Saturday, May 11, 2019

Sugar? 16

SEJAK tadi, mata Zahlia tak lepas memandang Nel.  Wajahnya masam.  Andai dapat disukat, rasanya lebih masam daripada cuka.  Air yang Nel hidang langsung tak disentuh.  Lelaki ini tak pernah berubah.  Setiap tingkahnya penuh karisma.  Penuh gaya biarpun hanya sedang mencuci cawan kotor. 

“Lia nak cakap apa?”  soal Nel.  Rimaslah dia Zahlia sejak tadi dok pandang dia. 
“Lia rindu Nel…” 
“Hah?”  Rasa nak ketawa aje.   Tapi, apa nak kata, Zahlia masih muda.  Darah mudah menggelegak. 
“Macam mana tempat kerja baru?  Mesti seronok, kan?” 
“Biasa aje…”  Zahlia tahu Nel tukar tajuk.  Tukar haluan perbualan mereka. 
“Hey, mestilah seronok.  Kat kafe ni penat.  Sekarang dah ofis hour, malam ada masa rehat…” 
Zahlia tak bagi tindakbalas.  Dia hanya terus memerhatikan Nel.  Wajah tenang itu tak pernah berkocak riaknya. 
“Nel tahu kan Lia umur berapa sekarang?” 
“Dua puluh enam…”  Muda belia lagi. 
“Nel rasa Lia dah sesuai ke belum jadi isteri?”
“Itu terserah dekat Lia.  Lia tuan punya badan yang nak galas tanggungjawab tu…”  Nel tetap jawab walaupun dia dah mula tak sedap hati. 
“Lia tanya Nel sebab Lia…” 
Nel diam.  Dia dah dapat agak.  Tapi, biarlah Zahlia yang teruskan bicara.  Apapun, dia tetap dengan pendiriannya. 
“Lia dah cakap dekat papa nak nikah dengan Nel…” 
Ingatkan Nel terkejut, sebaliknya lelaki itu hanya guriskan senyum tipis.  Melarikan pandangan ke lain. 
“Lia tahu tak apa maksud sebuah pernikahan ni?” 
Zahlia angguk.  “Kita hidup sebagai suami isteri, bawah satu bumbung, saling mencintai… saling jaga…”
“Itu aje?”  Nel menggeleng kecil.  Senangnya Zahlia define maksud sebuah perkahwinan.
Sedangkan dia, bila berbicara tentang tanggungjawab… hati dan jiwanya serasa kecut.  Bagai tak mampu nak galas tanggungjawab sehebat itu. 
Zahlia kerut dahi. 
“Tanggungjawab dia besar, Lia.  Kalau saya tak bagi Lia kerja, Lia nak ke berhenti kerja?  Saya nak isteri saya ada dekat rumah.  Jaga makan pakai saya.  Jaga rumahtangga.  Bantu saya didik anak-anak.  Urusan rezeki, serah pada saya.  Biar saya berusaha kerah tenaga saya selagi terdaya.  Tak kisahlah apa yang saya bagi setakat termampu, saya nak dia terima segalanya dengan rasa syukur dan nak dia tahu, saya dah usaha yang terbaik mengikut kemampuan saya untuk beri kebahagian pada dia.  Bahagia, Lia… bukan kemewahan.” 
“Ya, Lia faham tu.  Tapi, tidak ke kalau isteri kerja setidak-tidaknya dapat bantu suami?”  Nel ni cakap zaman apa nak isteri duduk rumah?  Orang lain semua nak isteri bekerja.
“Orang lain, mungkin.  Tapi, saya memang harap isteri saya duduk rumah.  Sebab dekat rumah pun, dia sendiri akan banyak kerja.  Itu ini.  Ini bila kerja, mungkin dah penat dekat tempat kerja, balik nak uruskan rumah tangga lagi.  Saya kesian dekat isteri saya nanti.  Tapi, jangan salah faham.  Tak salah isteri kerja dengan niat untuk bantu suami bantu keluarga.  Cuma saya nak isteri saya duduk rumah.  Tugas dia nanti akan jadi lebih berat daripada saya kalau nak dikira…” beritahu Nel perlahan. 
Walaupun dia tahu, riak wajah Zahlia dah jelas menyatakan yang wanita ini tak boleh nak terima pendapatnya. 
“Ini pendapat saya.  Pendapat boleh disanggah kalau tak setuju.  Saya tak ada masalah…”  Tambah Nel tiba-tiba. 
Zahlia hela nafas panjang.  Jujurnya, dia memang tak sependapat dengan Nel.  Entah-entah Nel risau dia tak reti jaga diri kalau kata bekerja dekat luar?  Atau dia akan abaikan rumah tangga? 
“Kalau kata Lia kerja pun, Lia janji Lia tak akan abaikan rumah tangga Lia.  Lia akan bahagikan masa…” 
Tiba-tiba Nel ketawa kecil.  Dah cakap dah, Zahlia memang tak faham.
“Lia dah salah faham ni.  Saya tak cakap Lia tak reti bagi masa atau tak reti jaga rumahtangga.  Itu urusan Lia tapi saya dah jelaskan tadi, saya kesian dekat isteri saya nanti.  Itu aje.  Lagipun, saya yakin saya masih mampu.  Esok-esok kalau dah tak berdaya nak berjalan, itu dah cerita lain…” 
“Tapi,  apa guna kalau Lia belajar tinggi untuk berhenti kerja?  Lagipun, dengan kerja Nel sekarang, mana kita mampu…”  Lidah Zahlia mati di situ.  Dia terlepas kata.  Dia tak patut ungkit kerja Nel. 
Nel kerutkan dahi.  Nak marah?  Tidaklah.  Apa yang Zahlia katakan, itu kebenaran.  Sebab itu dia sejak awal tolak Zahlia.  Dia sedar diri dan dia tahu macam mana kehendak Zahlia.  Bukan dia orangnya.  Lagipun, tak payah nak yakin.  Dia dah tegaskan dia tak akan pilih Zahlia.  Dah perempuan ni macam yakin sangat, kenapa.  Haih… Nak aje dia cakap macam tu tapi malas nak panjangkan hal. 
Apa yang pasti, dia bersyukur bila Zahlia nampak siapa dirinya yang memang tak mampu untuk penuhi keinginan perempuan ini dan Zahlia tak mungkin dapat berjalan bersamanya.  Dengan hayunan kaki yang seiring. 
Melihatkan wajah Nel, lelaki itu masih tiada riak marah.  Sebaliknya, hanya senyuman saja terus mekar.
“Kalau macam tu kata Lia, Lia dah ada jawapannya.  Tak perlu saya terangkan lagi.”  Nel terus bangkit dan baru hendak masuk ke belakang kaunter, wajah Dian muncul di depan mata. 
Terkebil-kebil memandang dia dan Zahlia. 



LIUR yang ditelan tak dapat merawat resah.  Baru nak berbunga tapi dah layu.  Terkejut juga dia bila tiba di kafe tadi, nampak Nel serius bersembang dengan seorang perempuan.  Dia hanya memerhati untuk sepuluh minit hinggalah Nel bangkit dan melihatnya. 
Dia sendiri kaku. Rasa macam salah timing.  Dia ingat Nel cakap nak jumpa kawan.  Kawan perempuan ke?  Berapa ramai kawan perempuan yang Nel ada?   
“Oh awak ni dah ada awek, tak cakap pun dekat saya, kan?”  tanya Dian buat-buat ceria.  Cuba hidupkan suasana yang dirasakan mati langsung.
“Dia pernah part-time dekat sini.  Adi pun kenal…”  Jawapan Nel, mendatar. 
“Tapi, nampak macam dia lebih kenal awak?” 
Dian cemburu.  Nel dapat rasa itu.  Eloklah kalau cemburu.  Cemburu tak apa tapi jangan tuduh dia bukan-bukan. 
“Dia macam adik.  Hak dia nak kenal saya lebih atau tidak.  Tapi, saya tetap hadkan diri saya untuk kenal orang lebih-lebih…” 
“Maksudnya?” 
“Saya tak akan bagi harapan pada sesiapa.  Tambah pulak orang tu memang saya anggap kawan.  Setakat itu saja.  Saya tak akan pernah berlebih…”
“Tapi, saya nampak dia macam serius…” 
Told ya… itu hak dia.  Hati dia… dialah yang kena pandai kawal.  Saya tak janji apa-apa.  Sejak awal saya dah cakap,” cantas Nel. 
Nadanya kedengaran tegas dan keras. 
Bibir Dian terkunci seketika.  Pertama kali nampak Nel benar-benar serius.  Sempat dia kerling Adi yang sedang tersenyum.  Jam dah menginjak ke angka enam setengah petang.  Tangkai cawan diangkat hingga ke bibir.  Disisip perlahan saki baki yang tinggal. 
“Saya dah habis minum…”  Dian senyum tawar.  Dia dah sedia nak berlalu.  Rasa macam pelik bila lain yang dirancang lain yang jadi. 
Kalau awal-awal Nel cakap kawan tu adalah perempuan, dia pasti tak datang.  Ini, seperti meninggalkan satu titik hitam pula pada persahabatan dia dan Nel. 
Nel turut bangkit bila Dian sudah berdiri tegak. 
“Semalam saya dah ponteng, hari ni saya tak boleh ponteng lagi walaupun untuk awak, Cik El…”  Nel sengih mahu mengusik gadis itu tapi senyum Dian masih nampak kaku. 
“Cik El,” panggil Nel bila Dian hanya sekadar berlalu begitu saja. 
“Awak dengar kan, kata-kata Zahlia pada saya tadi?”  tanya Nel jujur bila Dian menoleh. 
Kepala Dian jatuh.  Dia dengar jelas bila Zahlia bandingkan kerja Nel. 
“Awak rasa benda sama ke?”  Nel menduga. 
Dian tak jadi berlalu.  Dia menoleh semula pada Nel.  Menapak ke depan beberapa tapak.  Kini, berdiri di depan Nel dengan jarak dua langkah saja. 
“Tak apa awak nak saya berhenti kerja pun.  Tapi, awak tak boleh minta saya berhenti daripada terus berharap pada awak, Encik Nel,” jawab Dian dan dia terus saja berlalu.
Dan, kata-kata Dian terasa manis betul pada pendengarannya walaupun wajah itu berlalu dalam senyuman pahit.    
Tuhan… kenapalah dia berkeras dengan Dian tadi.  Dia tak sengaja.  Dia mahu tegaskan yang dia tiada apa dengan Zahlia. 

Itu saja.  

1 comment: