Friday, March 04, 2022

SUMPAH 15

HARI pertama menjejakkan kaki dalam ruang pejabat yang asalnya bukan miliknya, bukan kemahuannya, membawa senyuman pada bibir Thaqeef. Senyum kerana mengingatkan segala yang indah. Yang pernah terjadi satu ketika dahulu, yang telah begitu lama berlalu.

Dia pegang kerusi kulit berwarna hitam itu. Merenungnya lama. Bagai nampak wajah pemilik asalnya yang sedang sibuk menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan cekap. Berat hatinya untuk duduk di situ. Di situ bukan tempatnya.

Perjalanan yang dia rangka adalah yang lain. Namun, siapa dapat duga, dia perlu membuat pusingan pada selekoh yang cukup tajam tanpa mampu menekan brek.

“Bos?”

Thaqeef menoleh separuh. Anak muda itu masih ada di belakang dia rupanya.

“Kenapa bos tak duduk?”  Sejak tadi, dia hanya melihat Thaqeef berdiri memandang pada kerusi itu.

Kali ini, Thaqeef menoleh. Dia senyum senget. Ganjil sungguh mendengarkan panggilan itu.

“Berapa umur kau, Iz?” soalnya tanpa mempedulikan soalan Muiz. Dia kenal lelaki ini tapi ini adalah pertama kali bersua empat mata. Dalam keadaan yang serba canggung.

“Dua puluh lima, bos.”

“Kau lulusan dari mana?”

“Saya dulu belajar dekat politeknik. Kursus Setiausaha.” Muiz ketawa sendiri. Kelakar betul bila diingat. Kalau nak dikira, sekarang pun masih ada orang yang skeptikal bila dia beritahu tentang kelulusan dan kerjayanya.

Kenyataannya, mak yang memaksa dia pergi memandangkan hanya satu kursus itu yang melekat semasa dia memohon untuk sambung belajar dengan keputusan SPM dulu. Pada mulanya, malu tak terkata tapi dia tahan hati. Tak salah dia mencuba.

“Kenapa kau garu kepala?”

“Er… sebab dulu selalu jadi perhatian. Lepas tu kena gelak. Masa saya tinggal dekat asrama, hari-hari saya jadi bahan. Pernahlah saya rasa nak tukar kursus aje. Orang tak dapat terima kut lelaki jadi setiausaha.”

“Hurm… pada aku tak pelik pun. Dekat luar negara, kebanyakan setiausaha ni, lelaki. Tidaklah nak kata perempuan tak bagus, tapi banyak juga kelebihan kalau ambil setiausaha lelaki. Tapi, itulah. Dekat negara kita ni mungkin masih belum terbuka untuk hal-hal macam ni. Kalau dengar perkataan setiausaha aje, terus set dalam kepala, perempuan aje,” komen Thaqeef.

“Itulah, bos. Sekarang ni, saya sendiri bangga dengan kerjaya saya.” Muiz sengih.

“Ikutkan dulu tu memang saya tak nak. Dah pula tu masa saya nak daftar, saya dapat tahu saya seorang saja lelaki. Orang lain pandang saya lain macam aje.” Bila diingat, memang itu adalah salah satu kejadian yang sangat memalukan sebenarnya.

“Masa tu saya tak nak masuk tingkatan enam. Mak saya kata, dia nak halau saya kalau saya tak nak sambung belajar. Masuk kursus setiausaha tu adalah peluang terakhir saya.” 

Thaqeef senyum mendengarkan cerita Muiz.  

“Lepas habis tu, saya sambung lagi dekat UiTM. Buat office management. Rezeki saya, masa interviu dekat sini, saya dapat walaupun saya fresh graduate. Ini dah nak masuk dua tahun saya kerja dekat sini.” Ayat akhir Muiz kedengaran pahit untuk diluah.

“Kenapa tak minta jawatan lain? HR ke? Kenapa nak jadi setiausaha?” Bukan maksud Thaqeef untuk mempersoalkan pilihan dan rezeki Muiz, tapi dia harap Muiz lebih bercita-cita tinggi dengan kelulusan yang ada.

“Err…” Muiz kebam bibir. Apa yang dia nak beri sebagai jawapan, ya?

“Jujurnya, bos… bos sebelum ni beritahu dia memang perlukan PA yang boleh ikut dia ke mana saja tanpa ada kerisauan memandangkan saya lelaki dan bujang. Lagipun, dia selalu bagi peluang untuk saya belajar dan izinkan saya pergi ke bahagian lain. Cumanya, itulah…”

Muiz diamkan diri seketika.

“Saya yang pilih untuk teruskan kerja ni,” jelas Muiz.

Thaqeef mengangguk beberapa kali. Mengerti dan dia bangga dengan jawapan Muiz. Malah lebih bangga dengan peluang yang diberikan pada anak muda ini untuk membuktikan diri, mencari pengalaman dan mengembangkan kerjaya.

“Saya lebih suka jadi PA, bos,” akui Muiz tiba-tiba.

“Mungkin bukan PA aku,” balas Thaqeef perlahan.

“Saya sentiasa berazam untuk berikan sepenuh usaha saya pada sesiapa saja yang saya berkhidmat dan untuk itu, saya akan terus berkhidmat dan setia pada bos,” jawab Muiz yakin.

Sungguh… dia benar-benar bimbang pada mulanya untuk berdepan dan menjadi pembantu Thaqeef. Namun, melihatkan wajah dan cara lelaki ini, dia yakin dia akan menjadi seorang yang akan sentiasa membantu dan menyokong Thaqeef hingga ke akhirnya.

Thaqeef labuhkan duduk. Akhirnya. Bersandar tenang. Muiz masih lagi berdiri tegak di hadapannya.

“Aku tak rancang untuk duduk di kerusi ni, Iz. Aku rasa kau sendiri tahu yang aku tak ada pilihan lepas apa yang jadi,” luahnya, perlahan.

“Saya tahu, bos,” balas Muiz, rendah perlahan.

Thaqeef lepaskan keluhan. Secara tak sengaja. Sejak dia kembali ke tanah air sendiri, dia sudah begitu kerap mengeluh. Kerana pelbagai perasaan. Paling kerap adalah kerana rasa lelah. Lelah dengan apa yang telah terjadi.

Tubuh ditegakkan. Meraup wajah sebelum kembali memandang pada Muiz. Seperti tadi, lelaki itu masih setia berdiri di situ. Tak berganjak biarpun seinci.

“Kau rasa aku boleh buat ke?”

“Saya yakin bos boleh,” jawab Muiz penuh yakin.

Jawapan Muiz, membawa senyuman pada bibir Thaqeef.

“Kau janji akan tolong aku tak kira apa pun?”

“Ya, bos!” Kali ini, suara Muiz tegas.

“Sekalipun perkara tu melanggar undang-undang?” soal Thaqeef sekadar mengusik Muiz dengan wajah yang serius.

“Alamak…” Muiz telan liur. Dia terus tekup mulut bila perkataan itu terpacul tanpa sempat dia tahan.

“Aku gurau ajelah.” Thaqeef ketawa kecil. Melihat riak wajah cuak Muiz, hati kecilnya tercuit juga.

“Jangan risaulah. Aku tak akan buat semua tu.” Dia dapat lihat, Muiz hela nafas lega.

“Tapi, kalau dah terdesak, saya sanggup aje, bos,” ujar Muiz.

Senyuman tawar pahit Thaqeef koyak. Dia mengangguk kecil.

“Terima kasih, Iz. Tapi, macam aku cakap… tiada apa yang salah pada undang-undang. Jangan risau. Tapi, petang ni, panggil team marketing dulu untuk miting. Aku tak nak marketing plan yang baru. Cuma nak tahu tentang progress yang sedia ada. Tapi, sebelum tu, ini…”

Thaqeef tolak sampul putih itu ke depan.

Muiz melangkah hingga rapat ke meja. Mengambil dan membuka fail tersebut. Dia tatap sehelai kertas yang ada di depan matanya.

“Ini kan…” Dia tak dapat habiskan ayatnya.

Thaqeef angguk.  Mengerti akan apa yang bermain dalam kepala Muiz. Jika ini adalah salah di sisi undang-undang, dia perlu akuinya. Tapi, dia perlu tahu segalanya.

“Kau cari semua maklumat pasal dia. Semuanya yang boleh kau dapatkan. Biarpun sekecil hal. Tak nak tinggal satu perkara pun.”

“Saya faham, bos. Ada apa lagi yang bos nak saya uruskan?”

“Buat masa ni, tu aje. Tapi, jangan sampai sesiapa tahu.”

“Ya, bos.” Muiz tunduk sedikit sebelum meminta diri.

Sebaik saja Muiz hilang di balik pintu, Thaqeef kembali sandarkan tubuh. Memejamkan mata dan memicit batang hidung yang mancung. Saat dia pejamkan mata, wajah indah itu hadir dalam mindanya. Wajah yang pucat dan suram tanpa senyum. Berbeza dengan wajah dalam gambar yang ada dalam simpanannya sekarang.

Senyuman itu manis bak madu.

Warna kulitnya putih bak salju.

Pipi dan bibir itu merah bagai delima.

Tapi kini, semua berubah.

Yang manis itu menjadi pahit bagai hempedu.

Yang putih dan merah itu pucat tak berdarah.

Harapannya hanya satu.

Doanya juga sama.

Menghidupkan kembali senyuman pada wajah indah itu. Biarpun dia tahu, segalanya tak mudah. 


...BERSAMBUNG

PRA-PESANAN DIBUKA.  DAPATKAN SEGERA SEBELUM KEHABISAN STOK


1 comment: