Saturday, May 11, 2019

Sugar? 21

DIA lupa langsung Nel cakap cuti hari ni.  Bukan cuti biasa tapi cuti sakit.  Semuanya kerana Haikal?  Padanlah Nel tanya dia sama ada dia okey atau tidak malam tadi.  Bila dia singgah ke kafe tengah hari tadi, terkejut bila Adi ceritakan tentang Nel diserang oleh Haikal.  Patutlah jugak ayah mengamuk sakan. 

Haih… rasa bersalahnya pada Haikal sudah berganti rasa meluat.  Nak aje dia call dan maki Haikal tapi malas dia nak kotorkan lidah dia kerana lelaki seperti Haikal.  Dian sandar tubuh pada kerusi.  Otak dia sedikit tersasar daripada jajaran kerja yang perlu dia siapkan. 
Dia capai telefon, mahu dihubungi Nel tapi tak jadi bila pintu biliknya terkuak.  Wajah Kak Wati manis tersenyum. 
“Busy ke?” 
Dian geleng. “Bos ada, kak?”  Sejak semalam dia cari bos, tapi bos tak masuk.  Apalah yang tak kena dengan Haji Nik ni.  Tak sihat gamaknya. 
“Bos cuti lagi hari ni.  Katanya tak sihat…” 
“Iya ke?”  Wajah Dian resah.  Sikit lagi dia akan print lukisan ni.  Dia perlukan pengesahan segera daripada bos.  Ini perlu dihantar ke pelanggan hari ini jugak.
“Ni revised ke dua dah, Kak Wati.  Kena hantar hari ni jugak.  Macam mana ya nak mintak Haji Nik sign?”  Bingung seketika. 
Nama Nel terus hilang bila masalah kerja mengambil letak duduk dalam kepala. 
“Ada apa-apa Kak Wati boleh tolong ke?”
“Tak apa.  Saya pun tahu Kak Wati pun sibuk…”
“Eh, report baru siap.  Itu ada masa jenguk jiran sebelah.  Tadi, dengar diorang dok sembang pasal kerja tak selesai.  Itu datang nak tanya.”
“Err…”  Dian tak tahu nak cakap mana.  Risau menyusahkan satu hal.  Kak Wati sendiri banyak kerja.  Tapi…
“Boleh Kak Wati call rumah Haji Nik.  Saya bukan apa, sebab Kak Wati orang paling lama dekat sini  Kak Wati dah kena keluarga Haji Nik.  Minta tanyakan dia.  Kot-kot kita boleh pergi rumah dia ke?”  Serba-salah Dian dibuatnya.  Tapi, ini sajalah jalan yang tinggal.  Lagipun, Kak Wati kan pembantu peribadi Haji Nik.  Dah biasa. 
“Kalau macam tu, Kak Wati call sekaranglah…”
“Terima kasih, kak.  Saya betul-betul hargai bantuan Kak Wati”  Risau dia.  Macam mengganggu pun ya.  Dahlah orang tu tak sihat.  Nak dikacau lagi. 
“Tak jadi hallah.  Dah memang kerja Kak Wati.  Boleh kita sama-sama pergi jenguk Haji Nik dah kata tak sihat…”    Wanita empat puluhan itu senyum lebar.  Senang dapat membantu. 
Cawan kopi yang masih berbaki suku itu dia pandang.  Haih… tak boleh fikir tentang Nel.  Dia kena siapkan kerja.  Tapi, baru nak berlalu ke mesin plotter, telefon bimbitnya berbunyi. 
Nel?  Laju Dian menjawab. 
“Tangan awak macam mana?” 
Aik… Nel pandang telefonnya.  Terkejut dengan soalan Dian. 
“Mana awak tahu?” 
“Tengah hari saya pergi kafe.  Adi…”
“Haih… budak tu lagi.”  Nel tutup TV.  Dia bangkit daripada sofa dan berlalu ke pintu gelangsar  yang ternganga lebar. 
“Sikit aje.  Dan, tentang apa yang dia cerita, benda dah jadi, dah berlalu.  Saya tak simpan dalam hati langsung,” ujar Nel. 
Dian lepas nafas perlahan.  Dia letak telefon atas meja.  Loudspeaker.  Tangannya ligat menekan setting pada mesin plotter
“Awak kerja ke tu?”  tanya Nel.  Bunyi macam printer aje bekerja. 
“Yup.  Tapi, kenapa tak cakap dekat saya Haikal datang serang awak…”
“Eh, mana boleh cakap dia serang, Cik Dian,” sangkal Nel dalam tawa kecil.  Macam dia bertumbuk pulak dengan Haikal tu. 
“…dia datang tanya.  Saya jawab.  Secara tak sengaja, air tu tumpah.  Kena tangan saya.  Baju dia pun kotor jugak sikit…”  Dia tak nak burukkan lagi pendapat Dian tentang Haikal. 
Yang dah jadi tu, biarkanlah. 
“Dia nak apa?” 
“Dia syak kita ada hubungan sulit,” jawab Nel jujur.
“Hah?  Dia tu kan…”  Dian ketap rahang.  Sekuat hati.  Geram tak terkata.  Macam mana Haikal boleh gunakan cara keji macam tu?
“Cik Elllllll” panjang Nel menyeru.  Tak nak Dian sumpah seranah biarpun dalam hati. 
“Benda tak betul.  Biarlah dia kata.  Pandangan orang tak penting pada saya.  Yang penting pandangan Tuhan pada kita.  Orang tak tahu, tapi Allah maha tahu.  Itu yang paling utama.  Betul tak?”
“Ya, saya tahu.  Tapi kita kan hidup dalam masyarakat…”
“Sejauh mana kita mampu puaskan hati masyarakat, El?  Kita tak akan pernah mampu sebab masyarakat akan terus menilai dan menghukum tanpa tanya kita.  Awak tahu tu, kan?” 
Dian senyum.  “Ini kali kedua dah…”  Tiba-tiba, Dada yang panas mula beransur suam.
Kata-kata Nel sentiasa menjadi titisan embunan pagi. 
“Apa yang kali kedua?”  Eh eh tiba-tiba aje ni.  Tadi kedengaran marah. Ini dah okey.  Magik betul makhluk yang bernama perempuan ni.  Tuhan ciptakan dan disuntik dengan pelbagai unsur di dalamnya.  
“Kali kedua awak panggil saya El…”
“Kan sejak kita kawan ni saya memang panggil awak dengan nama tu…” 
“Ya… tapi Cik El.  Tapi, dua kali dah saya dengar awak panggil saya El…”
“Ya ke?  El aje?  Bukan Cik El?” 
Dian menggeleng sendiri.  Dia terus senyum.  Butang butang print ditekan. Dia kembali duduk sementara lukisan bersaiz A1 itu siap dicetak. 
“Awak lagi suka Cik El, atau El?” 
“Saya suka mana yang awak suka,” balas Dian bersahaja. 
Kali ini, giliran Nel pula ketawa.  Boleh tahan sekarang mematahkan setiap kata-katanya.  Kalau tidak, Dian lebih banyak diam. 
“Mana awak belajar ayat-ayat manis ni, Cik El?” 
“Dengan orang yang panggil saya Cik El.  Saya assume awak suka panggil saya Cik El, betul tak?”
“Hrmmm… dengar macam manja aje…”  jawab Nel. 
“Nama tu, saya guna sejak saya sekolah menengah.  Kira macam initial.  Pernah saya minta orang tua saya panggil saya tapi ayah kata, macam mana budak-budak tak ada pendidikan.  Sejak tu, tak ada siapa panggil saya macam tu.  Awak… awak orang pertama setelah sekian lama…” 
“Awak bagi saya hak tu…”  tambah Nel. 
“Awak suka saya panggil awak Cik El?” 
“Hrmm… ya.  Saya selesa mendengarnya…”
“Kalau gitu, apa saja yang awak selesa, itu yang akan saya turutkan…”  Bicara Nel biarpun perlahan dan separa berbisik tapi kedengaran sangat serius. 
Seperti dia dapat rasakan kesepian wanita ini sejak dulu hingga hari ini.  Entah dalam dunia macam mana Dian hidup selama ini?  Tanpa teman tanpa sesiapa.  Yang ada hanyalah ibu ayah yang hanya tahu mengatur segalanya.  Berbeza benar dengan dia. 
“Awak buat saya rasa, saya sangat dihargai, Encik Nel…” 
“Memang itu saya nak.  Saya memang nak hargai dan sedang hargai awak.  Akan hargai.  Selamanya…”  akui Nel lagi. 
Dian dapat rasakan air matanya mula bergantungan pada alis.  Kan dah cakap.  Berbicara dengan Nel, yang asalnya menggembirankan, boleh bertukar pada kepiluan sekelip mata.  Bukan kerana sakit hati tapi kerana rasa sakit di hati itu terubat. 
“Hrmm… awak ni berapa hari MC?” 
“Dah rindu ke?”  Laju Nel menyoal.  Dia tahu, Dian sedang sedih.  Boleh jadi kerana kata-katanya. 
Untuk kau tahu, El… aku maksudkan setiap ayat dalam kata-kataku.  Ia adalah luahan daripada lubuk hati yang paling dalam.  Hanya untukmu. 
Dia nak luahkan kata-katanya.  Tapi, nanti mahu pengsan terus budak ni.  Nel ketawa sendiri.  Kelakar betul. 
“Saya tanya, awak tanya… siapa nak jawab?”  Sengaja Dian pulangkan semula soalan Nel padanya sebelum ni. 
Dia dan Nel… kerap berbalas soalan dengan soalan.  Tapi, semua tu hanya membawa senyuman lebar pada bibir masing-masing.  Sedangkan dengan Haikal… Dian pejam mata seketika.  Fuh… tak nak fikir lagi. 
Nel ketawa.  “Hari ni aje.  Elok jugak MC.  Saya balik jenguk orang tua saya…”
“Eh, saya ingat awak sebatang kara…”  Mati-mati dia ingat Nel anak yatim piatu.
“Serius awak ingat saya yatim-piatu ke?”  Macam tak percaya pulak dengan tanggapan Dian padanya. 
“Iyalah.  Saya memang mati-mati ingat awak ni tak ada orang tua dah tengok pada cara awak tu…” 
Nel ketawa sekali lagi.  Kelakarlah Dian ni.  Daripada manalah Dian boleh nampak dia anak yatim-piatu ni?
“Saya memang tak boleh nak fikir langsung, bahagian mana yang awak nampak saya ni anak yatim-piatu sedangkan saya tak cakap apa-apa pun pasal keluarga saya.  Rasanya sebelum ni saya cuma cakap saya tinggal sendiri.  Mak ayah saya sihat lagi.  Alhamdulillah.  Tapi sekarang, diorang nak saya balik tinggal sama-sama dengan diorang.  Ayah dah tak larat nak kerja.  Itulah… anak jenis apalah saya ni, kan?”  tanya Nel. 
Dia kerling pada umi dan ayah yang sedang menonton TV.  Nak tidur sinilah malam ni.  Tak nak hampakan umi dan ayah. 
“Saya cemburu dengan awak, Encik Nel…”  Tiba-tiba, suara Dian sayu.  Seperti menahan sebak yang begitu ganas membadai hati. 
“Kenapa pulak?” 
“Orang tua awak nak awak balik.  Tapi saya, ayah tu macam tak suka saya tinggal situ lagi…”
“Tak baiklah cakap gitu, Cik El.  Kalau dia tak suka, dia dah suruh awak keluar.  Dia tak akan tanya awak pergi mana, dengan siapa, balik pukul berapa.  Sebab dia sayang, barulah dia bagi awak kereta, tanya awak pergi mana, keluar dengan siapa.  Cuma tentang Haikal tu… biasalah orang tua.  Dia nak anak dia hidup selesa.  Lelaki itu perlu ada harta.  Sedangkan Nabi pun dah pesan kalau nak cari pasangan ni kita kena pandang empat perkara.  Hartanya, keturunan, paras rupa dan agamanya.  Siapa nak tengok anak dia hidup melarat dengan orang macam saya ni, kan?” 
Dian telan liur.  Soalan Nel kali lepas, dia tak bagi jawapan lagi.  Sama ada jadi orang gaji atau jadi teman tidur, dia faham maksud di sebaliknya. 
“Saya tengok Haikal macam ada semua tu.  Tentang agamanya, saya tak boleh nak hakimi.  Boleh jadi saya ni lagi jahat daripada Haikal…”  sambung Nel agar Dian faham dan jelas tentang perkara itu. 
“By the way, awak dah ada jawapan ke untuk soalan saya tu, Cik El?” 
“Soalan?”  Dahi Dian berkerut.  Cuba diingat soalan  yang Nel maksudkan.  Banyak sangat.  Dia pun dah lupa. 
“Atau awak dah lupa?”  Nel senyum segaris. 
Dian menyepi beberapa ketika.  Kemudian dahinya berkerut lebat.  Ya, dia ingat.  Nel nak dia jawab.  Nel bagi dia masa. 
“Saya rasa awak pun…”  Kata-kata Dian mati di situ bila wajah Wati muncul di muka pintu biliknya.  Dia jauhkan telefon. 
“Kenapa, Kak Wati?” 
“Haji mintak call dia sekarang…” 
Dian angguk.  “Encik Nel, saya ada kerja.  Nanti saya call lagi…”  Talian terus mati. 

Nel kerut kening.  Cuba membidik apa yang Dian nak sampaikan tadi.  

1 comment:

  1. "JUDI POKER | TOGEL ONLINE | TEMBAK IKAN | CASINO | JUDI BOLA | SEMUA LENGKAP HANYA DI : WWW.DEWALOTTO.ME
    DAFTAR DAN BERMAIN BERSAMA 1 ID BISA MAIN SEMUA GAMES YUKK>> di add WA : +855 69312579 "

    ReplyDelete