Friday, March 04, 2022

SUMPAH 17

MATA kuyu Thaqeef tunak merenung skrin di depannya. Melihat pada segala maklumat yang dibentangkan. Untuk meluaskan dan memperbanyakkan cawangan restoran francais yang menggunakan segala bahan keluaran syarikat mereka.“Dalam masa terdekat ni, ada dua buah restoran francais yang akan dibuka. Semua kontrak telah siap dan dalam minggu ni, kita akan panggil pemilik tu untuk tandatangan kontrak,” beritahu Amira, ketua team marketing 1.

“Dua buah francais tu, dalam tempoh berapa lama?”

“Dalam setahun, Encik Thaqeef. Termasuk kerja-kerja ubah-suai semua.”

Thaqeef belek lagi kontrak yang termeterai.

“Kita tetapkan caj royalti francais enam peratus. Di samping itu, pemilik juga menyewa premis milik kita dan akan gunakan bahan mentah keluaran kita. Kita ada buka kursus penyediaan atau kita akan hantar orang kita ke sana?” soal Thaqeef, ingin tahu.

“Kita akan panggil mereka yang terlibat, untuk hadir dalam kursus penyediaan dalam masa sebulan. Sekarang pun, mereka tengah jalani semua tu dan akan tamat tak lama lagi,” jawab Amira.

“Ada caj untuk tu?”

“Ada.”

“Batalkan caj yang tu,” pangkas Thaqeef pantas.

Amira dan beberapa orang saling memandang. Tak berapa setuju barangkali. Yang pasti, terkejut dengan keputusan yang nampak tergesa-gesa.

Melihatkan wajah yang nampak terpinga-pinga, Thaqeef tongkat dagu. Wajahnya tidak beriak.

“Jangan salah faham dengan keputusan saya. Mungkin tuan puan rasa keputusan saya tergesa-gesa. Saya ada baca semua repot sebelum ni. Dalam tempoh sepuluh bulan tahun lepas, sekurang-kurangnya, empat atau lima francais dibuka. Kali ini, hanya dua. Beza yang agak besar pada mata saya. Mengambil kira pada ekonomi negara yang baru nak pulih lepas macam-macam benda jadi, saya yakin tak salah untuk kita bantu orang untuk kurangkan apa-apa kos yang langsung tak merugikan kita,” ulas Thaqeef tenang.

Dia beri isyarat pada Muiz untuk membentangkan maklumat yang telah dia sediakan, pada skrin projektor.

“Kalau kita lihat pada maklumat yang saya dapat daripada repot lepas dan juga hasil repot terbaru daripada tuan puan, saya dapat rumuskan yang kita masih dapat untung besar, dengan hasil sewaan premis serta bahan mentah kita.”

Mata Thaqeef lurus memandang pada semua yang ada dalam bilik mesyuarat itu.

 “Yuran yang kita kenakan adalah tiga ratus ribu. Mengambil kira nilai satu ratus ribu dengan caj royalti, tidak termasuk sewa premis dan bahan mentah, kita dah untung bersih dua belas ribu. Saya anggarkan sewa premis dan bahan mentah setiap bulan akan mencecah sekitar dua puluh ke tiga puluh ribu hanya untuk satu francais. Jadinya, kita masih jauh daripada rugi untuk tolak caj latihan dan bimbingan,” jelas Thaqeef dengan lebih jelas tentang rancangan rapinya.

“Saya juga nak team awak uruskan untuk promosi secara percuma untuk satu bulan pertama daripada tarikh pembukaan setiap francais. Dengan tu, saya yakin… kita akan menarik lebih ramai yang berminat untuk membuka francais dengan kita. Saya harap, semua ini akan membuatkan kita dapat lebih banyak lagi permohonan daripada sebelum ini. Ingat… kita buat bisnes ni, memang nak untung banyak. Tapi, kita juga tak nak tanggung walaupun satu sen kerugian,” jelasnya lagi.

Perkara ini, dia telah pun berbincang dengan abah dan abah nampak bersetuju dengan segala keputusannya. Biarpun di sini bukanlah tempat untuknya, dia juga berharap untuk lakukan yang terbaik sehingga dia serahkan semula kepada yang berhak.

“Atau…”

Thaqeef memecahkan suasana bilik mesyuarat yang masih hening. Nampaknya, masing-masing sedang menatap penuh khusyuk pelan pemasarannya.

“Kita boleh hantar staf terlatih kita untuk kerja dengan setiap francais yang dibuka. Dengan tu, kita dapat buka peluang pekerjaan untuk orang ramai yang berminat,” tambahnya.

“Tapi Encik Thaqeef… kalau macam tu tak dikira kita makin rugi ke?”

“Jangan risau. Kita tak akan rugi. Sebaliknya, kita akan dapat sediakan semua keperluan dari segi bangunan, logistik dan juga tenaga mahir tanpa ambil masa untuk kita latih orang baru. Saya percaya, ramai graduan daripada bidang sajian atau bukan yang berminat. Kita anggap ajelah diorang semua tu akan buat internship di sini. Walaupun kita tak boleh nak tawarkan kerja tetap untuk mereka, tapi kita akan sediakan semua keperluan. Termasuk insurans kesihatan. Paling penting, kita akan buka peluang pekerjaan,” jelasnya lagi.

Seperti tadi, suasana bilik mesyuarat kembali hening. Tapi, tak lama bila semua orang nampak mengangguk tanda setuju.

“Ini adalah rancangan saya. Kalau ada sesiapa yang nak bantah, ada cadangan yang lebih baik atau penambahbaikan, saya terima dengan lapang dada. Cuma satu saya nak ingatkan. Yang ada di depan tuan puan sekarang adalah Thaqeef. Saya ada cara saya sendiri. Tapi, saya juga tak akan abaikan pendapat orang lain. Boleh jumpa dengan Muiz atau terus datang pada saya. Jika tiada apa-apa lagi, mesyuarat bersurai.”

Tak menunggu, Thaqeef terus angkat tubuh dan melangkah keluar.

Sepanjang laluan menuju ke pejabatnya, dia tahu banyak mata yang memerhati hingga dia terasa seperti ditelanjangi.


...BERSAMBUNG


PRA-PESANAN DIBUKA.  DAPATKAN SEGERA SEBELUM KEHABISAN STOK.



No comments:

Post a Comment