Saturday, May 11, 2019

Sugar? 15

IKUT hati nak aje dia ketuk kepala Si Adi ni.  Pandai-pandai jadi tali barut untuk Zahlia dah kenapa?  Bukan Adi tak tahu dia dan Zahlia tak ada apa-apa.  Dia dah tekankan berkali-kali.  Sejak dulu.  Perasaan dia pada Zahlia hanya sebagai kawan satu tempat kerja masa tu biarpun tak lama.  Kerana Zahlia hanya part-timer dekat sini.  Dia lainlah.  Nak kerja sampai tua ni.  Seronok.  Sambil kerja sambil memerhati.  Melihat tingkah manusia membuat dia sedar, betapa hebat Tuhan ciptakan setiap hamba. 

Pelbagai ragam dan rupa.  Dah tentu bermacam kisah tersembunyi di sebaliknya.  Namun, satu-satu kisah yang begitu membuat hatinya terbersit adalah milik wanita yang dia kenal sebagai El. 
Sorrylah, bang…”  Wajah Adi keruh.  Dia tak sengaja cerita pada Zahlia masa gadis itu call dia dua hari lepas. 
Apa nak buat? Teruja sangat dengan tingkah Nel yang tak disangka-sangka.  Ada jugak sisi nak menggatal tu.  Ingatkan langsung tak pandang perempuan sebab selama ini, semua salam hanya disambut dengan senyuman kecil.  Tak berbalas. 
Kotlah Nel jenis tak suka perempuan ke.  Normal rupanya. 
Tak sedar, Adi sengih sendiri.  Pernahlah dia rasa Nel macam tu.  Dia pun turut risau.  Tapi, syukurlah tak.  Wanita cantik itu dah buktikan. 
“Kau boleh sengih eh?” 
Adi garu kepala.  Masih lagi sengih. 
“Banyaklah kau sorry, kan?  Kau tahu tak Zahlia datang rumah abang pagi tadi?”  Itu nasib baik sebab Zahlia memang dah tahu rumah dia.  Kalau tidak, dia tuduh Adi juga yang bagi alamat.
“La, dia pergi sungguh ke?”  Masak betul perempuan ni.  Dia dah larang dah.  Lagipun, bukannya Zahlia tak kenal Abang Nel macam mana. 
“Habis tu, kau ingat dia melawak?”  Hai… bendul betullah budak Adi ni.  Adi ni sebaya Zahlia.  Muda belia belaka.  Dia dah lebih tiga puluh.   Dah rasa tua betul biarpun orang cakap pada lelaki life start at fourty.  Tapi, pada dia… ‘hidup’ dia dah bermula pada hari pertama dia tahu erti sebenar hidup di usia remaja.   
“Saya mati-mati ingat dia main-main.  Pergi sungguh rupanya…”  Adi menggeleng kesal dengan tindakan Zahlia.  Dia dah larang, tapi pergi jugak.  Hai…
“Apapun saya mintak maaf, bang.  Saya janji lain kali tak cakap lagi kalau dia ugut nak bunuh saya pun…”  Wajah Adi serius bersumpah. 
Nel letak cawan yang baru dibasuh di atas rak.  Adi berlalu ke kaunter bila ada pelanggan baru masuk ke kafe. 
“Bang, caramel macchiato dua,” bisik Adi. 
Nel tak banyak cakap.  Tangannya lincah bekerja.  Kotak susu dikoyak cermat.  Dituang di dalam jug besi sehingga sukatan yang telah ditetapkan.  Lenggok pada pergelangan tangannya menari lembut menuang air panas ke atas kopi yang telah dibrew segar.
“Berapa suhu yang terbaik untuk buat kopi, Adi?”  Tiba-itba Nel menyoal.  Adi yang baru saja menghulurkan resit bayaran pada pelanggan, mendekat. 
Nampak terpinga-pinga.  Dah berkali-kali Nel ajar tapi lupa pulak bila ditanya tiba-tiba macam ni. 
“Err… saya rasa 90 darjah.”
“Hai… rasanya dah berbuih mulut abang bagitahu kau.  Kau boleh pulak main rasa?”  sindir Nel langsung tak memandang Adi. 
“Lupa bila abang tanya tiba-tiba.  Masa abang tak ada, elok aje saya buat…”  Adi seluk poket apron hitamnya.  Mengambil buku nota tapi belum sempat dia belek, Nel dah bersuara.
“Air panas mestilah dalam suhu 90 ke 96 darjah Celsius bila kita nak extract kopi ni.  Kalau guna yang panas sangat, nanti rasa dia jadi pahit.  Kalau guna air tak cukup panas macam yang sepatutnya, rasa eskpresso tu akan kurang.  Nanti tinggal rasa susu dan rasa syrup aje.  Dah ingat dah?”  Nel kerling Adi yang mengangguk tak henti-henti melihat padanya dan juga nota di tangan. 
Dia senyum.  Adi sebenarnya dah lulus.  Dia saja.  Anggap macam ulangkaji. 
“Saya pelik dengan abang ni.”  Adi berdiri di sisi Nel.  Memerhatikan gerak tangan yang nampak begitu lembut membelai. 
Abang Nel, kalau bab bancuh kopi… boleh dia cakap selembut sutera dibelainya. 
“Apa yang kau pelikkan dengan abang?”  tanya Nel dengan tubuh yang sedikit membongkok memandang pada teko besi bagi melihat penyukat suhunya. 
Bingo!  Dia senyum.  Puas.   
“Kenapa abang suka kerja macam ni, ya?  Padahal abang…”  Adi diam. 
Nel menjeling. 
Adi tahu Nel tak suka bila dia sebut tentang tu.  Tapi, sebut jugak.  Dah Nel tak pernah bagi jawapan. 
“Berapa kalilah kau nak tanya soalan sama…”  Tubuh tegap Nel kembali tegak.  Dia tarik cawan yang Adi letak dekat dengannya. 
“Dah abang tu tak bagi jawapan…”
“Sebab minat.  Simple aje…”
“Tak kan sebab minat aje?” 
Nel buat tak tahu.  Diam seketika. 
“Sebab minat, baru abang buat.  Yang lainnya, abang disuruh tapi lepas tu abang reda, abang fikir demi segala kebaikan, abang jadi seronok juga akhirnya.  Cuma kerja dekat sini, buat abang lebih banyak belajar.”
“Tentang kopi?”  duga Adi.
Nel geleng.  Cawan kedua diletak atas dulang.  Siap. 
“Tentang manusia…”  Nel jongket kening.  Buat muka bangga pada wajah Adi yang nampak keliru. 
“Jadi, abang stay ajelah dekat sini.  Inipun tak tahu sampai bila.  Boleh jadi esok lusa, dah kena berhenti kerja…”  Nel senyum.  Dia dah siap cawan pertama.  Beralih ke cawan kedua pula. 
“Abang nak berhenti kerja ke?” 
“Bukan sekarang.  Abang tak pasti dan kita tak tahu apa yang akan berlaku esok.  Jadi, abang perlu bersedia aje untuk apa-apa kemungkinan.  Tapi, kau jangan risaulah.  Kalau abang berhenti kerja, abang tak akan biarkan kau sendiri…”  Dia pernah berjanji  untuk bantu Adi. 
Adi datang daripada keluarga susah.  Sebab itu gigih carik duit.  Baik budaknya.  Nakal tu biasa.  Rasanya Adi masih ada keluarga tapi semua dah balik tinggal di kampung. 
“Tapi kan… Zahlia tu suka sangat dekat abang…”  Tiba-tiba Adi bersuara biarpun dah lama topik tentang Zahlia dikuburkan.   
Nel kerut kening.  Aik… ada lagi pasal budak tu? 
“Dia tu macam adik aje, Di.  Tak lebih daripada tu.  Bukan abang tak pernah cakap dekat dia…”  Suara Nel serius. 
Adi tersengih.  “Itulah, bang.  Siapa suruh charming sangat.  Sampaikan budak tu dok gila dekat abang sampai sekarang…” 
Nel bertenggek pada birai rak.  Menyilang kaki .  Hai… ni ada bunga-bunga cemburu ni.  Tapi, Nel hanya senyum dan teruskan kerja. 
“Kau suka Lia, kan?” 
Terus Adi sengih garu kepala.  Ceh… kantoilah pulak. 
“Kalau betul suka, kau berhenti kerja… kau pergi belajar, Di.  Sambung belajar.  Apa saja bidang yang kau suka.  Jadi seseorang.  Dunia sekarang ni, Di… dengan cara itu aje orang akan pandang kita kalau kita ni bukan jenis lahir atas dulang emas,”  nasihat Nel.  
Dia tahu Adi faham apa yang dia nak sampaikan. 
Hai… ini lemah ni.  Adi mengeluh.  Sejak dulu, Nel tak lepas suruh dia sambung belajar.  Apa-apa saja.  Tak kisahlah.  Janji belajar.  Masalah, dia dah tepu.  Otak dah kejung nak fikirkan segala formula. 
“Belajar ni, tak semestinya dekat universiti, Di.  Belajarlah kemahiran ke.  Kalau kau minat kopi, pergi belajar pasal kopi.  Kalau minat berniaga, pergi belajar selok-belok berniaga.  Dunia sekarang, dunia orang pandang kedudukan dan pangkat.  Dan itu tiada nilai melainkan ilmu kau tu.  Itu yang akan buat kau ada kedudukan sendiri dalam masyarakat.  Duit banyak tapi ilmu tak ada duit tu akan habis.  Ilmu ni akan terus hidup nak-nak bila kau berkongsi,”  tambah Nel. 
“Abang ingat kau ada cerita tentang abang kau, kan?  Dia ada kat mana sekarang?” 
“Hrmm… kerja dekat Terengganu.”
“Kenapa abang tanya?” 
“Dia belajar apa dulu?”  Nel teruskan soalan.  Malas nak jawab soalan Adi. 
“Tak pastilah, bang.  Tak silap saya dalam bidang bisnes-bisnes gitulah.  Kerja dekat company apa entah dekat Terengganu.  Dekat dengan keluarga katanya.  Selesa dekat situ. Dia sebaya abang.  Abang mesti tak tahu, kan?”  Adi sengih lebar. 
“Eh, iya ke?  Kau tak pernah cakap, manalah aku tahu…”  Budak bertuah ni.  Tak diberitahu, masakan dia tahu. 
“Abang saya tu elok aje kerja.  Dah berkeluarga.  Bahagia aje.  Tak tahulah kenapa saya jadi macam ni.  Lagipun, saya malas nak susahkan sesiapa.  Abang saya dulu tu ada dapat biasiswa.  Ada penaja…”
“Ini bukan sebab biasiswa ke, penaja ke, Adi.  Tapi, kehendak kau.  Pernah dengar orang cakap di mana ada kemahuan di situ ada jalan?”  bidas Nel.  Geram betul! 
“Iya… tapi…”
“Tak ada tapi.  Kau ambik abang kau sendiri sebagai inspirasi.  Macam mana dia boleh ubah hidupnya.  Kalau kau tak nak susahkan dia, abang janji bantu kau, kan?” 
“Tapi, saya tetap susahkan orang…”
“Dah.  Jangan tapi-tapi.  Tak ke mana nanti kau.  Buat masa sekarang, pergi hantar air ni…”  suruh Nel sambil mengusap bahu Adi.  Karang, tak sedap pulak air orang. 
“Apa kaitan perempuan dengan belajar?”  soal Adi sebaik saja dia kembali ke belakang kaunter. 
Eh, ada lagi.  Nel kerut kening.  Ingatkan dah habis dah. 
“Kaitan dia, bila ada kedudukan… masa itu orang akan pandang kau…” 
“Tapi, bukan ke selama ni abang cakap, pentingkan pandangan Tuhan.  Pandangan manusia, pandangan yang fana.  Yang membezakan kita hanyalah amal…” 
“Betul.  Tapi, kalau kau nak yang macam Zahlia tu, itulah harganya…” 
Dia kenal Zahlia.  Zahlia anak orang senang.  Belajar sampai degree.  Rasanya sekarang, jadi engineer.  Dia dan Adi, mereputlah belakang kafe ni sampai tua gamaknya. 
“Habis tu, abang tu…”  Adi tunjuk muka tak puas hati. 
Nel sandar pinggul pada meja.  Dia cekak pinggang. 
“Kau rasa kenapa Lia suka abang?”  Saja dia tunjuk wajah bangga.  Mengusik Adi.
“Ceh… mentang-mentang dia handsome…”  Adi mencebek. 
“Haa… kau lelaki pun cakap abang handsome.  Perempuan apatah lagi…” Nel ketawa kecil bila lihat Adi makin muncung. 
Dia dekati lelaki itu.  Dipaut bahu Adi. 
“Nak belajar tak?” 
“Malaslah.  Baik cari duit…”
“Pergi belajar…”
“Nanti tak boleh cari duit…” 
“Ala, janji kau nak.  Jalan akan terbuka, Di,” nasihat Nel. 

Adi termenung seketika.  Dunia sekarang… dunia memandang pangkat dan kedudukan.   Suara Nel mengaum dalam kepala.  Tapi, itulah hakikat dunia akhir zaman ini.  

No comments:

Post a Comment