Saturday, May 11, 2019

Sugar? 23

SAMPAI di rumah, Dian terus henyak duduk di atas sofa.  Letihnya.  Terkejar ke sana-sini tapi sudahnya, Haji Nik tak nak sign.  Rasa nak marah juga tapi apa nak kata, bukan salah Haji Nik.  Lagipun, Haji Nik adalah bos yang terbaik selama ni.  Boleh jadi kerana kesihatan yang tak memuaskan, kerana itu Haji Nik nak lepaskan semua kerja.  Menjadikan kerja dia turut tergendala.

“Penat?”  Mama hulurkan segelas air putih.
Dian tegakkan tubuh menyambut air.  “Thanks, ma…”
“Tak siap lagi ke design projek tu?”
“Dah siap…”  jawab Dian perlahan.  Birai gelas dibawa ke bibir.  Diteguk hingga separuh gelas. 
“…tapi tak boleh submit lagi.  Haji Nik tak sihat.  Tadi, dah call Haji Nik.  Dia cakap, dia dah lepas kuasa…”
“Habis tu, siapa ambik alih?”
Bahu Dian terjongket.  Malas dia nak ambik tahu buat masa sekarang.  Esok lusa, adalah tu pengganti yang duduk dalam bilik bos.  Biarlah… bukan dia  yang rugi. 
“Ni terus balik, tak jumpa Nel ke?”  tanya mama mengusik. 
Bukan apa, wajah Dian kelat sangat.  Tak pernah-pernah Dian masamkan wajah demi kerja.  Tapi kali  ini, nampak Dian kecewa sangat.  Boleh jadi sebab Dian begitu bersungguh dalam setiap tugas.  Ini pun dia tahu Dian tak berapa tidur kebelakangan ni.  Semuanya sebab nak siapkan kerja. 
Dalam pada masalah yang membelenggu, dalam diam Elina berterima kasih bila Nel muncul dalam hidup Dian.  Nampaklah ceria sikit. 
“Nel MC hari ni.”  Sebut tentang Nel, dia teringat Haikal sama.  Dian toleh separuh tubuh pada mama. 
“Haikal yang cakap dekat ayah Dian jumpa Nel, ma…” 
“Eh, mana Dian tahu?  Jangan main tuduh… tak baik…”  Kot ya Dian memang tak suka dekat Haikal tu, dia tak nak Dian menyerkap dalam kelabu.  Tak baik.
“Dian tak tuduh, ma.  Adi, yang kerja sekali dengan Nel tu bagitahu.  Haikal pergi serang Nel dekat kafe.  Habis tangan Nel kena air panas…”
“Ya Allah…”  Elina tekup mulut.  Terkejut.  Sampai tahap tu.
“Habis tu, Nel tak report polis ke?” 
Report apa?  Dia kata, bukan salah sesiapa.  Haikal datang cari jawapan.  Itu aje…” 
“Jawapan apa kalau dia yang tinggalkan Dian?”  Meluat sungguh mendengar nama Haikal ni. 
“Lagipun, mama tahulah keluarga Dato’ Seri Hamdan tu macam mana.  Apa sangatlah Nel boleh buat dekat Haikal tu bila keluarga Nel bukan sesiapa.  Tapi keluarga Haikal tu…”  Dian matikan kata.  Dia tahu, mama dah faham apa yang dia maksudkan. 
“Itulah dia.  Tak retilah, ma.  Ayah pulak asyik nampak baik Haikal tu aje.  Padahal dia tak tahu apa yang Haikal kata dekat dia di belakang.  Ikut hati, nak aje Dian cakap dekat ayah tapi yang menjadi persoalan, nak ke ayah percaya.  Karang, lagi teruk ayah tu marah Dian.  Cakap Dian adakan cerita…”  cerita Dian terjuih-juih.
Hilang penat dia bahana kerja.  Lega boleh meluah dengan mama. 
“Kalau gitulah keadaannya, mama memang rasa elok Dian ajak Nel datang rumah…” 
Kata-kata mama membawa Dian teringat kembali soalan Nel.  Dia pandang mama.  Lama. 
“Nak ajak sekarang macam tak kena masa, mama.  Mama sendiri pun tahu Dian dengan ayah macam mana sekarang.  Kami ni macam timing bomb dah.  Tunggu masa aje ayah nak meletup pada Dian.  Gamaknya kalau Dian bawak Nel datang rumah, ayah tu bukan jadi bom tangan dah, tapi dah bertukar jadi nuklear.  Nanti Dian akan buat Nel serba-salah.  Mama pun mesti tersepit.  Dian risau masa tu sabar Dian yang memang tak berapa nak ada ni, terus kosong.  Dian masih sekat diri Dian daripada jadi anak yang tak guna, mama…”  luah Dian agar mama faham.
Ikut hati dia pun nak ajak Nel ke rumah.  Lantaklah Nel nak kata dia gelojoh sekalipun.  Tapi, sekarang dia hanya nampak itulah satu-satunya jalan untuk dia.  Tapi, masanya masih belum sesuai.  Setidak-tidaknya biarlah ayah reda sikit.  Cuma nak tunggu ayah reda tu entah bila.  BOleh jadi, tak reda buat selama-lamanya melainkan dia kembali pada Haikal. 
“Mama cuma nak kenal dia.  Dengar daripada Dian cerita aje, mama makin teringin nak kenal dia.  Setidak-tidaknya, untuk mama kenal.  Bawak masa ayah tak ada pun tak apa.  Cukuplah mama sorang ada…”  cadang Elina.  Dia memang dah sangat teruja nak kenal lelaki yang mampu kembalikan senyuman pada bibir anaknya. 
Setelah sekian lama dia dan suaminya kawal Dian.  Bukan saja kehidupan malah senyuman Dian juga mereka kawal sebaik mungkin. 
“Nel tak akan setuju macam tu…”  Mengikut penilaian dia pada lelaki itu sejak mereka rapat, dia yakin Nel bukan jenis macam tu.  Nel lelaki yang bertanggungjawab.  Nel akan setuju untuk jumpa keluarganya tapi dia yang bimbang Nel disakiti lagi. 
Biarpun Nel telah tegaskan.  Untuk dia.  Tak apa.  Masalahnya, dia yang tak boleh. 
“Dah tu, macam mana?”  Elina nampak buntu. 
“Kalau betul mama nak jumpa dia, Dian bawa mama jumpa dia dekat tempat dia kerja hari minggu ni.  Nanti Dian tanya dia masuk kerja pukul berapa.  Sambil-sambil keluar dengan mama.  Kita pun dah lama tak keluar sama-sama…” 
Elina senyum.  Angguk. 
“Tapi, ni mama nak tanya.  Mama nampak kunci kereta Dian tergantung.  Betul ke Dian tak nak pakai dah kereta yang ayah bagi tu?” 
Wajah yang baru nak ceria mendung semula.  Dian angguk beberapa kali.  Dia tekad dan keputusannya itu tak boleh digugah.  Biarlah dia susah-susah sikit.  Bukan susah mana pun.  Sekarang ni, dia naik GrabCar.  Kak Wati yang ajar macam mana nak guna.  Lagi senang.  Tak pun nanti, dia akan belajar naik bas tak pun pengangkutan awam yang lain. 
“Dian berterima kasih sebab mama dan ayah sediakan segala kemudahan untuk Dian sampai hari ini.  Dian dah mampu untuk ada kereta sendiri kalau Dian nak.  Tapi, biarlah dulu.  Dian seronok guna pengangkutan awam.  Lagipun, sesekali kalau terlelap, taklah risau.  Tapi minggu ni nak keluar kita pakai kereta mamalah, ya?”  Dian peluk lengan Elina.  Dia sengih lebar. 
“Haih… budak bertuah ni.  Iyalah…”  Anak ini sudah beribah begitu tegas dengan keputusan sendiri dan selagi keputusan itu tak memudaratkan, dia akan terus mendoakan dan menyokong. 
“Satu lagi mama nak tanya…” 
“Haiii… banyak betul soalan mama…” 
“Nel ada cakap bila dia nak pinang Dian, tak?”   Senyuman  Elina kembang.  Teruja.
“Mamaaaaa…”  Dian buat muka. 
“Kan dah cakap.  Awal lagi.  Bagi masa…”  Padahal, Nel pernah ajukan soalan bermaksud begitu.  Biarpun tidak secara langsung tapi maksudnya sama. 
Jadi orang gaji atau teman tidur?
“Awal apanya?  Kalau kata nak kenal-kenal, selagi tak hidup berdua memang tak kenal sepenuhnya.  Tengoklah Dian dengan Haikal.  Dua tahun tak jamin apa-apa.  Mama lagi suka kalau Dian dan Nel buat keputusan cepat-cepat…” 
“Mama bukan tak tahu.  Kan Dian dah cakap kenapa.  Bagi kami masa.  Tapi, sebenarnya Nel ada tanya…”
“Hah?”  Mata Elina membulat. 
“Kenapa tak mengaku awal-awal?”  Dia tepuk tangan Dian.  Geram sungguh.  Bila ditanya tak jawab terus.  Nak rahsia-rahsia pulak. 
“Habis tu, apa yang Dian jawab?” 
Senyuman Dian terukir tawar. 

Entahlah.  Dia masih tak pasti.  

No comments:

Post a Comment