SEBAK
ditahan. Di sinilah tempatnya. Kejadian yang pernah berlaku dulu. Dan hari ini, dia kembali lagi ke sini. Ingatkan dia tak akan ke sini lagi. Nak-nak setelah lelaki bernama Nel itu jadi
penyibuk dalam hidup dia yang sudah bercelaru.
Sengaja nak tambah tanda soal dalam kepalanya. Tak pasal-pasal mama dan ayah anggap dia yang curang pada Haikal sedangkan lelaki itu
langsung tak ikhlas pada dia selama ini.
Cuma dia aje tak
nak burukkan Haikal di depan mama dan ayah kerana dia tahu, semua salah akan
berbalik pada dia. Sekarang,
terbukti. Wujud Nel. Tapi, bukan salah
Nel. Dia yang terlanjur menyebut nama
itu di depan orang tuanya.
Keluar daripada
dapur, Nel kerutkan kening. Eh, dah
seminggu tak muncul. Tak sangka dia ni
datang lagi. Tapi yang mengejutkan, kenapalah
mesti duduk di situ mengenangkan perkara yang menyakitkan?
Anehnya kaum
perempuan.
“Saya ingat dia
tak datang dah lepas hari tu?” soal Adi
pada Nel yang sedang menggendang meja.
Memerhati pada wajah pelanggan setia mereka.
“Ini kedai. Dah kenapa dia tak nak datang? Ikut suka dialah…”
“Eh, manalah
tahu. Dia takut dengan abang ke?” usik Adi.
“Ha, kau tak
takut dekat abang ke?” Nel tayang wajah
bengis.
Adi kecut. “Eh, ada customer…” Laju dia beralih ke kaunter.
Bibir Nel pecah
dengan senyuman tipis. Adi ni, pengecut
betullah. Baru gertak sikit, dah
kecut. Tangannya mencapai cawan. Americano panas yang selalu dipesan oleh
gadis itu dibancuh pantas.
Sepotong kek
diletak atas piring. Ditatang dulang
penuh cermat, hingga berdiri tepat di sisi meja. Lama-lama, wajah itu terangkat. Nel ukir senyum.
“Saya tak
order…” beritahu Dian. Perlahan dan tenang.
Nel ceberkan
bibir.
“Sebab tak
orderlah, baru saya bawak sini. Air tu
dah kering…” Dia letak cawan dan piring
itu penuh cermat. Cawan kosong itu
diangkat.
“Silakan,”
pelawanya dan terus pusing tubuh.
“Encik
Nel…”
Tapi, langkahnya
tak dapat bermula. Dia toleh
semula.
“Ya, saya…” Hujung keningnya terjongket.
“Boleh saya
pesan secawan lagi?” tanya Dian
perlahan. Tanpa senyuman yang
pastinya.
“Okey. Boleh.
Nak pesan air apa ya, cik?” soal
Nel professional.
“Apa yang awak
suka minum?”
“Saya tak minum
kopi…”
“Coklat?” duga Dian.
Nel angguk
tipis.
“Panas, sejuk
atau frap?”
“Semua tu pun
saya layan…”
“Suka whipped
cream?”
Nel ketap
bibir. Dia nak menyoal tapi tak
jadi. Wajah di depannya jelas berbicara
tentang kesedihan yang sukar diungkap.
“Suka. Whipped cream lebih,” jawabnya teruja.
“Sekarang?” Mata Dian langsung tak beralih pada wajah
Nel.
“Coklat frap
dengan whipped cream penuh di atasnya.”
“Okey. Bagi satu coklat frap…” Dian hulurkan kadnya dan kembali tunduk membelek
buku yang ada di tangannya.
Nel berlalu ke
kaunter tapi tak lama, dia kembali semula menatang order yang dipesan. Diletak sopan. Kad bank Dian juga dihulur pada wanita
itu.
“Jemput
minum…”
Dian senyum
tawar.
“Ini untuk
awak. Saya belanja. Boleh duduk sekejap minum dengan saya?” tanya Dian.
Dahi Nel
berkerut tapi dia pujuk hati yang sedang dibadai pelbagai persoalan. Jinak lain macam wanita ini hari ini. Andai tak… dia rasa seperti mereka adalah
seteru. Lepas hari tu, dia tekad nak
tegur wanita ini lagi tapi, hari ini berbeza.
Sesekali dia toleh
pada Adi yang sedang tayang seluruh gigi dalam mulut. Dia punya sengih, lain macam sungguh. Nak kena ni.
“Boleh?” Sekali lagi, Dian mencari jawapan.
“Oh, boleh aje…” Laju dia mengangguk bila soalan itu sekali
lagi menyapa.
Penuh gaya, Nel
tarik kerusi dan labuhkan duduk di depan Dian.
Kaki panjang itu dibawa menindih kaki yang satu lagi.
“Kek satu…
cukup, kan?” tanya Dian lagi.
“Ke awak nak
tambah?” Nel mahu bangun tapi sekali
lagi Dian menahan.
“Cukup aje. Kita kongsi,” ujar Dian tanpa perasaan.
Dia angkat cawan
dan dibawa ke bibir.
Nel pula yang kerut
kening. Kopi itu terlalu pahit tapi
kenapalah gadis ini meneguknya tanpa apa-apa riak biarpun pada hujung kening
yang indah terletak itu.
“Saya tak suka
manis,” ujar Dian tiba-tiba.
“Rasa sikit
bolehlah bagi hargai niat baik orang.”
Orang yang dimaksudkan adalah lelaki di depan matanya sekarang.
Nel diam. Tak berkata apa. Sepertinya gadis ini ada perkara yang mahu
diluahkan dan dia tak nak menjadi roadblock
bila emosi seseorang sedang meluncur laju membelah laluan perasan.
“Kek yang awak
bagi minggu lepas, pun saya tak makan.
Saya bawak balik rumah. Letak
dalam peti. Saya lupa langsung…” Bicara Dian mati lagi. Dia angkat tangkai cawan dan dihirup lagi
kopi tersebut.
“Lepas tu, mama
saya tanya kenapa saya beli sedangkan saya tak makan manis.” Kali ini, barulah Dian angkat wajah. Ditenung Nel yang dia tahu, memandang dia tak
lepas daripada tadi.
“Mama dengan
ayah saya cakap yang…”
Nel senyum
sendiri. Bicara itu akhirnya
terhenti. Bukan kerana roadblock dia. Tapi, boleh jadi kehabisan minyak
tenaga. Dia dah dapat tebak apa yang
gadis ini mahu katakan.
“Perlu ke saya
jadi orang tu?”
“Orang tu?” Dian tak mengerti.
“Ya… orang yang
mama dan ayah awak fikirkan?” Senyuman
Nel lebar. Seperti orang mengantuk
disorongkan bantal.
Dia rela! Hanya menanti lampu yang masih merah bertukar
hijau saja.
No comments:
Post a Comment