Friday, March 04, 2022

SUMPAH 14

AIRMATA Kak Ram berjuraian ke pipi melihat Deen muncul bersama senyuman tipis. Wajah itu nampak cengkung. Cukup berbeza dengan Erdeena yang dia kenal sebelum kejadian malang itu. Dia terus memaut tubuh Deen ke dalam pelukan bersama esakan panjang tanpa mempedulikan mata pelanggan yang merenung kerana semua orang tahu, pemilik restoran ini telah pergi meninggalkan anak tunggalnya sendirian.

“Maaf buat Kak Ram risau,” ucapnya perlahan walaupun dia tidak membalas pelukan mesra Kak Ram. Dia tolak bahu Kak Ram dan menatap mata basah itu.

“Tak apa. Asal Deen baik-baik aje. Semua yang lain tak jadi masalah dah,” jawab Kak Ram. Mengesat pipi.

“Apa khabar semua?” sapa Deen bila dia dekati kaunter di mana, beberapa orang lagi pekerjanya kaku di situ. Gamaknya, terkejut dengan kemunculannya yang tiba-tiba.

“Pak Omar ada dekat dapur?”

Kak Ram angguk. Deen melilau ke seluruh restoran. Tiada apa yang berubah. Cuma dia boleh lihat pelanggan yang sudah tidak seramai seperti masa ayah ada. 

“Saya masuk ofis ayah dulu. Nanti minta Pak Omar datang jumpa saya kejap kalau dah tak sibuk, ya?”

Tak menanti jawapan balas daripada Kak Ram, Deen melangkah masuk ke ruang kecil pejabat ayah. Dia perhatikan sekeliling. Di sini juga tiada apa-apa perubahan. Kertas repot akaun dan proposal untuk membuka cawangan baru itu, masih ada di atas meja ayah. Tersusun rapi.

Dia duduk di atas kerusi berwarna kelabu itu. Jika dulu, tempat ini adalah milik ayah, tapi kini telah menjadi miliknya. Tidak dapat tidak, dia perlu teruskan legasi ayah. Deen menghidupkan komputer.

Hanya beberapa ketika, skrin itu cerah dan gambarnya bersama ayah terpampang jelas pada skrin. Membawa sebak yang bukan sedikit. Menahan hentaman empangan itu, hingga membuatkan tembok air matanya mahu pecah. Dia mendongak dan menghela nafas sedalam mungkin. Mujurlah air mata tak jadi jatuh ke pipi, bila pintu bilik diketuk dan saat itu, wajah Pak Omar muncul.

“Jemput masuk, Pak Omar,” pelawanya.

“Apa khabar Deen?” soal Pak Omar seraya melabuhkan duduk.

“Sihat.”

Pak Omar hampir kerutkan kening bila jawapan yang diberi tidak selari dengan apa yang dia lihat. Tapi, dia tidak menafi. Jika itu yang diberi sebagai jawapan, dia terima sahaja.

“Maaf sebab biarkan Pak Omar sorang-sorang uruskan restoran.”

“Tak apa. Pak Omar faham. Tapi, Deen betul-betul dah sihat ke?”

“Dah. Jangan risau. Dah sampai masa saya ambil alih tugas ayah. Saya perlu bekerja selagi saya masih bernyawa, kan?” Hujung bibirnya tersungging senyuman tipis.

“Pak Omar sentiasa doakan agar Deen terus kuat dan tabah.”

Kuat? Tidak. Dia adalah selemah manusia. Jika dia kuat, dia pasti dah dapat heret pesalah itu ke muka pengadilan. Tapi, usah kata untuk diheret pesalah itu berdiri di tengah kandang tertuduh untuk diadili, untuk melihat wajahnya juga dia tak dibenarkan.

Tabah? Juga jauh panggang daripada api. Jika benar dia tabah, tak mungkin dia mengurung diri tanpa menghiraukan siang dan malam, makan dan minum.

Yang dia tahu, ada suara yang memberi salam setiap hari pada masa yang sama, dua kali sehari dan setiap kali itu juga dia dapat lihat makanan tergantung pada pagar tanpa dia hampiri. Dia tahu siapakah yang begitu kisah tentang dirinya. Plastik itu silih berganti dan yang semalam itu, akan dibuang.

“Saya ucap terima kasih sebab Pak Omar dan Kak Ram tak pernah berhenti hantar makanan pada saya,” ucap Deen kerana rasanya selain Pak Omar dan Kak Ram, tiada siapa yang sanggup bertahan kerananya.

Dahi Pak Omar berkerut. Tak pasti apa yang Deen maksudkan. Dia mahu bertanya lanjut, tapi ditahan dirinya kerana dia tahu siapakah yang melakukan semua itu. Namun, untuk menyebutnya di depan Deen adalah sesuatu yang cukup mustahil.

Padanya, dia sudah cukup bersyukur bila Deen keluar dari rumah itu. Bersedia untuk berhadapan dengan kenyataan dan dunia. Bersedia untuk mengambil alih tugas arwah Erwan. 

“Maaf kalau soalan Pak Omar ni buat Deen sedih. Tapi, Deen tahu yang kes ni tergantung?”

“Ya.” Deen menjawab ringkas.

“Ada lawyer datang jumpa saya masa hari saya nak keluar dan dia jelaskan pada saya. Makin saya tanya, makin banyak jawapan yang tergantung. Masa tu, saya cuma nak balik rumah. Saya rasa sesak nafas ada dalam hospital tu. Dia datang bagi saya cek dan jelaskan semua perbelanjaan telah diselesaikan.” Deen tunduk. Menelan liur.

“Jahat ke saya kalau saya kata, saya tak rasa berterima kasih atas semua yang dia lakukan tu? Adakah saya ni tak reda kalau saya cakap, itu semua makin menambahkan rasa benci saya?” sambung Deen dalam senyuman namun matanya tetap basah.

Pak Omar ketap bibir. Sebagaimana yang dia rasakan, begitu juga yang Deen fikirkan. Kekejaman dan rasa reda yang dikatakan, adalah bukan milik Deen. Lantas, Pak Omar menggeleng perlahan.

“Deen adalah mangsa keadaan. Sebagai manusia biasa, begitu lumrahnya bila kita tak diadili dengan baik dan hanya terpaksa menerima segala keputusan tanpa mampu memperjuangkan apa-apa. Yang menjadi mangsa adalah kita dan yang perlu mengalah juga kita,” balas Pak Omar.

“Tapi, satu yang pasti, mereka boleh terlepas di dunia. Tidak dalam mahkamah Tuhan, Deen. Deen kena banyak sabar. Banyak doa. Bukan untuk orang lain tapi untuk diri sendiri. Paling penting, Pak Omar harap Deen dapat terima semuanya dengan lapang dada. Ketentuan ni ada masanya, tak datang seperti apa yang kita rancang,” nasihat Pak Omar. Lembut dan penuh kasih-sayang. Berharap Erdeena faham. Berharap hati itu menerima dan mula terasa tenang.

Andai diikutkan hati, dia juga akan berdendam. Maka, benarlah seperti yang ditelah. Wajah yang dihurung rasa bersalah dan sesal itu sekadar lakonan. Dia masih ingat dengan jelas wajah tampan anak muda itu. Yang dia harap benar-benar bermandi sesal, tapi rupanya tidak. Tapi, dia juga tak mahu Deen terus tenggelam ke dasar benci dan dendam. Semua itu adalah perasaan yang tidak sihat untuk Deen.

“Saya harap, masa akan pujuk saya untuk terima semuanya,” ujar Deen perlahan. Lebih kepada dirinya sendiri.

Dia palingkan wajah. Melihat wajah gembira dia dan ayah satu ketika dulu. Kini, wajah ayah kekal gembira. Terpateri di situ.

Tapi dia… berubah riak. 


...BERSAMBUNG


PRA-PESANAN DIBUKA.  DAPATKAN SEGERA SEBELUM KEHABISAN STOK



No comments:

Post a Comment