Saturday, May 11, 2019

Sugar? 9

SESEKALI dia senyum pada Nel yang sedikit berjarak.  Telefon masih lagi melekap ke telinga.  Suara dan pesanan mama masih gagah masuk ke pendengaran.
“Ya, mama.  Dian jaga diri.  Alaa… bukan Dian tak pernah balik lewat.  Dian nak pusing-pusing cari barang kejap…” 

“Ya, mama tahu.  Cuma risau bila ayah balik tengok Dian tak balik lagi.  Dian tahulah ayah tu sekarang macam mana…” 
“Mama cakaplah dengan dia, Dian keluar dengan Nel.  Senang.  Lagipun memang betul apa Dian keluar dengan dia ni.”  Malaslah nak mencipta alasan.  Memberi pembohongan pada mama. 
Bukan boleh kira.  Haikal tu ramai kaki.  Buatnya ada salah sorang nampak dia dengan Nel, sampai ke telinga Haikal… lepas tu mendarat pada gegendang telinga ayah… lagi pedih telinga dia nanti. 
“Okey, ma.  Tren dah sampai ni…”  Talian diputuskan. 
Dia terus dekati Nel.  “Kita nak gi mana?”  Tadi, dia pun tak tahu Nel beli tiket untuk ke mana.  Dia ikut ajelah dah alang-alang Nel tekad ponteng kerja.  Dia tak hasut ya. 
“KL Sentral aje…”
“Lor, ingatkan manalah tadi…”  Dian kedengaran keceaw. 
“Hai…”  Nel toleh pada Dian sebaik saja mereka sama-sama masuk ke dalam perut monorel.  Mengeluh kecewa nampaknya. 
“Awak ingat saya nak bawa awak bercuti dekat awan biru ke apa?”  Nel ketawa dengan gurauan sendiri bila Dian tarik muka. 
Rasanya, Dian tarik muka lebih indah dipandang jika nak dibandingkan dengan wajah yang begitu sarat dengan kesedihan dan kepahitan. 
“Cukuplah tu dulu.  Tak kan awak ingat saya nak bawak awak ke dalam hati saya pulak?”  seloroh Nel dengan senyuman tipis.
“Ish awak ni…”  Dian kerut kening.  Rona wajahnya telah berubah.  Bahang tiba-tiba. 
“Saya tak cakap gitu pun, kan?”  Wajah merajuk.
Nel tahan tawa tapi dia biarkan saja.  Sesekali dia kerling Dian yang memandang terus ke depan. 
“Pernah naik public transport?” 
“Dah lama tak naik…”  jawab Dian jujur. 
“Ini pun lepas tiga belas tahun tak?” 
“Wah… memang daripada zaman sekolah dah pakai kereta ke apa?  Tak pun jangan cakap awak ada driver?”  telah Nel.  Dia tekup mulut dengan mata yang bulat.  Sengaja dia buat wajah terkejut. 
“Saya sekolah asrama penuh daripada tingkatan satu sampailah habis SPM.  Bila-bila nak keluar, saya akan cakap dengan orang tua saya.  Diorang akan hantar driver.  Macam tu jugak kalau saya nak balik rumah atau nak balik semua ke asrama.  Lepas masuk universiti, ayah bagi kereta dengan driver sekali…”  Dia ingat lagi.  Masa tu ayah dah berjaya.  Dengan bantuan Dato’ Seri Hamdan yang pastinya.  Bapak pada Si Haikal.
Dia berkeras nak dok asrama.  Ayah terpaksa mengalah biarpun pada mulanya tak setuju.  Bila dia nak balik rumah, ayah pasti sediakan sebuah kereta siap dengan driver dan kerana tak nak ada driverlah, dia pilih untuk memandu sendiri sekarang ni.  Tidaklah nampak macam puteri sangat. 
“Cik El?”  panggil Nel.  Jauh tu mengelamun.  Mana lagilah Dian terbang ni. 
“Ya?”  sahut Dian menoleh pada Nel.  Terkebil-kebil pada lelaki yang sedang ukir senyum itu. 
“Mana lagi awak sampai ni?  Mana awak pergi?  Padahal saya ada dekat awak…”  ujar Nel separuh berbisik. 
Dian telan liur.  Dia ketap bibir.  Nel ni bergurau… rasa nak terduduk dibuatnya.  Sendi dia mudah betul lemah dengan Nel ni.  Haih…
“Eh, Times Squarelah.  Lama saya tak datang,” ujar Dian sebaik saja pintu monorel ternganga lebar di stesen Imbi. 
Orang ramai berpusu masuk.  Kakinya terkebelakang beberapa tapak hingga dia rasa bahunya ditahan oleh orang.  Dia langut pandang.  Nel sedang menahan bahunya.  Andai tidak, dia pasti dah terduduk. 
Pintu monorel terkatup rapat.  Dian telan liur.  Bila dah lama tak rasa naik pengangkutan awam, dan kena berhimpit pulak… dia benar-benar tak selesa. 
“Cik El…”  panggil Nel berbisik.
“Erm…” 
“Sini…”  Lengan Dian ditarik.  Dibiarkan tubuh gadis itu berdiri di tepi dinding.  Dia nampak Dian tak selesa bila mula berhimpit dengan lelaki. 
Nel bertongkat kedua belah tangannya pada dinding monorel.  Mengepung Dian di tengah-tengah dengan jarak yang agak selesa untuk wanita ini.  Dia bukan nak mengambil kesempatan tapi kerana dia tahu Dian tak selesa. 
Saat ini, wanita ini sedang memandangnya tapi wajah yang ada di bawah dagu dia itu, langsung tak dipandang. 
“Encik Nel…” 
“Ya…”  Mata Nel tunduk sedikit. 
Tapi, dahi dia berkerut.  Mata Dian sedang berair. 
“Kenapa?” 
Terus Dian tunduk.  Menggeleng kecil.  Nel ukir senyum.  Manjanya la hai… kata pernah dok asrama.  Biasa budak-budak boarding school ni tabah dan kental. 
“Nak makan aiskrim lagi tak?”  tanya Nel tiba-tiba.
“Kan dah cakap saya tak suka manis…”  Dian serak. 
Nel dah agak.  Dian pasti teringat perkara pahit lagi.  Yang dia sendiri tak tahu dan masih terlalu awal untuk dia tanya. 
“Tapi, awak suka saya…”  balas Nel akhirnya. 
Dian angkat pandangan.  Apa pulak kaitan suka Nel dengan aiskrim.
“Awak bukan aiskrim…”
“Saya tak kata saya aiskrim.  Tapi, saya manis…”  Mata dikenyit. 
Dian gigit bibir bawah.  Menahan tawa.  Hilang resah dalam hatinya.  Jujurnya, hatinya tersentuh dengan cara Nel menjaganya. 
“Ikut hati saya, saya memang nak ketawa kuat ni…” 
“Eloklah.  Saya suka awak gelak daripada awak terus hilang dalam dunia yang entah ada orang temani awak atau tidak…”  sahut Nel penuh makna tersirat.
Dia tak nak dah Dian jauh tenggelam dalam memori yang menyakitkan. 
“Encik Nel…”  Dian kehilangan kata. 
Kening Nel terjongket.  Bertanya dalam diam.  Tapi, sepatah kata pun tak terbit daripada celah bibir comel itu melainkan Dian terus tunduk tak angkat kepala hinggalah mereka sampai di hentian terakhir.
“Sini ada aiskrim sedap…”  ujar Nel sebaik saja mereka melangkah masuk ke dalan NU Sentral.
“Aiskrim lagi…”  Dian buat muka.
Nel gelak.  “Okey…okey… silap.  Tapi, sungguh.  Aiskrim dia sedap.  Sangkaya nama kedai dia.  Aiskrim kelapa…”
“Kelapa?  Naaa…”  Dian geleng kepala tanda tak sudi.
“Okey.  Kalau gitu, nak pergi mana?  Tengok wayang?” 
Kali ini juga Dian menggeleng.  “Pusing-pusing ajelah…” 
“Nanti kaki lenguh…” 
Dian jongketkan senyum.  Dia kerling susuk tubuh Nel atas bawah. 
“Apa guna ada pakwe gagah perkasa macam awak kalau tak boleh nak tampung saya nanti…”  Terus dia menapak mendahului Nel. 
Mendengarkan kata-kata Dian, giliran Nel pula gigit bibir menahan ketawa.  Boleh tahan melawan ni.  Dia terus berlari anak mendekati Dian dan berjalan seiring dengan langkah itu. 
Setidak-tidaknya, dia tak mahu biarkan wanita ini sendiri.  Andai satu hari dia tetap tak mampu berjalan beriringan, dia tetap mahu mengatur langkah di belakang Dian.  Bagi memastikan… saat Dian toleh, Dian tak keseorangan.  Ada seseorang yang sedang menanti. 

Dia!  

No comments:

Post a Comment