Friday, March 04, 2022

SUMPAH 12

KEPALA tiba-tiba rasa menyengat. Permintaan abah lebih pada keputusan sebenarnya. Keputusan yang tak mampu dia bantah lagi. Melihat pandangan mata abah, dia tahu lelaki itu juga resah dan bingung.

“Abah faham kalau Qeef tak boleh. Abah tahu Qeef ada cita-cita dan rancangan sendiri. Tapi, Qeef sendiri tahu, Qeef tetap boleh kembangkan impian Qeef. Kita pun dah lama dalam bisnes F&B. Tiada masalah untuk Qeef ambil alih buat masa ni. Lagipun, abah dah tiada siapa nak diharapkan,” ujar Datuk Thaha bila melihatkan anaknya diam.

“Jujurnya, abah… bisnes macam ni bukan kepakaran Qeef. Walaupun Qeef belajar pasal bisnes, tapi buat masa ni Qeef tak praktik kan sangat. Qeef risau…”

“Abah bukan nak Qeef uruskan sendiri. Abah akan tolong. Cumanya, abah tak boleh nak buat sorang. Abah perlukan bantuan yang selama ini abah dapat,” pujuk Datuk Thaha.

“Abah minta masa setahun aje daripada Qeef. Lepas setahun, walau apa pun jadi… abah tak akan sekat lagi Qeef nak buat apa yang Qeef suka,” pinta Datuk Thaha separuh merayu.

Merenung wajah itu, benar-benar mengundang perasaan sayu dan rasa tanggungjawab yang mendalam. Akhirnya, Thaqeef angguk. Setahun bukan jaminan. Tapi, dia harap banyak yang akan berubah dalam masa setahun ini. Berubah ke arah yang lebih baik yang pastinya.

Jika sebaliknya berlaku, dia harap waktu itu… hati dan jiwanya telah benar-benar bersedia untuk apa saja.

“Tapi, betul ke keputusan nak rahsiakan semua yang dah jadi?”

Datuk Thaha menoleh seketika mencari isterinya. Bimbang jika jawapannya akan menimbulkan keresahan pada hati isteri yang sudah sedia galau.

“Buat masa ni, ini yang terbaik. Abah syak dah lama ada yang tak kena dalam syarikat. Tak tahu kat mana punca dan siapa dalangnya. Abah ada syak beberapa orang. Cuma, bukti tu tiada. Abah tak boleh nak tuduh melulu. Dengan apa yang jadi, abah tak nak ada yang menangguk dalam air keruh,” jawab Datuk Thaha.

Sudahlah keruh, dituang lagi tuba. Dia mahu elakkan perkara itu terjadi.

“Adalah beberapa orang yang abah percaya tahu tentang ni. Mereka pun setuju dengan rancangan abah. Tentang pelantikan Qeef, masing-masing setuju untuk beri Qeef tempoh percubaan,” tambah Datuk Thaha lagi.

“Tapi, semua ni ada kena mengena dengan mommy ke?” duga Thaqeef. Melihatkan cara abah melilau mencari mommy sebelum memberikan jawapan.

Sekali lagi, Datuk Thaha melilau sebelum mengangguk.

“Buat masa ni, rahsiakan dulu. Tunggu betul-betul ada bukti. Abah tak nak mommy risau. Yang Qeef pula, tak habis lagi check kereta rosak tu ke? Kan dah total lost?”

“Hurm… Qeef tengah upah orang cek betul-betul. Setiap inci. Bukan masalah total lost. Tapi, Qeef tak sedap hati. Itu pun, tunggulah. Dah ada keputusan nanti, Qeef kongsi dengan abah,” jawabnya.

Datuk Thaha angguk. Tanda mengerti. Kereta itu adalah kereta kesayangan Thaqeef. Dia faham jika Thaqeef terus menyiasat kerana dia yakin, pasti Thaqeef dapat rasakan sesuatu.

“Kiranya, Qeef setuju ya… ganti sekejap? Satu tahun aje abah minta.”

Thaqeef angguk bersama senyuman tipis. Dia tiada pilihan. Cita-citanya perlu ditangguhkan. Atau dikorbankan jika perlu. Dia sudah tidak peduli.

“Kalau tak ada apa-apa lagi, Qeef naik bilik dulu, bah.” Dia angkat tubuh yang terasa penat. Mengusap belakang leher dan saat memijak anak tangga pertama, mommy muncul dari ruang dapur bersama pembantu rumah mereka.

“Qeef, marilah makan dulu. Mommy dah siap masak ni. Lauk kegemaran Qeef.” Datin Zafeera senyum.

“Qeef naik mandi kejap. Nanti Qeef turun,” balasnya lantas memanjat anak tangga dengan langkah perlahan.

Sebaik saja daun pintu ditutup, dia rebahkan tubuh di tengah-tengah katil. Menghadap siling putih dengan tangan yang mendepang, lebar. Dia punya rancangan sendiri selama ini. Dia merangka yang terbaik. Siapa dapat duga, rancangan itu berubah bila struktur rangkanya tidak kukuh.

Segalanya tumbang menyembah bumi.

Kelopak mata kian berat. Entah bila dia terlelap dan mata kuyunya kembali terbuka bila dia rasa ada tangan yang menyentuh bahunya.

“Qeef bangun makan dulu, nak,” suruh Datin Zafeera, mesra.

Lama dia tunggu Thaqeef turun dan bila dia naik menjenguk, anak ini sudah terlena. Dia biarkan saja Thaqeef terus lena. Tak sampai hati nak dikejutkan. Dia tahu Thaqeef keletihan.

Dia angkat tubuh sasanya. Bersila sambil kerdip-kerdipkan mata yang masih sukar untuk dibuka. 

“Mommy dengan abah dah makan?”

“Dah. Tadi, mommy naik nak panggil makan.  Tengok Qeef tidur. Mommy tak sampai hati nak kejut. Mommy ajak abah makan dulu. Ini dah lewat. Marilah makan sikit,” ajak Datin Zafeera.

“Hurm. Yalah. Qeef mandi sekejap.” Dia menggeliat. Segala otot dan sendi tubuh terasa ketat bila dia tak sempat untuk bersenam beberapa hari ini. Sementelah dengan emosi sendiri yang tergendala, dia tak dapat berbuat apa-apa.

“Mommy turun panaskan lauk. Atau Qeef nak mommy bawa naik?”

“Tak apa. Qeef turun.” Thaqeef senyum tipis. 

Wajah ceria mommy tak dapat menutup rasa galau yang disemai pada setiap ceruk wajah indahnya. Mommy juga membalas senyumannya dan berlalu ke pintu.

Hanya beberapa langkah, Thaqeef pantas bangkit dan memeluk tubuh Datin Zafeera dari belakang. Dagunya disangkut di atas bahu mommy hinggakan belakangnya membengkok. Dia hampir lupa, betapa kecilnya jasad mommy andai nak dibandingkan dengan dirinya. Rasanya, sejak dia kembali, inilah pertama kali dia benar-benar memeluk mommy. Haruman mommy dihirup dalam. Dia benar-benar rindukan haruman ini.

“Kenapa ni?” soal Datin Zafeera dengan suara sebak.

“Hari ini, baru Qeef sempat peluk mommy dan hidu bau mommy. Qeef rindu sangat nak peluk mommy. Nak cium bau mommy,” akuinya perlahan. Haruman itu dihirup lagi. Tanpa jemu.

“Mommy pun sama. Mommy faham beberapa hari lepas semuanya kelam-kabut. Semua benda pecah berderai tanpa kita sangka, kan?” ujar Datin Zafeera. Nadanya kian kedengaran sebak.

Thaqeef ketatkan pelukan.

“Qeef akan kutip yang pecah tu dan akan lekatkan sedikit demi sedikit. Semuanya akan bercantum semula. Walaupun tak sama lagi bentuk dan keadaannya, tapi asalkan melekat… tentu tak ada masalah,” balas Thaqeef penuh makna. Kala ini, dia dapat rasa air mata mommy menitis di atas lengannya.

Datin Zafeera angguk beberapa kali.

“Mommy dah tak kuat untuk hilang Qeef pula.”

“Qeef tak akan ke mana-mana. Qeef akan sentiasa ada temankan mommy dan abah.”

Dan, pelukan mereka terus hangat biarpun suasana sayu itu hanya ditemani suara tangisan yang halus dan menghibakan. 


...BERSAMBUNG

PRA-PESANAN DIBUKA.  DAPATKAN SEKARANG SEBELUM KEHABISAN STOK



No comments:

Post a Comment