SOALAN Nel itu
dia bawa pada mama. Bukan tak boleh buat
jawab sendiri, tapi dah biasa berbincang dengan mama biarpun keputusan akhirnya
dibuat oleh ayah. Cuma kali ini, dia harap
dia kuat untuk buat keputusan sendiri.
“Kalau dia cakap
gitu, maksudnya dia dah sedialah tu. Dia
serius…”
“Entahlah,
ma. Dian takut…”
“Takut
apa?” Mata Dian dipandang.
“Ayah lagi marah
dekat Dian…”
“Kalau Nel tu
baik, walaupun tak ada harta… mungkin ayah kurang suka. Jujurnya, mama sendiri berat hati jugak bila
tahu keadaan dia. Macam mana anak mama
nanti. Makan minum Dian. Terjaga ke?
Mama memang fikir semua tu. Tapi,
dah Dian cakap dia jenis bertanggungjawab, dia akan usaha dan dalam setiap perkara
ni, usaha itu yang penting. Selebihnya,
biarlah Allah bagi setakat mana yang kita perlukan. Tambah pulak, Dian bahagia, tak ada sebab
untuk ayah marah lagi…” pujuk mama.
Dian tunduk
memintal hujung rambut sendiri. “Ayah
tak suka Nel, ma…”
“Bukan tak
suka. Sebab tak kenal lagi. Kan orang cakap, tak kenal maka tak
cinta. Ajaklah Nel datang rumah. Kan Dian pernah kata nak bawak dia ke
rumah. Kenalkan dia secara rasmi dekat
kami. Sekaranglah. Bila Nel tanya soalan gitu dekat Dian. Mama yakin, masanya dah tiba,” tambah Elina
lagi.
Ada benar kata
mama. Dian pandang mata mamanya. Rasa nak menangis pun ada bila mama bagai
mengerti akan rasa di hatinya.
“Tapi, kalau
ayah lagi marah? Dian tak nak tambah
bara pada marah ayah, ma…” Teringat nasihat
Nel. Orang dah luka, kenapa nak tambah
garam lagi.
“Kalau anak mama
yang hati dingin ni boleh jadi hangat sebab Nel, mama yakin… ayah yang hati
batu tu pun boleh cair jugak dengan dia Nel…”
Elina senyum.
Dia sendiri
resah. Tapi, dia nampak keikhlasan Dian
mahu terima Nel.
“Bawa dia sekali
jumpa mama dengan ayah, ya?”
Dian akhirnya
senyum. Dia angguk perlahan.
“Tapi, apa nama
dia? Mama yakin Nel tu nama manja
aje. Ya tak?”
Eh, yelah. Dia tak pernah tanya nama Nel. Nel tu dia nampak pada tag nama. Hai… kenapa mereka tak pernah tanya nama
masing-masing. Dia juga tak pernah
terlintas nak tanya dan tak rasa nak cakap nama penuhnya pada Nel.
Lama-lama Dian
senyum.
“Dian pun tak
tahu, ma. Tapi bila fikir dia pun tak
tahu nama betul Dian. Pelik. Tak tahu nama betul, saling panggil nama
timangan… Dian rasa selesa…”
“Itu tanda hati
awak tu dah jatuh cinta dekat dia. Tak
kiralah apa saja. Setakat nama penuh tu
apalah sangat. Esok-esok tahu jugak. Yang penting, kimia hati tu haaa…” Mama mengusik.
“Eh mama ni…
kimia pulak…”
“Dah tu, tak kan
nak cakap fizik pulak. Fizikal belum
lagi. Jangan pandai-pandai sebelum nikah
ni. Mama mengamuk nanti,” ujar mama
dengan wajah yang sengaja dia buat serius.
Dia ledakkan
tawa. Mama ni la haii…
Perlahan, Dian
geleng.
“Nel lelaki
baik, mama. Dia buat Dian sedar, Dian
tak keseorangan dalam dunia ni.” Matanya
terpejam rapat.
Hatinya mula
pandai menyebut rindu.
SEJAK tadi,
Esmail hanya memandang anak dan isterinya berborak. Begitu rancak dan nampak bahagia. Biarpun wajah Dian kerap dirundung muram,
tapi setidak-tidaknya masih ada garis senyum pada bibirnya.
Anak itu begitu
sempurna padanya selama ini. Malah,
semua kawan-kawannya turut memuji. Dian
tiada cacat cela.
Dian cantik
jelita.
Dian bijak.
Dian punya
kerjaya dan tak bergantung pada orang tua.
Dian berdikari.
Dian mendengar
kata orang tua.
Dian tak pernah
membatah walau dengan sepatah kata.
Dia hanya angguk
dan penuhi segala kehendak mereka.
Dian pandai
menjaga diri dan pergaulan.
Tapi, itu
dulu. Sekarang sudah berbeza. Dalam sekelip mata. Dia tahu siapa Haikal. Tapi, dia juga tahu Haikal tak sejahat yang
disangka. Hamdan adalah kawan
baiknya. Sejak dulu. Sebelum lelaki itu mendapat pangkat. Sekarang, dia dan Hamdan agak berbeza tapi
dia juga tak kalah.
Paling penting,
Hamdan dan isterinya begitu sukakan Dian dan keluarga itu adalah yang terbaik
untuk Dian. Dia mahu Dian hidup
senang. Dia tak nak Dian susah-payah. Ini pun dia tak nak Dian kerja. Atau kalau nak kerja, biar aje kerja
dengannya. Tapi, Dian mahu cari
pengalaman katanya. Rugi dengan ilmu
yang dipelajari selama ini.
Dia letakkan
syarat. Dia perlu berhenti bila menjadi
seorang isteri.
Saat itu, anak
itu juga setuju.
“Apapun jadi,
aku nak Dian jadi menantu aku. Aku tak
nampak dah anak dara orang lain yang macam Dian. Paling tidak, kalau Haikal tu kepala angin
sikit, Dian tu sempurna pada mata aku.
Aku tak nak air muka keluarga aku calar bila dapat menantu yang tak
semenggah…” Kata-kata Hamdan bergema
dalam kepala.
“Lagipun, kan
aku dah janji… kalau Dian jadi menantu aku, mana-mana projek mega yang aku
dapat, aku akan sub dekat syarikat kau.
Kau dapat dua dalam satulah kiranya.
Aku memang tak boleh nampak baik dah anak orang lain. Tak sesuai dengan Haikal. Lagipun, aku nampak Haikal tu memang suka
Dian. Kalau tak, tak kanlah dia sanggup
bertunang dua tahun…”
“Ya, aku tahu
tu, Hamdan. Tapi, masalahnya Dian cakap
Haikal yang putuskan…”
“Itu aku
tahu. Dia ada cakap jugak dekat
aku. Tapi, dia tak pulak suruh aku
datang rumah kau putuskan secara rasmi.
Orang tak tahu lagi pasal hal ni.
Aku anggap Haikal tu tak matanglah.
Aku pun dah cakap dekat dia, minta pujuk Dian balik. Pada aku, kalau dia tak paksa dengan mak dia
datang rumah kau, aku yakin dia masih simpan perasaan pada Dian. Boleh jadi sebab dia tercabar kot bila dua
tahun ni Dian layan dia tak ubah macam orang asing…”
Dia ingat lagi
cerita Haikal. Anaknya dan Dian seperti
langsung tiada keserasian. Walhal dia tahu
Haikal benar-benar sukakan Dian. Cuma
tak tahulah sejauh mana perasaan Dian pada Haikal.
“Dian tu ada
orang lain ke, Mail?” Dia kerling Esmail
yang nampak kerut dahi sejak tadi.
“Tak adalah,”
nafi Esmail dalam debar. Risau juga
penipuan dia tertangkap. Hamdan ni
banyak kaki dan banyak cara untuk mengorek cerita. Tak perlu nak tanya dia pun sebenarnya.
“Dia tu pergi
kerja balik kerja. Hujung minggu kerja
jugak. Aku pun dah lama tak nampak dia
keluarga hujung minggu. Kalau keluar pun
dengan mama dia ajelah…”
Dahi Dato’ Seri
Hamdan berkerut sedikit. Seperti tak
percaya. Dia dah kenal Esmail lama
sangat. Dia macam dapat rasa andai
Esmail cuba menutup sesuatu. Tapi, dia
juga tanya pada Haikal dan ayat Haikal juga sama. Entahlah budak-budak ni. Macam-macam hal.
“Kau pujuk
Dian. Nanti aku suruh Haikal pergi minta
maaf pada Dian. Kalau kata diorang dah
berbaik, kita langsung terus. Itulah
dulu, aku nak bagi nikah terus, kau kata bagi masa untuk budak berdua tu
sesuaikan diri. Dua tahun, tak sesuai
pun nampaknya. Sudahnya, putus pulak…”
Hamdan menggeleng. Kecewa.
Kecewa dengan
Dian, berjuta kali kecewa dengan Haikal.
Anak jantan apa macam tu. Kalau
betul jantan, bertahan. Pujuk. Ini tidak… sekarang menyusahkan orang. Dia bukan orang sembarangan. Boleh dikatakan, dia dikenali
masyarakat. Buat malu aje nanti kalau
orang tahu anaknya putus tunang setelah dua tahun padahal dia dah canang satu
dunia, menantunya adaldah yang terbaik.
“”Aku
cubalah…” janji Esmail.
“Kau janji tu, Mael. Jangan sampai aku campur tangan. Nanti makin susah pulak semua benda…” Kali ini, ayat Hamdan seperti mengugut.
Esmail
akur. Dia kenal sahabatnya ini. Dan, dia juga tak mahu Dian menjadi
mangsa.
Mata Esmail
beralih pada suara Dian dan isterinya yang sedang ketawa. Tak jelas butir bicaranya sejak tadi. Dia mahu senyum tapi pesanan Hamdan terus
mematikan senyum yang baru nak bertunas.
Dia terus
melangkah naik ke atas. Susuk tubuh itu
terbias dek mata Elina.
“Eh… bila masa
ayah balik. Tak dengar pulak dia bukak
pintu…” Elina terus bangkit.
“Mama naik
tengok ayah kejap…” Dia terus berlalu
meninggalkan Dian sendirian di situ.
Nampak lemah benar langkah suaminya.
Kata dapat
projek besar. Dapat rezeki pun kemain
monyok.
"JUDI POKER | TOGEL ONLINE | TEMBAK IKAN | CASINO | JUDI BOLA | SEMUA LENGKAP HANYA DI : WWW.DEWALOTTO.ME
ReplyDeleteDAFTAR DAN BERMAIN BERSAMA 1 ID BISA MAIN SEMUA GAMES YUKK>> di add WA : +855 69312579 "