Saturday, May 11, 2019

Sugar? 12

“DAH dua kali mama ketuk pintu.  Dian berangan apa ni?”  Elina terus duduk di birai katil. 
Sejak tadi, dia ada di situ tapi langsung tak bawa Dian memandang dia.  Sampailah dia tepuk peha anaknya, barulah Dian menoleh.  Terpinga-pinga.  Kalut.  Seperti baru ditangkap berbuat satu kesalahan.

“Dian berangan apa?” 
“Eh, mana ada beranganlah…”  Dian angkat tubuh.  Bersila dan menarik bantal lantas diriba dengan senyuman yang masih bergayut pada bibir. 
“Seronok nampak dapat dating dengan Nel hari ni, ya?  Nasib ayah tak balik lagi.  Kalau tak bernanah lagilah telinga mama dengar dia bebel…”  ujar Elina tersenyum.
Dah dua tahun, wajah ini gersang dengan senyuman sebegini.  Bila diingat, bukan hanya dua tahun menjadi tunang Haikal, tapi sejak dulu.  Sekarang, tunas senyum itu berputik.  Dia harap kembang dan terus mekar.  Sebagai ibu, dia mahu Dian bahagia.  Tapi, suaminya itu begitu sukar untuk terima. 
“Bukan datinglah, mama..,”  bantah Dian.
 “Habis tu, temujanji…” Elina redupkan pandangan.  Pandangan mengusik. 
“Haish mama ni…”  Apalah mama ni.  Sama aje maksud dia tapi dua-dua pun bukan. 
“Kami lepak aje…” 
“Sampai lepas Isyak baru balik.  Ini dah solat belum?” 
“Dah, ma.  Sebelum balik tadi Nel ajak solat dulu.  Dia kata, tak elok lengahkan sesuatu yang boleh disegerakan.  Yang paling utama adalah solat…”  Teringat kata-kata Nel, memang dia sentiasa ternganga.
“Nel cakap gitu?”  Menarik calon menantu dia yang ni.  Anak dia tidaklah lara pasal solat, tapi kerap berlengah.  Itu yang pasti. 
“Hrm…” 
“Okey.  Kalau gitu, pesan dekat dia.  Mama cakap benda sama jugak.  Tak elok lengahkan sesuatu yang boleh disegerakan…”  Senyuman mama penuh makna.
“Mama ni jangan cakap…”  Dian cuba membidik dan bila mama senyum, dia tahu bidikan dia tepat. 
“Suruh dia masuk pinang Dian segera.  Tutup mulut ayah tu…” 
“Mama… Dian baru kenal dia.  Dan dia tak akan mudah terima orang macam Dian ni…” 
“Eh, anak mama hebat apa.  Kalau Nel tak nak, dia tu rabun…”
“Ma, tak baiklah cakap dia gitu…”
“Tengok.  Bela Nel…”  cebek mama dalam senyuman.
Dian ketawa kecil.  Jujurnya, gelora dalam dada dia bila berdepan dengan Nel sedikit rakus.  Nak dibandingkan dengan Haikal dulu.  Langsung tenang.  Boleh jadi, itulah yang Nel katakan rasa keikhlasan yang tidak sampai pada Haikal.  Entahlah… dan ya, dia berhak bahagia. 
“Dia suruh Dian bahagia, ma…”
“Macam mana maksud Dian bahagia tu?”  tanya mama penuh makna. 
“Dah tentu dengan Nel, kan?”  tebak Elina dan bila melihat Dian leretkan senyum, dia yakin telahan dia tepat lagi benar. 
Dian benar-benar dah pilih lelaki itu.  Tapi tak lama, senyuman itu mati.  Mata Dian nampak kembali hilang sinarnya.  Bahagia itu juga telah sayup berlalu.  Tak terpanggil. 
“Kenapa ni, Edian Lufya?” 
“Dian ni, tak patut nak berangan lebih, mama.  Dian tahu hakikat tu tapi entahlah… dengan Nel, Dian rasa nak bina angan setinggi gunung.  Padahal, Dian tak berdaya pun.  Usah kata setinggi gunung, hujung jari pun Dian tak boleh.  Yang peliknya, kenapa Dian biar Nel terus bagi harapan dan kenapa Dian sendiri begitu selesa dengan dia?  Dian ni macam ambil kesempatan pada dia.  Padahal dia tak pernah terlibat dengan Dian sebelum ni.  Dian tak pernah kenal dia, mama.  Dia cuma bagi Dian kek lepas peristiwa Haikal putuskan pertunangan kami.  Tak lebih daripada tu…” 
Elina termangu seketika mendengarkan pengakuan Dian.  Boleh jadi, Dian terlanjur bicara tentang hubungannya dengan Nel kerana prasangka buruk si ayah.  Sekarang, suaminya benar-benar anggap Nel adalah puncanya. 
“Dian ada cakap dekat dia?  Macam mana ayah dan Haikal?”  Elina tak boleh nak sorok kerisauannya. 
Andai benar bagai dikata, Nel itu budak baik.  Dia tak nak Nel menjadi mangsa amukan suaminya dan Haikal kerana dia tahu, kedua-dua lelaki itu jenis panas baran dan kerana kuasa dan wang ringgit, Haikal boleh lakukan apa saja. 
“Dian dah minta maaf dengan dia.  Tapi, sebaliknya dia pujuk Dian untuk tak risaukan dia.  Dia kata dia boleh jaga diri dia dengan baik dan dia yakin dia mampu jaga Dian dengan baik jugak.  Mama cakap, macam mana Dian tak rasa selesa dengan dia.  Dengan Haikal, dia wajib ikut telunjuk dia.  Sejak dulu, kenapa Dian kena ikut saja arahan orang tanpa diberi peluang untuk luahkan apa yang Dian rasa, mama?”  Saat ini, suara Dian mula berubah. 
Pertama kali. 
Ya, pertama kali. 
Dia ajukan soalan itu pada mama. 
“Dian ni memang wujud untuk penuhi kehendak orang aje ke, mama?  Dian ni, tak ada hak untuk diri sendiri ke?”  Airmata Dian akhirnya jatuh. 
Dia telah benar-benar kalah dengan diri sendiri.  Selama ini, dia tak menangis kerana kata ayah, menangis itu tanda orang kalah dan tak bersyukur dengan bahagia yang ada.  Persoalan yang tak pernah ayah tanya, bahagiakah dia? 
“Ediannnn…”  Elina patut tubuh Dian dan memeluknya erat.
Rasa bersalahnya kepada anak sendiri semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini malah saat ini, bila Dian bertanya soalan begitu… hatinya digilis lumat.  Andai dia memujuk suaminya dulu… tentu Dian tak begini. 
Hidup yang Dian lalui… begitu sunyi. 
Tuhan… ibu jenis apakah dia. 
“Mama minta maaf sebab renggut bahagia Dian…”  pinta Elina dengan airmata yang turut mengalir laju. 
“Kali ni, mama sokong apa saja keputusan Dian.  Dian berhak atas diri sendiri.  Orang lain tak punyai ha katas Dian walaupun seinci.  Mama akan ada dengan Dian biarpun saat tu Dian buat keputusan yang sukar untuk diri sendiri,” tambah Elina lagi.
Benar seperti yang Dian katakan.  Anak ini telah sekian lama mengikut saja telunjuk orang.  Tak ubah seperti lembu dicucuk hidung.  Rela ditarik dan diletak di mana saja. 
“Terima kasih, mama.”  Dia benar-benar terharu dengan kata-kata mama.  Tapi…
“Dian tak mampu nak buat keputusan sendiri.  Apapun jadi, Dian akan ikut kata mama dan ayah.  Dian tak nak hanya sebab Dian nak kejar apa yang Dian nak, Dian hilang segalanya…”
“Tapi, Dian berhak bahagia.  Dengan Nel…”  Elina tentang mata anaknya. 
Dian kesat airmata.  Dia kembali tersenyum.  Nampak lelah, tapi senyuman itu ikhlas.  Dia pegang tangan mama.  Erat.  Menghantar rasa terima kasih bila mama inginkan dia pilih jalan sendiri.  Tapi, jalan itu tak mudah dan ramai yang akan terluka.  Termasuk Nel. 
“Nel kata Dian berhak bahagia dengan cara sendiri.  Buat masa sekarang, ayah dan mama adalah yang terutama…” 
“Tapi, ayah akan terus paksa Dian dengan Haikal…” 
“Dian akan pujuk ayah.  Sampai ayah terima kehendak Dian.  Mama tolong, ya?  Hrmm?” 
“Mama akan tolong.  Patut dari dulu mama tolong.  Tapi, mama kenal siapa suami mama.  Hitam katanya, hitamlah.  Tak akan jadi putih dah.  Kelabu pun tak akan…”
“Mungkin ayah tak terima sebab masih ada ego seorang ayah.  Nak-nak Haikal tu dia yang kenalkan pada Dian.  Anak kawan baik dia pulak tu.  Dian yakin, ego ayah akan terlentur nanti…” 
“Masyaallah, Edian…”  Elina kagum dengan kata-kata Dian.  Hingga terkaku di situ. 
“Nel…” 
“Hah?”  Wajah Elina berkerut.  Tak faham tiba-tiba saja Dian sebut nama tu. 
“Nel yang cakap dekat Dian macam tu.  Tentang ego seorang ayah dan cara untuk tundukkan ego tu adalah dengan sabar…” 
Elina gigit bibir bawah.  Entah kenapa, hatinya benar-benar sebu.  Airmatanya murah mengalir.  Tak lagi bersuara, tapi hatinya telah benar-benar terpaut pada anak muda itu. 
“Dia akan kotakan janji dia.  Mama yakin…” 
Giliran Dian pula kerutkan dahi.
“Dia mampu jaga Dian dengan baik,” jawab mama. 

Dian koyak senyum.  Lebar.  

1 comment:

  1. Thank you rehan. Tak pernah mengecewakan kak. Banyak pengajaran yang dapat diperolehi. Di kala kak runsing, karya rehan terus memberikan cahaya. Moga اَللّهُ permudahkan kerjaya berkarya rehan.

    ReplyDelete