Saturday, May 11, 2019

Sugar? 20

TUHAN… apalah yang aku jawab masa tu?  Haih… tak pasal-pasal dia dapat MC sehari.  Eloklah.  Dia pun nak balik jenguk orang tuanya.  Orang tua yang masih sibuk dengan dunia kerana ada anak keras kepala seperti dia. 

Kerana itu dia kata dia tak baik.  Zahlia aje nampak dia baik.  Atau sebenarnya Zahlia tu terpaut dengan wajahnya.  Argh… bukan dia nak perasan kacak pun, tapi kenyataan.  Rambut panjang berserabai pun ramai orang suka, sekarang kemas terpacak… lagilah ramai. 
Haih… Nel beristighfar dalam hati.  Teruk betul.  Dah jatuh ke riak dah.  Dia tak baik pun.  Dian aje yang anggap dia baik.  Tapi, dia tak tipu.  Dia cuba nak jadi baik. 
“Pergi mana dah tadi?”  sindir abah. 
Nel senyum tipis.  “Ada aje dekat sini.”
“Mengelamun aje abah tengok kau ni…”  Sejak sampai tadi, tak sudah-sudah berangan.  Nak mengait angan ni senang, nak capai tu kena usaha.  Haih budak ni. 
“Mana ada mengelamun, yah,” nafi Nel perlahan. 
“Abah tak kerja ke?” 
“Malas dah aku.  Kau ingat abah larat lagi ke?  Ikut hati nak bergantung harap dekat anak tapi apa nak kata, anak pun gaji tak seberapa…”  sindir abah sekali lagi.
Nel gigit bibir.  Hadoi… dia dah bagi lima ratus.  Cukuplah tu.  Setakat yang dia mampu.  Gaji dia berapalah sangat.  Itupun hampir separuh gajinya.  Belum lagi untuk umi.
“Abah nak Nel bagi berapa sebulan?”  soal Nel sopan. 
“Bukan nak duit ringgit kau.  Tapi, balik duduk sini.  Nak duduk sendiri walaupun rumah orang tua dekat… membazir…” 
“Nel kerja shift, bah.  Ada masa tengah malam baru sampai rumah.  Tak nak abah rasa tak selesa kalau Nel balik lambat…”
“Banyaklah alasan kau!”  Geram sungguh dia dengan budak sorang ni. 
Zaman sekolah dulu ligat.  Suka melawan.  Semua yang dia kata, dibantah keras.  Sudahnya dia mengalah.  Sekarang ni, walau dah berubah… tapi keras itu tetap ada.  Tegas sebenarnya. 
“Nel kan nak berdikari…” 
“Berdikari apanya dah nak masuk tiga puluh lima tahun, Nel?”  Eh, umi dah menyampuk. 
Nel garu kepala.  “Mi, relakslah…”
“Apa relaks?  Umi dengan abah ni dah umur berapa?  Kami ada Nel sorang aje.  Nak dok jauh.  Tak  kesian dekat umi dengan abah ke?” 
Sudah… umi buat ayat sedih dah.  Itulah propaganda umi dan abah setiap kali dia balik.  Buat dia rasa nak gelak.  Pandai berlakon.  Dahlah comel.  Nel suap jambu batu ke mulut.  Di gigit kuat.  Ujian ketahanan gigi.   
“Nel tengah plan yang lagi baik untuk hidup Nel, mi.  Jangan risau, ya?”  pujuknya sambil menghirup air yang umi baru letak atas meja sebaik saja jambu dalam mulut masuk ke rengkung. 
“Kita ni… mereput berdua ajelah dalam rumah ni, Ana.”
“Itulah, bang.  Ana pun setuju.  Ada anak sorang pun, nak berdikari…”
Drama bersambung lagi.  Episod berapa tak pasti.  Yang boleh dia cerap, adalah siaran ulangan.  Nel hanya senyum memerhatikan gelagat abah dan umi. 
“Haa… tangan tu kenapa?”  sergah abah tiba-tiba.
“Oh, ni…”  Nel tunjuk tangan yang merah.  Mujurlah dia dah tahu nak rawat macam mana kulit dia kalau kena air panas.  Lagipun, lecur biasa aje ni.  Bukan jenis 1st degree. 
“Kena air panas dekat tempat kerja…”
“Itulah… abah suruh kerja lain, kau tak nak!”  Ini yang nak marah ni. 
“Tak cukup satu parut dekat tangan tu, nak tambah lagi satu?  Yang itu pun bawak mati…” 
“Haa… inilah untung ada parut, abah.  Esok-esok buatnya Nel hilang lepas tu hilang ingatan ke, cara mudah untuk umi dengan abah cam adalah dengan parut ni…”  Nel buat lawak tapi abah dan umi nampak serius.
Hrmm… tak kelakar gamaknya.  Dia pandang parut lama pada tangannya.  Parut itu timbul.  Nampak seperti anak lipan dengan kesan jahitan. 
“Ini parut kesilapan, bah.  Nel sayang parut ni…”  Benar begitu.  Melihat pada parut itu, buat dia sedar dan menjadi apa yang dia jadi sekarang.  Sejarah yang perit untuk dia kenang bila melibatkan maruah orang tuanya. 
“Habis tu, yang kena air panas tu, parut apa pulak?” 
“Ini parut perjuangan…”  Nel terus ketawa kecil.  Dia angguk sendiri bila teringatkan apa yang dah jadi.
Memang ini parut perjuangannya demi janji untuk bahagiakan seorang wanita yang dia belum tahu adakah akan menjadi miliknya atau tidak.  Boleh jadi, dia hanya menjaga jodoh orang lain. 
Abah dan umi saling memandang.  Renungan mereka penuh syak.  Melihatkan pada senyuman anak teruna ni, sorang-sorang pulak tu.  Dia yakin memang ada sesuatu ni.  Nel jarang sasau macam ni. 
“Entah-entah kau terus kerja dekat situ sebab ada perempuan tak?  Itu yang tak nak tukar kerja tu?”  duga abah tiba-tiba. 
Eh eh… boleh pulak abah meneka dengan tepat kali ni.  Tapi, Nel sengih tanpa jawapan. 
“Tengok cara dia sengih tu, nampak gaya betullah, bang…”  Hajah Rohana kerling anaknya.  Rasa macam dugaan dia tepat.  Umur Nel sekarang, mesti kuat rasa nak berpasangan. 
“Haa eloklah.  Kalau berkenan, pergi minang.  Abah tak suka kau berkawan lama sangat.  Lelaki dengan perempuan ni, mana boleh berkawan.  Ada aje yang bertanduk tu dok hasut.  Kahwin cepat…” 
Dah hal kahwin pulak…
Ni episod yang baru shooting. 
Tadi, suruh tukar kerja.  Lepas tu suruh pindah balik.  Ini, suruh kahwin. 
“Satu-satulah, abah.  Tunggu Nel stabil dulu… Nel kahwinlah.  Lepas tu, Nel pindahlah balik…” 
“Stabil apanya lagi?   Tak cukup stabil lagi ke?”  Budak ni betullah tak reti nak menghargai. 
“Belum lagi, abah.  Masih goyah…”  jawab Nel perlahan.
Ya, iman dalam hatinya masih goyah.  Masih tak kukuh.  Entahkan kuat untuk dia galas tanggungjawab sebuah perkahwinan itu dia sendiri masih kurang pasti. 
“Tapi, betul ke sebab perempuan Nel kerja dekat situ?”  Tidak dapat nak lari daripada tajuk tu, Hajah Rohana menyoal.  Teruja.
Nel ketawa. 
Dia pandang wajah abahnya.  Mata tua itu juga nampak begitu bercahaya.  Dua-dua kemaruk nak bermenantu. 
“Nel kerja situ kan sebab Nel suka.  Tapi, satu hari tu ada seorang wanita ni datang minum air dekat situ.  Hampir setiap hari.  Dia duduk sorang, baca buku, dengar muzik.  Tak toleh kiri kanan, langsung tak peduli dunia luar.  Hanya pentingkan dunia dia sendiri…”  Hai… bila ingat kejadian malang tu, rasa simpatinya tumpah bertan-tan pada Dian. 
“Dah tu?  Nel pergi mengorat ke?  Nel belanja dia minum?”  Abah kemain menyoal.  Tersengih-sengih. 
Lupa dah topik kerja dan suruh balik dok rumah.  Ada topik lagi penting yang mahu dibincangkan ni. 
“Nel bagi dia kek…”
“Lepas tu?”  Hajah Rohana makin dekat. 
“Dia tolak…”
“Habis tu, kau tak kejar ke?”  Giliran abah pula rapat. 
“Kejar…”
“Itulah anak jantan…”  Wajah abah bangga. 
“Nel kejar bagi dia kek yang Nel bungkus.  Lepas tu Nel baliklah kerja semula…” 
“Lorr… macam tu aje?  Senang sangat penamatnya…”  Nada abah kecewa. 
Nel ketawa. 
“Itu baru episode satu, abah.  Ni tak masuk episode dua lagi…” 
Dua wajah yang nampak kecewa itu, kembali disimbah harapan. 
“Cer cite… cer cite…” 
Nel ledakkan tawa.  Tu dia abah.  Baru lepas tengok cerita Hantu Kak Limah ke apa.
“Tak lama lepas tu, dia datang lagi.  Dia ajak Nel borak dengan dia.  Lepas tu, dia datang lagi, Nel ajak dia keluar dengan Nel.  Lepas tu, dia datang lagi, kami lepak aje dekat café.  Kalau dia busy, dia akan call Nel.  Ataupun whatsapp-whatsapp…”
“Lepas tu?” 
“Dah tamatttt…”  Sengih Nel terukir lebar.  Seronok bila melihat wajah umi dan abah sekali lagi frust.
“Kalau cerita macam ni, tak payah buat bersiri.  Sekali tayang aje, kira tamat!”  Membebel abah dibuatnya. 
“Eh, abah ni.  Itu yang setakat mana terjadi.  Esoknya Nel tak tahu lagi.  Dah jadi nanti, Nel ceritalah lagi.  Dah jadi episode tiga…”  Dia kenyit mata.
“Tapi apa yang penting, umi tak nak banyak episode sangat.  Tak elok.  Kalau dah berkenan, terus pada penamat.  Orang tak suka tengok cerita meleret sangat,” pesan umi berlapik.
Nel angguk.  Faham maksud umi.  Dia sedang berusaha.  Cuma, penggambarannya tak berapa mudah.  Itu yang belum dia ceritakan pada orang tuanya. 
“Tapi, dia cantik tak?” 
“Haruslah.  Mata Nel mata seni.  Orang seni yang sentiasa kagumi ciptaan Tuhannya…”  Sekali lagi Nel ketawa. 
Umi dan abah juga.  Tapi, tiba-tiba abah diam. 
“Tapi, abah baru ingat nak kenalkan Nel dengan yang abah kenal dekat ofis…”
“Cantik ke, bah?” 
“Huih… mestilah.  Mata orang seni.”  Giliran abah pula loyar buruk.  Tawa mereka berpadu tapi umi menggeleng tak puas hati.
Anak dengan bapak sama naik. 
“Tapi, dah kau ada orang lain dah.  Tak payahlah.  Lagipun, abah lupa dia dah bertunang….”  Abah ledakkan tawa dapat kenakan anak terunanya. 
“Abah ni la hai…”  Nel geleng buat-buat tak puas hati. 
“Haa… tapi kau kena balik rumah.  Selesaikan apa yang patut dekat luar tu.  Balik sini.  Ini arahan.  Mandatori!”  Abah siap tepuk meja.  Wajahnya tegas. 
Terus bangkit dan naik ke atas.
Eh… ingatkan dah lepas isu balik rumah.  Ada lagi. 
Nel pandang umi. 
“Nel ni anak derhaka, kan?” 
“Takla.”  Hajah Rohana menafi lembut.  Dia senyum membalas sentuhan Nel. 
“Cuma, dah sampai masa kami nak bermanja dengan anak kami.  Rasanya Nel dah cukup pengalaman, kan?  Ada isteri nanti, pengalaman Nel akan hampir cukup.” 
“Insyaallah, umi.”  Mata kuyu itu mengerdip sekali. 

Setuju untuk menurut segala perintah dan kehendak abah dan umi.  

1 comment:

  1. "JUDI POKER | TOGEL ONLINE | TEMBAK IKAN | CASINO | JUDI BOLA | SEMUA LENGKAP HANYA DI : WWW.DEWALOTTO.ME
    DAFTAR DAN BERMAIN BERSAMA 1 ID BISA MAIN SEMUA GAMES YUKK>> di add WA : +855 69312579 "

    ReplyDelete