihantar untuk Sera, satu lagi pasti ada untuk dia jika masing-masing sibuk dengan kerja. 
“Buya ada dekat kedai Sera…” 
“Hah?  Macam mana dia boleh ada dekat situ?”  Tidak ke Sera dah larang?  Atau apa dah jadi malam tadi lepas Sera ikut Buya balik? 
Dia pun tak sempat nak tanya Sera. 
“Kau tahu, Naz… itu bukan lagi persoalannya.  Yang buat aku terkedu, senyuman Sera lebar kemain.  Senyuman yang memang aku dapat rasa, bukan senyuman yang biasa aku tengok dekat wajah dia…”  Tak mampu dia nak sebut bila lihat Sera hidangkan bekal untuk Buya. 
Itu hanya akan membuatkan hatinya lebih tersiat.  Jika tidak kerana Sera sukakan Buya, kerana apa lagi?  Lelaki itu sepertinya telah berjaya menakluki seluruh jajahan hati Sera. 
“Riz, dengar sini… kau jangan terus buat kesimpulan sebelum tanya Sera dulu.  Nanti, buatnya kau salah faham tak ke naya aje kita syak kawan baik kita yang bukan-bukan.  Lagipun, kau bukan tak nampak semalam macam mana Sera cakap dia tak suka Buya.  Mak su dia tak suka…”
“Mak su dia yang tak suka, Naz.  Aku tak rasa Sera tak suka…”  Bukan nak sangkal kata-kata Naz tapi bila ingatkan akan soalan Buya pada Sera akan perkara itu, Sera sendiri hanya mampu berikan jawapan yang samar-samar. 
“…lagipun, kau tak tengok dengan mata kau cara Sera layan Buya, Naz.”  Rizqi pandang Naz.  Airmatanya hampir menitis buat pertama kalinya setelah bertahun mereka menjadi sahabat. 
Dia dah tak mampu bersuara.  Sepatah lagi kata yang terbit, akan buatkan airmatanya mengalir. 
“Rizzzz…”  Tak mampu berkata apa, Naz hanya menyeru nama Rizqi panjang.  Dia tahu Rizqi kecewa dan dia juga terasa yang sama.
Dalamnya cinta Rizqi pada Sera hingga lelaki ini langsung tak sedar akan kesetiaan dia menanti Rizqi selama ini. 
“Nanti aku tanya Sera…”
“Jangan, Naz,”  larang Rizqi. 
“Apapun perasaan Sera, aku tak salahkan dia.  Salah aku sebab tak pernah luahkan cinta aku pada dia walaupun sekali.  Sekarang, aku memang dah terlambat.  Sangat.  Aku cuba pujuk yang Sera tu kawan terbaik aku. Kau pun sama.  Aku nak dia ada dengan aku selamanya biarpun sebagai sahabat.  Tapi, hati aku tetap merajuk, Naz… sakit sangat…”  Kali ini, Rizqi mula mengesat birai matanya.
Tunduk.  Malu pada Naz.  Tapi, hanya pada Naz dia luahkan rahsia hatinya selama ini bila dia benar-benar berharap cinta Sera menjadi miliknya.  Namun kini, semua harapan itu akan berkubur begitu saja.  Tanpa tanda. 
“Kau sabar, Riz.  Bagi aku tanya Sera betul-betul tentang dia dengan Buya.  Kau tu, tenangkan hati.  Apa-apa nanti, aku bagitahu kau.  Kalau kau rasa tak boleh nak cakap dengan Sera sekarang, tak apa.  Ambik masa.  Tapi, jangan sampai Sera perasan pulak.  Kau tahulah Sera tu.  Dia cepat sungguh dapat instinct tentang hal-hal macam ni.  Lebih-lebih lagi kita ni.”  Perlahan, Naz memujuk. 
Akhirnya, Rizqi angguk.  Matanya masih tergambar akan kemesraan Sera melayan Buya.  Semudah itu, Sera… kau serahkan hati. 



LEHER dipanjangkan.  Dilempar jauh pandangan ke jalan raya.  Mana Rizqi ni?  Sepatutnya tadi dah sampai.  Padahal semalam dah janji nak datang teman dia dekat kedai lepas habis kerja.  Sibuk sangat ke?  Kotya pun sibuk, tak kan segala pesanan dan panggilan tak berjawab?  Atau Rizqi out-station lagi? 
Aneh. 
Hati Sera rasa tak sedap.  Dia tutup pintu kedai.  Nombor Naz didail.  Tak lama, suara gadis itu menyapa di hujung talian. 
“Kau sibuk?”
“Sangat.  Aku dekat ofis lagi ni.  Ada kerja urgent,” jawab Naz sedikit kalut.  Nak cepat. 
“Kau dekat kedai lagi ke?”
“Ya.  Riz tak datang pulak.  Dia ada masalah ke?” 
Naz terus pegang telefon yang sejak tadi dikepit antara telinga dan bahu.  Dia hela nafas panjang.  Kertas laporan yang tersusun di depan, hanya mampu dipandang saat ini.  Kan masin mulut dia.  Sera memang akan cepat perasan andai ada perubahan dalam diri dia dan Rizqi. 
“Kau tak cuba telefon dia?”
“Tak jawab…”
“Whatsapp?”
“Bluetick pun tak.  Tak baca langsung la tu.  Dia kena out-station lagi ke?”  Hati Sera dibadai resah.
Macam mana kalau Rizqi singgah tengah hari tadi dan nampak dia bersama Buya?  Kerana itukah Rizqi menyepi?
“Dia okey ke, Naz?” 
“Seraaaaa…”  Naz lepaskan nafas berat.  Duduk dilabuhkan.  Sejak tadi berdiri. 
“…aku pun tak tahu nak cakap apa.  Eloklah kau tanya Riz sendiri.  Tengah hari tadi dia ada datang jumpa aku dan sebelum tu dia…”  Naz jeda.   Meminta agar Sera sendiri mampu menyambung ayatnya.
“Dia datang kedai aku?”
Sepi.  Tiada sahutan daripada Naz.  Hati Sera mengucap panjang.  Dah tentu Rizqi nampak dia dan Buya.  Tepat seperti apa yang dia telah. 
“Kau pun tahu perasaan dia pada kau, kan?  Bukan baru semalam Sera.  Tapi dah lama.  Cuma dia tak cakap.  Dia sayangkan persahabatan kita lagi.  Dia takut kalau-kalau kau tolak dia, persahabatan tu runtuh sekali.” 
Lama Sera mendiamkan diri.  Mencerna setiap kata-kata Naz.  Ya, dia dah lama tahu perasaan lelaki itu pada dia.  Malah, dia juga nampak perasaan Naz pada Rizqi.  Kerana itu dia hanya berlagak tiada apa.  Namun, itu bukan sekadar alasannya.  Sebab yang kukuh adalah dia sendiri hanya anggap Rizqi sebagai kawan.  Kawan terbaik. 
“Kau pun tahu perasaan aku pada Riz macam mana, kan?”  soal Sera kembali.  Bukan nak saiko Naz.  Tapi, itu kenyataan.  Naz tahu tu. 
Naz gigit bibir bawah.  Aduhai… seorang macam ni, seorang macam tu. 
“Aku pun tak tahu nak kata apa, Sera.  Kau selesailah dengan dia sendiri.  Kalau boleh bagi peluang untuk ubah perasaan kau pada dia…”  Bicara Naz terhenti lagi.  Dia diam lama.  Menimbang apa yang bermain dalam kepala.
Mencari kesasihan.  Sera pernah nafi sekali.  Dan kali ini, jika dia menduga, adakah penafian masih menjadi jawapan?
“Atau kau sebenarnya dah serah hati kau dekat Buya?” 
Menerima soalan Naz, Sera telan liur.  Bukan dia serahkan hati pada Buya.  Tapi, Buya begitu hebat menawan hatinya hinggakan dia sendiri tak sedar, bilakah lelaki itu menakluki sekeping hati kecil yang selama ini tidak pernah dia izinkan mana-mana lelaki hampiri. 
“Aku tak serah hati aku dekat dia, Naz…” 
“Tapi?”  Naz tak sabar.   Rasa nak aje dia masuk dalam telefon ni dan muncul depan Sera. 
“Dia yang tawan hati aku,” jawab Sera lambat-lambat. 
Matanya terasa basah.  Rasa bersalah pada Rizqi jatub bertimpa-timpa.  Entah bagaimana dia nak hadapi Rizqi yang begitu setia dan tak pernah lelah membantunya. 
“Kau sedar tak jawapan kau tu Sera?”  Naz tolak semua kerja ke tepi.  Nak fokus pun tak boleh.  Terkejutnya dia dengan jawapan Sera biarpun dah dapat agak.  Dia masih berharap Sera menafi biarpun itulah hakikatnya. 
Tapi, Sera mengakuinya?  Ini sangat mengejutkan. 
“Kau sedar kan… mak su tak suka.  Kau sanggup lukakan hati mak su?” 
“Aku cuma terus-terang dekat kau yang aku jatuh cinta dekat Buya.  Aku tak pernah terlintas yang hubungan aku dengan dia akan jadi lebih jauh…”
“Tapi, saya dah lama fikir semua tu, Sera…” 
“Hah?”  Nafas Sera mengah.  Telefon di tangan jatuh ke lantai bila Buya muncul entah daripada mana.  Tak dengar langsung.  Atau dia terlalu larut dalam luahan perasaannya. 
“Awak buat apa dekat sini?” 
Bahu Buya terjongket.  Kakinya menapak ke depan beberapa langkah sambil menyinsing lengan baju kemeja hingga ke paras siku.  Kemudian dia berhenti di depan Sera yang nampak kaku.  Wajah Sera, wajah nak meraung.  Sedangkan dia, seperti ada kupu-kupu yang sedang mengepak di dalam dada.
“Saya baru habis kerja.  Saya fikir, tentu awak kerja lewat lagi.  Saya saja singgah.  Tak tahu awak ada ke tak.  Rezeki saya, awak memang ada.  Dan, rezeki saya lagi bila saya dengar sesuatu yang saya nak dengar daripada mulut awak selama ni…”  Mata dikenyit. 
Dahi Sera berkerut.  Liur yang ditelan terasa pahit.  Entah apa yang nak dia katakan sekarang.  Sepatutnya bukan begini.  Buya tak boleh tahu perasaan dia pada lelaki itu.  Tapi sekarang…
“Boleh awak lupakan apa yang dah awak dengar tadi?”  pinta Sera tiba-tiba.
Buya ketawa kecil.  “Macam mana saya nak lupa?  Benda tu sekarang dah macam MP3 Player.  Ulang ulang dan terus ulang.  Kenapa?  Awak nak tipu diri sendiri?  Nafi perasaan awak pada saya?”  soal Buya, menempelak.
“Saya…” 
“Terlajak perahu boleh diundur, Cik Sera…”  Kening Buya terjongket bila dia lihat Sera langsung tak boleh bersuara.  Hanya dahi licin itu berkerut tak henti-henti. 
Buya tarik bangku.  Duduk.  Melangut pada Sera yang masih tegak berdiri.  Pandanglah Sera daripada sisi mana pun, memang perempuan ni cantik. 
“Tadi, sebelum sampai perut saya lapar gila.  Bila sampai dengar awak cakap gitu, tiba-tiba kenyang,” ujar Buya. 
Sera masih diam.  Buya gigit bibir.  
“Kalau awak sibuk, saya pergi dulu.”  Dia angkat tubuh. 
Sera masih menyepi. 
Buya hayun langkah ke pintu.  Tercalar ego dia bila Sera masih diam, tak halang langsung.  Tapi sekarang, tubuh dia pun terlalu penat.  Rasa nak tidur aje.  Lapar, jangan cakaplah.  Konon dengar Sera cakap cintakan dia terus kenyang?  Tolonglah jangan percaya kalau perempuan atau lelaki cakap macam tu.  Tak boleh pakai.  Perut lapar, kena makanlah. 
Tangan dah pegang handle pintu.  Baru nak tarik, Buya senyum.  Suara itu… Menahan dia akhirnya.
“Mak su saya tak suka awak…” 
Ayat yang sama.  Buya tak jadi keluar.  Dia kembali dekati Sera.  Mak su bukan masalah utama biarpun dia tahu Sera terlalu patuh pada mak su. 
“Tak apa.  Cukuplah awak aje suka saya…”
“Mak su benci keluarga awak…”
“Tak kisahlah.  Dah memadai awak sayang saya…”
“Mak su tak boleh pandang pun awak… tak boleh dengar nama awak…”
“Selagi awak nak pandang saya, nak sebut nama saya… itu dah lebih daripada cukup…”  Senyuman penat Buya koyak.  Mata kuyu itu juga turut tersenyum.
“Senang, kan?  Pada awak?” 
“Nope…”  Buya geleng.  “Cuma saya tak nak terus rumitkan benda.  Setidak-tidaknya, saya ada awak.  Tapi sekarang ni…”  Wajah Buya berkerut seribu. 
Sera kerut kening. 
“Saya lapar sangatlah.”
Bahu Sera jatuh.  Ingatkan apalah tadi.  Sungguh… dia sudah jatuh cinta pada lelaki ini.  Bukan pada kali pertama, malah sebelum bertentang mata.  Sejak itu.  Yang dia tak tahu bila. 
Lambat-lambat Sera senyum.  “Saya teman awak makan…”
“Lepas tu, saya teman awak buat kerja, okey?”
“Tak nak.  Awak kena terus balik.  Saya banyak kerja.  Awak tak boleh kacau.  Lagipun, saya nampak awak letih sangat.  Kalau kata awak pengsan, saya biar aje awak dekat situ…”
“Sanggup?”  Buya buat muka sedih.  Sampailah hati.
“Perlu ke saya dukung awak?” 
Buya ketawa kecil.  Menggosok belakang leher yang terasa sengal.  Kelopak mata terkatup rapat.  Lama.  Seperti menikmati sesuatu.  Sesuatu yang dia panggil kemenangan.
“Saya kuat.  Saya akan kuat untuk awak dan saya,” jawab Buya.
“Tapi, awak tak akan tarik balik kata-kata awak, kan?”
“Yang mana satu?”  Sera tak faham. 
“Yang awak cinta…”
“Eh, kata lapar.  Jom-jom.  Orang banyak kerja ni…”  Sera capai beg dan terus berlalu ke pintu. 
Malulah.  Tak mungkinlah dia mengaku secara lisan dan secara langsung depan Buya.  Ianya sangat memalukan! 
Tapi… Sera toleh pada Buya yang sedang hampiri dia.  Awak mesti dah dapat dengar betapa kuat hati saya laungkan cinta pada awak, kan? 
Kelopak mata Buya berkedip sekali.  Untuk dua saat.  Seperti mengerti soalan yang Sera lontarkan melalui pandangan mata yang begitu ayu. 

Saya tahu, Sera!  

22 comments:

  1. Tq2 akk😘woaaa sera dh ngaku Ni...teruja nk tggu next chapter bila mksu Jd Naga berapi😂

    ReplyDelete
  2. Saya harap awak betul-betul ikhlas pada Sera. Ehhhh

    ReplyDelete
  3. I smell fake love from buya here..
    The smell so stingy..
    Why sera can not smell it?

    ReplyDelete
  4. Nak tau next story tapi rasanya sambungan versi cetak ni ��

    ReplyDelete
  5. Klu tulisan RM msti pandai baca bahasa hati

    ReplyDelete
  6. Woahh..Woahh...Sera dah mengaku....walaupun Buya ada niat lain...harapnya dia akan terkesima dgn huluran cinta Sera kelak.
    Azzna

    ReplyDelete
  7. Alamak ...kantoi confessed dpn buya.. malunye hai 😂 hmm tp buya tu, nape rasa kemenangan? Klu ikhlas menyintai sera, Xkan timbul rasa menang 🤔 thx RM for the update 🌹🌷

    ReplyDelete
  8. waaa.... akhirnya sera mengaku walau bukan sengaja... hehehe

    ReplyDelete
  9. Cinta dh terluah... Tp... Adoi suspen

    ReplyDelete
  10. Buya. Satu je Buya. Jangan sampai nanti kau sendiri yang menagih sebuah kemaafan dari Sera!

    Widad Amsyar

    ReplyDelete
  11. bagaimana Buya akan berdepan dengan mak su Sera...aduhai...stressnya Mak su nanti bila sera gagal ikut kehendaknya...

    ReplyDelete
  12. Yeayyyyy..love u sera, haha serai la dilah..huhu
    But tahniah sera sbb dah brjaya terus terang

    Btw tq kak rm ntuk entry ni

    ReplyDelete
  13. Ada muslihat ke buya ni.. hmmm tolkng la jgn mainkan hati & perasaan sera..

    ReplyDelete
  14. jgn la nti buya mainka sera je....tlg la baik2 aje

    ReplyDelete
  15. haruskah...???sera...sera...lom tentu kau menang buya..ahakkss..sy pulak yg emo..:)

    ReplyDelete
  16. Salam bila nk smbng nii..hari2 sy buka tp 😂😂😂😂..

    ReplyDelete
  17. Sis Rehan..penantian itu suatu penyeksaan... tak sabar menanti cerita seterusnya.. 😜

    ReplyDelete
  18. Salam kak rehannnnnn...😥😥😥 Bila nk smbng...berkurun dh sy tunggu...sy rindu😍😍😍

    ReplyDelete