Friday, March 04, 2022

SUMPAH 19

SELESAI mengira tunai yang baru dia dapat selepas menjual segala barang kemas yang ayah hadiahkan sejak dulu, biarpun hasilnya tidak seberapa tapi dia akan dapat lunaskan tuntutan ganti rugi sebelum dia diheret ke mahkamah dan kosnya akan menjadi lebih tinggi berlipat kali-ganda.

Dia keluarkan telefon bimbit dan mendail nombor Encik Murad. Tak lama, suara lelaki separuh usia itu kedengaran tenang di hujung talian.

“Oh, Cik Erdeena?”

“Ya, saya. Maaf saya telefon Encik Murad masa ni.” Dia memandang jam di dinding pejabat kecilnya. Waktu makan tengah hari baru saja tamat.

“Tak apa. Saya pun memang nak telefon Cik Erdeena. Sedang elok cik yang telefon saya dulu.”

“Tentang ganti rugi tu…”

Mereka bersuara, serentak. Erdeena diam. Encik Murad ketawa.

“Cik Erdeena cakap dululah,” pelawa Encik Murad dengan tawa yang masih tersisa.

“Tentang ganti rugi yang Encik Murad tuntut, saya dah ada duit untuk bayar sekali gus. Kalau boleh, saya nak selesai segera. Saya akan buat bayaran ke akaun Encik Murad dan saya harap kita boleh jumpa hari ni, untuk selesaikan dokumentasinya,” jelas Deen.

“Macam ni, Cik Erdeena. Saya sebenarnya ada berita baik. Ada kenalan jauh saya berminat untuk teruskan pembukaan restoran ni dan dia datang bincang dengan saya. Saya ada beritahu kos semua yang saya nak tuntut dan yang dia perlu bayar pada saya. Berita baiknya, dia setuju. Jadi, segala ganti rugi tu akan dibayar oleh pihaknya. Saya dah tandatangan semua surat yang diperlukan. Lepas ni, Cik Erdeena boleh terus berurusan dengan dia.”

Deen terpinga-pinga mendengarkan suara Encik Murad. Sukar untuk dia percaya. Dalam keadaan yang begitu meruncing, siapa yang nak menabur wang pada sesuatu yang hampir tak akan membawa pulangan?

“Dia tahu tak keadaan saya sekarang?”

“Ya, saya pun terkejut dia tahu. Tapi, dia kata dia memang dah ada niat sebelum ni memandangkan dia juga ada kenalan daripada syarikat francais. Selebihnya, saya tak tahu. Cik Erdeena boleh terus tanya dia untuk bincang sejauh mana dia berminat.”

Hati Deen resah. Takkanlah semudah itu? Jika benar bagai dikatakan oleh Encik Murad, mereka tahu akan keadaan restoran miliknya, kenapa begitu berani untuk teruskan dan sanggup membayar segala tuntutan tu?

“Maaf, Encik Murad. Boleh saya tahu, siapa dia?”

“Nama dia Muiz. Lain-lain saya tak pasti. Katanya, dia akan telefon Cik Erdeena terus.”

Kali ini, Deen tidak lagi berkata apa bila akhirnya perbualan antara dia dan Encik Murad tamat. Dalam fikirannya, pelbagai andaian dan tanggapan. Siapakah gerangan lelaki ini?

Dia pandang skrin komputer. Melihat wajahnya dan ayah yang ceria. Merindui ayah adalah sesuatu yang cukup sukar. Hinggakan dia rasa dia mahu mencabut nyawa sendiri demi mengikut ayah. Tapi…

Dia mengeluh berat di saat telefon bimbitnya berbunyi.

“Cik Erdeena binti Erwan?”

“Ya, saya,” sahut Deen bila ada suara lelaki menyapanya penuh sopan.

“Saya Muiz. Saya tak pasti kalau cik dah dengar cerita daripada Encik Murad, tapi saya berminat untuk melabur dalam projek pembukaan restoran kedua tu.”

“Kejap…” Deen gagap seketika. Terkejut pun ya dengan panggilan yang tak terduga.

“Saya sebenarnya baru aje dengar cerita daripada Encik Murad tentang hal ni. Tapi, susah saya nak percaya.”

“Saya faham, Cik Erdeena,” balas Muiz.

“Tapi, apa kata kita jumpa dan duduk berbincang lebih dalam tentang hal ni. Saya sendiri ada syarat-syarat saya dan saya juga percaya, Cik Erdeena sendiri ada syarat untuk pihak saya,” ujar Muiz, penuh profesional.

“Kalau boleh, segera,” tambahnya.

Deen masih menyepi.

“Saya sekarang tengah free. Cik Erdeena boleh cakap dekat saya, cik ada dekat mana. Saya boleh pergi ke situ.”

“Saya ada dekat restoran saya. Tapi, hari ni tutup. Encik Muiz boleh datang ke sini?” Sebahagian hatinya teruja dan sebahagian lagi begitu kecut dengan pertolongan yang datang tiba-tiba entah daripada mana.  

Entah membawa bahagia atau bala. Dia begitu bimbang.

“Boleh. Beri saya setengah jam.”

Talian mati. Deen sabar menanti. Memikirkan beberapa syarat yang mahu diusulkan selain daripada syarat yang telah ditetapkan oleh arwah ayah. Dia tak mahu syarat yang akan menyusahkan diri sendiri seperti mana yang ditetapkan oleh arwah ayah. Paling tidak, syarat yang mampu melindungi restoran ini dan pekerjanya.


...BERSAMBUNG


PRA-PESANAN DIBUKA SEKARANG.  DAPATKAN SEGERA SEBELUM KEHABISAN STOK



No comments:

Post a Comment