SEMUA pekerja menyambut baik rancangan dan syarat yang diusul. Dia benar-benar lega, di saat dia cukup memerlukan, bantuan itu hadir tanpa dia sangka. Biarpun entah daripada mana, dia berharap semuanya akan baik-baik sahaja.
Namun,
kenapa biarpun semua masalah telah hampir selesai, jiwanya masih terasa kosong.
Perasaannya menggeletar dan hatinya bagai membiru. Dia mahu menangis, tapi
tiada air mata yang mengalir kerana membeku belum sempat air mata itu mengalir.
Begitu juga dengan suaranya tidak mampu melepasi rengkung yang turut beku.
Segalanya
cukup tak mudah.
Dia
lemah. Tapi, dia sekadar mencuba menjadi gagah.
Dia
tak berdaya. Namun, dia masih tetap berusaha.
“Deen?”
“Ya,
saya?” Dia menoleh bila suara Pak Omar menyapa. Wajah itu manis. Terjengul di
muka pintu.
“Pak
Omar ketuk pintu, tapi Deen tak jawab. Itu Pak Omar buka pintu.”
“Oh,
maaf… tak perasan. Kenapa ya, Pak Omar? Ada masalah dekat luar?”
“Tak
ada masalah apa. Pak Omar nak beritahu, Encik Muiz datang. Dia nak jumpa Deen.”
“Yalah.
Dia ada beritahu saya. Pak Omar minta dia masuk.”
Deen
pantas mengemas meja yang berselerak. Biarpun bilik ini agak sempit, tapi dia
sentiasa pastikan segalanya kemas dan teratur. Malah, memastikan langsung tiada
kesan menjadi tempat kediamannya.
“Pak
Omar panggil dia sekarang.” Lelaki separuh usia itu menghilang.
Tak
lama, Muiz muncul bersama senyuman tipis. Seperti biasa, lelaki ini nampak
kemas dan yakin. Deen bangkit mahu mengalu-alukan kehadiran rakan kongsinya. Namun,
bicaranya mati saat di mana satu wajah asing muncul bersama Muiz.
Bibir
Deen terkatup rapat saat mata mereka bersabung pandang. Lama dia memerhatikan
seraut wajah yang tiba-tiba membawa debar dalam dadanya entah apa sebabnya. Rasa
dingin menjalar ke hujung jari-jemarinya. Sekujur tubuhnya terasa menggigil. Renungan
itu terpaku lama. Masa bagai mengeras di situ.
“Ini…”
Deen akhirnya bersuara.
“Saya
kenalkan. Ini adalah staf kami yang akan bekerja dengan Cik Erdeena.”
Deen
mengerling lelaki yang berada di sisi Muiz. Nampak tenang dan bibir itu manis
memahat senyuman tipis. Mata kuyu itu tak lepas memandangnya. Aura dan aromanya
seperti pernah menyapa derianya sebelum ini. Tapi, dia yakin dia tak pernah
temui lelaki ini. Perasaannya sedikit gelisah atas sebab yang dia sendiri tidak
pasti.
“Saya
minta maaf, Encik Muiz. Bila saya fikir balik, saya rasa macam saya tak
perlukan pekerja baru.”
Jujurnya,
dia tidak kisah. Sementelah ini adalah salah satu perjanjiannya dengan Muiz. Tapi,
entah kenapa. Melihat pada lelaki yang Muiz bawa, membuatkan jiwanya resah tak
menentu. Dan, dia tak suka akan rasa seperti ini.
“Tapi,
kita dah setuju untuk saya hantar seorang pekerja baru, kan?” Dahi Muiz
berlapis kerutan. Dia kerling Thaqeef yang masih tenang. Mata itu, tak lepas
daripada merenung wajah indah milik Erdeena.
“Ya,
saya tahu. Salah saya. Tapi…”
“Boleh
saya tahu, atas sebab apa Cik Erdeena tak boleh terima saya?” Tiba-tiba Thaqeef
bersuara.
Sejak
tadi, dia memerhati. Melangkah masuk ke dalam pejabat sempit ini dengan doa tak
putus agar semuanya dipermudahkan. Saat menatap wajah itu yang nampaknya sudah
kembali seperti sedia kala, tidak lagi pucat dan cengkung, bibirnya koyak
dengan senyuman. Lega.
Nafas
Deen bagai tersekat. Dia telan liur berkali-kali. Suara parau itu seperti
pernah didengari. Dia pejamkan mata seketika. Menggali memori yang boleh jadi
sengaja dia buang. Dia yakin, dia pernah dengar suara ini di suatu tempat. Tapi,
memorinya gagal mencari jawapan. Dia pujuk diri dan mendamaikan jiwa yang
gemuruh.
“Saya
janji saya akan kerja sungguh-sungguh dan bantu cik majukan restoran ni,”
tambah Thaqeef lagi.
Dahi
Deen berkerut seketika. Ya, suara ini pernah hadir dalam hidupnya. Dia terus
menerka dan bila dia temui jawapan itu, dia tahu suara ini pernah menemani
mimpinya. Aneh… kenapa suara lelaki asing ini saling tak tumpah dengan suara
dalam mimpi itu?
Deen
menarik nafas dalam sebelum dilepaskan dengan cukup perlahan tapi semua itu
tetap tak mampu menjemput tenang. Dia mula bimbang. Apakah silap percaturannya
menolak rawatan susulan yang doktor cadangkan? Apakah sakit lama itu, hadir
semula? Kerana itu, dia mula resah gelisah?
“Maaf.
Saya cuma…” Deen kehilangan kata.
“Tak
apa. Saya faham. Tapi, apa kata kita letak aje pekerja baru ni dalam tempoh
percubaan. Kalau kata Cik Erdeena masih rasa tak perlukan dia, kita boleh
batalkan syarat yang ini,” balas Muiz, tenang dan langsung tidak melatah.
Thaqeef
hela nafas lega. Dalam diam, dia berterima kasih kepada Muiz yang begitu pantas
mengawal suasana.
“Saya
tengok dekat luar semua dah hampir siap. Bila rancang nak buka ni?” Muiz laju menukar tajuk perbualan.
“Minggu
depan,” jawab Deen perlahan. Nampak tidak selesa.
Muiz
angguk. Mengerti. Pandangannya melingas ke seluruh pejabat Deen. Hiasannya
masih lama dan warnanya juga suram.
“Kenapa
cik tak ubahsuai bilik ni sekali?”
“Masa
saya setuju dengan semua syarat Encik Muiz tu, saya dah nekad untuk kekalkan
bilik ni seperti mana keadaan asal. Saya tak pernah ada niat nak ubah pejabat
ayah saya,” jawab Deen sambil melilau ke seluruh bilik dan akhirnya, pandangan
itu hinggap lagi pada mata kuyu Thaqeef yang dirasakan mempunyai begitu banyak
rahsia.
“Saya
faham. Saya hormat keputusan Cik Deen. Apa kata sekarang, Cik Deen interviu
dulu bakal pekerja baru ni. Mana tahu, cik akan terbuka hati untuk terima
seorang lagi pekerja,” cadang Muiz. Dia senyum.
“Saya
jenguk dekat luar dulu.” Muiz bangkit
dan berlalu keluar.
Daun
pintu terkatup rapat. Suasana kembali terasa hening. Udara di dalam bilik ini
dirasakan cukup nipis. Dia hampir sesak nafas. Hinggakan tak mampu untuk dia
mengucapkan biarpun sepatah kata.
“Cik
Erdeena?”
“Ya?”
Thaqeef
senyum. Cuba bertenang biarpun debaran begitu gagah menghempas dadanya. Tautan
pandangan pertama antara mereka telah membuatkan lututnya hampir longlai. Renungan
Deen padanya, menyimpan beribu-ribu rahsia yang sukar untuk dia rungkaikan.
“Boleh
saya mulakan?” soal Thaqeef meminta laluan untuk bersuara.
“Ya,
silakan.” Tidak dapat menafi, Deen akhirnya akur.
“Nama
saya Thaqeef. Umur saya 29 tahun sekarang. Saya graduan
luar negara dalam kulinari dan pengurusan perniagaan. Saya pernah kerja di luar
negara sebaik sahaja saya habis belajar dan saya ada pengalaman dalam kedua-dua
bidang.”
Deen
nampak terkesima dengan cerita Thaqeef. Apatah lagi, bila lelaki itu menolak
sekeping kertas yang tertulis perkataan resume. Matanya tunak membaca ayat demi
ayat yang tertera.
“Kenapa
pilih untuk kerja dekat sini?” Deen angkat pandangan. Sekali lagi, bola mata
mereka berlaga.
“Saya
ada rancangan untuk buka restoran sendiri. Tapi apa nak dikata. Bila orang
cakap kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Itulah yang jadi pada saya. Saya
dah rancang dengan baik. Tapi, ketentuan yang diberikan pada saya, berbeza sangat.”
Saat ini, Thaqeef rendahkan pandangan. Meramas jari-jemari sendiri yang ada di
ribaan.
Soalan
demi soalan tak putus mengasak minda. Benarkah apa yang sedang dilakukannya? Bersembunyi
di dalam terang? Tapi, segalanya telah bermula. Pengakhirannya, tiada siapa
yang mampu duga. Jika indah, dia akan bahagia. Jika sebaliknya, dia juga akan
reda.
Thaqeef
jongketkan senyum pada hujung bibir.
Apa
saja. Demi gadis ini. Membiarkan Erdeena sendirian adalah sesuatu yang tak akan
dilakukan olehnya.
“Sebab
tu saya ada dekat sini. Saya harap, Cik Erdeena boleh bagi saya peluang untuk
belajar semula dari bawah,” sambung Thaqeef menceritakan kebenaran yang sedikit
malap.
“Saya
tak tahu apa yang dah jadi tapi saya bersimpati.” Daripada air wajah dan cara Thaqeef
menuturkan ayat, dia yakin sesuatu yang teruk telah berlaku kepada lelaki ini.
“Saya
juga sama. Rancangan itu sudah sangat manis…” Deen toleh pada skrin komputer di
depannya.
“…siapa
sangka, ketentuan itu pahit tak tertelan,” sambung, cukup perlahan namun masih
sempat menyapa telinga Thaqeef.
Mata
kuyu Thaqeef beralih arah. Mengikut pada titik renungan Deen dan tahulah dia,
Deen sedang merenung gambar sendiri bersama arwah ayahnya. Senyuman yang koyak
pada bibir Deen sangat lebar. Wajah itu benar-benar ceria. Tapi, Erdeena yang
ada di depannya saat ini cukup berbeza.
Mampukah
dia mengembalikan senyuman begitu? Ini juga salah satu rancangan yang tiba-tiba
muncul dalam perjalanan hidupnya. Apakah akan tertunai atau masih akan dicantas
oleh ketentuan yang tidak serupa?
...BERSAMBUNG
PRA-PESANAN DIBUKA SEKARANG. DAPATKAN SEGERA SEBELUM KEHABISAN STOK
Great Blogs - Regard from Ziva Magnolya
ReplyDeleteIndonesian Idol 2020
Cover Lyrics