Saturday, May 11, 2019

Sugar? 11

SAMPAI di rumah malam tu, ayah belum lagi balik.  Ada dinner katanya dengan Dato’ Sri Hamdan.  Eloklah.  Dia terus ke bilik.  Mandi dan terus panjat katil.  Tubuhnya letih.  Tapi kenapa bibirnya tak letih tersenyum. 
Anehnya…

Kalau dengan Haikal sebelum ni, tubuh dia akan jadi dua kali letih bila lelaki itu ajak jumpa.  Otak dia juga sama.  Akan jadi tepu sepanjang masa.  Musim luruh akan tiba dalam kepala.  Disusuli musim dingin.  Pahit yang sekadar pahit kopi tanpa gula, akan menjadi sepahit hempedu. 
Mereka lepak bersama tak sampai dua jam pun.  Tapi, sepertinya dia telah kenal lelaki itu lama.  Atau terbalik.  Nel yang kenal dia lama.  
“Dah lama awak perhatikan saya?”  tanya dia pada Nel petang tadi. 
Nel senyum.  Dah cukup memberikan jawapan.  Dian angguk.  Faham.  Nak kata marah, jauh sekali.  Cuma, ada rasa malu menerpa.  Drama sebabak antara dia dan Haikal tentu menjadi tatapan Nel. 
“Habis tu, kenapa tak pernah tegur saya?” 
“Pernah tegur.  Empat lima kali tak…” Mata Nel juling ke atas.  Cuba mengingat.  Betullah tu.  Lebih kurang.  Selebihnya, dia biarkan Adi hantar pesanan. 
“Bila masa?  Saya tak perasan pun…” 
Nel senyum lagi.  “Tak apa tak perasan sebelum ni.  Sekarang dah tahu kan wujudnya seorang Nel atas muka bumi ni…”  Dia kenyit mata. 
“Lagipun, masa tu kita bukan sesiapa.  Awak hanya customer dan saya pulak tukang bancuh kopi untuk awak.  Setakat itu saja.  Cuma, hari yang saya bagi kek free tu, itulah kali pertama saya beranikan diri saya tegur.  Pun awak tak layan…”  Tak semena Nel ketawa. 
Bukan apa… menyembunyikan rasa canggung diri sendiri.  Bila diingat perangai tak semenggah begitu, rasa nak lempang diri sendiri.  Berani ikut anak orang sampai ke butik baju semata-mata dengan alasan nak bagi kek?  Huh… malahlah dia letak akal warasnya masa tu. 
Loya! 
Tidak dapat tidak, Dian angguk setuju.  Memang dia akur, dia tak pernah pandang lelaki lain sebelum ini.  Haikal sajalah dimatanya. 
“Saya minta maaf tentang hari tu…”  pinta Dian.  Tulus. 
“Hari mana tu?”  Bukan buat-buat tak faham, tapi memang tak tahu hari yang mana. 
“Yang awak bagi saya kek…”  Pijar juga wajahnya bila ingat perangai sendiri.  Perasan cantik sangat sampaikan dia kata Nel nak mengayat dia. Tengoklah hari ini.  Dia rasa dia yang mengayat Nel. 
“Kalau tentang tu, saya okey aje.  Tapi kan… awak percaya tak kalau saya cakap itu kali pertama saya rasa wanita ini memang diciptakan untuk menjadi penarik pada lelaki.  Macam ada magnet yang kuat pada awak sampaikan saya tertarik.  Tak sedar, saya ikut awak.  Kira macam unconscious behaviour la…”  Nel sengih lebar. 
Banyaklah kau tingkah laku di bawah sedar konon. 
Dian mahu ketawa, tapi tak mampu.  Dia senyum.  Tapi, terasa kaku.  Rasa bersalah.  Pasti! 
“Saya tahu saya tak pernah angkat muka bila awak datang hantar order.  Nak-nak hari awak bagi saya kek tu...”  Ya, hari berdarah tu. 
“Eh, bukan salah awak.  Jangan risau.  Sesiapa pun akan layan saya macam awak kalau tiba-tiba stranger datang nak buat baik.  Jadinya, jangan simpan rasa bersalah tu, okey.  Ada masa saya rasa apa yang saya usahakan hari tu berbaloi…”
“Berbaloi?” 
“Ya.  Awak tengoklah sekarang kita dekat mana.”
“Kita?”  Dian menyoal.  Polos.  Atau dia sebenarnya sukar nak percaya yang dia sedang duduk di sisi lelaki lain yang dia baru kenal.  Yang buat dia sangat selesa.  Yang baut dia mahu bercerita tentang apa saja. 
“Awak dan saya.  Kita.”  Jawapan Nel begitu meyakinkan. 
“Saya selama ni begitu tenggelam dalam dunia saya.  Padahal, dunia saya tu tak menarik pun.”
“Maksud tak menarik tu?”  soal Nel sedikit berminat.  Dian juga nampak dah mula membuka ruang biarpun hanya muat sebelah tangan saja.  Cukuplah dulu. 
“Macam yang awak pernah tengok dan dah tahu…”  Malu juga dia.  Teringat kembali peristiwa Haikal mencabut cincin tuning mereka, berkeping-keping rasa segan menindih muka. 
“Saya mengaku, saya intai awak masa tu.  Well, awak regular customer.  Tak janggal dok sorang-sorang.  Duduk minum kopi panas awak tu, baca buku.  Bila air habis, awak tutup buku dan terus keluar.  Esok datang lagi.  Rutin awak sama.  Saya dah boleh hafal…”  beritahu Nel tersengih-sengih. 
“Jadinya hari tu saya terkejut awak datang dengan lelaki.  Saya dah agak itu tunang awak sebab cincin dekat jari manis awak tu, terlalu menyerlah.  Sampai saya silaulah.  Terpaksa pakai spek hitam…”  gurau Nel.
Dian mencebek.  Mengada betullah Si Nel ni. 
“Tapi itulah…”  Senyuman lebar Nel tercantas sedikit.  Sudah pendek. 
“Saya bukan sesiapa.  Cuma memerhati.  Saya tahu awak ada masalah tersendiri yang awak tak boleh nak cakap dekat sesiapa melainkan telan sendiri…”
“Saya tak ada tempat mengadu, Encik Nel…”  Mata Dian dah mula berkaca.  
“Ayah lebih pilih untuk percayakan orang daripada anak sendiri.  Mama pun tak mampu buat apa-apa.  Saya faham situasi mama.  Memang saya rasa saya sendiri dalam dunia ni.  Saya tak ada kawan nak jadikan tempat meluah…” 
“Cik Ellllll,” seru Nel panjang. 
Dia letak gelasnya di atas meja.  Ditolak sedikit ke depan dan menongkat siku atas meja.  Mencari sinar mata yang kembali malap.  Baru sekejap dia mampu gilap, tapi kini malap lagi. 
“Awak salah tu.  Jangan cakap awak tak ada kawan untuk dijadikan tempat mengadu.,” pujuk Nel lembut. 
“Okey, macam ni…”  Nel tarik kaki kirinya dibawa ke atas pangkin.  Memandang pada Dian sepenuhnya. 
“…misal kata awak ada kawan, berapa peratus awak boleh percaya yang dia akan bawa kelegaan dalam dada awak lepas awak ceritakan segalanya?” 
Dahi Dian berkerut.  Tak sempat nak jawab, Nel bersuara lagi.
“Jangan salah faham.  Jangan fikir saya hasut awak supaya tak berkawan.  Berkawan ni bagus.  Tapi, biarlah kawan yang bila kita pandang wajah dia, kita dengar suara dia… semua tu jadi salah satu usaha untuk kita ke syurga.  Lagipun, Cik El… tak apalah awak tak ada kawan nak mengadu, tak apalah awak rasa sendiri dalam dunia ni… janji awak yakin awak ada Tuhan.  Dialah sebaik tempat untuk awak mengadu, Cik El.  Awak nak menangis, melutut, atau apa saja… di depan DIA…”  Jari telunjuk Nel tegak. 
“Tapi, setiap manusia perlukan kawan, kan?”  soal Dian.
Bukanlah dia tak setuju dengan kata-kata Nel.  Nasihat Nel tepat dan padat.  Dia cuma nak tempat meluah.  Seperti yang ada di depan dia sekarang.  Teman ketawa dan menangis.  Dia sentiasa keseorangan.  Kiri kanannya, depan dan belakang… hanya bayang-bayang semata-mata. 
“Betul.  Semua orang perlukan kawan…”  Nel tidak meningkah.  Yang benar, dia iyakan. 
“Tapi awak kena ingat, yang setia menemani awak selamanya adalah ketabahan dalam diri awak, Cik El.  Sampai masa kawan akan hilang, sampai masa orang tua pun akan pergi.  Bila Allah kata, awak kena sendiri… tidak.  Dia ada dengan awak dan Dia akan hantar pengganti yang terbaik untuk temani awak, El…”   
“Dan adakah pengganti itu awak?” 
Nel jongket kening.  Bahunya juga terangkat.  Dia tak tahu.  Tak pasti.  Tak boleh nak cerap. 
“Awak tahu tak, mula-mula saya tengok awak… saya dapat rasa awak perlukan pertolongan.  Anggap ajelah saya pertolongan yang Allah hantar di saat awak memerlukan.  Berkat kesabaran awak selama ni…”  jawab Nel berlapik.  Padahal, sejak hari pertama menatap wajah Dian, dia mahu jadi pengganti itu. 
Dia tak kisah yang ke berapa.  Janji, dia adalah yang terakhir. 
Dian tunduk.  Melurut birai cawan dengan hujung jari telunjuknya.  Pertolongan apakah yang lelaki ini maksudkan?  Dia sendiri tak tahu dia perlukan pertolongan?  Selama ini, dia buat semuanya sendiri. 
“Pertolongan apa yang awak maksudkan tu, Encik Nel?” 
“Tolong kasihkan awak…” 
Dian gigit bibir.  Dia pandang Nel lama dengan sinar mata yang kembali nampak bergemerlapan. 
“Saya harap awak tak salah dengar.  Bukan tolong kasihankan awak.  Tidak sama sekali.  Tapi, tolong kasihkan awak.  Beza, kan?”  Risau pulak dia Dian salah dengar.  Karang, dah berlaku salah faham. 
“Awak ni memang mulut manis, kan?”  Dah lama dia nak tanya Nel.  Sejak kali pertama lelaki ini kejar dia hari tu.  Hari ni baru terluah. 
“Kan dah cakap… saya manis…”  jawab Nel tersenyum tipis. 
“Jadinya, seluruh jasad saya.  Rambut sampai kaki.  Semua manis…”  Dia kenyit mata.  Sempat lagi kenakan Dian. 
Dian angguk dengan bibir yang lebar ke tepi.  Nak ketawa pun ada.  Nel benar-benar menjadi ubat pada jiwa yang lelah.  Lega sikit hati dia. 
“Awak tahu tak, Encik Nel.  Lelaki tu nama dia Haikal.  Saya bertunang dengan dia dah dua tahun.  Atas aturan ayah saya.  Saya belajar terima dia.  Tapi entahlah… dia masih rasa saya tak ikhlas terima dia.  Padahal saya sendiri tak tahu nak tunjuk rasa ikhlas tu macam mana,” cerita Dian tanpa dipaksa. 
“Ikhlas ni adalah sesuatu yang perlu dia rasa, kan?  Bukan yang mampu saya tunjuk ikut kehendak dia.  Betul tak?” 
Mengingatkan Haikal, sebal rasa hati.  Sampai hari ni ayah masih salahkan dia.  Dia juga, sampai hari ni tak dapat peluang untuk berterus-terang. 
“Betul tu.  Ikhlas ni, tiada siapa yang dapat ukur, Cik El.  Diri sendiri pun tak dapat pastikan ikhlaskah kita pada sesuatu perbuatan atau pertolongan itu.  Ikhlas ni benda yang terlalu halus untuk kita tapis.  Hanya Allah yang tahu.  Tapi, pada saya… dia tentu boleh rasa keikhlasan awak andai awak betul-betul ikhlas.  Yang menjadi persoalan sekarang, adakah awak benar-benar ikhlas terima dia?” 
Bibir Dian herot ke kiri dan kanan.  Menimbang kata-kata Nel yang selalu mematahkan hujah yang dia simpan di belakang gigi. 
“Saya yakin saya ikhlas…”
“Jangan bagi jawapan hanya kerana awak yakin, Cik El.  Bagi jawapan apa yang hati awak rasa.  Paksaan?  Bebanan?  Atau Haikal tu satu ketentuan?”  Bukan Nel nak persoalkan tentang apa yang Dian beri sebagaijawapan, tapi dia mahu Dian nilai daripada sudut yang lain. 
Seketika, Dian tidak bersuara.  Dia hanya pandang wajah tampan Nel.  Mata redup itu begitu jarang berkelip.  Tapi, mata kuyu Nel jelas tersenyum padanya. 
“Saya yakin,” tegasnya sekali lagi. 
“Betul?  Keyakinan awak tu berasas?”  giat Nel.  Bukan dia nak ragu-ragu tapi dia nak Dian tahu, erti sebenar keikhlasan. 
“Awak rasa saya tak ikhlas?”  Dian pulangkan soalan.  Lemas digasak. 
Nel ukir senyum senget.  Cukup tajam. 
“Keikhlasan awak tu bukan pada saya, Cik El.  Jadi saya tak mungkin dapat rasa melainkan Haikal tu…”
“Jadi, awak nak cakap saya tak ikhlas dan Haikal rasa saya tak ikhlas, sebab tu dia tinggalkan saya?”  Nada Dian sudah mula berubah.  Sudah terselit getar.
Takkanlah Nel juga sama macam ayah. 
“Cik El,” seru Nel lembut. 
“Saya tak tahu urusan awak dengan Haikal.  Atau boleh saya panggil dia bekas tunang awak?” 
Dian menyepi.  Walaupun kedengaran macam sindiran, tapi itulah hakikatnya sekarang.  Haikal tu bekas tunang dia. 
“Saya memang tak tahu langsung.  Tapi sekarang, saya dapat rasa keikhlasan awak berkawan dengan saya.  Seperti saya kata, ikhlas ni hubungan hati antara pemberi dan penerima.  Selebihnya, Allah akan tentukan nilai keikhlasan itu.  Dan, awak kata awak ikhlas untuk dia tapi dia tak dapat nak rasa… itu masalah dia.  Apa nak kata, urusan hati manusia ni milik masing-masing.  Kita tak boleh kawalnya, Cik El.  Cukuplah awak rasa awak dah cuba yang terbaik dan jangan bercakap tentang keikhlasan andai sampai sekarang awak masih tak reda dengan segala ketentuan…”  nasihat Nel panjang.
“Maksudnya…”
“Maksud saya, lepaskan semua beban dari dalam hati awak.  Awak berhak bahagia.  Awak kena hargai bahagia sendiri biarpun Haikal tak nak hargai…” 
“Saya cuba, Encik Nel… tapi ayah saya…”  Bicara Dian mati.  Rasa seperti memburukkan ayah sendiri pun ada.
“Saya dapat agak, ayah awak mesti tak suka hubungan awak dengan Haikal putus, kan?  Tambah pulak itu jodoh yang dia cari.  Tapi, kena ingat… yang merancang itu kita – manusia. “  Nel tepuk dada bidangnya sekali. 
“Yang menetapkan itu bukan kita.  Tapi, DIA…”  Jari telunjuk Nel sekali lagi tegak ke atas.
Dian senyum pahit.  “Kalaulah ayah saya faham macam tu…”
“Dia faham.  Cuma ego seorang ayah.  Biasalah… susah sikit nak terima.  Dan susah nak terima itu menandakan dia manusia biasa, Cik El.  Awaklah yang kena buat dia jadi insan luar biasa dengan terima ujian tu dengan menyebut nama Allah sebaik saja ujian menimpa dan tak ramai yang mampu jadi luar biasa tu.  Saya pun harap awak turut jadi antara yang luar biasa tu…”  Mata Nel mengerdip sekali menghantar keyakinan pada Dian. 
“Awak manusia biasa atau yang luar biasa tu?” 
“Saya manusia biasa aje, Cik El.  Biasa yang sentiasa berusaha untuk letak iman itu menjadi luar biasa dalam hidup saya.  Tapi sekarang, makin susah…”
“Sebab?”  Dada Dian berdebar dengan kata-kata Nel.  Apatah lagi lelaki itu kekal tersenyum tipis biarpun langsung tak memandang dia.
“Sebab Allah hantar ujian lain pulak pada saya.”
Dahi Dian berkerut.  Tak faham. 
Nel larikan anak mata pada wajah Dian. 
“Awak tahu kan… ujian terbesar lelaki adalah wanita…”
“Awak jangan cakap saya ni wanita tu?”  duga Dian.
Tapi, Nel hanya senyum tak berikan jawapan. 

Entah kenapa, madu yang Nel sering ceritakan itu, begitu menggoda rasa dalam hidupnya yang selama ini hempedu.  

No comments:

Post a Comment