Friday, March 04, 2022

SUMPAH 11

DIA hanya mampu melihat Deen keluar daripada hospital yang mana semua bilnya telah diselesaikan. Untuk mendekati, dia bimbang akan terus menjejaskan emosi Deen. Kerana itu, dia sekali lagi bergelar pengecut. Andai selamanya dia perlu menjadi bayang, mengikut sahaja langkah Deen tanpa suara, dia rela.


Sebaik saja gadis itu masuk ke dalam perut teksi, dia mengikut kereta itu rapat dan tatkala teksi itu berhenti di depan sebuah rumah jenis semi-D itu, dia juga memberhentikan kereta di simpang jalan. Sedikit jauh tapi masih nampak jelas Deen melangkah mendekati pagar.

Lama Deen berdiri di depan pagar rumah yang terkunci rapat. Matanya memicing. Melihat pada wajah yang jelas tidak beriak. Nampak begitu kosong. Tak lama, bila Deen masuk ke dalam rumah, Thaqeef masih tidak berganjak. Berat hatinya untuk pergi. Ringan kakinya untuk melangkah, mendekati.

Namun, pesanan Pak Omar dan laporan yang dia minta daripada doktor keluarganya itu cukup membuatkan yang ringan itu, menjadi berat tiba-tiba. Hingga tak mampu langsung dia gerakkan biarpun seinci.

Panggilan telefon daripada abah menyentak renungan Thaqeef. Dia terus menekan punat pada stereng kereta.

“Qeef kat mana?”

“Saja pusing-pusing,” jawabnya menyembunyikan kebenaran.

Datuk Thaha diam seketika kerana dia tahu, hari ini adalah hari Erdeena dibenarkan keluar dari hospital.

“Tak apalah. Kalau dah selesai semua, Qeef balik terus. Abah ada benda nak bincang dengan Qeef ni.”

“Yalah, abah,” jawabnya sebelum talian mati.

Dia tekan pedal minyak. Kereta bergerak perlahan mendekati kawasan depan rumah Deen. Kemudian, dia menekan brek. Berhenti tepat di hadapan pagar itu untuk beberapa ketika.

Thaqeef merenung ke dalam rumah. Hinggakan dia dapat lihat kain langsir dikuakkan dan wajah Deen jelas di mata. Seperti merenung tepat ke wajahnya. Namun dia tahu, Deen tak akan dapat tatap wajahnya dengan keadaan cermin gelap keretanya.

Tidak lagi mampu menahan perasaan sendiri, Thaqeef kembali menekan pedal minyak dan berlalu. Dia bimbang jika dia terus berada di situ, kakinya akan melangkah mencari Erdeena. Tanpa mampu dapat dia tahan. 

 

 

 

MELIHAT kereta itu berlalu pergi, Deen masih tidak berganjak. Dia tak nampak siapakah pemandunya. Tapi, dia tahu orang itu adalah kenalan keluarganya. Lebih tepat, kenalan pada arwah ayah. Dia tak pernah kenal kawan ayah yang lain, selain yang ada di restoran.

Apakah orang itu mahu menziarahi, membawa ucapan takziah? Dia tidak pasti. Tapi, yang dia yakin… dia tak akan mampu terima sesiapa saja buat masa ini. Dia tak mahukan sebarang simpati. Dia tak inginkan biarpun sepatah ucapan takziah.

Yang dia mahukan adalah ayah.

Teringatkan nasihat peguam yang hadir bertemu dengannya sebelum dia dibenarkan keluar dari hospital pagi tadi, jiwanya luluh. Pendakwaan tidak boleh dilakukan. Kes akan terus menjadi kes yang tergantung atas sebab yang dia sendiri tak tahu.

Puas dia bertanya, tapi tiada jawapan yang diberikan.

Dia tahan diri. Tidak meraung, tidak menangis. Jauh sekali hendak mengamuk. Dia angguk dan terima segalanya dengan begitu sukar. Jika begitu kemahuan takdir, di mana dia kalah dengan undang-undang dunia, dia tahu yang menjadi punca ayah meninggal dunia adalah bukan daripada keluarga biasa sepertinya.

Hatinya tak akan pernah reda.

Jiwanya tak akan terima.

Perasaan bencinya akan terus membara.

Tapi, kekuatan apakah yang dia ada untuk melawan?

Bila ejen insurans juga berkata demikian. Menasihatkan dia untuk terima saja wang hibah yang ayah ambil tanpa pengetahuannya. Dia tahu, ada tangan gelap yang telah menyentuh kes ini dan pada siapa mahu diadu semua ini bila dunia sepertinya berpaling terus daripadanya.

Tubuhnya terasa begitu lemah. Jatuh melurut di lantai. Dia terbaring lemah. Memeluk lututnya rapat ke dada. Menangis dan terus menangis tanpa mampu berbuat apa-apa. Tanpa mampu memberi keadilan kepada ayah.

Hari ini, dunia masih berputar pada paksinya. Matahari masih lagi terbenam di barat. Siang masih muncul menggantikan malam. Sesungguhnya, tiada apa yang berubah dalam dunia ini. Namun, siapa sangka yang dunianya telah benar-benar berubah.

Segalanya… kini tidak serupa.


...BERSAMBUNG


PRA-PESANAN DIBUKA.  DAPATKAN SEKARANG SEBELUM KEHABISAN STOK



No comments:

Post a Comment