MATANYA tunak
merenung asap yang berkepul daripada cawan kopi yang baru saja sampai depan
mata. Suasana Café Roma terasa
hening. Hari minggu… biasalah
begini. Dia lebih senang duduk
bersendiri. Katalah dia kera sumbang,
dia tak kisah. Kerana hidup ini bukan
selamanya akan berteman. Sampai masa,
dia akan sendiri. Yang menjadi teman
untuk teruskan hidup hanyalah kecekalan.
Kerana itu dia ada di sini biarpun di sini pernah mencipta segaris luka
di hatinya.
Dan, dia adalah
wanita yang cekal!
Kerana dia tahu,
pengalaman lalu adalah yang paling jujur untuknya.
Jari telunjuk
mengait tangkai cawan. Birai cawan
didekatkan ke bibir. Sesekali Dian
pejamkan mata menikmati rasa pahit yang sentiasa menawan hati. Haruman daripada warna hitam pekat ini bisa buat
dia ketagih.
Sebaik saja dia
kembali letak cawan di atas piring, sepotong kek diletak di atas meja. Tepat di depan matanya. Dahi Dian berkerut.
Dah siapa pulak
order ni?
Wajah
diangkat. Seorang lelaki yang memakai
kemeja putih dengan lengan disinsing hingga ke pangkal siku, siap dengan apron
hitam pekat terbelit di pinggang; tersenyum padanya.
“Saya tak order
ni…” Kepala digeleng dua tiga kali
sambil jari telunjuk lurus tajam ke arah sepotong Blueberry Cheesecake.
“Ya, saya
tahu. Sebab tak order baru saya bawakkan…”
What? Dian kerut kening. Ada nak kena simbah air ni dekat baju putih
tu.
Dia ukir senyum
sinis.
“Itu ayat lapuk
nak mengorat, encik,” bidas Dian mendatar.
Dia larikan
mata. Membelek helaian seterusnya buku
yang ada di tangan. Malas nak
layan. Letaklah dekat situ. Nak makan nanti, aku makan. Ingat orang tak boleh bayar ke sampai nak
bagi free segala. Heh.
Tapi, lelaki itu
masih berdiri di situ. Tak berganjak
langsung.
Dian angkat
wajah.
“Ya?”
Keningnya naik sebelah dengan wajah bosan. Tak selesa diamati demikian.
“Saya tertanya,
kenapa cik selalu pesan americano triple shots tanpa syrup?”
“Kenapa? Awak ke yang buat air saya?”
Lelaki itu
angguk. “Sejak hari pertama dulu…” Dulu yang telah hampir tiga bulan
berlalu. Dia tahu, wanita ini tak pernah
hiraukan sekeliling jauh sekali dia.
“Dah tentu
rasanya tak pernah berubah, kan?” soal
lelaki itu lagi.
Dian pandang
Americano panas di depan mata. Hatinya
mengiyakan. Memang benar. Sejak dia reti lepak di sini, rasa ini tak
pernah berubah. Tapi, dia tak pernah
kisah pada si pembuat. Malah, tak ingat
pun wajah dan namanya.
“Tak pahit
sangat ke?”
Dian senyum
tipis. Inilah yang orang panggil busybody ni. Dian tegakkan duduk. Sepatutnya hari minggu adalah hari untuk dia
bertenang dan bersenang. Tapi, ada yang
mengajak jadi lawan.
“Kalau
pahit?” soal Dian. Sabar.
“Sugar?” Sebelah kening
lebat lelaki itu terjongket tinggi.
“No…
thanks…”
Dia koyak senyum dan kembali tunduk memandang telefon di tangan.
“Okay
then.”
Lelaki itu mengalah.
“Tapi, rasalah
kek tu…”
“Kalau saya rasa
nak makan…”
“Kalau tak makan,
membazir nanti…” Laju lelaki itu
menjawab.
“…Lagipun, kopi
pahit kombinasi dia kek yang manis. Ia akan
menjadi pasangan yang sempurna.” Sekali lagi, senyuman terlorek indah pada
wajah itu.
Dian tahan nafas
seketika. Mata dipejam beberapa
saat. Mencari sabar. Saja nak kenakan dia ke macam mana ni. Nak dikata tiada pelanggan lain, ada jugak
dua tiga orang selain dia.
“Awak ni memang
ramah dengan semua customer atau
dengan saya aje?”
Lelaki itu
sengih lebih lebar. Wajah yang penuh
ketenangan biarpun si gadis mula tunjuk rasa tidak senang.
“Dengan yang
terpilih aje…”
“Apa dia?” Wajah Dian menyeringai. Tak faham dengan maksud ayat lelaki itu. Apa yang terpilih?
“By the way, saya Nel…”
“Saya tak
tanya,” selar Dian geram. Tak payah
cakap pun dia boleh nampak dekat nametaglah!
“Sebab tak tanya
baru saya cakap…” Hujung bibir lelaki
itu terjongket senyuman sinis dan terus saja berlalu ke belakang kaunter. Berdiri di belakang mesin pengisar kopi.
Baristar
ke? Sejak bila? Dan, dia pun tak perasan akan wajah ini
sepanjang dia menjadi pelanggan setia Caffé Roma hampir tiga bulan sudah. Jujurnya, dia tak pernah ambil peduli. Janji rasa pada air yang dia minum masih
sama.
Apalah nasib
hari ni. Lari daripada ngauman singa,
dia berdepan dengan senyuman buaya.
Menakutkan sungguh. Air yang baru
ditelan seteguk dua itu dipandang.
Selera dah hilang. Memandang kopi
kegemaran pun dah bertukar jadi racun, Dian angkat punggung. Dah sedia nak berlalu.
Beg dicapai dan
digantung ke bahu. Kerusi ditolak semula
ke bawah kerusi. Tanpa berpaling lagi,
dia terus melangkah tanpa hala tuju yang pasti.
Melihatkan gadis
tadi angkat tubuh, Nel cepat-cepat ke meja tadi. Kek yang tak berusik dan jugak air yang masih
penuh cawan itu dia capai. Diletak di
atas kaunter.
“Kau tapau ni,”
suruhnya pada Adi, salah seorang staff kafe.
“Eh, abang ni
dah kenapa?” Adi terpinga-pinga tapi
diturutkan juga kehendak Nel. Sesekali,
dilemparkan jauh pandangan pada langkah gadis yang makin hilang daripada
pandangan.
“Awek abang
ke?” Kening Adi naik berkali-kali. Dihulurkan kotak kek dan gelas air.
“Sibuklah kau,
Di…” Nel kerling Adi tajam. Terus dia hayun langkah laju.
Sebaik saja
keluar daripada café, susuk tubuh halus itu dah hilang. Mana pulak dia pergi ni? Quill Mall ni dahlah besar jugak. Nel rapat ke escalator. Melilau beberapa kali tapi tak nampak pun
bayang gadis tadi. Kemudian, dia menoleh
ke kiri dan bibirnya pecah dengan bunga senyum.
Bingo!
Kaki diatur
menuju ke butik Top Girl. Memegang
cermat bungkusan di tangan. Sebaik saja
tiba di depan butik, tubuh gadis tadi dah masuk ke dalam butik. Dan, dia tenang menanti di luar. Mana boleh bawak masuk makanan dalam kedai
baju orang. Ada kena halau karang.
Ralit dia
memerhati. Apalah yang membelenggu gadis
itu hinggakan raut yang begitu comel, nampak sentiasa tegang? Sejak tiga bulan lalu, wajah itu sentiasa
muncul di depan matanya biarpun dia tahu, dia tak langsung menarik pandangan orang.
Well,
dia tak kisah langsung!
Sepasang blouse berbelang hitam putih Dian
capai. Diletak ke badan.
Nel senyum. Tak sesuai tu dengan awak, cik.
Bibir Dian
mencebek dan menggeleng kecil. Tak
berkenanlah dia. Diletakkan kembali. Dicapai pula blouse labuh kosong berona turquoise. Diletak ke badan.
Kali ini juga
Nel menggeleng. Walaupun wajah itu putih
bersih, tapi warna turquoise tu akan
buat gadis itu nampak ‘kosong’.
“Itu pun tak
sesuai dengan awak,” ujarnya perlahan.
Seperti yang dia
yakin, blouse itu diletak
kembali. Tangan Dian menarik sehelai
lagi blouse. Kali ini, warna royalblue yang nampak mewah biarpun tiada sebarang corak.
Bingo! Nel ketik jari perlahan. Itu hampir sempurna untuk awak, cik. Dia intai dan sesekali menarik lehernya bila
nampak pekerja kedai yang menoleh.
Kantoi!
“Boyfriend cik
tunggu dekat luar tak?” bisik gadis
comel itu pada Dian.
Dahi Dian
berkerut. Boyfriend? Dia masuk sorang tadi. Dah kenapa ada teman lelaki tunggu pulak. Blouse
tadi diletak semula di tempat asal.
Kakinya maju ke pintu Top Girl.
Memandang ke kiri, tapi tiada siapa.
“Saya dekat
sebelah sini…”
Terus Dian toleh
ke kanan. Dadanya hampir nak pecah. Mujurlah dia tak melatah. Disergah begitu oleh lelaki tadi.
“Nel, kan?” tanya Dian.
Kening Nel naik
sebelah. Dia unjukkan kotak kek dan
gelas kertas berisi kopi tadi.
“Tak kan sampai
sini awak kejar saya semata nak mengayat?”
sindir Dian.
“Siap bawak air
dengan kek lagi…”
“Ini kek dengan
air tadi. Saya mintak diorang tapaukan…”
Hujung bibir Dian
terjongket sinis. “Kalau orang dah
tinggal tu, maknanya orang taknaklah.
Benda dah jadi sisa. Faham, kan?” Dia bukanlah jenis sombong, tapi entahlah…
dengan lelaki ni memang rasa nak berlagak aje.
Jenis tak reti bahasa.
Perlu ke cakap bahasa planet
Marikh?
Tapi, Nel tetap
tenang. “Awak ingat lagi nama saya. Menarik…”
Heh. Lain yang dia marah, lain yang Nel balas. Memang spesis tak reti bahasa Melayu sungguh. Setakat nama tiga huruf aje, budak tadika pun
boleh ingat.
“Encik Nel
simpan ajelah kek dengan air tu. Anggap
ajelah saya bersedekah…” Senyuman Dian
plastik.
“Ada ke orang
sedekahkan sisa makanan dia?” soal Nel
tenang.
Dian terngadah
seketika sebelum dia kembali ukir senyum.
“Air tu memang sisa. Tong sampah
banyak. Tapi, kek tu saya tak usik
langsung…”
“Sebab kek ni… percuma? Gitu?”
“Tak,” nafi Dian.
Siapa tak suka benda percuma.
Semua orang suka.
“…Cuma saya tak
suka benda manis…”
“I
made it… it was just nice.” Nel laju mencantas.
Dian silang
tangan ke dada sendiri. Menapak
selangkah mendekati Nel.
“Encik Nel, saya
tak tahu apa yang awak nak daripada saya.
Kalau nak mengorat, ini semua skill
lapuk. Saya memang tak akan termakan
dengan umpan awak…”
“Saya tak umpan
awak. Lagipun, awak bukan ikan…”
“Hah?” Wajah Dian terpinga-pinga. Apa kena dengan mamat ni?
“Awak sihat,
kan?” Kotlah lelaki ni gila. Dia nak lari laju-laju ni.
Nel ketawa
lepas. Sebatang gigi taringnya jelas di
mata Dian.
“Saya
sihat. Normal lagi. Ini… biasa saya tengok awak minum sampai
kering cawan. Tapi hari ni, awak minum
seteguk aje. Mungkin sebab saya kacau
awak. Saya rasa bersalah. Itu aje…”
beritahunya. Sopan.
“Sebab tu saya
tanya, awak ni layan semua customer
macam ni ke?”
“Kan saya dah
kata, untuk yang terpilih saja.” Berapa
kali dia perlu perempuan ni perlu tanya soalan sama dan setiap kali itu juga
dia perlu berikan jawapan yang sama.
“Kiranya, sayalah
yang terpilih tu?” Dian tenung mata kuyu
Nel tajam.
“Awak rasa awak
ke yang terpilih tu?” Nel ukir
senyum.
Sekali lagi Dian
gamam. Hanya mampu menelan liur sendiri
tanpa mampu memberi jawapan pada soalan lelaki ini. Yelah.
Kalau nak kira, ayat dia dah macam orang syok sendiri pulak. Entah-entah lelaki ni hanya nak
mengusik. Atau memang berniat baik nak
bagi dia kek ni.
Adakah wajahnya
berbicara dengan begitu jelas tentang masalah yang membelenggu sejak dulu? Kerana itu, lelaki ini cuba menabur
simpati?
“Satu lagi,
jangan ajar diri membazir. Jangan
dekatkan diri walaupun seinci dengan perangai syaitan…” Diletak bungkusan itu di atas tapak tangan
gadis itu dan dia terus berlalu.
1. Huraikan dua jenis bahasa tidak formal yang terdapat dalam petikan beserta contoh.
ReplyDelete2. Bincangkan 3 fenomena bahasa yang berlaku berdasarkan contoh dalam petikan.