Saturday, May 11, 2019

Sugar? 22

MELIHATKAN abah bercakap di telefon dengan gelak besar tu, dia rasa dia memang kena tipu yang abah tak sihat.  Saja suruh dia balik.  Dia pun, polos percaya lakonan abah.  Padahal bukan sekali dia kena main. 

Pernah masa dia belajar dulu, abah hantar pesanan kata terlantar di hospital.  Dia bergegas balik dengan perjalanan beribu batu dan berjam-jam.  Bila dia sampai dengan keadaan lelah dan resah, ayah hanya tersenyum di katil pesakit.  Hanya datang menerima pemeriksaan rutinnya setiap bulan.
Saat itu, rasa nak meraung.  Dia keletihan, dia keresahan.  Tapi, ayah… namun bila akhirnya umi dan abah memeluknya bersama bisikan… “Kami rindu, Nel…”; rasa lelahnya hilang begitu saja. 
Tak sedar, dia koyak senyum. 
“Haa… senyum tu kenapa?  Teringat sembang dekat telefon tadi ke apa?”  Umi menegur.
Nel angkat kepala memandang umi.  Aik… umi ni curi dengar ke apa? 
“Sampai hati tipu Nel, kan mi,”  bisik Nel.
“Nel patut dah boleh agak dah Nel kena game dengan abah.  Dia punya mulut lebar betul.  Betul ke cakap pasal kerja tu, mi.  Entah-entah abah tu ada skandal tak?”  Duga Nel mengusik uminya.
“Haip… kamu ni.  Siapalah nak dekat ayah tu?”  Hajah Rohana duduk di sisi anak lelakinya yang sedang tersengih. 
“Dah tua bangka.  Umi tak pelik kalau abah nak kahwin lain.  Umi bagi aje.  Nak tolong pinang pun boleh.  Tapi, kalau boleh tu naklah pergi pinang untuk anak.  Bukan untuk suami…” 
Hiks.  Nel rasa nak gelak.  Kemain… Tadi nampak yakin.  Tapi, takut tu. 
“Kenapa abah tak kerja hari ni, mi?  Bukan dia sayang sangat ke kerja dia?”  Setahu dia, abah memang gila kerja.  Selagi larat.  Buat bekal tua katanya.  Macamlah sekarang muda lagi. 
“Abah tu macam itulah, Nel.  Bukan Nel tak tahu perangai dia.  Itu dia konon tak sihat, nak umpan Nel balik buat kerja dia…” 
“Tahu sangat dah.” 
“Eh, dahlah cerita pasal abah.  Ini, umi teruja nak tahu siapa bakal menantu umi ni…”  Hajah Rohana dah tersengih lebar. 
“Menantu apa pulak ni, umi… Nel tak sedia lagilah, umi…”
“Apa yang tak sedianya?  Nel dah tiga puluh lima.  Dah ada kerja.  Boleh dah tu.  Nak tunggu apa lagi?” 
“Nel takut Nel tak boleh jadi sesabar abah untuk jadi suami dan bapak…”  Dia senyum kelat.  Ingat kenakalan dia dulu, ayah boleh botak kepala.  Tapi, sabarnya ayah dan umi melentur dia. 
“Eh, Nel akan sabar dengan sendirinya bila masa tu sampai.” 
“Nel takut anak Nel nanti perangai macam Nel dulu.  Nel risau Nel tak sesabar abah dan umi dalam menghadapi cabaran mendidik anak-anak, umi.  Nel juga takut Nel tak jalankan tanggungjawab menjadi bapak dan suami yang baik.  Nel takut bila nanti Tuhan tanya pada Nel tapi Nel tak mampu memjawabnya…” 
“Dulu tu dah lepas lama, Nel.  Nel dah berubah.  Nakal masa zaman remaja tu, biasalah.  Berubah tu penting.  Tengok anak umi sekarang ni…”  Bangga juga Hajah Rohana dengan perubahan Nel. 
Boleh jadi berkat sabar dan doa dia dan suami siang malam mendoakan untuk anak ini. 
“Jauh sangat Nel fikir tu.  Tak kanlah sebab sejarah lepas, Nel jadi takut macam ni sekali?” 
Nel diam seketika.  Wajahnya sedikit mendung.  Dia angguk perlahan.  Kemudian, menggeleng.  Entahlah.  Separuhnya ya.  Sebahagian lagi tidak. 
“Nel anak yang baik,” Hajah Rohana memujuk.  Lembut.  Bahu sasa itu diusap perlahan. 
“Nel masih cuba jadi baik, mi…”
“Cuba jadi baik tu bagus Nel.  Kalau kita cuba benda baik ni, Allah suka.  Dia akan bantu.  Atau keluarga dia tak suka Nel sampaikan macam ni sekali risaunya anak umi ni?  Cinta terhalang?  Romeo Juliet?”  Manalah tahu.  Anak dia ni tukang bancuh kopi aje.  Takut tak cukup bagi makan anak orang. 
Nel gelak.  Amboi umi.  Sampai ke kisah cinta Romeo Juliet disebutnya. 
“Tak adalah sampai macam tu.  Nel baru kenal dia.  Jujurnya, Nel dah agak lama kenal dia.  Dia baru kenal Nel…”  Yelah.  Sebab itulah kot Haikal tuduh dia.  Memang tahap stalker dah dia sebelum ni. 
Tapi, setakat memerhati aje.  Tak masuk dekat langsung. 
“Haa tadi tu telefon budak perempuan tu tak?”  duga umi.
Nel angguk tersengih-sengih. 
“Nel ada tanya dia, boleh ke terima orang macam Nel ni.  Dia tu kerja bagus.  Anak orang berada.  Anak tunggal pulak tu.  Boleh ke dia hidup susah…”
“Habis tu, apa jawab dia?”  Tak sabar nampaknya Hajah Rohana nak dengar cerita.   Nak-nak pula dia memang dah lama sangat teringin nak tengok Nel berumahtangga.  Nak juga ada menantu dan menjaga cucu sementara ada nafas ni.
Tapi, jangan dikata perempuan itu tak sudi. 
Hey… anak lelaki dia ni pun hebat tau. 
“Nel bagi dia masa untuk dia fikir.  Tadi, dia macam nak jawab tapi ada call.  Bos dia call gamaknya.  Umi tahulah, Nel bukan jenis paksa orang.  Kalau dia nak, Nel akan sedia.  Lagipun, ayah dia macam tak suka Nel…”    
Bukan macam tak suka.  Tapi, memang tak suka.  Entah dia punyai keberanian atau tidak untuk menjadi pelindung Dian.  Berjanji senanglah.  Nak tunaikan tu haa… Tapi, sebab dah janji dan dia tahu Dian begitu gantung harapan padanya, dia kena berusaha.  Paling tidak, kalah setelah berjuang itu adalah satu kemenangan juga.  Tidaklah terus mengalah.  Itu pengecut namanya. 
“Eh, macam mana boleh tak suka anak orang sedangkan tak kenal lagi?” 
“Sebab dia kata, Nel punca anak dia putus tunang…”
“Ya Allah…”  Hajah Rohana mengucap panjang.  Terkejut dengan apa yang baru Nel cakapkan.  Budak ni, diam-diam ubi berisi sungguh. 
Ini… dengar dek suaminya, mahu mengamuk setahun. 
“Nel kacau tunang orang sungguh ke?” 
“Umi ni la hai… macam baru kenal Nel.  Dia dah putus masa tu.  Nel tak kacau langsung,” ujar Nel tegas.  Malaslah dia nak buka cerita.  Nanti berkajang-kajang pula cerita yang perlu dia karang untuk umi. 
Esok pun tak temui perkataan tamat lagi.  Umi bukan boleh.  Semua benda dia nak tahu. 
“Kalau gitu, tak apalah.  Tapi, tak adillah kalau dia tuduh Nel jadi penyebab anak dia putus tunang.  Kenapa perempuan tu tak betulkan tanggapan bapak dia?  Nanti semua tuding jari dekat Nel...”
Sebagai ibu, kecewa jugaklah orang dah tuduh anak kita macam ni.  Orang kemain sukar nak didik anak teruna seorang ini agar menjadi manusia berguna seperti hari ini.  Dia main tuduh aje anak orang.  Tak adil betul.  Setidak-tidaknya jumpalah dulu. 
“Mi, dia dah ceritakan yang betul.  Tapi, biasalah… ayah dia suka sangat dekat lelaki tu.  Apa pun yang dia cakap, ayah dia tetap tak nak dengar.  Sebab tu Nel rasa, eloklah Nel jadikan dia milik Nel.  Ayah dia tak fitnah kami lagi.  Tapi itulah, mi… risau tu tetap ada…” 
“Risau apa?” 
Nel pandang mata umi.  Meneguk air yang masih berbaki. 
“Mampu ke Nel bahagiakan anak dara orang?  Nel takut Nel jadi penyebab dia menangis.  Nel tak nak…” 
Lor.  Itu ke yang merisaukan Nel.  Hajah Rohana sapa tangan Nel perlahan. 
“Benda tu tak payah nak dirisaukan.  Nel dah terus-terang dengan dia, kan?  Kalau dia terima, memang dia terima sepenuh hatilah tu.  Tapi, pada umi… elok kalau dapat restu orang tua dia.  Orang kata apa… berkat…”  Sebagai orang tua, dia juga dapat faham perasaan ayah pada perempuan yang Nel suka ni.
Ayah mana nak tengok hidup anak yang selama ini senang lenang, jadi sukar kerana bersuamikan lelaki biasa seperti anak teruna dia. 
“Tapi kan… ni umi nak tanya…”  Hajah Rohana dekatkan wajah ke telinga anaknya.  Nak berbisik.
“Cantik tak?” 
“Eh, haruslah cantik…”
“Oh, ni cinta pandang pertama ke apa?” 
Nel sengih.  Umi… kotya pun teruja, jangan tunjuk sangat.  Nel juga dekatkan bibirnya pada telinga umi. 
“Setiap kali tengok pun jatuh cinta, mi…” 
Tawa mereka terus berpadu.
“Haa, galak kau ketawa, Nel?  Dapat durian runtuh ke apa?”  soal Haji Emran yang tiba-tiba mendekati anak dan isterinya. 
“Eh, bukan musim durian, abah.”  Nel tunduk hirup air.  Dia kenyit mata pada umi. 
“Ha, loyar buruk dengan ayah.  Nak kena kau ni.  Kau tak tahu ke sekarang durian bukan ada musim dah.  Sepanjang tahun ada.”  Giliran Haji Emran pula loyar buruk.  Nak lawan tauke, mana boleh.  Dia hidup dulu.  Dalam hati, dia senyum bangga. 
Haji Emran duduk di sisi umi.    Menggeleng konon tak puas hati. 
“Ni abah nak nak mintak tolong kau.” 
“Apa, bah?” 
“Ini…”  Haji Emran letak sekeping kad di atas meja. 
Mata Nel membulat.  “Apa ni?” 
“Tak reti membaca dah ke?”   Abah sinis.  Tajam.   
“Tapi ni…”  Kad tersebut dicapai dengan tangan yang menggigil.  Bukan sekarang. 
“Keputusan abah dah muktamad.  Kalau berani, bantahlah.  Jadi anak derhaka nanti,” ugut ayah. 
Sengaja dia cakap demikian.  Dengan Nel ni kena ugut sikit.  Barulah nak bertimbangrasa.  Dia kerling isterinya yang turut sama mengerutkan dahi.  Tanda tak faham.  Dia pun, malas nak terangkan.  Anak dengan umi, sama aje. 
“Nel tak sedia…”
“Jangan jadi anak derhaka,” cantas abah tenang. 

Nel telan liur.    Sudah… dia memang dah dapat rasa satu masa abah akan buat keputusan macam ni.  Tapi, sekarang ni… aiseh.   

1 comment:

  1. "JUDI POKER | TOGEL ONLINE | TEMBAK IKAN | CASINO | JUDI BOLA | SEMUA LENGKAP HANYA DI : WWW.DEWALOTTO.ME
    DAFTAR DAN BERMAIN BERSAMA 1 ID BISA MAIN SEMUA GAMES YUKK>> di add WA : +855 69312579 "

    ReplyDelete