Saturday, May 11, 2019

Sugar? 13

MALASNYA dia nak pandang wajah di depan mata dia sekarang.  Dengan kata-kata yang diluahkan, lagilah buat dia rasa malas nak layan.  Kalau setakat hal ini muncul depan rumah dia mengejut, lebih baik balik. 
“Nel, kenapa tak cakap apa-apa saya tanya awak ni…” 
Suara Zahlia sekali lagi menyusup masuk ke dalam telinga. 

“Kan saya dah cakap saya tak kerja semalam.  Saya keluar dengan kawan…” 
“Kawan perempuan, kan?”  duga Zahlia.  Dia tahu.  Adi yang cakap dekat dia tentang perempuan itu. 
Nel mengeluh tipis.  Dia off hari ni.  Masuk petang.  Ingat hari ni nak kemas rumah sikit.  Dengan jeans yang masih belum sempat dia basuh.  Baju yang belum sempat dijemur.  Yang dah kering belum sempat nak dilipat. 
Dah, Zahlia datang menyerang pula. 
“Lia boleh balik dulu?”  pinta dia lembut. 
Tapi, riak wajah Zahlia jelas menunjukkan yang dia tak nak balik.  Duduk memeluk tubuh di situ.  Tiada tanda nak berganjak. 
“Tak elok Lia datang rumah saya.  Nanti apa kata jiran.  Ni dah kali kedua tau Lia datang cari saya dekat rumah…”  Hampir saja Nel buat wajah meluat tapi dipujuk hati.  Dia bukan jenis begitu.  Bagaimana tak suka pun, dia akan beritahu dengan baik. 
“Tapi, kali lepas sebab kerja…”
“Betul tu.  Kan Adi ada.  Kenapa tak suruh dia datang aje.  Lagipun, masa tu Lia boleh aje call saya, kan?”  soal Nel perlahan.    
“Saya tak tukar nombor lagi, tau?” 
Alasan! 
Dia tahu perasan Zahlia pada dia sejak gadis ini masuk kerja part-time di kafe.  Tapi, dia dah terangkan.  Dia anggap Zahlia sebagai kawan aje.  Zahlia sendiri dah ada kerja yang hebat.  Siapalah dia untuk dipandang. 
“Habis tu, perempuan tu boleh pulak datang rumah awak?”  bidas Zahlia geram. 
Dengar daripada Adi cerita tu, memang dapat rasa betapa Nel dah mula jatuh cinta pada perempuan tu.  Kalau dia, sejak dulu elak dan menolak… tapi semudah itu Nel layan pelanggan perempuan tu? 
“Berat tuduhan awak tu, Lia…”  Nel menggeleng.  Kesal. 
Dah lain sangat Zahlia yang dia kenal dulu dan sekarang.  Zahlia sekarang begitu agresif.  Yang beberapa bulan lepas, seorang yang lembut dan pemalu. 
“Memang saya keluar dengan dia tapi kami lepak tempat orang ramai.  Langsung tak ke tempat pelik-pelik.  Jauh sekali ke rumah saya.  Lagipun, kalau betul nak buat benda jahat, rumah saya tak selesa.  Saya lebih prefer hotel…”  bidas Nel.  Tak lalu dah nak cakapbaik-baik.  Kalau kata ayat macam tu boleh buat Zahlia berlalu, lantakkanlah. 
Dahi Zahlia berkerut.  Nel…
Tak dapat dia nak teruskan kata-kata bila Nel bersuara demikian.  Nampak sangat Nel tengah marah. 
“Awak marah?”  soalnya perlahan.
Nel senyum dan menggeleng.  “Saya cuma nak Lia balik sekarang.  Tak pun, kalau free datanglah kafe petang ni.  Saya kerja petang sampai malam.  Saya closing.  Dekat sini, saya tak boleh nak ajak Lia masuk walaupun panas ni…”  Dia tak nak malukan Zahlia. 
Apapun jadi, dia akan jaga airmuka manusia lain walaupun jelas orang itu bersalah.  Melayani manusia dengan cara yang selayaknya dalam apa saja kedudukan, itu yang dia ajar dirinya sejak dulu. 
Hidup bersendiri, tak menjanjikan dia jadi kurang ajar. 
“Nel, saya minta maaf,” pinta Zahlia. 
“Cuma terkejut bila Adi cerita…” 
“Awak suka betul dengar cerita orang.  Sejak dulu.  Orang cerita itu tentang saya.  Nel baik, Nel sopan, Nel calon suami terbaik… terus awak percaya.  Hakikatnya awak tak kenal saya lagi.  Bahaya tu, Lia…”  Bukan dia tak tahu, dia pernah dengar orang memuji dia depan Zahlia. 
Makin bulat mata budak ni haa. 
Mendengar cerita daripada orang dan nampak dengan mata kepala sendiri, ia adalah dua perkara yang berbeza.  Andai cerita yang sampai itu bagus, syukurlah.  Tapi, ada juga yang tak betul.  Dan, jika sebaliknya… pasti ada yang silap. 
“Lia balik, ya?”  pinta Nel perlahan. 
Zahlia akur akhirnya.  Dengan Nel, tak pernah menang kalau nak berbahas.  Lelaki ini akan ada hujah yang solid mematahkan kata-kata dia.  Tapi, hati yang dibalut cemburu, sukar nak pujuk. 
Susah sangat ke Nel nak nampak?
“Saya nak keluar dengan awak lepas awak habis kerja…” 
“Tapi masa tu dah sepuluh malam.  Nak pergi mana?”  Hati Nel berat nak terima ajakan Zahlia tapi nak menolak begitu saja, tak boleh jugak.  Dia perlukan alasan yang kukuh. 
“Mana-mana aje.  Saya dah lama ajak awak keluar…”  Wajah Zahlia kembali mendung. 
“Tapi, awak tu selalu elak…” 
Senyuman Nel lebar.  “Datang aje kafe petang ni lepas habis kerja.  Jangan sampai malam…”  Nel buka pagar. 
Dia menapak lepasi Zahlia.  Pintu kereta dibuka. 
“Hati-hati memandu…”  Isyarat hijau untuk Zahlia pergi.
Mengalah.  Zahlia masuk ke perut kereta. 
“Jumpa petang ni…”
Nel angguk. 
Dia lepaskan keluhan kecil bila kereta Zahlia mula menjauh.
Bukan dia tak pernah cakap dekat gadis itu.  Dia anggap Zahlia hanya kawan.  Setakat itu saja.  Tapi, apalah yang buat gadis ini masih menyimpan perasaan pada dia?  Susah untuk dia terka. 
Dia bukan lelaki Melayu terakhir.  Kerja pun kuli.  Hidup kais pagi makan pagi.  Kalau tak kais, tak dapat makan.  Ini pun ada yang nak.  Aneh sungguh. 
Nel masuk ke dalam rumah.  Baru nak capai kain dalam mesin basuh, telefonnya bergetar di atas meja.  Laju dia capai.  Bibirnya menguntum dengan senyum. 
Nama Zahlia hilang langsung. 

Kan dah cakap tadi dengan Zahlia… sekadar alasan!  Inilah sebabnya.  

No comments:

Post a Comment