BETULLAH apa
yang Haikal cakap. Dan, memang betul
jugak apa yang dia teka selama ini.
Sebab itulah Dian tu susah sangat nak terima Haikal. Rupanya, memang ada hubungan dekat lelaki
lain. Memang logiklah kalau Haikal
putuskan hubungan.
Esmail dah tak
betah duduk. Mundar mandir menanti anak
daranya balik. Kata nak pergi ofis. Dia dah tanya, buat apa dekat ofis hujung
minggu? Kerja urgent katanya, tapi
melepak dekat Café Roma tu siap kongsi makan sepotong kek. Dah tu pulak, sejak bila Dian reti makan
benda manis?
Memanglah Dian
ni dah berubah! Padanlah suka melawan
sekarang. Dia dah jangka bersebab dan
lelaki itulah sebabnya.
“Cuba abang
duduk dulu…” suruh Elina. Sakitlah kepala dia.
Orang dah cakap,
percaya aje dekat anak sendiri tapi sanggup tu pergi intip Dian. Apalah cenuai yang Haikal ni calit dekat
suami dia. Percaya sangat dekat Haikal
tu.
“Saya memang tak
sabar dah nak tunggu budak ni muncul…”
“Dah, kalau dia
muncul? Abang nak tabuh dia ke
apa?” tanya Elina geram. Kali ini, tangan suami dia naik ke wajah Dian,
dia pun akan mengamuk. Anak tak salah
apa, disakiti pulak.
“Memang.” Mata Esmail terjegil. Dia benar-benar tak sabar menanti Dian
muncul.
“Kalau ikut hati
saya ni, tadi lagi saya seret Dian tu.
Saya siram budak lelaki tu dengan air panas. Tapi, sebab saya ni sabar lagi… saya tahankan
diri. Lagipun Dato’ Hamdan ada dengan
saya tadi. Mujurlah dia tak nampak. Buatnya dia nampak, lagi parah. Padahal dia sendiri cakap tengah pujuk Haikal
tu…”
“Iyalah tu
sabar…” Sempat Elina membidas biarpun
separa berbisik.
“Ha, awak pun
sama. Sekarang dah berubah jugak. Suka sokong perangai tak semenggah Edian tu,
kan? Dulu kemain suka dekat Haikal…”
“Abang!” seru Elina geram. Melampau pulak suami dia ni.
“Pada saya
Haikal tu bukan sesiapa kalau dia tak dapat nak hargai anak kita. Saya suka dia sebab abang suka. Dian terima.
Tapi sekarang, dia yang tak nak Dian, buat apa lagi nak suka orang macam
tu?”
“Hey, orang
macam tu yang awak cakap tu, anak kawan lama saya. Yang banyak tolong kita dulu. Anak jutawan…”
“Jadinya, sebab
anak jutawanlah abang paksa Dian terima Haikal?” bidas Elina.
Terkulat-kulat Esmail
mendengarkan. Dia berdeham panjang.
“Apapun, saya
tak suka dia berkawan dengan budak bancuh kopi tu…” Duduk dihempas kasar atas sofa. Sengaja dia alih perhatian kepada surat
khabar yang baru saja dia capai.
Dibidas oleh
isterinya tadi, pijar juga dahi! Geram pun ada tapi malas lagi nak
berbahas. Dengan orang perempuan ni,
mana pernah menang!
DIAN tak mampu
lagi menahan ketawa. Nel ni memang jujur
sungguh. Sampaikan dia pulak yang tolong
segan.
“Betul ni saya
tak boleh hantar. Saya naik monorel dan
LRT aje datang kerja atau ke mana saja.”
“Eh, saya tak
suruh awak hantarlah…”
“Manalah
tahu. Kotlah awak ingat saya ni macam
anak jutawan tu…” Sajalah dia usik Dian. Nak tengok masih terusikkah letak duduk gadis
ini bila dia sebut tentang hal lalu.
“Taklah. Saya tak pandang pun jutawan dia tu. Dia bukan jutawan. Bapak dia.
Cuma rezeki dia lahir dalam keluarga jutawan. Saya memang tak hairan langsung…” balas Dian.
Fuh… jawapan
Dian sepertinya meminta untuk dia teruskan perjalanan. Jalan
yang lurus lagi diredhai menuju ke hati Dian. Nel mahu senyum tapi ditahan. Masih awal.
Nanti ada roadblock tiba-tiba, haru hatinya nanti.
“Tak apalah
kalau gitu. Kalau lain kali saya habis
kerja awal, bolehlah saya hantar awak naik monorel…” Ya, itu ajelah pengakutan yang dia tahu naik. Itu aje yang mampu setakat ini.
“Tak teringin
nak beli kereta ke?” soal Dian
tiba-tiba.
Dia langsung
tiada niat nak jadi meterealistik tapi Nel rasanya boleh jadi kawan untuk dia
meluah. Dia pun tiada apa-apa rasa
tentang lelaki ini. Dia hanya ceritakan
apa yang bermain dalam kepala orang
tuanya saja tentang mereka berdua.
Hanya setakat
itu. Selebihnya, Nel masih tiada hak
untuk tahu.
“Kenapa? Awak teringin nak saya hantar awak dengan
kereta ke?”
Dian geleng
dalam senyuman. Nel terasa hati
gamaknya. “Saya tak kata awak, Encik
Nel. Saya sesekali teringin jugak bila
tengok kereta sebelah berhenti, semua kereta mahal dan besar…” Memang
rasa itu ada. Rasa nak berlagak jugak di
depan Haikal.
Nel peluk
tubuh. “Dan awak tahu tak, bila awak
nampak orang sebelah awak naik kereta lebih besar daripada awak, ada orang yang
naik motor rasa alangkah eloknya kalau dia ada kereta macam awak. Dan pada yang jalan kaki macam saya ni akan terfikir
benda sama. Paling tidak, ada motorsikal
pun jadilah. Senang nak ke
mana-mana. Tapi, saya tak lupa… saya
patut bersyukur sebab saya masih ada kaki.
Kaki ni boleh ke mana-mana saja andai nak dibandingkan dengan yang
kudung. Betul tak, Cik El?”
El… itulah nama
yang diberitahu padanya. Nama manja
barangkali. Nama panjang, dia masih
tiada kekuatan nak tanya. Sampai
masanya, dia yakin wanita ini akan memberitahunya.
Bibir Dian
bergetar. Dia gamam seluruhnya. Sistem tubuh dia seperti sedang lumpuh dengan
kata-kata Nel. Pandangan lelaki ini pada
dia masih seperti air di kali. Nyaman
lagi menenangkan. Dan kata-kata itu
juga, seperti bisikan yang mampu buat dia sedar, dia sedang berpijak di bumi.
“Saya minta
maaf,” ucap Dian tiba-tiba.
Nel kerut
dahi. “Kenapa nak minta maaf? Awak tak salah apa-apalah…” Dia hamburkan tawa.
“Saya takut awak
terasa hati dengan soalan saya tadi…”
“Nak terasa hati
kenapa? Betullah soalan awak tu. Teringin ke tidak? Keinginan tu selalu ada dalam diri setiap
manusia, Cik El. Teringin nak jadi kaya,
teringin nak kahwin, teringin isteri yang cantik, teringin itu, teringin
ini. Tapi, yang membataskannya adalah…
ukur baju di badan sendiri.”
Sekali lagi, Dian
terpukul dengan kata-kata lelaki ini.
Dia pandang Nel tanpa riak biarpun lelaki itu kekal tersenyum seperti
sejak awal tadi. Wajah yang baru saya
dia perasan ada dalam Café Roma kerana selama ini dia terlalu sibuk dengan
urusan sendiri sampai tak pernah angkat wajah melihat pada empunya suara yang
menyapa.
“Pergilah
balik. Kalau rasa nak minum kopi pahit,
datanglah. Saya boleh bancuhkan. Jangan takat bancuh, saya boleh temankan
lagi…” Bukan nak dihalau, tapi dah
lewat.
Dian hanya
memandang Nel tanpa ada tanda nak bergerak.
Nel pula naik segan. Dia
sengih. Gigi taringnya jelas.
“Awak pandang
saya macam tu, macam saya sengaja halau awak pulak. Kenyataan tak. Kalau boleh saya nak awak ada dekat sini lama
lagi. Tapi, dah lewat. Lagipun, saya ada kerja ni. Nanti, tak pasal-pasal kena potong gaji. Daripada naik LRT terus kena jalan kaki. Kalau awak sama-sama jalan dengan saya,
okeylah. Ada juga teman…” Sempat dia bergurau. Cuba mencipta senyum pada bibir Dian tapi
sukar sungguh. Kejap okey, sekelipan
pula sebaliknya.
Dian tak berkata
apa. Dia terus pusingkan bahu dan terus
menapak perlahan. Kata-kata Nel mengaum
dalam kepalanya.
“Cik El…” seru Nel tiba-tiba.
Dian hentikan
langkah. Menoleh.
“Soalan saya
tadi, awak tak jawab lagi…”
“Yang
mana?” Entah. Dia dah lupa.
“Perlu ke saya
jadi orang yang mama dan ayah awak fikirkan tu?” ulang Nel.
Dian diam
lama. Tapi, dia senyum kemudiannya. Terus dia hayun kaki tanpa menoleh lagi.
Satu yang pasti…
dadanya berdebar tak sudah.
Buat pertama
kali.
SENYUM
lebar. Adi sendiri pun tak boleh nak
katup mulut lagi dah melihatkan Nel melayan gadis itu. Kemain.
Kalau dengan perempuan lain, nak ambik order pun takut. Ini, siap beri layanan kelas pertama lagi.
“Umpan dimakan
ke, bang?”
“Umpan?” Nel kerut dahi. Tapi, dia jegilkan mata kemudiannya bila
faham akan maksud kata-kata Adi.
“Kau ingat dia ikan?” Hampir saja tangannya meluku Adi.
Adi gelak. “Habis tu saya tengok kemain abang layan
dia. Kalau dengan perempuan lain, lari
berbatu-batu. Dengan customer yang sorang ni… ish ish
ish…” Adi geleng buat muka.
“Eh, mana kau
tahu dengan dia aje abang baik? Dengan
orang lain yang kau tak nampak?” usik
Nel.
Tapi, Adi terus
mencebek. Usah nak momokkan dia dengan
cerita begitu. Dia kenal siapa Nel
ni. Sejak kerja dekat sini tiga bulan
lepas, inilah kali pertama dia nampak Nel melayan perempuan. Yang dingin beku pulak tu.
“She
needs help, Adi.”
“Help?” soal Adi bingung.
Nel angguk. Dipandang tempat di mana telah menjadi saksi
pelbagai peristiwa sejak kali pertama dia pandang wajah gadis itu.
“Pertolongan
yang dia sendiri tak sedar, dia perlukannya…,” jawab Nel perlahan.
Entahlah. Sukar untuk dia jelaskan pada Adi. Adi tak akan faham. Ini urusan jiwa. Pertolongan yang perlu diberi biarpun orang
tak meminta. Tapi, pada waktu-waktu
sangat memerlukan. Ya, pertolongan jenis
itu.
“Abang ni
sebenarnya nak tolong masuk dalam hati dia, kan? Tolong cinta dia, kan?” tanya Adi langsung tak faham.
Nel ketawa
kecil. “Kau ni Adi… pick-up line kau memang dasyat sekarang.”
“Eh, betul
apa…” Adi dah sengih-sengih.
“Aku tak kan
masuk dalam hati orang sesuka hati aku, Adi.
Sebab aku tahu, bila aku masuk… aku tak akan mampu keluar lagi,” ujarnya
penuh makna.
Sekali lagi,
dahi Adi berkerut. Kata pick-up line orang. Dia punya pick-up
line lagi dasyat.
Wajah seindah
itu, perlu diserikan dengan senyuman ikhlas, Dian. Bukan takat itu, perlu dihiasi dengan jiwa
yang reda. Nel senyum sendiri.
No comments:
Post a Comment