WAJAHNYA terasa
panas bila mendengarkan cerita daripada Haikal tentang Dian dan lelaki
itu. Haih… semalam tak sempat jumpa Dian. Pagi tadi juga anak gadisnya keluar
awal. Dan, sampai sekarang masih tak
nampak batang hidung lagi. Manalah budak
ni singgah. Dia telefon pejabat pun dah
tak berangkat. Bermakna Dian dah
tinggalkan pejabat. Ini, telefon bimbit
juga tak bersahut.
“Abang tolonglah
jangan nak mengamuk lagi dekat dia bila
dia balik nanti. Lagi-lagi tentang cerita
yang Haikal bawak tu. Dia dah tak ada
kaitan dengan anak kita dah. Bukan lagi
bakal menantu kita,” pinta Elina separuh mengugut.
“Eh, apapun
jadi… Haikal tu ajelah menantu saya, tahu!”
“Beranganlah
abang tu sampai khiamat…” Geram sangat
dah ni.
“Yang awak ni
beria sangat tak suka Haikal tu, ni mesti sebab budak…” Tak sempat habiskan ayat, wajah Dian muncul
di muka pintu.
Pintu
dirapatkan. Daripada luar dengar suara
ayah. Adalah tu nak kena marah
lagi.
“Assalamualaikum,
ma… ayah…” Dian salami tangan mama. Kemudian beralih pada ayah tapi ayah sengaja
memeluk tubuh. Tak nak sambut huluran
tangannya.
“Maaf lambat
sikit. Dian naik dulu…”
“Kau duduk sini
dulu, Dian!” Arahan Esmail dingin dan
keras.
Dian pandang
mamanya. Tak berkata apa, dia terus
duduk. Menanti pertuduhan apa lagi yang
ayah mahu bacakan. Hukuman apa yang bakal
ayah jatuhkan. Siapa yang failkan segala
tudahan ini, dia hanya menanti.
“Pergi mana
semalam? Balik lewat, kan?”
Dian pandang
mama tapi dia tahu, bukan mama yang cakap.
“Dian keluar
dengan Nel kejap. Lepas Isyak, Dian dah
balik…” Malas nak sorok. Biarlah ayah tahu dah memang itu yang
berlaku.
“Oh patutlah
Haikal cakap dia nampak Dian dekat NU Sentral duduk berdua dengan budak lelaki
tu!” marah Encik Esmail.
“Dia kata dia
pergi situ sekejap jumpa orang lepas meeting dekat Aloft tu. Kenapa kau ni, tak
nak dengar cakap ayah sejak kenal budak jantan tak guna tu, Edian?” Esmail dah bercekak pinggang. Ikut hati, memang dia rasa nak tangankan Dian
ni lagi sekali.
Menyakitkan
hati!
Seperti biasa, Dian
hanya senyum bila nama Haikal disebut. Susah betul dia nak lepas daripada nama
itu.
“Kami
duduk-duduk sembang aje, yah. Tempat
orang ramai. Tak buat benda
bukan-bukan. Dah Haikal nampak, tak kan
dia tak cakap dekat ayah yang kami duduk makan aiskrim tempat orang ramai lalu
lalang. Tak mendatangkan syah apa-apa
sepatutnya. Bukannya duduk melekat.” Bukan niat hendak menyindir kenyataan palsu
yang ayah tahu tapi andai ayah dengar macam tu, dia malas nak nafi.
Dia nak ayah
tahu, dia punya perasan. Sejak dulu,
ayah yang pegang alat kawalan jauh untuk segala tentangnya. Termasuk urusan hati. Kini, dia mahu kemudiki sendiri.
“Iyalah tu. Itu yang Haikal nampak. Yang Haikal tak nampak? Macam mana?”
Dian lepaskan
nafas berat. Tuhan… kenapalah ayah macam
ni.
“Apa yang Dian
dengan Nel boleh buat dekat tempat umum macam tu, ayah? Kalau betul kami buat apa yang ayah sangka tu
dekat situ, ayah tak perlu tunggu Haikal cerita. Ayah anak nampak berita tentang Dian dengan
Nel dalam TV. Ayah tak kan jumpa Dian
dekat rumah tapi dekat balai polis. Tapi,
Dian tak macam tu. Ayah pun tahu. Nel pun lelaki yang baik. Kenapa ayah tak puas nak fikir buruk pasal
kami?” Lembut Dian menyoal.
Dia tak kesian
pada diri sendiri tapi dia terlalu kesian pada Nel. Sepertinya dia telah letak Nel menjadi
mangsa. Demi melepaskan diri
sendiri.
“Amboi, dah
terang yang kau tu mula bela jantan tu, ya?”
Suara Esmail berdentum.
Elina
bangkit. Pantas memaut lengan suami yang
nampak sudah ringan.
“Sabar sikit,
abang. Abang tu sejak tadi dok tuduh
Dian. Dia cuma nak bela diri. Kalau perangai abang macam ni, sampai bila
tak selesai…” Haih… marah betul dia
dengan perangai suami yang patut menjadi penyelesai masalah. Ini, dia pulak yang nak besarkan
masalah.
“Eh, awak
ni…” Esmail jeling isterinya. Tangan Elina yang memegang tangannya ditolak
perlahan. Dia menapak ke depan. Semakin dekat dengan Dian.
“Ni, ayah nak
tanya…”
Dian panggung
wajah. Memandang ayah dengan pandangan
berharap sebuah pengertian.
“Sejak bila kau
berdua keluar bersama? Sejak bila
bercinta? Sejak dengan Haikal,
kan?” Satu lagi tuduhan baru.
Dian
geleng. Ikut hati dia nak iyakan. Tapi tak adil untuk Nel.
“Sejak Haikal
cabut cincin tunang daripada jari Dian…”
“Apa?” Mata Esmail bulat.
“Semudah tu kau
berubah hati?”
“Bukan Dian yang
berubah. Tapi, Dian memang tak ikhlas
terima Haikal. Eloklah kalau dia
putuskan hubungan kami. Dian dah penat
sangat nak berlakon…” Saat ini, dia
biarkan lagi dirinya dipersalahkan.
Kerana dia tahu,
betapa dia tuding jari pada Haikal, akhirnya salah itu akan jadi miliknya.
Padahal, ayat
itu semua Haikal yang muntahkan. Haikal
yang sebut tentang dirinya yang digadai kepada keluarga jutawan itu. Dia yakin dia benar-benar terima ketentuan. Tapi, boleh jadi dia tak benar-benar ikhlas
juga.
Keikhlasan yang
Nel pernah sebut.
Gamaknya, sebab
dia tak ikhlas kerana itu Haikal dapat rasakan.
Kerana itu juga lelaki itu tekad putuskan pertunangan mereka. Eloklah.
Tak payah dia terus memegang watak tunang Haikal.
“Makna kata
memang betullah kau tu yang curang, kan?”
Mata Esmail berapi. Dia bukan
apa… keluarga Dato’ Seri tu kemain dah berkenan dengan anak dia. Budak ni pulak buat masalah.
“Apa hebat
sangat budak lelaki kerja kafe tu sampaikan kau sanggup tolak Haikal untuk
bersama dia? Ada gaji dia puluh
ribu? Ada kereta besar? Ada banglo berapa buah? Ke anak billionaire?” soal Esmail, mengherdik.
Birai mata Dian
terasa basah. Kenapalah ayah terlalu
berdunia. Sebelum sempat airmata itu
menitis, dia sempat seka. Dipandang mata
ayah dan tersenyum tipis. Ingat
kata-kata Zahlia pada Nel petang tadi.
Dia dapat rasa Nel terluka.
“Gaji dia
mungkin tak sampai seribu pun, ayah. Nak
kata ada kereta, rasanya memang tak ada sebab dia mampu naik pengangkutan awam
aje. Jangan kata kereta besar, basikal
pun dia tak ada gamaknya. Rumah mungkin
rumah sewa. Tapi, dia ada jiwa yang
besar, yah. Dia ada tanggungjawab…”
“Habis tu, kau
rasa boleh hidup dengan rasa tanggungjawab tu aje?” Terkejut sungguh Esmail dengan jawapan Dian.
“Kau kenyang
makan tanggungjawab?”
“Bila dia
seorang lelaki yang bertanggungjawab, dia akan usaha untuk sediakan yang
terbaik untuk perempuan yang dia suka,
yah. Untuk isteri dia. Tak kisahlah, rumah sewa, jalan kaki, makan
nasik dengan kicap… selebihnya tugas isteri dialah pulak yang terima
kesederhaan yang ada pada dia. Janji dia
berusaha untuk isteri dia bahagia.
Bahagia ni terletak pada hati, yah.
Bukan pada kereta besar tersusun depan rumah. Bukan dikira berapa buah banglo yang dia
ada. Susah sangat ke ayah nak
faham?” Nak aje dia berterus-terang pada
ayah dengan kata-kata Haikal tempoh hari.
Tapi, dia takut
kekecewaan ayah menjadi tiga kali ganda.
Lagipun, ayah Haikal tu kawan baik ayah.
Dia tak nak ayah putuskan silaturrahim itu biarpun dia dan Haikal sudah
putus.
Menerima
kata-kata Dian, Esmail melabuhkan duduk.
Meraup wajah tuanya. Dia ada anak
hanya sorang. Dia tak nak Dian hidup
susah. Ni elok hidup senang, kenapa
mesti nak pergi menderita dengan lelaki yang kerja macam tu. Yang langsung tak menjamin masa depan. Dian dah biasa hidup senang.
“Tak apalah dia
tak ada kereta pun, ayah… Dian dah ada kereta…”
ujar Dian lagi berharap ayahnya faham akan apa yang dia cuba
sampaikan.
“Kereta Dian tu
ayah yang bagi…”
“Dian dah boleh
beli sendiri kalau Dian nak…”
“Oh jadi
sekarang, kau nak berlagaklah?” tuduh Esmail
kembali panas.
“Tak, a… bukan
macam tu,” nafi Dian perlahan. Ayah suka
sangat beri tanggapan buruk pada dia.
“Kalau ayah nak
ambik balik pun, rasanya Dian tak beli kereta baru. Naik LRT dengan Nel pun, Dian dah rasa
selamat, ayah. Tak perlu kereta…” Dia ingat macam mana Nel lindungi dia
daripada orang ramai dalam monorel.
Bila teringat,
secara tak sedar pasti ada koyakan manis pada bibirnya.
Kunci kereta
diletak di atas meja. Ambiklah harta
ayah. Malas dah nak bertekak tentang
harta yang tak beri apa-apa. Paling
penting, dia tak nak bergaduh dengan ayah.
Mood dia pun tak okey.
“Dian naik rehat
kejap…” Terus dia panjat tangga. Langsung tak menoleh bila airmata dia kembali
jatuh.
Melihat langkah
lemah anak, Elina menjeling suaminya.
“Puaslah hati
awak, ya?”
“Belum puas
lagi!” balas suaminya.
“Kalau gitu,
perlu ke kita halau Dian daripada rumah ni sebab dia tak nak ikut cakap abang
tu?”
“Eh awak
ni. Tak sayang anak ke?” Sampai ke situ isteri aku ni bagi
cadangan. Dia tak gila lagi. Walaupun tak puas hati dekat Dian, nak
dihalau keluar memang tak pernah terlintas.
“Sebab saya
sayanglah saya nak dia pilih bahagia dia sendiri. Yang abang dok paksa dia merayu Si Haikal tu,
kenapa? Kita pun ada maruah. Kan Dian dah cakap, Haikal yang tarik cincin
tu daripada jari manis dia. Bukan Dian
yang bukak pun. Tambah pulak, kalau
abang risau company abang tu bungkus
sebab putuskan pertunangan Dian tu… eloklah abang doa kita ni tak putus
daripada rahmat Tuhan sebab kalut sangat kejar dunia!” Elina tegas membidas.
Sakit hati
sangat!
Dia terus
bangkit dan menuju ke dapur. Malas nak
layan suami dia ni. Nak sangat
bermenantukan pewaris jutawan tu.
Macamlah selama ni mereka merempat.
Mereka pun kaya cuma tak sekaya keluarga Haikal. Itu aje.
No comments:
Post a Comment