Saturday, May 11, 2019

Sugar? 3

DAH dua bulan berlalu sejak Haikal tekad menarik cincin pertunangan mereka lepas daripada jari manisnya.  Tak apalah.  Pinggan tak retak, nasik tak dingin.  Orang tak hendak, dia berjuta kali tak hingin.  Tapi yang menjadi masalahnya adalah kedinginan dalam rumah besar ini. 
Mama banyak menyepikan diri.
Ayah juga sama.  Dah sebulan juga dia tak makan semeja dengan orang tua sendiri.  Apa yang dia masak, hanya mama yang makan.  Ayah lebih rela kelaparan.  Kenapa?  Risau dia letak racun gamaknya. 
“Ayah masih marah dekat Dian, ma?”  soalnya sebaik saja mama duduk di meja makan. 
Dia sengaja kosongkan jadual dia hujung minggu ini.  Semalam pun, pertemuan dengan lelaki yang entah terjun daripada mana dah buat mood dia hilang langsung.  Eloklah dia ada di rumah.  Dia memang nak masak untuk ayah dan mama.  Tapi, ayah langsung tak turun. 
“Biarlah dia.  Buat tak tahu ajelah…” 
Dian senyum.  Senangnya la hai mama cakap.  Buat tak tahu.  Kalau dia adalah jiran, memang dia akan buat tak tahu tapi lelaki itu ayahnya. 
“Dian dah cuba pujuk Haikal, ma…” 
“Ya, mama tahu.  Dian dah cakap benda tu berulang kali.  Tapi, itulah…”  Elina toleh ke tangga.  Dah diajak suaminya turun, tapi langsung tak nak turun.  Sanggup berlapar. 
“Tak boleh ke ayah anggap Haikal tu bukan jodoh Dian?”  Apa nak kata.  Bertunang dua tahun pun andai Tuhan tak perkenankan, siapalah dia nak menafi. 
“Ayah dah faham tu,  tapi dia perlukan masa…”
“Berapa lama, ma?  Dah dua bulan.  Ayah nak lagi dua tahun?  Dua puluh tahun?”  soalnya mendatar.  Nasik dalam pinggan hanya dipandang.  Tak boleh nak telan bila rengkung mula disekat sebak. 
“Bagi ayah masa sikit lagi,  ya sayang?”  Tangan Dian diramas perlahan.  Dia faham perasaan Dian.  Dia juga bukan suka sangat Haikal tu walaupun anak jutawan. 
Entahlah… tak sesuai dengan Dian.  Tapi, mata suami dia benar-benar kabur dengan perangai pijak semut tak mati Haikal tu.  Dia pun tak berani nak bantah.  Kadang-kadang tersepit di tengah-tengah. 
“Kalau itu kata mama…”  Dia kembali tunduk suapkan makanan ke mulut. 
“Tapi, ini mama nak tanya…” 
Dian kembali angkat mata. 
“Dalam peti ais ada kek.  Dian bukan tak suka manis ke?  Kenapa boleh beli kek tu pulak?” 
“Kek?”  Dahi Dian berkerut.  Betullah kata mama.  Dia tak makan manis.  Bukan tak suka tapi entahlah.  Bila citarasa sendiri dikawal rapi sejak kecil, apa yang dia suka dan apa yang tak disukai; dia sendiri lupa. 
Tapi, bila masa dia beli kek?  Dahi Dian berkerut cuba mencari jawapan.  Tuhan… lelaki tu. 
“Nel…”  Nama itu disebut dalam keluhan berat tanpa sedar.   
“Hah?  Nel?  Siapa tu?”  Wajah Elina nampak terkejut.  Takkan sangkaan suami dia betul?  Dian ada lelaki lain.  Kerana itu membuat onar hingga Haikal putuskan pertunangan mereka? 
“Jangan cakap Dian ada teman lelaki…”
“Nama dia Nel,” jawab Dian tanpa dia tahu, kenapalah mesti dia sebut nama Nel tu sedangkan dia tak kenal langsung tentang lelaki itu.
“Jangan kata boyfriend Dian…”  Elina masih tak boleh nak terima andai telahan suaminya tepat tentang anak mereka.   
“Taklah, ma.  Seseorang yang Dian…”
“Haa, kan betul abang cakap.  Dia memang ada lelaki lain. Curang dengan tunang sendiri!”  Entah bila Esmail muncul, terus menyergah mereka berdua.
Dian ketap bibir.  Tak selesai lagi satu masalah, muncul pula masalah baru dan kali ini berkait dengan lelaki yang dia tak kenal pulak.  Menjadikan dia pesalah dalam kes antaranya dan Haikal.  Sepertinya terbukti dia yang membuat onar hingga Haikal meninggalkannya. 
Apa saya nak buat ni, Encik Nel? 

Dan, jawapan itu hanya Nel yang ada.  

No comments:

Post a Comment