Saturday, May 11, 2019

Sugar? 19

NEL letak cawan eskpresso itu di depan pelanggan.  Sopan.  Kenapalah lelaki ni buat permintaan istimewa nak dia hantarkan air ni.  Lagipun, buat apalah datang sini?  Tak sesuai kot tempat ni dengan orang sepertinya.
“Nel?”  Suara lelaki itu menyebut nama dia dengan mata menala tepat pada tag yang lekat di dada sebelah kiri. 
“Saya, encik…”

“Jadinya, kaulah yang rampas tunang aku?” 
Nel ukir sengih senget.  Dia dah agak ayat akan keluar.  Tiba-tiba aje muncul berbulan  lepas dia buat drama tarik cincin daripada jari manis Dian.  Tup-tup tuduh orang rampas tunang dia pulak dah. 
“Jemput minum, encik…”  Malas nak layan.  Nel nak berlalu tapi suara Haikal menahan. 
“Aku nak cakap sikit…” 
Nel toleh dan duduk.  Sejak akhir-akhir ini dia asyik duduk depan pelanggan aje.  Adi dah jeling lain macam dah.  Buatnya bos tahu, mati kering dia. 
“Dah lama ke kau ada hubungan sulit dengan Dian?”  soal Haikal kasar. 
“Maaf, encik.  Nama siapa tu?  Saya tak tahu sesiapa dengan nama tu.”  Nel serius.
“Kau jangan buat lawak bodoh!”  Haikal genggam penumbuk. 
“Dah keluar sama-sama belakang aku, bergelak-ketawa, tapi kau cakap tak kenal?”
“Kalau perempuan yang encik maksudkan tu, saya kenal dia dengan nama El…”
“El?”  Haikal tertawa kecil.  Dia menggeleng beberapa kali. 
Dah tentulah.  Itu nama manja Dian.  Auntie Elina pernah cakap, Dian suka letak initialnya ‘EL’.  Nama yang hanya untuk teristimewa.  Dia sendiri pernah nak panggil nama tu, tapi Dian buat tak dengar.  Nampak sangat tak suka tapi perempuan itu memang begitu hebat menolak hingga dia tak mampu nak menafi. 
“Ya, dia…”
Nel hela nafas lega.  Bukan apa, risau salah orang satu hal pulak.  Lepas tu buatnya Dian dengar nama orang lain, dah jadi dua hal. 
“Demi Tuhan, saya cam wajah dia sejak dia datang lepak di sini sorang-sorang.  Lepas tu, satu hari dia datang dengan encik.  Masa tu, nama pun saya tak tahu.  Memang saya dengan dia tak ada hubungan apa-apa.  Dia tak pernah tipu atau curang dengan encik…”
“Macam mana kau boleh cakap tak ada apa-apa padahal hari aku ada dekat sini dengan dia, aku tahu kau pandang dia…”
Kali ini Nel senyum.  Kalau itu yang Haikal nampak, memang betul.  Dia sendiri dah mengaku pada Dian.  Tapi, itu salahnya. 
“Encik nampak tu betul.  Saya mengaku.  Tapi, boleh jadi encik tak nampak.  Tapi El tak pandang saya langsung.  Tak pernah pandang pun sebenarnya.  Jadi, semua tu salah saya…” 
Haikal diam.  Lama.  Mencari kata-kata yang sesuai.  Dia perlu singkirkan lelaki ini demi mendapatkan Dian semula.  Apapun jadi. 
“Tuduhan encik pasal saya dengan El ada hubungan sulit, kedengaran berat betul,” tegur Nel sopan bila Haikal hanya diam. 
Ikut hati, dia jawab dengan penumbuk.  Tapi, dia bukan jenis begitu. 
“Tuduhan aku berasas…” selar Haikal.
Heh… Nel sunggingkan senyum sinis.  Entah mana asasnya, tak tahulah. 
“Encik nak letak asas tu dekat mana, terserahlah.  Saya dah ceritakan yang benar.  Saya tak tegur dia, dia tak pandang saya.  Dia hanya order air, saya hantar dan dia dengan urusan dia.  Minum kopi, baca buku.  Sesekali wajah berkerut.    Sampailah hari lepas encik bukak cincin daripada jari manis dia, masa itulah baru saya tegur dia.  Jadi, tak ada istilah saya rampas dia sebab encik sendiri yang lepaskan dia.  Betul tak?  Lagipun, kebenaran tu biasanya pahit untuk kita telan.  Saya faham kalau encik tak boleh nak terima…” 
“Kau!”  Terasa disindir, Haikal laju memegang cawan mahu disimbah air ke muka Nel tapi tangan gagah Nel lebih laju menahan. 
Air panas itu tumpah separuh terkena tangan Nel.  Haikal kerutkan wajah.  Terkejut dengan tindakan yang lebih pantas.  Kening hitam pekat Nel juga hampir bercantum.  Menahan pedih.  Pijar rasanya kulit yang terkena air panas. 
“Tak elok guna kekerasan dalam apa saja keadaan, Encik Haikal.  Apatah lagi dengan gadis macam Cik El.  Dia wanita lemah yang perlu dilindungi.  Bukan untuk diherdik sesuka hati.  Cara encik ni, tak berapa tepat,” nasihat Nel dengan rahang  yang turun naik.  Menahan geram. 
Padanlah Dian begitu risaukan dia.  Bimbang dia disakiti.  Boleh jadi, ini hanya sikit saja habuan yang dia dapat daripada Haikal.  Esok-esok entah bagaimana.  Kerana dia tahu, Haikal adalah anak orang berkedudukan.  Dia pernah nampak wajah Haikal dalam majalah mana entah.  Dah lupa. 
Tangannya terasa pedih.  Tapi, dia tahan. 
“Itu hak aku nak guna kekerasan atau tak?”  Tangannya direntap.  Sentap juga dengan kata-kata lelaki ni. 
“Betul hak encik… tapi tengoklah pada keadaan.  Tak semua perkara boleh selesai dengan kekerasan.  Islam sendiri adalah agama yang lemah lembut.  Nabi sendiri tak zalimi musuh.  Dia layan musuh seadilnya.  Kenapa kita rasa diri lebih hebat daripada Nabi?  Menggunakan kekerasan kerana rasa itu hak kita?  Gitu ke?”  bidas Nel. 
Haikal terkulat-kulat.  Dia capai tisu dan dilap tangannya.  Bingkas bangun mencerun tajam pada Nel. 
“Kau ingat… dia tu tunang aku…” 
Nel bangkit dan ukir senyum.  Dihulur lagi sekeping tisu pada Haikal. 
“Bekas tunang.”  Dia terus angkat cawan itu dan berlalu ke belakang kaunter.  Tapi, kakinya terhenti seketika.  Memandang semula pada Haikal yang masih berdiri di situ. 
Mujurlah sekarang tiada pelanggan masuk.  Kalau tidak, boleh viral.  Memalukan. 
“Lagi satu… bila dengar pada cerita El dan bila lihat Encik Haikal sendiri datang jumpa saya, saya mati-mati ingat Encik Haikal nak minta tolong saya pujuk El terima encik balik dan itupun kalau El nak.  Tapi, saya silap.  Maafkan saya sebab susah nak ‘kenal’ orang.  Tapi, kalau macam inilah perangai encik, biarlah saya ajelah yang jaga El,” luah Nel dalam rasa geram yang ditahan dengan begitu susah-payah. 

Dia berlalu ke dalam.  Meninggalkan Haikal yang sedang diamuk rasa marah.  

1 comment:

  1. "JUDI POKER | TOGEL ONLINE | TEMBAK IKAN | CASINO | JUDI BOLA | SEMUA LENGKAP HANYA DI : WWW.DEWALOTTO.ME
    DAFTAR DAN BERMAIN BERSAMA 1 ID BISA MAIN SEMUA GAMES YUKK>> di add WA : +855 69312579 "

    ReplyDelete