Friday, March 04, 2022

SUMPAH 13

RAUNGAN dan tangisan itu benar-benar kedengaran cukup sayu dan hiba. Deen menekup wajahnya dengan kedua-dua belah telapak tangan. Cuba menahan suara pedih itu terus pecah. Tapi, dia gagal. Setiap kali, suara tangisnya akan semakin kuat.

Sudah dua minggu ayah pergi dan dia masih berkurung dalam rumah. Setiap panggilan telefon, langsung tak disambut. Setiap salam di muka pintu juga tidak disahut. Segala rayuan juga dia tak hiraukan.

Dunianya terasa gelap. Di luar sana entah malam atau siang, boleh jadi ribut atau taufan, dia juga tidak peduli. Dunianya kini seperti kehilangan matahari. Gelap gelita. Rumah yang selama ini begitu ceria biarpun hanya berdua, kini suram didiami duka.

Dia sedang menderita.

Siang berganti malam dan malam berganti siang. Deen tahu dia tak boleh selamanya begini.

Dia punya amanah yang ayah tinggalkan untuk diuruskan. Bersamanya ada harapan beberapa orang yang masih memerlukan.

Genap sebulan berlalu, tangisnya berhenti. Esakannya juga sama. Namun, senyumnya juga terbunuh. Deen hanyalah sekadar jasad yang masih bernyawa. Hari ini juga, pertama kali dia beranikan diri menziarahi pusara ayah.

Kemboja itu nampak subur dan berbunga mekar. Bagaikan sudah begitu lama ayah pergi. Dia duduk di birai pusara yang sudah dibersihkan daripada rumput halus. Bagai baru sahaja dibersihkan. Boleh jadi Pak Omar.

Dia mendongak ke langit yang terang bersama udara pagi yang nyaman lagi menenangkan. Rasanya, tempat ini akan menjadi tempat kegemarannya bagi mengurangkan beban rindu pada ayah. 

Rindu yang tak pernah mampu diubati.

Ada masa, dia rasa dia lebih rela ayah pergi meninggalkan dia seperti mama pergi. Asalkan dia tahu ayah masih hidup dan bahagia di satu tempat. Biarpun tanpanya, dia yakin itu lebih mudah diterima.

Perbualannya dengan ayah malam terakhir itu cukup memberi kesan. Betapa ayah mahukan dia mencari teman kerana bimbang dia bersendiri. Ayah seperti tahu yang ayah akan pergi meninggalkan dia sendiri.

Boleh jadi, jika dia tak menggesa, ayah masih ada.

Deen akhirnya tundukkan wajah. Memandang pusara ayah buat kali terakhir sebelum dia berlalu dari situ dengan berat hati. Dia masih ada tanggungjawab lain. Dia hidup bukan untuk dirinya sendiri tapi masih ada orang lain yang berharap padanya. Hanya dengan itu, dia meneruskan langkah. Biarpun payah.

KAKINYA tak jadi mendekati pusara itu. Sejak sebulan lepas, setiap minggu Thaqeef tak pernah gagal untuk menziarahi pusara itu dan membersihkannya kerana dia tahu, Deen langsung tidak menjenguknya. Malah, gadis itu langsung tidak keluar rumah.

Hampir setiap malam juga dia menjadi penunggu di depan rumah Deen. Tapi, Deen langsung tidak keluar. Banyak masa, rumah itu hanya bergelap. Bagai tiada penghuni. Bukan sekali dia menghantar makanan tapi makanan itu masih tergantung di pagar pada keesokan harinya.

Hari ini, dia gembira melihat Erdeena ada di pusara itu. Tapi, dia terkejut melihat keadaan Deen yang cengkung. Lebih teruk daripada sewaktu terlantar di hospital sebulan lalu.

Apakah salah keputusannya untuk menjauh daripada gadis itu dan membiarkan Erdeena sendiri? Jika kenalan rapat seperti Pak Omar pun tak diendahkan, apatah lagi orang luar sepertinya. Yang dikatakan menjadi pesalah? Adakah silap bila dia terkesan benar dengan kata-kata Deen pada Pak Omar tempoh hari? Bagaimana Erdeena lebih sanggup meringkuk dalam penjara daripada bertemu dengannya.

Ya… kata-kata itu telah menjadi barah dalam hatinya. Hinggakan dia terpaksa menyembunyikan diri. Bukan bimbang disakiti, tapi tak sanggup jika gadis itu mencederakan diri sendiri.

Thaqeef pantas menaikkan cermin kereta bila Deen merenung ke arahnya. Berdiri tegak, memegang tikar dan jag air. Pandangan itu lama tapi akhirnya, Deen mengalah. Masuk ke kereta dan berlalu dari situ.

Thaqeef rapatkan dahi pada stereng. Melepaskan keluhan berat. Berharap moga diberikan kekuatan pada Erdeena untuk menerima kemunculan dirinya. Dia benar-benar mahu berdiri di sisi gadis itu. Memimpin tangannya untuk terus melangkah. Menopang tubuh itu jika mahu tumbang. Dia mahu menjadi tempat Erdeena sandarkan tubuh yang lelah. Dia mahu menjadi teman di saat Erdeena mahu redakan emosi yang gundah. 

Namun, dia lebih bimbang kemunculannya akan mengocak perasaan Deen yang nampak sudah beransur jernih dan membuatkan perasaan Deen kembali keruh.

Persoalannya, sampai bila dia mahu bersembunyi dalam terang?

Hatinya bulat. Jika kebencian yang dihidangkan, itulah yang akan ditelan. Biarlah luka rengkungnya kerana menelan batu tajam, dia juga rela. Doa pertamanya, adalah untuk Erdeena berbahagia. 


...BERSAMBUNG


PRA-PESANAN DIBUKA.  DAPATKAN SEKARANG SEBELUM KEHABISAN STOK



No comments:

Post a Comment