PINTU kaca itu tertutup rapat. Mereka tidak berada di ofis Deen. Sebaliknya, hanya di meja di depan kaunter.
“Jemput
minum,” pelawa Deen setelah diletakkan botol jus oren segera di hadapan Muiz.
Dia
kerut dahi memerhatikan Muiz yang meneguk air. Segak dengan suit. Biarpun tidak
bertali leher, tetapi dia tahu lelaki ini bukan orang sembarangan. Malah, masih
muda. Boleh jadi sebaya dengannya.
“Boleh
saya tahu, apa yang buat Encik Muiz berminat nak teruskan juga semua ni? Saya
percaya Encik Muiz dah tahu keadaan kewangan saya sekarang yang sangat-sangat
kritikal. Belum dikira dengan keadaan bisnes saya yang saya kira memang
nyawa-nyawa ikan,” ujar Deen memulakan bicara.
“Saya tak akan sorok tentang hal tu. Sebelum saya datang untuk propose idea ni, saya dah tahu semuanya. Sebelum semua ni jadi, saya juga tahu yang restoran ini sangat berpotensi.
Kalau tak, mustahil untuk buka cawangan kedua dan ada yang sudi melabur. Saya masih yakin dengan kemampuan dan potensi tu. Mungkin hanya perlukan sedikit perubahan mengikut keadaan semasa. Saya yakin, Cik Erdeena setuju untuk itu, kan?”“Adakah
itu salah satu syaratnya? Untuk adakan perubahan?”
Muiz
gigit bibir. Betullah bos cakap. Erdeena wanita cantik yang bijak. Biarpun
wajah yang tidak berperasaan malah renungan itu menyimpan seribu satu rasa
syak. Dalam kekeruhan, masih dapat menangguk di setiap perkataannya.
“Ya
dan cik jangan salah faham. Perubahan tu akan bawa kebaikan dan keuntungan. Saya
orang bisnes, Cik Erdeena. Jadi, saya memang dah ambil kira semua aspek.”
Hati
Deen mengiakan. Benar apa yang dikata. Lelaki ini berniaga dan setiap yang
berniaga, mestilah mahukan keuntungan.
“Tapi,
apa yang buat Encik Muiz percaya pada saya? Jujurnya, saya hampir tak ada
pengalaman uruskan bisnes melainkan teori semata-mata. Lepas ayah saya tak ada,
restoran kami dah tak macam dulu…” Saat ini, perasaan kacau itu cuba muncul ke
permukaan wajahnya. Dengan susah-payah, Deen benamkan kembali.
“Setiap
orang ada bakat dan kelebihan masing-masing, Cik Erdeena. Saya tak akan
pertikaikan kemampuan cik hanya kerana cik masih baru. Lagipun, Cik Erdeena ada
kelulusan dan paling tidak, sedikit pengalaman sepanjang arwah ayah cik uruskan
bisnes dia. Apa pun, saya hanya ada beberapa syarat dan saya harap, cik boleh
setuju dan lepas tu, saya akan dengar syarat cik dan saya juga akan setuju
kesemuanya.”
“Tanpa
dengar terlebih dahulu?”
Muiz
senyum dan angguk.
“Seperti
saya cakap, saya orang bisnes. Saya tahu apa saya buat. Ini…”
Muiz
tolak kertas itu pada Deen.
“Membuat
ubahsuai yang sama dengan cawangan baru?” soal Deen.
Dia
melilau ke seluruh ruang yang sedikit suram. Ya, ini adalah hiasan sejak sekian
lama. Hiasan yang begitu nostalgia. Seiring dengan jiwa ayah. Ayah tak pernah
tukar dan dia juga dapat rasa jiwa serta semangat ayah dalam setiap sudut
restoran ini. Berat hatinya untuk menerima syarat ini.
“Besar
kos untuk ubahsuai dan Encik Muiz sendiri tahu, saya tak ada kos sebanyak tu
buat masa ni. Jangan kata dua, satu restoran pun saya tak mampu,” dalihnya
kerana itu juga salah satu kenyataan.
“Itu
jangan risau. Semua tu akan kami tanggung.”
Kerutan
pada dahi Deen terus berlapis. Tapi, dia perlu membaca semua syarat dulu.
“Menggunakan
bahan mentah hasil keluaran Syarikat Sun Suria F&B?”
Deen
ingat akan nama syarikat mega itu. Milikan bumiputera yang memonopoli hampir
semua pembekalan dalam food and
beverage di
negara ini. Ayah pernah sebut tentang syarikat itu dan dia juga pernah membuat
kajian kes semasa di tahun akhir.
“Kenapa
mesti syarikat ni?” soal Deen, penuh tanda tanya.
“Saya
adalah pemegang syer dalam syarikat tu dan saya dapat beri jaminan yang kualiti
bahan mentahnya semua berkualiti. Sun Suria F&B ada ladang ternakan sendiri
di mana setiap prosesnya dijaga dan dipantau oleh JAKIM. Harga bahan mentahnya
jauh lebih murah daripada pembekal lain. Kami tak akan ganggu pekerja sedia
ada. Atau, Cik Erdeena boleh juga hantar pekerja sedia ada untuk bantu di
restoran kedua nanti. Kami alu-alukan,” jelas Muiz lagi.
Syarat
ini agak menarik perhatiannya kerana dia sendiri tahu kualiti bahan daripada
Sun Suria F&B.
“Ini
aje ke syarat Encik Muiz?”
“Ya. Itu
sahaja. Selebihnya, saya serahkan pada Cik Erdeena untuk tetapkan syarat
daripada pihak cik. Oh, satu lagi… setiap kerugian akan ditanggung sepenuhnya
oleh kami. Kami juga tak akan buat sebarang tuntutan jika cik nak batalkan usaha
sama kita. Tapi, seperti saya cakap tadi, kami orang bisnes dan saya akan
pastikan semuanya akan membawa pulangan.”
Deen
lega. Dia terasa mahu menangis dengan bantuan yang tiba di depan mata di saat
dia telah tenggelam dan hanya tangan sahaja yang masih cuba menggapai.
“Kiranya,
Encik Muiz akan jadi macam sleeping partner?”
“Hurm…
tak boleh nak kata sleeping partner. Sebab saya akan uruskan
cawangan kedua di mana semua keuntungan akan jadi milik kami tapi kami
bersetuju untuk bayar 6% setiap bulan daripada keuntungan restoran tu atas
sebab menggunakan jenama sedia ada yang diasaskan oleh arwah ayah cik. Dan,
saya dapat promosi bahan mentah serta makanan dan minuman daripada jenama Sun
Suria. Kira sama-sama untung.”
“Saya
rasa perjanjian macam ni berat sebelah.”
“Untuk
siapa?”
“Untuk
Encik Muiz. Saya tengok perjanjian ni lebih menguntungkan saya.” Hati Deen
masih tak lapang dengan syarat begini.
“Kan
elok kalau menguntungkan cik?” Muiz senyum lagi. Dia tahu, Thaqeef sedang
mendengar dengan jelas perbincangan mereka melalui talian telefon yang
disambung sejak dia melangkah masuk ke restoran ini.
“Percayalah
bila saya cakap, saya juga tak rugi dengan pembekalan bahan mentah tu.”
Fuh…
Deen lega. Lega kerana dia tak mahu perjanjian begini, biarpun menguntungkan
pihaknya. Satu hari nanti dia perlu membayar dengan harga yang tak mampu dia
lunaskan biar dipajak seluruh permata di dunia.
“Kalau
macam tu, saya setuju dengan syarat ni dan saya sendiri tiada syarat baru
melainkan dengan syarat yang sedia ada sahaja.”
“Oh,
ya…” Muiz kerut dahi. Macam manalah dia boleh lupa permintaan bos ni.
“Satu
saya lupa. Saya akan hantar seorang pekerja ke cawangan ni.”
“Tapi,
kat sini dah cukup.” Deen cuba membantah.
“Maaf,
Cik Erdeena. Ini juga adalah salah satu syarat yang tak boleh tak diterima,”
tambah Muiz. Biarpun lembut tapi tegasnya ketara.
amaranth mandir
ReplyDelete