Saturday, May 11, 2019

Sugar? 2

WAJAH mama dan ayah direnung tajam.  Kedua orang tuanya langsung tak nak faham apa yang dia cuba sampaikan.  Bukan dia tak mencuba, tapi apakan daya dah orang tak suka.  Nama baik mama dengan ayah?  Heh.  Habis tu, hati dia ni macam mana?  Nak aje dia jerit tapi dia tahan kerana dia bukan wanita begitu. 

“Pergi jumpa Haikal sekarang.  Dian kena matang dalam hal-hal macam ni…”  pujuk mama.
Dian senyum tipis pada diri sendiri.  Matang?  Apa maksud matang yang mama nak sampaikan tu?  Tak cukup matang lagikah dia bila menghadapi karenah Haikal dan keluarga lelaki itu malah kehendak dan kemahuan keluarga sendiri?  Sejak dulu, sekalipun dia tak pernah letak kehendak sendiri di depan mama dan ayah.  Dia hanya ikut segala yang telah diatur untuknya tanpa membantah.  Jauh sekali mahu luahkan hasrat hati.  Malah, sehingga saat ini. 
Tapi sekarang… dia dah letih. 
“Dian dah tak tahu nak matang macam mana lagi, ma…”  Dia pandang mata mama.  Berharap pada pengertian seorang wanita bergelar ibu.
Dulu, dia dipaksa terima Haikal.  Dia angguk.  Akur.  Biarpun dua hari lepas bertunang, baru dia kenal batang hidung Haikal, dia juga tak apa.  Dia terima dengan hati terbuka.  Dia belajar untuk mencintai lelaki itu.  Tapi sekarang, salah Haikal.  Kenapa mama dan ayah susah nak nampak? 
“I’ve done nothing wrong, mama…”  Dian paut tangan mama.  Tolonglah, ma.  Fahamlah hati Dian. 
“Siapa cakap Dian tak buat salah apa-apa?”  sergah ayahnya pula. 
Dian alih pandangan.  Ayah tajam merenungnya.  Dia juga tak kalah.  Kali ini, apa nak jadi… jadilah.  Dia bukan boneka.  Dia nak jadi manusia.  Yang bergerah atas kudrat dan lenggok sendiri.  Bukan patung yang bergerak mengikut hDiannan tali. 
“Jadi, ayah memang nampak Dian yang salah?”  
“Ya,” jawab Encik Esmail berang.  Menjawab pulak budak ni sekarang.  Sejak bila pandai menjawab ni? 
“Kalau kata Dian tak buat perangai, Haikal tak kan semudah tu nak putuskan pertunangan korang berdua!”
“Hah?”  Sungguhlah dia kehilangan kata.
Apalah jampi yang Haikal dah baca pada mama dan ayah hinggakan ayah begini sekali nampak baiknya Si Haikal tu?  Dan nampak semua silap dia? 
“Dian ni anak ayah…”
“Ya, sebab anak ayahlah ayah kenal perangai Dian.  Sejak dulu memang Dian tak nak dekat Haikal tu, kan?  Kami yang paksa kamu, kan?  Kau tu jenis tak boleh nak terima aturan orang tua!” 
Dian terus angkat tubuh.  Sampai hati ayah tuduh dia macam tu.  Dua puluh lapan tahun dia terima hadap segalanya. 
Dian… masuk sekolah asrama penuh.  Dia ikutkan.
Dian… pastikan jadi pelajar terbaik.  Dia belajar seperti nak mati. 
Dian… jadi arkitek.  Dia capai impian biarpun itu impian ayah.  Bukan cita-citanya. 
Dian… dah sampai masa bertunang.  Dia angguk.
Dian… ayah dah jumpa calon yang sesuai.  Pun dia turut. 
Tapi sekarang… Airmatanya mengalir perlahan. 
“Kalau ayah tahu yang Dian buat semua tu terpaksa, kenapa ayah tetap paksa Dian?”  soalnya.  Lembut.  Nadanya berbaur kekesalan.  Kesal kerana ayah dan mama tak pernah bertanya biarpun sepatah tentang impiannya.   
Dahi Esmail berkerut.  Dian dah pandai menjawab! 
“Berani kau jawab ayah sekarang, ya?  Ni dengan siapa kau belajar ni?” 
“Dian tak belajar dengan sesiapa pun ayah,” nafi Dian perlahan. 
“Hakikatnya, inilah perangai buruk Dian yang Dian cuba simpan selama ni bila mama dan ayah Dian nak anak diorang jadi sempurna.  Sesempurna yang mungkin.  Inilah ketidaksempurnaan dalam diri Dian.  Biar ayah nampak hari ni…”  Sejujurnya, dia mahu menjerit tapi tak sanggup kerana dia tak pernah bantah suara mama dan ayah jauh sekali mahu menjerit. 
Tapi sekarang, hatinya benar-benar sebal.  Dia perlukan sokongan mama dan ayah.  Bukan desakan demi desakan tentang sesuatu yang sudah begitu pasti.   
“Edian Lufya!”  Serentak itu penampar sulungnya naik tepat pada pipi bersih Dian. 
Tubuh halus Dian terduduk di atas sofa.  Dekat dengan mama yang gamam tak berkata apa.  Dia toleh pada ayah.  Dibiarkan air jernih itu terus mengalir.  Langsung tak disentuh pipi yang terasa pijar. 
“Ayah tak kira.  Kau pergi jumpa Haikal hari ni.  Minta maaf.  Selesaikan cara orang dewasa.  Jangan ikut sangat perangai budak-budak kau tu!”  Arahan Esmail bergema dalam ruang tamu banglo mewah ini.  Terus dia berlalu naik ke atas. 
Sejak bila anak yang dia asuh untuk menjadi yang terbaik itu, berubah sikap sekarang?  Dan dia mula syak… hati Dian juga sedang berubah! 
Perangai keanakan?  Dian rasa mahu ketawa.  Tidakkah mama dan ayah sedar, dia telah dewasa sebelum usia?  Demi kesempurnaan yang mama dan ayah damba, dia lupakan dia pernah menjadi kanak-kanak, malah melalui zaman remaja.  Dia tiada kawan kerana pada ayah, itu semua membuang masa dan akan mempengaruhi hidupnya.  Malah, pakaian serta makanannya juga ditentukan oleh ayah dan mama. 
Dia berani potong jari, mama dan ayah langsung tak tahu apa yang dia suka makan.  Apa yang dia suka minum.  Segala yang dia telan, adalah yang mama dan ayah suka.  Tubir mata Dian mula basah.  Pandangannya juga kabur. 
“Hari ni, Dian pergi jumpa Haikal, ya?”  pujuk mama pula sambil membelai rambut panjang Dian. 
Dian koyak senyum sinis.  Dia tafsir ayat mama sebagai pujukan tapi kenyataannya, itu adalah arahan. 
“Kenapa mama dengan ayah tak pernah nak dengar penjelasan Dian sejak dulu?”  tanya dia mencari jawapan. 
Elina gamam.  Tiada jawapan yang mampu dia muntahkan dengan persoalan anak.  Ini pertama kali Dian menyoal.    
Senyuman bergayut pada bibir Dian biarpun pipinya masih terasa kebas. 
“Tak apalah, mama.  Kalau itu yang mama dan ayah nak.  Dian pergi…”  Akhirnya dia kalah lagi.  Tanpa sempat berbuat apa. 
Andai mama dan ayah terus mahu jadikan dia boneka, dia harus akur. 



NEL pandang Adi bila dia berkali-kali di siku lelaki itu.  Nasib tak jatuh cawan kaca di tangan dia sekarang.  Jatuh karang, kalau gaji kena potong, dia minta Adi ganti.
“Kau ni kenapa, Di?”  Dia kembali mengelap cawan dan piring yang siap dicuci. 
“Tengok sana, bang…”  Adi juihkan bibir di satu sudut yang tersorok. 
Sempat Nel angkat kepala seketika.  Seorang gadis manis, bertudung litup, skinny, sneakers putih dan kemeja labuh sedang tunduk bagai menerima pertuduhan yang sedang dibaca oleh seorang lelaki berwajah berlagak di depannya. 
“Jangan sibuk hal orang, Di,” pesan Nel. 
“Eh, kena bang.  Buatnya dorang bercakar dalam café ni.  Masaklah kita…” 
Haish…”  Nel dah berdesir dengan jawapan Adi. 
“…elok-elok dorang tak bercakar, kau pulak abang masakkan.  Dah, pergi ambik order sana…”  Dia tolak Adi ke kaunter bila ada dua orang pelanggan baru masuk. 
Sebaik saja Adi menjauh, dia kembali mencuri pandang ke sudut tadi.  Dia kenal raut wajah comel itu.  Kenal pada rupa kerana gadis itu sentiasa di sini dan yang pastinya sendiri.  Tapi kali ini, lain pula.  Ada berteman.  Lelaki pulak tu.  Tak mungkinlah kawan biasa. 
Daripada celah rak cawan yang tinggi, dia dapat lihat jelas wajah monyok seorang wanita yang tak berkata apa sedangkan mulut lelaki itu sejak tadi, berbicara.  Tanpa noktah. 
Sah… perempuan jenis lembik ni! 
Dan, bila lelaki itu bangkit… wanita itu kekal duduk.  Tak semena, tangan wanita itu ditarik dan jari lelaki itu melurut pada jari manis wanita comel itu.  Nel dapat agak.  Lelaki itu cabut cincin yang ada dijari manis itu. 
Memang kes serius ni! 
Tapi, cepat-cepat dia buat tak tahu bila lelaki tadi menapak keluar.  Meninggalkan wanita itu sendiri.  Adi memandang dia.  Dia juga sama.  Kemudian, dia jongket bahu.  Lima minit, gadis itu masih tunduk.  Nampak tenang dengan riak wajah yang begitu sukar untuk dia tafsir.  Nel capai piring dan sepotong kek diletak di atasnya. 
Kakinya maju ke arah di sudut itu.  Diletak kek tadi di atas meja. 
“Saya tak order ni…”  Dian masih tunduk.  Mengesat birai mata.  Cuba mengawal nada suara. 
“Oh, ini memang percuma untuk hari ni, cik.  Tadi, lupa nak hantar…” 
“Okey, terima kasih,” balas Dian langsung tak angkat wajah kerana kek di depan mata mula nampak kabur. 
Dia menangis lagi. 
“Enjoy the taste of  the sweetness, cik,” ujar Nel sebelum dia berlalu semula ke belakang kaunter.
“Putus cinta ke tu, bang?”  soal Adi separuh berbisik.
“Diamlah.  Buat tak tahu aje.” 
Adi sengih.  “Hari ni mana ada member-card day segala nak bagi kek free?” 
“Well… shut up.”  Adi dikerling tajam.  Sibuklah kau.  Kau apa tahu.  Budak-budak baru nak up
Adi terus tersengih mengambil pesanan yang baru.
Sedangkan mata Nel, terus memerhati.  Wanita itu menelan kek itu tanpa kenal apa itu perkataan menikmati.  Ya, dia faham… seperti menelan udara bila hati sendiri penuh kepahitan. 

Moga rasa manis itu mampu merawat sedikit rasa pahit awak tu, cik.  

No comments:

Post a Comment