KERTAS kerja yang telah ayah siapkan itu, dia belek perlahan. Membaca setiap baris ayat akan proposalnya. Kini, setelah ayah pergi, rakan kongsi yang katanya mahu membuat pelaburan dalam pembukaan cawangan restoran milik ayah menarik diri tiba-tiba kerana tidak yakin akan kemampuannya menguruskan semua perkara.
Deen
mengintai keluar dari celah bidai yang diselak sedikit. Ruang restoran
kelihatan lengang. Dalam seminggu dua ini, hampir tiada pelanggan. Entah di
mana silapnya. Rasanya, setiap masakan masih mempunyai kualiti dan rasa yang
sama biarpun sedikit berubah.
Atau
apakah benar, dia tak mampu menggantikan tempat ayah? Apakah dia tidak berdaya
menguruskan restoran mereka yang telah ayah bangunkan dengan jerih payah?
Dia bersandar lemah. Tanpa sedar, keluhan berat lepas dari dalam dada.
Sementelah, bila melihat surat daripada bank yang menuntut sejumlah hutang yang tinggi. Dia tidak tahu yang ayah telah memajakkan rumah mereka kepada bank untuk membesarkan restoran.Apalah
dayanya saat ini. Segala wang simpanan telah habis demi membayar tunggakan
hutang. Malah, hibah insurans arwah juga telah dia gunakan untuk membayar sebahagian
daripada jumlah hutang. Yang disimpan sedikit adalah untuk gaji pekerja serta
perbelanjaan lain. Mujurlah, restoran satu unit ini telah menjadi miliknya
tanpa apa-apa hutang.
Bahunya
terasa hendak patah. Dia bagaikan telah jatuh ditimpa tangga. Tapi, dia akan
berusaha selagi terdaya. Jika rumah itu akan menjadi milik bank, dia juga tak
kisah. Dia akan tinggal di restoran, di dalam pejabat ini. Biarlah sempit. Daripada
terus berada dalam rumah yang besar tapi dirasakan sangat kosong setelah
kepergian ayah.
Malah,
dia akan melakukan pelbagai kerja lain demi menampung segala keperluan. Namun,
yang membuatkan dia rasa ralat adalah pekerjanya. Mata yang memandang penuh
kerisauan di saat surat bank itu tiba. Wajah yang suram bila tiada pelanggan
hampir dua minggu ini, cukup membuatkan dia resah.
Ketukan
pada pintu, membuatkan Deen melipat semula surat tersebut. Tiada siapa perlu
tahu tentang rumah yang telah dipajak. Itu adalah masalahnya.
“Deen
sibuk?” Pak Omar menjenguk ke dalam.
“Tak
sibuk. Saja tengok perancangan ayah sebelum ni. Masuklah,” pelawanya.
Pak
Omar rapatkan pintu lantas duduk di depan Deen.
“Macam
mana? Tak jadi ke orang tu nak bagi modal?”
Deen
geleng kepala.
“Saya
ada call dia untuk teruskan. Dia tolak dengan
baik. Lepas tu, saya cadangkan untuk dia labur dalam restoran ini aje. Dia
cakap dia dah habis duit untuk kerja ubah suai restoran yang baru tu. Jadi, dia
dah tanggung kerugian dekat situ. Dia memang berkeras untuk tak akan bekerja
sama dengan kita lagi.”
“Atas sebab
apa?” soal Pak Omar, sedikit tak sabar.
“Sebab
saya bukan ayah… kut?” Deen sungging kan senyuman janggal.
Pak
Omar kerut dahi. Mengerti akan apa yang Deen cuba sampaikan. Benar… Tak banyak
yang Deen bantu dalam urusan bisnes selama ini kerana anak ini sibuk belajar.
“Diorang tak kenal Deen. Deen hanya
perlukan satu peluang aje. Pak Omar kenal juga dengan dia. Biar Pak Omar pujuk
Murad tu. “
“Tak
perlulah, Pak Omar,” larang Deen.
“Saya
dah rayu banyak kali. Tapi, sekadar itu ajelah. Tak mampu nak paksa orang yang
dah tak nak. Lagipun, nak buktikan kemampuan saya pada orang yang langsung tak
percaya, susah juga tu. Nak-nak, dia cakap kita dah cukup untung dia tak tuntut
ganti rugi atas semua duit yang telah dia belanjakan. Saya hanya perlu bayar
apa yang termaktub dalam kontrak aje.”
“Eh,
dia yang nak batalkan. Kenapa kita pula nak kena bayar?” Wajah Pak Omar
berkerut. Terkejut pun, ya.
“Saya
tak boleh buat apa sebab itu perjanjiannya. Saya tak pasti macam mana arwah
ayah uruskan. Tapi, saya percaya masa tu dia sangat yakin pada ayah. Saya ni,
anak ayah. Bukan ayah.”
Tuhan…
Pak Omar hampir saja melepaskan keluhan tapi ditahan. Dengan keadaan restoran
yang begitu suram dah hampir dua minggu. Dia tahu Deen resah memikirkan semua
perkara. Lebih-lebih lagi kebajikan semua pekerja. Tapi, anak ini langsung tak
buka mulut meluahkan kesulitan.
Malah,
Deen begitu menjauhkan diri. Tidak lagi makan bersama. Hanya bersendirian di
dalam ofis bila tidak sibuk. Dialah yang menjadi satu-satunya orang yang dapat
mendengar suara Erdeena. Itu pun, hanya atas urusan kerja. Jika tidak, mulut
Erdeena terkunci rapat.
“Deen
macam mana?”
Dahi
Deen berkerut dengan soalan Pak Omar.
“Pak
Omar tahu banyak benda yang Deen nak fikir. Tapi, jangan tanggung sendiri. Kami
ada. Pak Omar ada untuk bantu Deen. Jangan pendam perasaan atau masalah. Kita
bincang kalau ada apa-apa masalah, ya?” pinta Pak Omar.
Deen
tidak berkata apa. Dia diam seketika.
“Sebenarnya
saya ada buat keputusan walaupun dengan berat hati.” Matanya memandang tepat ke
wajah Pak Omar.
“Dah
hampir sebulan, bisnes sangat perlahan dan dalam dua minggu kebelakangan ni,
hampir tiada pelanggan langsung. Saya bercadang nak tutup restoran beberapa
hari untuk fikirkan pelan marketing baru. Saya berikan cuti
dengan gaji penuh pada semua orang sehingga saya buat keputusan untuk buka
semula restoran ni,” jelas Deen, tenang.
“Deen
dah fikir masak-masak?”
“Ya.” Dia
tahu, Pak Omar tak setuju tapi keputusannya bulat.
“Saya
tahu, saya patut bincang dulu dengan semua orang. Tapi, ini adalah keputusan
yang saya yakin terbaik untuk semua. Jangan risau, saya tiada niat nak tutup
terus.”
Suasana
sepi seketika. Pak Omar angguk. Mengerti. Ya, seperti kata Deen… perkara ini
bukan lagi untuk dibincangkan tapi ia adalah satu keputusan yang telah dibuat. Malah,
dia juga tahu kerugian yang ditanggung dan untuk menerima bayaran gaji dalam
keadaan sekarang, juga membuatkan dia merasa berat hati.
“Pak
Omar faham dan semua orang pun akan faham. Tapi, kalau Deen rasa tak boleh lagi
nak bayar gaji tu, Pak Omar yakin semua orang pun faham.”
“Tak
apa. Tentang tu, Pak Omar jangan risau. Saya dah buat kira-kira dan masih mampu
untuk bayar gaji semua orang. Saya tak boleh biarkan bisnes tak jalan dan gaji
pekerja juga tak jalan. Saya tak nak jadi zalim. Bila sampai masa, saya harap
semua orang akan kembali bantu saya majukan restoran ni.”
Keputusan
ini dibuat dengan begitu sukar. Pertama kali dalam sejarah penubuhan Ad-Deen,
dia menutup restoran ini. Walaupun dia tak tahu, apakah benar dia mampu bangkit
semula? Paling tidak, dia akan tewas setelah berusaha.
“Saya
minta maaf pada semua orang. Lebih-lebih lagi pada Pak Omar dan Kak Ram yang
sejak sekian lama bantu ayah. Saya minta maaf sebab saya dan ayah adalah
berbeza. Saya tak sehebat ayah. Tapi, saya akan berusaha sehabis daya saya.” Kala
ini, Deen dapat rasa kelopak matanya terasa suam.
Dia
tunduk. Hatinya tak kuat untuk memandang Pak Omar.
“Pak
Omar faham. Semua orang akan faham. Terima kasih kembali sebab dalam keadaan
genting dan sukar macam ni pun, Deen masih fikirkan kami semua. Tak banyak yang
dapat kami bantu Deen. Cuma, Pak Omar harap, Deen lebih terbuka hati dengan
kami.”
Deen
faham maksud ayat akhir Pak Omar. Dia tidak lagi ceria seperti dulu. Dia tidak
lagi duduk bersama mereka untuk makan. Jauh sekali untuk bersembang. Pemergian
ayah merupakan satu kehilangan yang sehingga kini tak dapat dia terima. Ditambah
dengan pelbagai masalah dan rasa kecewa kerana pesalah itu tidak dijatuhkan
hukuman atas sebab yang dia sendiri tidak tahu. Segalanya bercelaru. Hidup yang
dahulunya berwarna-warni, kini hanya ada kelabu.
...BERSAMBUNG
PRA-PESANAN DIBUKA. DAPATKAN SEGERA SEBELUM KEHABISAN STOK
No comments:
Post a Comment